Pages

May 31, 2013

.Rumah Islam siapakah itu?


Nak tunggu rumah terbakar macam inikah baru mahu gelar Rumah Islam. kuriyes..


Doa ma'thurat di'ameen'kan. Semakin awal subuh sekarang ni. Sedikit sebanyak menguji kecintaan hambaNya dalam menunaikan suruhanNya sehari semalam.


Pagi itu hanya kami bertiga. Menjadi kewajipan, seminggu sekali saya akan bermalam di mana-mana rumah selain rumah saya sendiri untuk mengamati dan menghirup suasana tarbiyah di dalamnya.


Tapi, lain di rumah itu.. Rumah Islam siapakah itu?


"Akak, dah berapa bulan kita tinggal serumah. Tapi saya tak rasa terbina pun duduk dalam rumah ni. Sorry to say.." 


Saya yang tidak jauh dari ruang solat, sayup-sayup kedengaran perbualan mereka. Maaf.


"Sebenarnya akak pun rasa macam tu juga. Ingatkan akak seorang sahaja yang rasa. Tak sangka pula awak pun rasa benda sama.." Luahannya seiring keluhan kecil.


"Minta maaf tau akak, kalau sebelum ni saya selalu saja tak balik rumah. Bukan apa, kadangkala saya tak terdaya menahan segelintir sikap ahli rumah kita.. terlalu nafsi-nafsi."


Saya semakin memasang telinga. Benarlah, sebelum ini kedengaran juga desas-desus rumah ini goyah hubungan antara ahlinya. Masakan tidak, saya yang duduk sebentar turut merasai tempias yang mereka alami.


Pernah juga suatu ketika, saya terdengar seorang ahli rumahnya berbicara sebegini.. "Kak X, akak ambil saya punya kopi eh? Dah sikit dah.."


"Eh, mana ada akak ambil!"


"Habis siapa?" Insan itu merungut dan memuncungkan mulut sedepa. Ahli rumah yang lain menyambut  pertanyaannya dengan tawa.


Mungkin orang yang berada disekeliling merasakan itu suatu yang kelakar. Boleh lagi untuk digelakkan. Namun, tidak bagi saya. Perkara sebegini merupakan aib bagi seorang kader dakwah yang masih lagi tidak mampu untuk berkorban dan berkongsi barang dengan ahli rumahnya. 


Atau bagi anda itu perkara biasa saja? 


Saya menggeleng. Tidak puas hati dengan sikap insan yang sebegitu. Mahu saja saya smash berdepan menegur tindakannya. Walhal siapa saya untuk beraksi sebegitu? Bukanlah ahli tetap rumah itupun. Bahkan seorang junior yang masih lagi hingusan menongkah arus kehidupan berumah tangga. Heh. 


Maaf saya agak beremosi seketika. Kerana, saya menginginkan akhawat-akhawat saya yang tercinta ini akan dapatlah membina baitul muslim yang terbaik. Betul.. kerana di dalam rumah Islamlah sebenarnya membina jiwa-jiwa yang lebih kuat menghadapi dunia luar. Tidaklah bermaksud apa-apa. (Kenyit mata)


Namun saya bersangka baik. Insan sebegini mungkin masih lagi baru dalam tarbiyah. Konsep ukhwah yang dipegang mungkin masih lagi belum mencapai tahap Ansar dan Muhajirin barangkali.


"Nanti, awak duduk Rumah Islam baru (baca : RI), selamatlah membina rumah itu seperti yang awak inginkan." 


"InsyaAllah akak. Tak sabar jugalah sebenarnya nak pindah rumah ni. Terukkan perasaan macam ni...?"


"Akak faham perasaan awak. Hmm.. nanti kalau akak pindah pun, akak tak tahu memori apa yang akan nak kenang dengan rumah kita ni." Suaranya semakin mengendur.


Ya Allah.. sedih sangat. Sehinggakan tidak tahu memori apa yang mahu dikenang dalam rumah itu? Ini sudah parah anda tahu?


"Dulu, akak ingat lagi salah satu matlamat akak untuk duduk dalam RI bagi memperkasakan lagi akak punya qiamullail. Tapi awak pun tahu sendirikan, ahli rumah kita ini bila sudah amalan ruhi pun nafsi-nafsi, tidak hairanlah perkara lain bersikap nafsi-nafsi juga."


"Itulah, kenapa kita tak macam keluarga ya? Kalau dekat rumah tu, mana ada mak kita lekatkan sticky note 'Aiskrim, pizza, ayam peha mak punya' dekat peti ais." Pecah tawa mereka berdua. 


Saya kembali membuka al Quran. Hati ini pedih dan pilu aja mendengar bicara seperti itu. Itu saya. Apatah lagi mereka yang mengalaminya. Saya hanya mampu mendoakan Allah membuka hati ahli rumahnya seluasnya menerima MANUSIA seadanya.


Saya kira tidak semua yang faham erti RUMAH ISLAM yang sebenar. Mungkin selepas ini, kita boleh adakan daurah inter RI? Eheh.


Berbeza pula dengan beberapa RI yang boleh dijadikan contoh. Hebat ahlinya. Sehingga musim-musim panas yang awal subuhnya ini, mereka masih lagi mampu menjaga qiamullail setiap ahlinya. Hebat bukan? Bukan calang-calang waktu. Jam 3.30 pagi mereka mengejutkan kesemua ahlinya. Tidak ada yang terkecuali.


Malah bukan itu saja, hampir setiap hari ada saja ahlinya yang akan membeli 'ole-ole' untuk ahli baitnya. Tiada istilah 'kau-kau, aku-aku'. Segala benda juga mereka saling berkongsi. Winter coat? Hirom? Kipas? Coklat? Almari? Beg? Buku? Laptop? Huh. 


Dari sebesar perkara kepada sekecil-kecil perkara. Barulah Rumah Islam..


Rumah Islam siapakah itu? Adalah...

Apapun, bergantunglah bagaimana keterbukaan ahli rumah sendiri. Mungkin setengah orang boleh menerimanya. Saya hormat cara mereka. Namun, hati saya kurang menggemarinya. Kerana saya mahukan Rumah Islam itu adalah sebahagian dari taman-taman syurga.


Sekali lagi saya memohon maaf terpaksa mencuri dengar perbualan ahli bait tersebut mengenai musykilah yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Semoga ianya menjadi pengajaran bagi kader-kader dakwah yang ada di luar sana. 


Hati-hati saat lebat berbicara dakwah dan tarbiyah, tapi hubungan sesama ahli rumah masih lagi goyah. Nauzubillah.


Kita ingin memasuki syurgaNya secara gerombolan.. tidak mahu ada yang ketinggalan mahupun keciciran. Namun, sekiranya nafsi-nafsi kuat menguasai diri, anda sebenarnya belum menjadi akhawat yang bertarbiyah untuk memperjuangkan dakwah ilallah.


Khas ditujukan kepada orang yang terasa. Memang ingin memberi cili padi pun. Pedas tak?


"Dan orang bertakwa kepada Tuhannya dihantar ke dalam syurga secara berombongan."
(Az Zumar : 73)



May 28, 2013

.Jubah abang hilang..





Jubah-jubah yang baru beli dilipat. Mulut terkunci bicara.


"Itulah akak. Ada kehilangan satu beg plastik. Dalam tu jubah lelaki yang ada hoody." 


Air mata masih boleh ditahan lagi.


"Sekarang ni okay, kejap lagi nangislah tu." Dia masih berbicara di corong telefon.


Nampaknya kali ini air mata tidak mampu ditampung lagi. Sahabat, terimalah sikap aku yang sebegini. Mudah saja air mata ini mengalir. Adakalanya malas mahu melayan kerenah diri. Namun apakan daya. 


Mengenang Ummi yang sanggup menggadai sedikit barangan berharga agar memperoleh lebihan wang sebagai modal untuk kami memenuhi tempahan baju jubah-jubah dari Jordan. Kini, lain pula yang terjadi. Terlalu banyak memegang beg plastik sehingga beg plastik yang penting itu keciciran.


Duit... tahu tak duit!


Setelah diberikan kata penguat supaya sabar dengan dugaan Allah, sedikit sebanyak hati mulai reda.


'Abang, jubah abang hilang..'


Terbayang-bayang tiga orang adik saya memakainya. Pasti segak. Sudah lama saya mencari. Jauh dari Amman, saya membeli. Tambahan ketika itu tinggal tiga sahaja. Cukup buat mereka bertiga. Walhal itu cuma anganan, kerana hakikatnya jubah abang hilang..


Aduhai membazir lagi duit Ummi dengan Ayah..


"Sedih sangat. Rasa bersalah juga pada Ummi dengan Ayah. Bayangkan, duit melayang macam tu aja.." Kesedihan yang terkumpul diluahkan pada si dia.


"Kau tak boleh macam ni. Duit tu, rezeki tu, Allah yang beri. Dalam masa yang sama Allah juga berhak menarik kembali."


Tertampar dengan bait bicaranya. Masakan saya boleh lupa kepada Allah yang Maha Pemberi Rezeki? Kepunyaannya di dunia ini segalanya. Sedikit pun kita tidak berhak merasakan itu hak kita. Allah..


"Asal kau senyap? Kau sedih lagi ke?"


"Hurmm..."


"Kau halalkan saja. Mana tahu ada orang miskin yang lebih memerlukan, dia terjumpa jubah tu. Bila dia pakai, kau pun dapat pahala.." Dia cuba menceriakan suasana.


Ya Allah, minda saya sedikit terbuka.Hati sedikit terbina.


Antara duit dan pahala, yang mana membawa ke syurga? Pastinya pahala. Terima kasih ya Allah kerana Engkau menghantarkan aku seorang insan yang mengingatkan kembali hati ini kepadaMu.


Hebat sungguh ukhti ini. Luar biasanya dia, mampu memberi solusi terbaik untuk saya terus redha dengan ujian yang Engkau berikan.


Dalam situasi sebegini dia masih lagi mampu berfikiran positif. Subhanallah.. 


Adakalanya kita terlalu cintakan dunia sehingga kita kalah dengan emosi. Sedang yang berhak menguasai emosi kita adalah diri sendiri. Tidak mengapalah.. hati mulai redha. 


Sedikit menggeletek hati memikirkan rangkap bicaranya yang satu itu, "Nasib baik jubah abang kau yang hilang. Bukan kau yang hilang.."


Tarik nafas. Senyum. 



May 22, 2013

.Dunia mana anda hidup?





Sebelum-sebelum ini, perasan saja post-post mengenai Palestin, Syria, dan banyak lagi negara Islam yang lain. Tapi pandang sebelah mata aja. Sebab kebanyakan post panjaaaang sangat. 


Walhal, semangat overdose bila pakai button badge, lilit muflar, ke hulur ke hilir bawa tabung palestin. Tapi, tak rasa pun ke hati. Ramai yang begini kan?



Huh, lebih lagi negara saya dengan mereka, alahai sebelah-sebelah saja. Memang tak tahu mahu kata apa sekiranya masih lagi  pandang sebelah mata aja.


Sampai satu tahap di atas kesemangatan 'fizikal' yang terserlah, seseorang telah offer saya untuk menjadi aktivis palestin bagi misi ke Gaza.


Ya Allah, waktu itulah baru terkial-kial nak faham dengan sebenar-benarnya. Namun, setiap satu perkara yang Allah tetapkan ada tapisannya.


Dan saya TAK TERPILIH!


Bicara seorang ustaz, "Nak pilih aktivis ke Gaza pun muaddal (pointer) kene mumtaz!"


Tercampak sedikit di situ.


Sambil menyelam minum air. Tingkatkan muaddal, belajar kerana Allah. Sambil tu mencedok juga bahan-bahan berkaitan Palestin.


Sudah sampai masanya untuk kita matang!


Jika dunia sudah cakna! Anda belum.. 'Dunia mana anda hidup?'







May 19, 2013

.Membina Cinta.



Dengan nama Allah yang memegang hati ini..


Di kesempitan fatrah imtihan ini, sempat juga saya mahu menyelit mengenai 'CINTA'. Huh, berdebar tetiba.


"Buat apa tu?" Kak F menegur di laman skype.


"Tengah listkan nama orang.."


"Nama siapa.. takungan mad'u ya? MashaAllah enti." 


"Tak adalah. Beberapa nama yang dikenal pasti dan dapat di scan bahawa ana belum mencintai mereka-mereka ini kerana Allah." Pen diputar sambil melirikkan senyuman pada Kak F.


"Nama akak tersenarai ke?" Ujanya. 


"Secret!"


"Pandai sekarang ya. Secret bukan main." Mendengar bicaranya, terubat jiwa yang kusut dengan keserabutan studi yang menyebabkan jiwa-jiwa jadi berkelana berhari-hari rasanya. Oh hiperbola di situ.


"Akak, pernah tak akak jumpa seseorang yang sekali akak lihat dia, akak rasa macam dah jatuh cinta dengan perilaku dia. Setiap butir perkataan yang terluah dari dia akak jadi terngiang-ngiang dan cepat saja lekat dekat hati. Dan bukan akak seorang yang senang dengan dia. Ramai lagi yang sentiasa aja nak berdamping dengan dia.." 


Dia tersenyum. "Aih, lain macam aja bunyinya. Mestilah pernah..."


Terbayangkan beberapa orang yang saya kenali, sungguh bila di samping mereka, mengingatkan kembali  diri ini kepada Allah. Melihat wajah mereka, bicara mereka, tingkah mereka, ada satu cahaya keimanan yang terpancar-pancar.


Saya tegelak melihat Kak F yang malu-malu mahu menjawab soalan yang saya utarakan. Pastinya dia memikirkan lain dari apa yang saya ingin sampaikan.


"Akak rasa kenapa agaknya ya kita rasa cinta pada orang seperti ini?"


"Tak tahulah.."


"Sebabnya, mungkin kerana Allah mencintai insan sebegini. Hatta orang lain pun Allah titipkan rasa cinta juga pada orang itu. Sebab itu kita pun ada rasa cinta pada dia. Indahkan caturan Allah buat hambanya?  Jadi, hubungan dengan Allah kita perlu jaga... supaya manusia lain mudahlah mencintai kita."


"Ya Allah, betullah. Terima kasih enti. Sweet sangat malam-malam ni. hehe. Agaknya apalah perasaan orang lain terhadap kita."


Saya mengangguk setuju. Saya juga merasai kekurangan memiliki cinta orang lain terhadap diri. Mungkin kerana hubungan saya dengan Allah belum cukup capai tahap orang yang benar, benar, benar mencintai Allah.


Teringat pesanan murobbi tecinta semasa sesi lutut bertemu lutut yang lepas. Sambil menerangkan sedikit sebanyak tanda seseorang itu dicintai Allah..


"Kita ini, mudah saja untuk jatuh cinta. Berkali-kali pula tu. Tapi, kita terlupa bila sudah jatuh, perlunya bangkit dan membina cinta itu."


Menarik bukan? 


Membina cinta? Menuju apa? Menuju redha Allah..


Hati mula sebak memikirkan kita sering melaungkan dan memperkenalkan diri sebagai seorang daie. Di mana benih di campakkan, insyaAllah di situlah bakal terbitnya sebuah pulau.


Namun kita terlupa. Kita sering berbicara tentang Allah. Walhal kita lupa untuk berbicara dengan Allah.


Saya tujukan perkara ini khas untuk diri sendiri. 


"Itulah sebabnya ana senaraikan nama yang mungkin ana belum cinta kerana Allah. Sebab dalam syurga nanti semua orang saling berkasih sayang kerana Allah. Jadi, tak mahulah ada yang tercicir." Ujar saya. 


"Kalau macam tu nanti akak nak buat jugalah..."


Zaman Rasulullah dulu, semua sahabat merasakan merekalah yang paling dicintai Rasulullah. Subhanallah.. Hebat bukan Rasulullah mempamerkan cintanya? Sehinggakan jatuhnya cinta mereka kepada Rasulullah membinakan lagi cinta mereka kepada Allah.


Searching Allah's loveeee~

Janganlah hanya tahu JATUH CINTA!
Tetapi cubalah untuk MEMBINA CINTA!


Yallah..


May 16, 2013

.Maafkan ana ustazah..





Tangan menongkat dagu. Ini tahap mengantuk yang melampau. Masalahnya, setiap kali mata pelajaran itulah lenanya bukan main.


"Enti tidur pukul berapa semalam.." Ustazah menyentuh bahu. Bicaranya lembut.


Jantung bagai direnggut. Terkejut.


'Bila masa ustazah sudah ada depan mata?' Seperti mahu menjerit kerana malu. Namun, setiap kali itulah saya hanya tersengih seperti kerang busuk. 


Biarpun begitu, guru inilah yang banyak membantu saya dalam mengutip tarbiyah di sekolah. Kesabarannya yang tinggi serta pengorbanannya yang tidak berbelah bagi, sememangnya tidak mampu untuk saya membalasnya. Saya tidak nafikan peranan guru lain dalam mendidik saya, sehingga menjadikan SAYA yang hari ini. Cuma, kali ini izinkan saya untuk berlari tinta mengenai beliau.


Itulah satu-satunya guru add maths yang saya kasihi, sejak tingkatan 4. Ustazah Kartini Buyong.


Kerana saya yang sering mengantuk di dalam kelas beliau, saya jadi serba salah bertemu dengannya. Apatah lagi markah add maths jatuh menjunam yang sangat dahsyat semasa di tingkatan 5. Sedangkan, peperiksaan SPM saat itu sudah semakin hampir.


Setiap kali peroleh keputusan. Pastinya mata bergenang menahan air mata dari tumpah. Berkali jugalah saya peroleh keputusan gagal, gagal, dan gagal.


Ketika itu, wajah ustazah tidak mampu lagi untuk ditatap. Di tambah dengan sakit yang ustazah alami, meniggikan lagi ego saya untuk bertanya mana yang tidak saya fahami.


Bayangkanlah, seorang guru tangannya berbalut usai pembedahan. Ustazah tidak mengambil cuti lama demi kami anak didiknya, sanggup juga hadir ke kelas melaksanakan tugasnya. Seandainya kita bertanya, nanti penuh semangat ustazah akan menunjukkan cara penyelasaian sehingga sampai satu tahap tangan ustazah menggigil menahan sakit barangkali. Sungguh, saya tidak sanggup!


Pernah suatu hari, sebelum saya menghadiri perjumpaan kepimpinan, terserempak dengan ustazah sebelum menuju ke bilik gerakan sekolah.


"Enti.. markah enti jatuh teruk sangat ni. Kalau enti tak faham mana-mana soalan jangan malu nak jumpa ustazah naa.." Lembut saja bicaranya. Tiada sedikit pun nada marah pada tuturnya.


Saya tersenyum hambar. Fail MPP dipegang kemas. "Minta maaf ustazah. InsyaAllah ana akan usaha lebih lagi."


Ustazah mengangguk, tersenyum manis. "Enti sibuk sangat ni.. nanti ada apa-apa nak bincang dengan ustazah  beritahu saja..."


Hati bergetar menahan tangis. "InsyaAllah ustazah.." Saya berlalu pergi. Perit. 


'Tak ustazah, ana tak sibuk mana pun sebenarnya. Ana yang tak belajar bersungguh-sungguh.' 


Sebagai pimpinan atas sekolah saya tidak suka perkara ini terjadi. Namun, saya akur sememangnya saya lemah memegang dua perkara dalam satu masa. 


Tiba hari guru, saya tidak berkesempatan untuk membelikan beliau hadiah sebagai tanda penghargaan. Dan malam itu, bersungguh saya menyiapkan sepucuk surat khas untuknya. Belum sempat pen menitipkan dakwat, air mata sudah dulu menuruni wajah. Sedih mengenangkan saya seorang pelajar yang kerdil dan degil untuk menuntut ilmu dengan guru sepenuh hati.


Keesokannya, saya menghulurkan surat yang saya karang khas dari hati buat seorang murobbi yang teramat saya cintai. 


"Ustazah.. Ini surat dari ana. Maafkan ana, ustazah." Bibir menuturkan. Moga ustazah menerimanya. Sungguh, kata-kata dalam surat itu benar-benar dari hati anak muridnya ini.


Usai tamat peperiksaan percubaan, ustazah datang ke meja saya. "Nah, surat ni untuk enti ya.." Gembira bukan kepalang saya menerimanya. Saat membacanya, air mata tidak henti menuruni.


'Ustazah, ana  masih simpan lagi surat tu. Terima kasih dengan motivasi dan kata semangat yang ustazah titipkan. Mungkin juga berkat doa seorang guru, akhirnya keputusan SPM ana peroleh gred B dalam subjek ustazah. Cuma ana mohon maaf sebab tak jumpa ustazah masa hari terakhir sekolah untuk ucapkan terima kasih yang teramat kepada ustazah.'


Setelah tamat SPM, saya tidak berkesempatan bertemu dengannya. Mungkin Allah belum mengizinkan. Sehinggalah setelah hampir 5 bulan saya pulang dari Scotland, Allah takdirkan kami bersua di satu program.


Dari jauh saya melihatnya. Tubuhnya semakin kurus. Wajahnya semakin tampak tua. Hati semakin hiba. Sungguh saya merinduinya.


"Enti, lamanya tak jumpa enti. Enti sihat?" Ustazah bertanya lembut. Saya mengangguk.


'Sepatutnya ana yang bertanyakan pada ustazah..' 


Sepanjang hari saya berdamping dengan beliau. Walau tidak bicara banyak, cukuplah untuk saya gambarkan saya tetap di sampingnya memberinya kekuatan sedikit sebanyak. Gembira ustazah memperkenalkan saya sebagai anak didiknya sehingga saya jadi malu sendiri. 


"Enti, malam ni enti tidurlah dengan ustazah naa.. Boleh enti teman Ustazah." Saya mengangguk mengiyakan. 


Keesokan paginya, Ustazah mengejut saya bangun menunaikan qiam. Biarlah kali ini, sepuasnya saya menghargai ustazah. Saya tidak tahu ada lagikah masa untuk saya berbakti pada seorang guru tua yang banyak berjasa mendidik anak murid seperti saya.


'Ustazah, ana tidak tahu bila lagi kita bakal bersua. Terima kasih kerana memberikan didikan dakwah dan tarbiyah yang cukup besar pada ana. Semoga Allah mengganjari setiap yang ustazah curahkan kepada kami. Ana mohon maaf atas salah silap ana sepanjang ana bergelar anak didik ustazah.'


 Maafkan ana ustazah..



May 14, 2013

.Mana kalian pergi?


aku tidak mahu menjadi seorang yang zalim..



"Nanti kalau awak balik malaysia, walaupun sekejap awak nak buat apa?"


"Oh, InsyaAllah bantu sekolah.."


"Kenapa mesti bantu sekolah? Tapi awak perlu tahu medan kita yang sebenar adalah di sini.."


"Saya tahu akak. Tapi kerana tarbiyah yang saya dapat di sekolah membantu untuk saya jadi SAYA yang hari ini. Dan saya tak mahu tarbiyah itu lesap dan hilang macam tu sahaja tanpa generasi bawah rasa apa yang kami rasa dahulu."


Kakak itu terdiam. 


'Sekolah kami lain dengan sekolah biasa. Lainnnn!' Sekadar terluah di sanubari. 


Lain kerana apa? kerana dakwah dan tarbiyah yang telah dipupuk dan disemai sedari kami menjejaki sekolah itu.


Dan kini, bantuan kami masih diperlukan. Kerana betapa susah dan payah sekolah itu dijaga oleh tangan-tangan guru serta insan yang berbakti kerana Allah dan demi Islam.


Terimbau satu peristiwa, ketika itu program kepimpinan sekolah. Saya pernah mempersoalkan kepada seorang senior sehingga membuatkan luluh air matanya. 


"Abang kakak mahu kami jadi seperti itu dan ini! Tapi kalian jarang turun sekolah untuk membantu kami.. Mana kalian pergi?"


Dengan lancang saya berbicara menahan getaran hati yang membara. Wajah tetap menunduk. Tangan dikepal sambil mata terpejam. 


Pada awalnya alumni itu mahu smash kami adik-adiknya. Walhal saya bersiap sedia dahulu untuk 'mengesani' tepat ke hati mereka.


Hati saya ketika itu sakit. Sakit dengan permintaan mereka, namun sedikit daripada mereka yang membantu.


Bila sudah meninggalkan sekolah, banyak pula ujian yang mendatang. Saya akur, semakin sukar untuk  kami menginjak ke tapak samaian dakwah dan tarbiyah itu. Apatah lagi dalam keadaan diri yang jauh beribu batu.


Tertampar dengan persoalan diri sendiri. Allah.. Maafkan saya.


Mungkin juga persoalan yang sama akan mereka utarakan. "Mana kalian pergi?" 


Sahabat di luar sana, baliklah... Jenguklah walau seketika. Walau kalian bukan siapa di sekolah dahulu, diri kalian amat diperlukan bagi mengisi jiwa adik-adik kita dengan nilai dakwah dan tarbiyah itu. Percayalah..


Ya, mungkin kita sibuk dengan dunia kita. Namun ingatlah dunia kita dan dunia mereka di bawah satu langit yang sama. Masih lagi saling memerlukan.


Jasad cuma satu. Harus bagaimana dibahagikan agar hak setiap satu itu tertunai?


Namun, kita meyakini rangkaian tali dakwah ada pendakwahnya. Juga rantaian tali tarbiyah ada murobbinya.


Jika kita ingin menolak semua itu, siapa lagi yang bakal menegakkan Islam jika bukan melalui tangan-tangan kita? Mereka akan pergi. Kita juga akan pergi. Seandainya kita pengganti mereka. Kita juga harus ada pengganti.


Mood rindu sekolah termasuk isi-isi dalamnya. Sungguh diteratak itu, aku ditarbiyah dan belajar erti dakwah. Dan kefahaman itu, aku rasainya sekarang ^^



May 12, 2013

.Ummi...


Percintaan ayah ummi yang osem. eheh


Ummi pernah bercerita perihal saya dan along sewaktu kecil. Mulanya sukar mahu percaya. Namun lama kelamaan terima jua hakikat sebenar kami sebagai seorang anak.


"Along, angah ada nak apa-apa ke?" Tanya Ummi lembut. Berbekal barang dapur ditangan, kami hanya membuntuti dari belakang.


Kami menggeleng namun mata berkali-kali memandang keropok Twisties di penjuru kedai runcit.


"Kalau nak ambillah.."


"Boleh ya ummi?"


Ummi tersenyum menceritakan keadaan kami dahulu. Sering aja mahu sesuatu, tapi tidak berani meluahkan. 


Bila sudah besar sebegini lain pula ceritanya.


"Angah, kalau tidak cukup duit beritahu ya. Mana hutang yang belum langsai cakap aja pada ummi. Nanti ayah dengan ummi masukkan duit. Jangan diam aja. Ini yang ummi risaukan kalau anak ummi tak beritahu ummi.."


Uhuk-uhuk ummi..


Maaf andai angah sering membuatkan hati ummi gundah. Anak ummi baik-baik aja di sini. Tiadalah yang lebih membahagiakan hati seorang anak melainkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.


Sebelum flight ke Jordan teringat kata-kata ummi dalam dakapannya erat, "Anak ummi seorang lagi nak pergi tinggalkan Ummi.." 


Saya hanya diam. Ketika itu tudung saya basah dengan basahan air mata ummi.


Oh ummi.. semoga Allah iringi ummi tiap langkah.



(Scotland)

Tiga bulan Ummi yatie melayan kerenah. Memasak sedap-sedap. Belikan baju sejuk. Belanja coklat untuk angah.. ah rindu semua tu.


Bila lagi angah dapat datang sana ya ummi yatie?


Semoga Allah iringi ummi yatie tiap masa.


Sungguh air mata yang mengalir sewaktu ingin pulang ke Malaysia, perasaan ketika itu tersangat rindukan ummi yatie T.T



"Did you miss me?" soal farhan semasa saya baru pulang daurah di Manchester. Melompat-lompat keriangan dia ketika itu. Huhu rindu sangat tu.


"Why? You miss me, farhan?" Dia mengangguk. Gelak besar saya. Haish, baru keluar tiga hari. Sekarang ni dah setahun lebih saya tak jumpa farhan. Main dengan farhan. Tidurkan farhan. 


Miss that moment.


Inilah perasaan seorang 'ummi' selama tiga bulan. eheh.


Selamat Hari Ibu.. Ummi ^^



May 09, 2013

MANIFESTASI #2




Al Quran ditangan dilekapkan ke dahi. Mulutnya tidak lepas mengulang hafazan juzu' 5 yang sebahagiannya terdiri daripada surah An-Nisaa'. Kerusi malas terus menghayun seiring alunan hafazannya.


Iphone bergetar tanda mesej masuk. Alunan hafazan diberhentikan serta merta. Mesej itu dibaca dalam hati.


'Salam akhi, maaf mengganggu. Esok ada meeting pengawas ke?'


A'isy Rafie sedikit pelik. Siapa pemilik nombor ini? Sungguh dia sama sekali tidak mengenali. A'isy mula bersangka, boleh jadi juga timbalannya. Namun, timbalannya itu seorang yang menjaga. Sepanjang setahun bekerja bersama, tiada pula mereka berdua berbalas mesej.


'Wasalam alayk. Ya, esok ada meeting seperti biasa. Maaf siapa ni ya?'


'Tak perlulah akhi nak tahu.. tak penting pun. Rasa-rasanya siapa.?hehe ^.~'


"Eh, macamlah aku nak tahu sangat. Siap dengan icon kenyit mata lagi. Orang bersekolah tarbiyah pun macam inikah? Ah gedik!" Malas dia mahu melayan. Pantas Iphonenya diletakkan kembali atas meja.


Jiwanya yang baru setahun jagung diberi celupan tarbiyah, pastinya perkara seperti ini membakar jiwa pemudanya untuk berdakwah melaksankan amar ma'ruf nahi munkar. Mahu saja dia bertazkirah panjang kepada orang yang tidak faham seperti orang asing yang dari planet mana ini memberinya mesej berteka-teki sebegitu.


Dia beristighfar panjang. Cuba mengembalikan aura ketenangan hatinya yang masih belum reda dari api kemarahan.


Iphone A'isy kembali bergetar. 'Sowiyyy akhi. Ana Mahera. Tak mainlah pengawas-pengawas nih. Saja nak ganggu. huhu. Janganlah marah..' 



Benar tekaan hatinya. Seorang perempuan. Siapa Mahera ini pun dia tidak kenali. Hampir saja dia bersangka buruk pada timbalannya.


A'isy menghela nafas keras. Hatinya membatu. Keadaan begini menyebabkan dia kurang gemar untuk tangani secara lembut. Bukan ini yang pertama, malah sudah beberapa kali dia diganggu sepanjang dia memegang jawatan Ketua Umum di sekolah. 


Mana mereka peroleh nombornya, dia juga kurang pasti. Mahu saja dia menukar nombor, namun mudharatnya lebih banyak dari manfaat sekiranya dia menukar nombor. Tangannya meraup wajah. Iphonenya dimatikan. Sungguh dia tidak berdaya melawan arus godaan syaitan. Lagi pula, cukuplah hari ini dia sibuk dengan dunia. Berikanlah dia sedikit masa membaca ayat-ayat Allah.


Allah.. moga aku dijauhkan dari sebarang fitnah dunia akhir zaman.


Murajaahnya sedikit terganggu dengan perkara sebegini. Jam pada pergelangan dilihat. Berbaki setengah jam sahaja lagi sebelum masuk waktu isya' untuk dia menghabiskan ulangan hafazan sehingga juz 6.


A'isy kembali seperti posisi tadi. Menghayun buaian seiring bacaan yang tidak putus dari lidahnya. Tiada sebuah ekspresi manifestasi cintanya kepada Allah melainkan bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah, Tuhan yang memberinya segala macam nikmat kehidupan.


to be continue..
MANIFESTASI #1



.Mana enti yang dulu?





Pagi itu cerah secerah mentari yang mula menyinar. Seperti biasa, hari cuti minggu kami pergi beriadhah berdua di Madinah Hassan. Pulang dari riadhah..


Kaki mengatur langkah seiring dendangan nasyid tenang melalui corong earphone


"Kadang-kadang ana terfikir.. mana enti yang dulu." Tangannya lembut menyentuh bahu.


Saya mencabut earphone. Terbejat seketika dengan sentuhannya secara tiba-tiba. 


"Enti cakap dengan ana ke?"


"Haah.. ana rasa enti yang sekarang tak sama dengan enti yang dulu. Mana enti yang dulu? Ana rindu enti yang dulu.." Suaranya mengendur. Tampak wajahnya sedikit mendung dari biasa.


Saya mencapai phone lalu mematikan seketika nasyid 'Allahu Ghayatuna' dendangan saff one. Hati sedikit sebersalah. Tidak semena jiwa dirundung sebak.


Saya terdiam. Dia juga.


"Enti nak ana yang bagaimana?" Perlahan saya menuturkan. Saya sedar dalam saya memenuhi tarbawi diri. Masih ada hati-hati saya belum penuhi hak mereka. Saya terleka membiarkan.


Ya, mungkin mereka merindukan. Namun, saya yang sekarang bukan lagi saya yang dahulu. 


"Enti lebih banyak mendiamkan diri sekarang. Kalau dulu, untuk menyusun atur program. InsyaAllah enti antara yang tersenarai. Untuk bercakap di hadapan, enti mampu mengendalikan dengan berani. Sahabat-sahabat perjuangan, enti bagi daya tolakan menyebabkan mereka yang lain turut bersama bergerak. Tapi sekarang ana tak nampak semua tu sekarang. Mana enti yang dulu?"


Pedih. 


Air mata sudah mula bertakung ditubir mata. Berat menahan luahan seorang sahabat.


"Sorry enti..." Tiada kata lain yang terluah. Air mata sudah berderai turun tanpa dipinta. Senyuman paksaan terukir.


Ya Allah.. tengah-tengah jalan ini juga kami mahu berdrama.


"Enti nak tahu?" Saya memulakan persoalan dalam sedu yang masih bersisa.


"Ana kagum dengan enti yang sekarang.."


"Kenapa?" Dia menoleh.


Tudung bahagian belakang mengelap air mata yang masih belum menunjukkan tanda mahu berhenti. Inilah kalau sudah menangis...


"Sebab, ana nampak seorang ukhti yang hebat dengan dakwah dan tarbiyah yang cuba diterapkan dalam kehidupan. Lain sangat dengan enti yang dulu." 


"Tak ada maknanya.." Dia tergelak kecil.


"Iya betul." Saya cuba meyakinkan.


"Kalau ana macam tu. Enti apatah lagi?"


"Lah.. tadi tertanya mana ana yang dulu? Nak ubah topik ke?"


Kami tertawa bersama. 


"Untuk memaksa ana menjadi seperti dahulu, ana tak mampu. Cukuplah kalau dahulu ana..."


"Enti dah putus asa?" Dia mencelah.


"Tak. Ana bukan putus asa tapi ana ingin melaksanakan seseuatu itu hanya mengharapkan keredhaan Allah. Dan sebenarnya enti salah. Enti terlalu pandang ana tinggi sehingga mengharapkan sesuatu yang ana tak mampu untuk capai kembali. Masa yang lepas biarkan lepas. Kita perlu memandang ke hadapan."


Dia mengangguk.


"Enti pandang ana suatu sudut. Tapi enti terlepas pandang satu sudut. Ana bukanlah orang yang scorer dalam pelajaran. Ana bukanlah seorang pendebat antarabangsa. Dan ana bukanlah apa-apa. Ana cuma insan biasa yang cuba untuk menjadi yang luar biasa pada pandangan Allah.."


"Inilah enti yang dulu.." Dia memeluk erat. 


Bibir meleretkan senyuman bahagia. "Sorry ya enti.. selama diri ana yang macam ni? Tarik ana andai tersasar. Ana juga manusia."


Saya menoktahkan bicara. Allah.. 


Dia menggeleng. "Uhibbukifillah.." Perlahan dia menuturkan. Hati menjadi lapang. Selapang hamparan langit yang terbentang luas. Langit pun masih kukuh menurut perintah Allah. Apatah lagi kita yang ditugaskan sebagai khalifah.


Kita sering merindukan diri kita yang dulu. Akan tetapi, sampai bila mahu rindu-rinduan yang tidakkan mampu untuk kita kembali kala dulu?


Namun, sekiranya kita berasa lemah, carilah punca mengapa IMAN kita menggunung tinggi suatu ketika dulu. Bagi kita mencapai kembali IMAN kita yang dulu.


"Kawan-kawannya mengajaknya ke jalan yang lurus dengan mengatakan, "Ikutilah kami." Katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang sebenarnya. Dan kita diperintahkan agar berserah diri kepada Tuhan seluruh alam." 

Al-An'am : 71