Pages

October 22, 2012

.Sayang Along :')

Oh ya, ini kes tiada gambar bersama sejak sampai sini. ^^v

Bismillah..

Hampir dua bulan saya meninggalkan keluarga di tanah air. Namun, sejauh mana diri tercampak, Allah tetap menganugerahi keluarga tersayang di sisi. Walaupun hanya seketul, sebatang atau lebih moleknya seorang insan bernama 'Along'. Cukup mewarnai kehidupan saya di bumi Urdun serba petak ini. Itulah nikmat yang sangat bermakna.

Teringat seawal pertemuan kami di Sakan Houston (tak pasti ejaannya) tapi lebih masyhurnya dipanggil Sakan Kuning. Saat itu, hanya Allah yang tahu betapa hati ini berdebar seiring perasaan teruja untuk bertemu dengannya.

Nampak sahaja kelibatnya, wajah yang tadi kusam terus berubah riang. Namun, disebalik keriangan itu terselit satu aliran perasaan yang sungguh sayu. Tubuh bertemu tubuh. Dia memeluk saya erat. Jelas kerinduannya yang terpendam.

 Kami tergelak kecil. Tanpa sebarang bicara, air mata yang mengungkap rasa. Ya Allah indahnya perasaan ini.

***
Handphone berdering menyanyikan ringtone yang mengasyikkan. Tertera pemanggil di sana.

"Along :)" 

Saya tersenyum simpul. Terus kaki langkah melaju memasuki salah sebuah bilik di rumah dan menutup rapat pintu bilik.  Seperti biasa, memang begitulah keadaannya. Mungkin sifat saya sendiri yang tidak suka perbicaraan kami didengari orang.

 Hakikatnya, boleh saja untuk dia datang ke rumah saya yang tidak jauh mana ini. Tapi, agak jauh juga sebenarnya. Memerlukan bayaran sebanyak 1 JD sekiranya menaiki teksi. Hurmm..

Jika dahulu, saya dan along akan pakat untuk menelefon Ummi setiap hujung minggu semasa di asrama. Dan tempat extravaganza kami di bilik gerakan MPP. Mentang-mentanglah pimpinan di sekolah, sesuka hati rianya kami menggunanya. Maaf ya Ustaz andai tidak meminta izin dahulu...

 Namun, itulah satu-satunya tempat yang orang lain tidak nampak. Sememangnya esklusif!

"Rasa macam dah lama tak cakap dengan Angah..heheh" Bicaranya. Saya tergelak kecil. Sweet sangat Along ni.

Berbual punya berbual, jam di lihat. Sudah satu jam rupanya kami berhubung. (Lamanya!) Tapi tidak mengapa, kata Along "Puas dapat cakap dengan Angah.." Terharu. Saya juga begitu. Nikmat tidak terkata. 

 Rasa seperti jauh beribu batu. Seingat saya, akhir kami berhubung lama, menerusi skype semasa saya di UK. Itu yang berlama-lama bagai nak rak. 

Sebelum mentup bicara, dia berkata "Angah, hari tu Along call Ummi. Ummi nasihatkan, sebolehnya buat tiga perkara ini.. bila bangun dari tidur. Solat taubat, Solat hajat, dan Solat istikharah." Terima kasih Ummi, atas nasihat yang bermakna itu. (InsyaAllah mohon doa darimu..)

Sememangnya kami cukup berbeza. Sekilas kalian memandang, tiada apa yang sama. Hatta berkali-kali pandang. Memang tiada yang sama. Kerana saya, adalah 'saya'. Dan dia adalah 'dia'. Bezanya kami, itulah yang mengeratkan. 

***
Dalam perhubungan, perlu adanya kepercayaan. Seiring juga kasih sayang yang setulusnya. Selagi kita punya ego dalam diri, selama itulah Allah tidakkan membuka jalan untuk kita menikmati perhubungan sedarah daging satu rahim ini. 

Mungkin sebelum ini, kita sibuk mementingkan 'Ukhwah'. Tetapi sejauh mana kita sudah ber'ukhwah' dengan ahli keluarga kita seperti kita berukhwah dengan sahabat kita?

Mungkin juga, kita sibuk memperkatakan tentang 'Cinta'. Namun, sejauh mana kita sudah ber'cinta' penuh kesungguhan dengan ahli keluarga kita?

Mungkin juga kita sibuk mementingkan urusan dakwah dan tarbiyah. Namun, sudahkan mereka yakni ahli keluarga kita menjadi yang pertama untuk kita menyeru mereka kembali kepada Allah? Allahuakbar..

At Tahrim :6
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.."

Renungan buat kita bersama. Bila difikirkan di akhirat kelak, syurga yang kita ingin duduki itu biarlah jelas kelihatan wajah-wajah bersinar ahli keluarga kita. Malah kita menikmati seisinya bersama!

"Mood rindu. But not homesick!"

 

October 18, 2012

.Sampaikanlah...

Seven 'pemudi' di kahfi :)

Bismillah..

Tulisan ditaip. Habis masa setengah jam. Sebelum dipost, entry dibaca kembali. Dan akhirnya... DRAFT. 

Bukan mudahkan sekiranya untuk terus istiqamah dalam sesuatu perkara yang kita lakukan? Apatah lagi sesuatu yang berbentuk 'dakwah'. Kata lainnya seruan. 

Ramai saja yang pandai berkata-kata tetapi tidak semestinya katanya itu mampu menyentuh hati. Ramai saja yang pandai berdebat tetapi mungkin juga debatnya itu tiada matlamat yang punya isi. Malah, adakalanya kita lebih selesa untuk berdiam diri dari menyampaikan sesuatu yang ukhrawi. Betulkan? Mengapa ya?

 "Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan " (AsSaff:3)

Sungguh, ayat ini sangat menyentap tangkai hati. Tidak semena hati bergetar hebat yang mampu menurunkan manik-manik kecil dari takungan tubir mata.

Allah tidak menyatakan 'tidak suka' tetapi dengan perkataan yang lebih tajam yakni 'sangatlah dibenci'. Kaki yang tadinya berdiri kukuh seakan goyah. Wajah yang tadinya bersinar ceria terus saja keruh.

Dahulu, setiap kali diri ingin menyampaikan sesuatu, pastinya ayat ini akan terlintas difikiran. Masakan untuk disampaikan sesuatu! Sedangkan diri tidak memenuhi apa yang perlu disampaikan.

Tetapi ketika itu, saya harus bagaimana kerana keadaan yang mendesak untuk kita yang menyampaikan. Allahuakbar.. beberapa kali juga situasi bagaimana saya berbicara di hadapan diiringi air mata ketakutan untuk menyampaikan. 

Bukan takut dengan insan di hadapan. Tetapi takut membayangkan saat saya berhadapan dengan Allah kelak. Di mana ketika itu pasti tubuh menggeletar ketakutan menjawab persoalan Allah satu persatu sambil buku catatan terbentang di hadapan mata.

Mungkin insan lain tidak tahu mengapa kita harus menangis. Malah mungkin saja mereka memperlekehkan tindakan kita. 

 Diri duduk sejenak beriman sebentar. "Bagaimana mereka yang dahulunya mampu kuat dan tabah menghadapi ayat yang Allah sampaikan ini? Tidak gentarkah mereka?" bertubi-tubi soalan bermain dibenak.

Saya teringat semasa dalam bidang kepimpinan dahulu, bersungguh saya merayu kepada seorang sahabat agar dia memikul tugas yang banyak untuk menyampaikan di khalayak ramai. Maka saya hanya berdiam diri dan menunjukkan qudwah. Sehingga begitu sekali ketakutan hati saya untuk menghayati ayat Allah ini.

Masa berlalu... Kini baru saya sedar. Ternyata langkahan saya silap. Mujur Allah menyelamatkan saya dengan ke'basahan' tarbiyah yang dilalui. Allah telah menyambung ayat seterusnya yang membincangkan mengenai kekuatan tampungan!

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan yang teratur, mereka seakan akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
 (AsSaff:4)

Subhanallah.. sekali lagi mampu membasahkan hati ini. 
Sememangnya kita punya kelemahan. Mana mungkin kita sempurna lengkap pakej. Kerana itu firmanNya, "Dan aku menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan." Highlight perkataan 'sebaik-baik' bukannya 'sesempurna' ciptaan. See..?

Lemahnya kita, akan ada yang menampungnya. Lemahnya mereka, kitalah yang menampungnya. Dengan itu kita lebih kuat di jalan dakwah ini. InsyaAllah.

Andai kelemahan diri masih menyelubungi diri, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak.
Andai kenangan masa lalu masih menghantui, sampai bila-bila Islam tidak akan tertegak. 

Sedangkan Rasulullah sendiri punya kelemahan yakni buta huruf. Tetapi terus-terusan menyampaikan. Walau hakikatnya lontaran kesakitan terhadap baginda jauh lebih dahsyat berbanding apa yang kita alami kini. 

Buat yang menyampaikan, penyampaian itulah yang menjadi tarbiyah buat diri kita agar melakukan apa yang telah diperkataan.

Luruskan kembali niat kita. Mengapa perlu untuk menyampaikan. Kerana kita ingin kembali kepada fitrah seorang hamba yang sentiasa mendambakan Tuhan Penciptanya.  Dan kita yakin janjiNya Jannah buat hamba yang beriman.