Pages

Monday, April 29

.Ahlullah.



Bismillah..


Sabda Rasulullah s.a.w, 
'Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki ahli-ahliNya dalam kalangan manusia. Maka para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah mereka? Rasulullah menjawab, Mereka itulah Ahli al Quran, iaitu Ahlullah, dan mereka yang mendalami bidang al Quran tersebut.' 

(Ibn Majah, Hadith Sohih)


Al quran coklat dipegang erat. Sayup-sayup kedengaran sahabat berulangkali mengulang hafazan mereka. Ada sedikit perasaan sayu ketika itu.


Sungguh aku merindui saat hidup penuh dengan ayat cinta Allah. Tidak rindukah kalian?


Ditegur oleh Allah, melalui mushaf al quran itu. Dibelai oleh Allah, melalui naskhah al quran itu. Diperingat oleh Allah, melalui helaian al quran itu.


Semua itu melalui al quran, untuk aku merasakan Allah berbicara denganku.

Melalui al quran juga aku seolah  merasa kehangatan bersama Rasulullah walau baginda tiada di sisi. Kerana wahyu itulah baginda merasa keperitan dan kesakitan yang tidak terperi dalam menyampaikan risalah Allah.


Al quran itu dibuka mushafnya. Terselit sehelai kertas yang aku simpan lama di situ. "Sekiranya Rasulullah s.a.w di sebelah ukhti, apa ucapan yang mahu ukhti bicarakan pada baginda?"


Tekak seakan perit. Hati mula sebak. Tiada kata yang mampu terluah. 


Sungguh aku merindui baginda. Kerana itu aku mendekatkan diri dengan al quran. Aku yakin, kalam Allah  merupakan kalam yang tertinggi dan tiada yang layak berada di sisiNya melainkan hambanya yang bertaqwa.


Ya Allah hiaskanlah diri kami dengan keindahan al quran.
Muliakanlah kami dengan kemuliaan al quran. 
Serikanlah kami dengan ketinggian al quran.
Pakaikanlah kami dengan pakaian al quran.

Masukkanlah kami kedalam syurgaMu dengan syafaat al quran, Ya Allah... T.T



Wednesday, April 24

.Murakib pun ada 'life'.


Hampir serupa. Laluan ke bangunan rumah.


Bismillah..


Kedengaran bunyi loceng rumah berbunyi. Salam kedua solat sunat Isya' diberi. Tiba-tiba terdengar jeritan yang sangat kuat dari luar rumah. 


"Kenapa tu?" Kak AZ bertanya. Saya menggeleng tidak pasti.


Saya dan ahli bayt terus bergegas ke pintu rumah. Dan ketika itu, kelihatan seorang akhawat sedang terduduk menangis di depan pintu sambil dipujuk oleh sahabatnya.


"Tadi, ada syabab arab cuba raba." Sahabatnya cuba menerangkan.


"Dekat mana?" Kami kaget.


"Baru ni tadi. Depan pintu." Allah. Hati saya bergetar hebat. Terasa debaran ketakutan yang sangat dahsyat. Apatah lagi akhawat itu sendiri.


Memandangkan ada sedikit perjumpaan di rumah saya, bertambah kecoh dengan apa yang berlaku. Betapa ramai orang di dalam rumah tidak dapat membantu apa yang berlaku di luar rumah. Sekelip mata saja perkara sebegitu terjadi.


Kami membawa masuk akhawat tersebut. Badannya lemah longlai mungkin terkejut dengan apa yang terjadi. Air matanya tidak berhenti mengalir. Saya mengusap lembut bahunya. Mohon kepada Allah agar memberinya kekuatan.


Ketika itu juga, jiran arab dihadapan datang ke rumah bertanya keadaan akhawat tersebut. Rasa lebih tenang setelah mendengar nasihatnya. Seolah-olah seorang ibu yang menjaga setiap orang anak-anaknya. Terima kasih mama.


Saya menjenguk ke luar tingkap, berkemungkinan syabab arab itu masih berdekatan. Tiada.


Namun, kelihatan dua orang syabab melayu lari bergegas ke bangunan rumah kami. Dari masjid agaknya. Memandangkan sebelum itu sudah ada akhawat yang menelefon menghabarkan apa yang berlaku.


Bersama Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Permai, akhawat tersebut dibawa ke balai polis bersama sahabatnya sebagai saksi. Segala keterangan akan diambil.


Dan apa yang menyebabkan saya bertambah sedih. Akhawat itu seorang yang sangat baik juga merangkap sahabat saya. Tudungnya labuh menutupi diri. Tiada satu pun aurat yang terbuka. Lengkap berstokin dan hand sock.


Sungguh dunia sudah terlalu tenat!


Pernah sebelum ini, beberapa kali juga saya keluar tanpa murakib. Ya, adakalanya tempat yang ingin di tuju terlalu dekat. Misalnya kedai berhampiran. Masakan kita ingin menelefon murakib dan berharap agar dia menemani ke kedai berdekatan?


Setinggi comman sense seseorang pun, kita mampu berfikir 'Perlukah panggil murakib?'


Murakib pun ada 'life'...


Tetapi lepas ni sudah tidak boleh pegang quote ni. Hmm. Maaf para murakib sekalian. Bukan lebih menggalakkan tapi itu hakikat.


Sedangkan apabila keluar malam, murakib yang menghantar biasanya hanya di persimpangan jalan sahaja. Saya juga tidak lepas dari memberhentikan mereka sebelum betul-betul dihadapan bangunan rumah. Kerana saya sendiri kurang gemar andai murakib menghantar sehingga di hadapan pintu rumah. 


Pernah juga sahabat saya berkata, "Kadang-kadang bila balik malam dari program seorang diri, rasa seperti hendak suruh aja murakib hantar sampai depan pintu rumah. Tapi malu pula nak cakap. Macam gedik pulak nantikan?"


Tapi adakah murakib yang sebegitu? Musykil.


Sebaliknya, kita tidak jangka, mungkinkah penjahat itu sudah tunggu di hadapan pintu? Atau sedang berada di tingkat atas bangunan? Nauzubillah..


Apapun, sama-sama kita redakan hati. Kembalikanlah kebergantungan kita kepada Allah Tuhan semesta Alam. Tiada yang lebih kuat dari Allah dalam sesuatu urusan. Dialah yang memelihara kita. dia jugalah yang menjaga kita tiap saat. Andai itu terjadi, anggaplah ujian yang lebih mendekatkan kita kepadaNya.


Selepas ini berkali-kalilah berfikir, perlukah untuk kita keluar malam sekiranya tiada tujuan. Sekiranya betul ingin keluar malam, biarlah berteman dan mintalah pertolongan murakib yang dipercayai.


InsyaAllah, kita hanya  berusaha mengelak situasi yang tidak diingini berlaku. Biaralah dihadapan Allah nanti, kita ada jawapan dengan usaha yang kita lakukan di dunia.


Uh, ini yang nak minta adik susuan saya sambung belajar sini ni. Heh. Teman kakak dia. Bolehkah?


Nabi s.a.w bersabda,
"Jika manusia tahu tentang keburukan jalan berseorang diri, nescaya aku tidak akan dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu malam."

-H.R Bukhari-



Saturday, April 20

.Dunia penulisan.




Bismillah..

“Katakanlah: ‘Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” 

Az-Zumar: 10

MEDAN DAKWAH


Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan mengikuti program KONDAKSI (Konferens Dakwah Siber) anjuran Badan Kebajikan Anak Pahang Jordan. Walaupun tiada pertalian darah dengan negeri Pahang, saya tetap ingin mencedok sedikit ilmu bersempena proram dimana panelisnya terdiri daripada  Ustaz Dr. Zaharuddin sendiri. *Admire dengan semua penulis* 


Sedikit saya petik, daripada kata-kata Ustaz Zaharuddin yang juga merupakan bekas mahasiswa lulusan syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. "Seseorang yang hebat berdakwah, tapi kurang celik IT amatlah rugi baginya."


Sungguh saya sedikit tersentap. Saya akui dengan kebenaran yang ustaz katakan itu. Namun, jujur  dari hati, saya sendiri takut untuk terjun berdakwah dalam bidang IT. Kerana saya dididik dengan buku, buku dan buku. Eh bukan dididik tapi minat lebih ke arah itu. 


Zaman friendster? Saya pekakkan telinga. Zaman Space? Saya butakan mata. Sebab sungguh.. saya tidak menyukainya.


Namun, pada tahun 2010 saya mengambil langkah berani untuk terjun seterjunnya dalam bidang yang amat asing dalam dunia saya. Facebook! Ini pun kerana keterpaksaan saya sebagai pimpinan di sekolah. Blog? Sungguh saya ketinggalan ketika itu. Selama ini saya hanya menulis dibuku. Nama masyhurnya, diary. Uhuh malu pula. Ya, itulah yang sebenarnya. Saya sudah mula menulis diary dengan konsisten sejak darjah 4.


Bagi saya tulis dalam diary lebih seronok berbanding dengan blog. Kerana blog terlalu open kepada orang ramai. Walhal diary, hanya kita sendiri yang tahu dan baca. Tidaklah satu perkara yang berdosa itu orang lain tanggung sama. Iyakan?


Namun, setelah dijentik dengan tarbiyah dan erti dakwah yang sebenar, saya mula sedar sampai bila ilmu itu saya ingin simpan dalam diary yang tersusun rapi di tempat rahsia? Dan keadaan ummat kini, memaksa untuk kita terjun dalam bidang ini bagi menyampaikan dengan lebih mudah.


Twitter? Saya sedang berjinak. Terkejut? ahah.


Cumanya, sebagai seorang daie yang merasakan Siber antara wasilahnya untuk menyampaikan dakwah, niat perlu sentiasa diperbetulkan. Kerana siapa kita melaksanakan? Demi Allah, tidak lain hanyalah semata kerana Allah.


Berdasarkan niat yang jitu, seseorang akan jelas dengan apa yang dituju. Malah jika kita merasakan dengan cara ini dapat membantu dan membawa orang lain turut sama menuju bahtera ke syurga, laksanakanlah. Usah tangguhkan.



SAHAM AKHIRAT


"Angah, dalam penulisan angah tu ada ayat yang angah silap tulis. Sebenarnya al Baqarah : 138. Tapi angah tulis ayat 138." Tegur Ummi mengenai satu entri saya tidak lama dahulu.


Eh? Bagaimana boleh silap. Sedangkan saya hafal ayat itu. Malu sendiri. Bahkan lebih malu lagi dengan Allah. Saya sedikit resah. Cepat-cepat saya mencari kembali entri tersebut dan kembali edit. 


Hati merintih hiba, memohon keampunanNya. Saya berasa berdosa kerana menyampaikan yang salah. Mujur saja penulisan saya masih boleh di edit. 


Kelihatannya untuk menjadi penulis, ianya bukan suatu perkara yang mudah dan boleh dipandang enteng. Bahkan jauh lebih besar dari itu.


Kerana sebuah penulisan itu KEKAL. Boleh jadi ia menjadi satu gudang pahala. Malah boleh jadi juga ia menjadi satu lubuk dosa. Nauzubillah. 


Itulah yang bakal menjadi saham kita di akhirat nanti. 


Menulis juga perlukan rujukan. Hakikatnya, penulis tanpa ilmu tiak mampu membentuk fikrah yang benar. Misalnya, kita mengimani hadis Rasululah 'Balighu anni walau aayah'. Bukanlah main semberono kita menyampaikan dan terus menyampaikan tanpa kajian dan penyelidikan. Ia perlu seiring kefahaman dan kesahihan sumber itu sendiri.


TETAPKAN SASARAN


Dalam menulis, kita perlu meletakkan sasaran pembaca kita. Kanak-kanak? Remaja? atau golongan veteran?


Dalam pada golongan-golongan ini, mungkin skop itu kita boleh perkecilkan lagi. Berkisar apa penulisan kita. Fiqh? Aqidah? Politik? Terpulang. Asal kita ada ilmu yang benar berkenaan bidang yang kita ceburi.


Manisnya, Islam itu syumul. Kita memerlukan kekuatan dari setiap pihak. Bukanlah seseorang yang hebat politik sentiasa tidak berpuas hati dengan seseorang yang tidak habis-habis menekankan soal ibadah. Bila dapat digabungkan dengan fikrah yang sama, terbentuklah nilai Islam yang sebenar.


Jika tanya saya, penulisan bagaimana yang saya lebih gemari? Saya memiliilih konsep cerita. Bagi saya, cukup kisah yang saya sampaikan bermanfaat kepada Islam, alhamdulillah. Kerana dalam konsep cerita, ianya mampu diolah. Cerita juga sebenarnya lebih dekat dengan kehidupan kita sendiri.


Dan saya lebih senang kerana bagaimana jalan cerita itu, watak atau situasi, tertakluk pada asas yang penting iaitu isi yang ingin disampaikan.


Moga Allah mengganjari kita semua pahala yang tidak terbatas. Kerana kita meyakini kehidupan akhirat itu ada. Dan biarlah pulangnya kita kepada Allah, dengan sebuah keridhaan yang amat kita harapkan.


Betulkan andai saya tersalah.. saya mohon.


"Katakanlah inilah jalanku! Aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada Allah dengan keterangan yang nyata. Maha Suci Allah, aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik."


Yusuf : 108





Friday, April 19

.Membidadarikan diri.


Dasar perempuan. Suka sangat dengan bunga. Ok je kan? ke gedik. uhuk


Bismillah

"Sesungguhnya orang-orang bertaqwa berada di tempat yang aman. Di dalam taman-taman dan mata air. Mereka memakai sutera halus dan sutera tebal, duduk berhadap-hadapan. Demikianlah.. dan Kami jodohkan mereka kepada bidadari bermata jeli."

Ad Dukhan : 51-54

KITA DISEBUT ALLAH

Suatu petang semasa di asrama. Sambil tangan menyuakan nasi ke mulut saya memerhatikan insan di hadapan. Wajahnya muram. Tiada riak kegembiraan malah makan pun lambat-lambat.


"Berserilah enti hari ni." Saya memulakan madah menarik hatinya.


Bibirnya meleret senyuman kecil. Ah Respon! "Berseri ana pun, tak berseri seperti bidadari.." 


"Eh dah kenapa dengan bidadari tiba-tiba ni? Ada gaduh dengan bidadari ke?" Saya berjenaka. Cuba menghilangkan muram pada wajahnya. Tak manis tahu.


"Haah. Rasa macam jelous sangat dengan bidadari syurga ni. Tadi dalam kelas, masa tengah murajaah ramai-ramai, boleh pulak part ayat bidadari bermata jeli tu, diorang baca kuat-kuat. Geram betullah. Untunglah diorang dapat bidadari.." Rungutnya.


Pasal itukah yang membuatkan dia tidak selera makan gamaknya? Comel aja sahabat saya yang seorang ini. 


"Cemburu sangat tu.."


"Mestilah.. Tak apalah nanti masa murajaah surah al Waqiah nak baca kuat-kuat part 'wildan' tu." Tergelak besar dia sambil mengutarakan cadangan yang super bernas itu. 


"Tapikan enti, rasa-rasanya siapa lagi utama? Kita ke bidadari?" Soal saya menjerat pada 'taujihat' petang.


"Tak tahu.. macam bidadari aja. Sebab memang sah-sah di syurga. Kita?"


"Sebenarnyakan, kalau nak tahu kita yang lebih utama. Sebabnya, kalau bidadari hanya beberapa ayat saja yang Allah turunkan. Tapi, betapa special Surah An-Nisaa' Allah turunkan kepada Rasulullah untuk kita terutamanya. Hmm, bangga tak?"


"Heh? Subhanallah.. tak terfikir pun. Rasa macam bangga tiba-tiba.." Dia tersenyum lebar.


"Kan?" Ya, kitalah lebih utama dari bidadari. Banggakan?


Ehem bidadari di syurga sana! jangan jeles dengan kami ya..



SABDA RASULULLAH


Aku (Ummu Salamah, isteri nabi) bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?"


Beliau menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat."


Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?"


Beliau menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara, dan sisirnya terbuat dari emas."


Mereka berkata, "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami redha dan tak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya."

(Riwayat al Tabrani)


MEMELIHARA PANDANGAN


"Di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang sopan membatasi pandangannya. Tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka. Tidak pula oleh jin." 

Ar Rahman : 56


Mendengar saja ayat ini, saya jadi sentap. Jika bidadari memelihara pandangannya, bagaimana kita yang lebih utama daripada mereka? Sebabnya, nanti kita yang akan jadi ketua bagi bidadari-bidadari bukan?


Terus semasa perjumpaan kepimpinan hari esoknya di sekolah, saya terapkan. Dalam hati niat 'Okay, nanti bila berbincang, tak nak pandang langsung! Muktamad.' Saya tekad.


Ketua saya memanggil. Ada perkara penting katanya. Saya menghampiri bersama teman di sisi. Mata tertunduk ke bawah tanpa sedikit pun saya menoleh. Daripada bicaranya, nampak seakan hambar. Mungkin juga pelik dengan tingkah saya ketika itu? 


Rupanya dia ingin menghabarkan berkenaan keciciran duit kepimpinan yang agak besar jumlahnya sehingga mencecah ratusan ringgit. Namun reaksi saya tetap diam membatu.


Sampai terakhir bait perkataannya, saya tetap tertunduk dan bersuara 'Hmm..'. Perasaan ketika itu saya rasa  puas! kerana saya berjaya menundukkan pandangan. Namun, jauh sudut hati terdetik sesuatu yang tidak kena.


"Enti, apa pendapat enti kalau berbincang dengan seseorang, orang yang berbincang dengan enti tu tak pandang langsung. Pastu cakap 'Hmm..' aja?" Soal saya pada sahabat saya, merangkap Setiausaha dalam MPP.


"Enti.... sakitnya hati!" Dia berbicara lantang. Iyakah?


"Ana buat macam tu tadi..." Saya mengadu. Sangka saya cara itu sudah betul. Memandangkan saya baru menjumpai ayat tersebut, saya terus ingin mempraktikkan. Niat saya telus demi menjaga iman itu sendiri.


"Dah hampir setahun dah kita bersama bergerak untuk tarbiyah sekolah. Mesti enti pun tahu cara yang sepatutnyakan?" Tepat menebak dada saya ketika itu.


"Entahlah, tapi tadi ana cuba untuk tundukkan pandangan. Sebab ciri-ciri bidadari syurga tu, dia tidak memandang dan dipandang pun. Apatah lagi kita yang bakal dijanjikan Allah sebagai ketua bidadari syurga tu..." Luah saya sedikit sedih.


Perkara itu bukan mudah. Tahap mujahadah itu perlu tinggi. Saya juga manusia. Bahaya sekiranya kita terbiasa sehingga rasa selesa. Sedangkan itu adalah satu dosa.


"Allah perintahkan untuk kita menjaga pandangan dan memelihara kesopanan dalam surah An Nur ayat 31. Bukan tundukkan pandangan, tapi tiada common sense. Boleh enti cakap 'hmm' je? Ada ke mana-mana ayat Allah mengajar kita untuk berbicara seperti pegawai penjara? Tiadakan..? Bersederhanalah." Suaranya  tegas memeperingatkan. Bertubi peluru soalan ditujahnya. Saya akui ada benar pada bicaranya.


Kalau ketua bidadari syurga macam pegawai penjara, kasihan penghuni syurga. Kureng bahagia nanti. heh 


Moga Allah ampuni dosa saya. Terima kasih sahabat, atas nasihatmu.



YANG TERTUTUP ITU INDAH

Barangsiapa yang memakai pakaian untuk mencari populariti dunia, maka Allah akan mengenakan pakaian kehinaan padanya di hari kiamat, kemudia membakarnya di neraka." 

(HR Abu daud & Ibnu Majah)


"Assalamualaikum Ustazah.." 


"Sejuk, perut ibu mengandung.." Suara-suara nakal mengusik. Walaupun sudah lali di telinga, hati tetap panas membara. 


Ketika itu saya mewakili sekolah, unit KRS (Kadet Remaja Sekolah) bagi kontijen Musleh berentap dengan Kontijen negeri-negeri lain. Jamboree. 


Bagi pandangan mereka, kami agak asing sedikit. Masakan berbaju KRS, bertudung labuh dengan berkasut but? Setiap apa yang kami lakukan pasti tidak terlepas dari mata-mata yang memandang. Mungkin dengan pandangan kejelekan atau kekaguman, itu antara hati mereka dengan Allah.


Semasa sedang berbaris, bersuara lantang ketua kontijen Selangor. "Berbarislah tegak-tegak. Cuba korang tengok kontinjen tepi ni. Tak ada pun yang gerak-gerak!" Mak aih.. garangnya kak. Berbaris kita pun boleh dijadikan qudwah sebenarnya.


Dan tiba-tiba dia datang kepada barisan kami. "Sebenarnyakan, aku teringin nak bertudung labuh macam korang. Tapi sekolah tak bagi. Cikgu aku sampai ugut akan gunting." Terkejut kami. Sehingga begitu sekali? Moga Allah memberi hidayah kepada cikgu itu. Allahu.


Semasa saya khusyuk mendengar taklimat, datang lagi seorang teman dari kontijen Johor tak silap saya. Dia bertanya, "Awak.. tak panas ke pakai macam ni? Awak pakai baju lengan panjang, pastu pakai sarung lengan lagi.." Suaranya kedengaran ikhlas.


"Panas? Hmm.. macam inilah saya bagi analogi. Kalau awak duduk tengah panas terik. Matahari direct kena pada awak apa awak buat?" Ketika itu mengharapkan bantuan Allah dalam perbicaraan saya.


"Saya tutup muka. Kalau tidak pun, ambil topi. Hehe.." 


"Eh, kenapa pulak awak makin tutup? Bukan bertambah panas ke?"


Dia terdiam. 


Saya tergelak. "Macam itu jugalah kalau kita tutup-tutup ni. Tidaklah direct kena kulit. Sakit tau.. Allah tahulah apa yang tebaik untuk hambaNyakan?" 


Dia mengangguk. Saya harap dia faham dengan analogi yang saya gambarkan. "Sebenarnya saya suka tengok awak semua.." 


Astaghfirullah. Segala pujian saya kembalikan kepada Allah.


Benar, yang tertutup itu lebih indah. Sekalipun saya seorang perempuan, saya juga tetap cemburu dengan mana-mana wanita yang berpurdah. Namun, perlu diperingatkan kembali kerana apa kita berpakaian. Jika ingin pandangan manusia, istighfarlah. Pakailah pakaian syar'i agar redha Allah sentiasa di sisi. 


Terpulang kepada muslimah di luar sana, bagaimana anda ingin berpakaian. Tetapi ingatlah, seindah perhiasan adalah wanita solehah. Dan wanita solehah itu dia memberi dan menerima sesuatu asal ianya membawa ke syurga.


Oh Muslimah, Allah cinta padamu.
Rasulullah kasih padamu.


Lai.. lai.. membidadarikan diri jom!





Thursday, April 11

.Simptom munafiq.


Talam dua muka ni heh! Munafiq~


"Weh man! ana rasa macam ada sesuatulah dekat tengkuk ni hah. Cuba rasa.." Syah yang menjenguk dari muka pintu mendekati Man dihujung sudut bilik.


Man baru saja habis tilawah separuh juzu' mengalih pandangan ke arah sahabatnya. Bahagian itu ditanda.


"Mana?"


"Ini hah. Ada tak rasa macam benjol sikit. Kenapa eh?" Syah mengambil jari Man dilekapkan pada lehernya.


Man meraba sedikit. Benar, ada sedikit benjolan. Tapi tidaklah besar. "Emm, susah untuk ana cakap. Rasa-rasanya...." Man tidak menghabiskan ayatnya.


"Rasa-rasanya apa Man?" Syah mula berdebar.


"Ana rasa ini macam simptom kanser..." Man berbicara serius. Tiada langsung tanda gurauan pada wajahnya.


"Takkanlah....!"


Wajah Syah berubah serta merta. Suaranya sudah mula meninggi. Cepat-cepat dia beristighfar. Lantas bangun mencapai kunci.


"Nak pergi mana?"


"Markaz sihi!" Dari jauh dia melaung.


Perkara bernyakit begini jangan dibuat main. Apatah lagi kanser! Hati Syah semakin tidak keruan. Perasaan takut mula menggunung. Sudahlah Man sahabatnya itu pelajar terbaik perubatan tahun 4 University of Jordan. Lagi 2 tahun bakal grad sebagai seorang doktor. 


Dalam perjalanan ke Markaz Sihi sempat lagi jemari Syah menaip simptom kanser dalam iPadnya. Dia belum bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. 


Jauh sudut hati dia berdoa memohon keampunan Allah. 'Lepas ni, tidak kira apa pun yang terjadi aku akan all out dalam dakwah dan tarbiyah keranaMu'. Hatinya menangis tidak sudah. Sukar untuk diungkapkan perasaannya ketika itu.


Usai pulang dari Markaz Sihi.


"Macam mana? Apa doktor kata?" Tanya Syah sambil tangannya laju berhempas memasak juadah petang untuk ahli rumahnya.


Syah tersenyum panjang. "Alhamdulillah, bukan kanser pun. Tekak ana bengkak sikit. Doktor kata ada tounsils.."


Man tergelak kecil. "Enta ni pun satu. Yang keluar terus tu kenapa. Ana tak habis ayat lagi tadi."


"Weh, mestilah ana percayakan dengan budak medic macam enta. Even simptom sekalipun!"


"Itulah, even simptom pun kan?"


"Maksudnya?"


"Iyalah, macam kita ni ada orang yang Islam tetapi tidak bercirikan Islam."


"Cuba ayat tu jangan tinggi sangat Man oi! Bagi jelas sikit.. Balighul Mubin. Heh." Sempat lagi Syah mengusik sahabatnya.


"Maksud ana Munafiq." Bunyi tumisan kedengaran. Bau rempah menyelerakan seisi ahli rumah.


"Jadinya apa kena mengena Munafiq dengan simptom kanser tu?"


"Cuba bayangkan, macam keadaan enta ni. Ana baru cakap simptom kanser dah melompat macam anak beruang terus lari pergi Markaz Sihi. Perasaan enta waktu tu macam mana?"


"Mestilah takut. Dan andai diberi waktu ana nak betul-betul all out dan perjuangkan agama Allah sebaik mungkin.." Suara Syah mengendur.


"Samalah juga situasi tu dengan orang kafir. Yang dikisahkan Quran, dalam perang tabuk. Munafiq tu bukan kafir pun, macam kita ni Islam.. Tapi ketika tu, siapa aja yang sanggup meredah panas terik matahari untuk pergi berperang? Mereka lebih rela duduk diam di rumah dan menikmati buah-buahan yang masak ketika soifi (musim panas)."


"Betullah.."


"Lagipun, kalau dalam situasi kita pula. Takutlah andai kitalah orang yang tergolong dalam golongan munafiq tu. Yang mungkin hebat pada amalannya. Hebat pada bicaranya. Tapi bila diminta untuk berjuang dia menolak mentah-mentah. Nauzubillah..."


Man bersyarah sambil tangannya laju menggaul masak lemak cili apinya itu. Memang berapi-api seperti syarahnya petang itu.


"Dan dalam Al quran memang Allah dah beri tahu ciri-ciri munafiq tu bagaimana. Nanti cuba check surah At taubah tu betapa Allah bongkarkan segala isi berkenaan keadaan orang munafiq tu bagaimana. Dan kita sebagai umat Islam yang bersyahadah ni, tidak mahulah simptom munafiq tu ada dalam diri kita bukan?"


Man tersenyum kecil. Harapannya agar sahabatnya faham apa yang cuba dia sampaikan.


"Nauzubillah, Man. Ini baru bengkak tekak. Bagai nak menggila ana pastikan simptom kanser tu betul-betul tiada dalam diri. Apatah lagi simptom munafiq bagi seorang daie. Astaghfirullah.." Syah beristighfar panjang.


"Terima kasih juga Syah, sebab suruh ana check 'bengkak tekak' enta tu... huhu. Mengingatkan balik ana pada Allah."


"Tiada apalah Man. Jom makan, laparlah.." 


"Jom! panggil yang lain makan sekali."



"Orang-orang munafiq itu takut jika diturunkan suatu surah yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka, 'Teruskanlah berolok olok terhadap Allah dan RasulNya.' Sesungguhnya Allah akan mengungkapkan apa yang kamu takuti.."


"Allah menjanjikan orang-orang munafiq laki dan perempuan dan orang orang kafir dengan neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka. Allah melaknat mereka dan mereka mendapat azab yang kekal."

At Taubah : 64 & 68