Pages

June 24, 2013

.Cukuplah Allah Bagiku.




Tidak semua perkara kita mampu berlagak mampu. 
Sampai satu waktu kita lelah dengan impian yang ingin dituju.


Benarlah,
Jika kau lakukan kerana manusia,
Hati kau akan mudah jatuh menjunam.


Walhal,
Jika kau lakukan kerana Allah,
Hati kau lebih tenang menghadapinya.


Ah kalian lihat apa pada kehebatan seseorang insan?
Semua itu pasti terkubur!
Hancur lebur!


Sejauh mana seorang insan mampu mengukur?


Melainkan..
Jika masih ada hati yang hidup, Allah sebagai Tuhan.


Adakah?


Sahabat,
Banyak perkara aku tidak mampu lakukan.
Namun aku lawan dan paksa agar kelihatan mampu.


Sehingga dihujung usaha,
Aku diam terduduk kaku kerana aku harus redha bahawa,


KEMAMPUAN ITU BELUM HADIR UNTUKKU.


There is reality in your eyes
Maaf.


CUKUPLAH ALLAH BAGIKU







June 09, 2013

.Timeline kehidupan.




Waktu kecil dahulu, saya sering bertanya kepada ayah.


"Ayah, cita-cita ayah waktu dulu hendak jadi apa?" 


"Ayah tidak kisah jadi apa-apa pun. Yang penting belajar di luar negeri.." Suara garau ayah memecah suasana seiring senyuman sambil mengusap kepala anaknya yang bertanya ini. 


"Anak-anak ayah pun ayah berdoa supaya dapat belajar di luar negeri.."


"Ayah, memang semua anak ayah belajar luar negeri pun. Along dekat Johor. Angah dekat Selangor. Abang di Kelantan. Adik-adik di Perak.. hehe." Saya menyebut setiap orang daripada kami. Ketika itu keluarga kami di merata-rata semenanjung. Sengaja bergurau dengan ayah hari itu.


"Luar negara maksud ayah.." Saya menahan gelak.


Justeru itu, tangan laju mencapai sehelai kertas. Anak mata pen girang berlari tinta menghasilkan sebuah timeline kehidupan!


Siap. 


Kertas itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Di ambil gam, dilekatkan pada soft board bilik di asrama. Biar setiap hari lihat dan termotivasi ke arah timeline kehidupan yang dicipta penuh wawasan.


Waktu menginjak remaja menuju dewasa, saya kembali bertanya kepada ayah. 


"Ayah, apa cita-cita ayah ya?" 


"Cita-cita ayah.."


"Cita-cita ayah?" Saya mengulang kembali soalan. Tidak sabar menunggu jawapan.


"Hendak memasuki syurga Allah tanpa hisab.." Suara Ayah mengendur perlahan. Seperti biasa seiring senyuman sambil mengusap kepala anaknya yang bertanya ini.


Saya tersengih mengenang jawapan cita-cita ayah semasa kecil. Masakan boleh berbeza dahulu dengan sekarang? Bijak ayah membina minda kami. Senyum.


Hendak memasuki syurga Allah tanpa hisab. Ianya bukan suatu yang mudah. Lebih sukar dan teramat sukar. Namun kita meyakini bahawasanya Syurga Allah itu memang sudah dijanjikan buat hambaNya yang beriman..


Angah doakan cita-cita ayah tecapai.


Sebenarnya tunggu bicara ayah yang seterusnya, "Anak-anak ayah pun ayah berdoa supaya dapat masuk syurga Allah tanpa hisab." 


Senyum.


Setiap antara kita pasti mempunyai timeline kehidupan masing-masing. Mahu capai itu. Mahu capai ini. Namun, sejauh mana timeline ciptaan kita mampu mengembalikan kita kepada Allah?


"Dia Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan."

Al Hajj (22 : 76)







June 06, 2013

.Intaian Al Quds.


Saya di sini seperti ini.


Mata masih tertancap menerima mesej itu. "Mungkin tahun ini kita hanya akan menghadirkan roh kita. Sama-sama solat hajat pagi esok ya."


Hati retak seribu. Perasaan apakah ini?


Membuak? Sedih? Geram? 


Fikiran masih ligat memikirkan hari esok. Tarikh 7 Jun 2013 akan diadakan Global March to Jerusalem. Solidariti bagi seluruh dunia. Namun kami di sini, hanya mampu intai dari jauh.


Anda tahukan kami di sini terlalu hampir dengan tanah Al Quds itu? Meskipun begitu, kami tiada daya merempuh benteng yang dicipta zionis laknatullah.


Terimbau kembali tiga hari lepas. Saya serta beberapa sahabat mengeksploitasi laman facebook dengan semangat membara mengajak ummat manusia menyertai solidariti yang bakal diadakan pada hari esok. Hampir setiap orang kami singgah wall mereka serta menconteng dengan penuh bahagia.


Sehinggakan ada seorang ukhti ini menconteng kembali wall saya dan berkata, "5 orang conteng wall akak, baru akak tukar dp (default picture)"


Secara tidak langsung sahabat saya yang masih membara semangat mereka, terus singgah wall Ukhti AzA dan memberi kata semangat dan meniup bahang hammasah seorang pemuda.


Akhirnya malam itu, berakhir dengan drama Ukhti AzA menyahut seruan untuk turut serta bersama-sama kami.


Sungguh perasaan ketika itu membuatkan hati basah dengan ruh ukhwah. Terharu. Sedikit sebanyak taaruf, tafahum dan takaful antara kami sedikit terbina. Sayang kamu ukhti..


Ini baru meminta sahabat menyahut seruan menukar dp pamer solidariti. Belum lagi menawarkan tawaran berjihad. Pastinya ketika itu hati akan bergetar hebat apatah lagi jika Rasulullah s.a.w sendiri yang menawarkan.


Mungkin begitulah perasaan para sahabat kaum muhajirin dan ansar. Keyakinan mereka teguh merasai syahid itu manis..


Bagaimana mereka merasakan sebegitu? Dan sampai bila kita hanya perlu mengintai Al Quds dari jauh? Isbiruu.


"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga diri."

Alt Taubah : 122


Al Quds,
Tunggu KAMI datang!
KAMI sedang persiapkan kekuatan..


Saudaraku di seberang sana,
Maafkan kami. 

:'(