Pages

Monday, December 24

.Kholas Muhadhorah.


Bismillah..

Teringat saya seawal kemasukan kami ke Jami'ah Yarmouk, tidak ubah seperti pelajar darjah satu. Masakan tidak, hampir setiap perkara senior-senior yang menguruskannya. Bermula dengan meronda-ronda kawasan jamiah yang tidaklah sebesar mana itu.

Perasaan teruja sememangnya ada untuk masuk ke kelas buat pertama kalinya. Apatah lagi, suasana yang berbeza dari sebelumnya. Jika dahulu, kelas awal pagi, baju seragam semuanya. Malah ramai orang yang kita kenali disekeliling kita.

Pada hari pertama kelas, semangat kaki mengorak langkah bagi menuntut ilmu di bumi anbiya'. Azam di pasak agar tidak melencong tepesong paksi lain. Semangat sangat sehingga kuliah syariah tidak saya jumpai. Heh. 

Mata melihat papan tanda kelas. Dengan lafaz bismillah saya masuk.

Terpana seketika. 'Semua melayu?' Hah, itulah lintasan pertama yang terlafaz di dalam hati. Terus bibir meleret senyuman. Sungguh kelakar. 'Hanya beberapa 'ketul' sahaja orang arab? Baik saya belajar di Malaysia..' jauh sudut sanubari, hati sedikit merungut. Allah..

Namun, masa yang berlalu, mengajar saya erti hikmah setiap yang tertulis pada catitanNya. Sudahlah bahasa arab masih merangkak-rangkak. Malah untuk memahami tulisan doktor juga satu perkara yang memakan masa. Apatah lagi, saat bila beliau sudah mula berbicara. Sedikit sahaja yang dapat ditangkap kemas.

Dari situ, saya belajar untuk studi secara berkumpulan. Tanpa mereka, mungkin saya ketinggalan banyak perkara. Dari segi nota-nota, taqrir (baca: assignment), dan kefahaman dalam kelas itu sendiri. Malah, doktor juga bertolak ansur dengan kami memandangkan kami pelajar tahun 1.

Alhamdulillah, semalam kholas muhadhorah (baca: tamat kelas) pada semester ini. Sekarang ini, 'study week'. Harapannya terus 'wake' bukan 'weak' untuk prepare imtihan niai'e nanti. InsyaAllah.

Terkadang sebagai manusia yang punya khilaf, kita jarang mensyukuri sesuatu perkara dipermulaan. Hakikatnya, Allah tahu yang mana satu terbaik untuk kita. Sebagai hamba Allah, tugas kita berusaha dan merancang. Natijahnya, kita tawakkal kepadaNya.

Apapun saya sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabat sekelas. Sedikit sebanyak kalian mendorong semangat saya untuk terus berjuang di medan ini. Yang mungkin ramai orang diluar sana perlekehkan. Tapi kita perlu menjadi yang terbaik...Right?

Aiwah.. selamat berperang madah hari ini! 

Ala kulli hal, Allhu yu'tikal 'afiah sodiqi~  








Wednesday, December 12

.Memencilkan diri.


Bismillah..

Pernah tidak, ada suatu ketika kita ingin melarikan diri dari manusia?


 Lebih senang untuk bersendiri, memikirkan tiap sesuatu perkara yang berlaku. Tidak pun menghadirkan di suatu tempat yang menyenangkan?


Tika ini, hati saya kuat menarik untuk singgah di tempat 'itu'. Ya, di sanalah seolahnya saya mendapat ketenangan yang luar biasa. Namun, masa tidak melayakkan saya berada di 'sana'.


Jika di sekolah dahulu, bangunan yang paling atas dan di hujung koridor menjadi tempat untuk saya meminggirkan dari manusia sekeliling. Ketika itu, wajah terus dihadapkan ke langit tanpa segan saya akan mengadu kepadaNya. Awan yang bergerak perlahan menjadi tatapan saya melapangkan fikiran. 


Di Scotland, Knightswood Park menjadi pilihan hati saya medekatkan hati denganNya. Sambil menghirup udara segar, saya memerhatikan Swan ciptaanNya. Berenang penuh tenang pada sebahagian air yang membeku. Serta melihat keletah anak kecil bermain bersama keluarga mereka.


Di Penang, saya akan ke stadium. Di situ, saya akan berlari sekuatnya sehingga fikiran dunia luput dari kehidupan. Tinggal hati meruntun hiba mengharap kasihNya. Dalam keadaan penat, segala kesakitan akan terluah walau tidak pada bicara tetapi pada pergerakan.


Pernah, suatu dahulu saya bertanyakan kepada Ummi berkenaan apa yang saya alami. Namun, jawapan Ummi membuat saya tersenyum. 


"Angah, normallah tu. Memang ada ketikanya kita ingin memencilkan diri dari sekeliling. Apatah lagi sewaktu remaja. Kita sebolehnya akan terfikir-fikir tentang diri sendiri. Ummi dulu pun, dengan motor kesayangan ummi pecut pergi ke lapangan terbang Penang. Di tepi pagar, Ummi akan tengok kapal terbang berlepas satu persatu..." bicara Ummi menyejukkan.


Fikir saya, mungkinkah ini tanda-tanda orang yang punya masalah jiwa?


Rupanya tidak, sedangkan Rasulullah bersusah payah mendaki bukit menuju ke Gua Hira' semata ingin beruzlah kepada Allah.


Ya Allah, berikan aku ketenangan hati boleh? Walaupun sekadar dengan diri ini mampu menenagkan orang lain? Ampuni khilafku ya Allah.. 



:: Kita datang dari Allah. Sekembalinya kita pasti kepada Allah. Maka selayaknyakah di antara keduanya kita mencari selain Allah? ::




Tuesday, December 11

.Orang faqir adalah aset!



Bismillah..

"Hmm.. bila lalu satu tabung derma, kita hulurkan duit. Dan bila lalu kali kedua, mesti adakalanya dalam hati akan kata, 'aku dah bagi tadi!'. Susahkan?" bicara seorang sahabat.

*Headshot!*

Betul, saya sendiri akui pernah berbicara sebegitu. Hakikatnya, sangat banyak orang di tepi jalan yang memilukan apabila melihat mereka dalam keadaan meminta-minta. Bukan tidak mahu memberi.. tapi....  

Aduhai, banyak pula tapinya.

Apatah lagi di sini. Budak sekecil 6 tahun sudah menjual sedikit barangan di celah laluan kereta. Malah ada juga, ibu yang memegang bayinya di tangan duduk di tepi bangunan. Sungguh, hati mana yang tidak perit melihatkan situasi itu?

Di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w, mafhumnya, Allah akan mengabulkan doa orang yang dizalimi serta orang yang faqir.

Nah, jadi mengapa perlu kita risau-risaukan dengan duit yang dikeluarkan itu? Duit sahaja bukan? Mata wang yang tidak membawa kepada nilaian akhirat pun. Melainkan kita menggunakannya dengan bermanfaat.

 Mulai saat ini, jom sama-sama tukarkan minda kita dengan pemikiran yang menenangkan. Mereka (orang faqir) inilah aset kita!

Dalam kita memberi, tak salahkan untuk kita ucapkan doa kepada mereka? Dan mintalah mereka mendoakan kejayaan kita, kecemerlangan kita mahupun rezeki Allah buat kita dunia akhirat. InsyaAllah, walau sedikit Allah tetap mengiranya.

Tarbiyah kita, bukanlah bersifat 'ruhi' sahaja. Walhal lengkapnya dengan 'aqli' serta 'jasadi'. Kita bukan hidup dengan robot yang tidak punya hati dan perasaan. Namun, kita hidup dengan manusia yang punya jiwa dan kehidupan. 

:: Kita datang daripada Allah. Sekembalinya kita pasti kepada Allah. Maka selayaknyakah kita mencari selain daripada Allah? ::