Pages

Friday, March 23

.Kenali diri.

Bismillah..



Seperti biasa bagi pelajar lepasan SPM, yang sudah menerima keputusan. Pastinya semua sibuk melayari mana-mana web yang menawarkan scholarship. Sibuk memenuhi borang UPU. Ada juga yang mencari ruang selagi ada celahan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara. Saya juga tidak terkecuali.

Kita ini, memang mudah berkata-kata. Memberi nasihat orang yang berada di hadapan kita. Namun bagi menurunkan ego untuk mengenali diri sendiri amat sukar sekali. Saya sendiri cuba mengenali diri saya. Saya sering rasa ada yang kurang pada diri. Tetapi lain pula pendapat bagi insan yang di hadapan saya.

Susahkan nak pisahkan diri dengan diri kita sendiri? Ada saja suara-suara yang bisa memanipulasikan emosi dan keadaan.

Setelah pergi ke satu laman web ini. Dapatlah sedikit info bidang apa yang sesuai dengan saya. Cukup banyak. Cuma satu yang tidak boleh diambil. Bidang farmasi. Sah-sah berdasarkan result yang diperolehi. Pastinya subjek yang ke arah sains sekadar mencuba tetapi saya mungkin kurang minat.

Dah tu kenapa ambil sains tulen??? Senyum.

Apa pun hidup perlu diteruskan. Ramai lagi yang jauh lebih kuat Allah menguji mereka. Kamu di sana kuat ya! Mungkin cinta Allah pada kamu lebih sedikit cinta Allah dari saya mana tahu? Mungkin juga pada pandangan Allah kamu lebih mulia dari saya. Tahniah kamu..

Inilah hasil keputusan ujian tersebut. Sama-sama kita bantu diri kita.

Saya tergolong dalam golongan 'SEA'



SOSIAL : Bekomunikasi, mesra, orientasi manusia

Anda merupakan seorang individu yang suka berkomunikasi dengan orang lain daripada bekerja dengan objek, mesin ataupun data. Anda menghargai kepada aktiviti yang melibatkan perhubungan komunikasi sesama manusia, perkhidmatan menolong dan kebajikan masyarakat. Anda seorang yang mudah mesra dan mempunyai jiwa yang penyayang, lemah lembut, baik hati dan sensitif dengan keperluan seseorang. Anda suka bekerja dalam situasi yang mempromosi pembelajaran, pembangunan kendiri dan berorientasikan manusia. Kebiasaannya, anda mempunyai kemahiran komunikasi dan sosial yang tinggi untuk membantu orang yang memerlukan. Anda kurang berminat untuk melakukan kerja yang melibatkan struktur kerja yang rutin atau yang melibatkan pemikiran saintifik dan penggunaan mesin.

ENTERPRISING (KEUSAHAWANAN) : Dayasaing, keyakinan diri, pengaruhi orang lain

Anda merupakan seorang individu yang mempunyai tahap dayasaing dan cita-cita yang tinggi. Anda suka melakukan sesuatu tugas atau kerja yang mendatangkan keuntungan dari segi diri sendiri atau ekonomi. Anda lebih suka bekerja dengan idea daripada bekerja dengan benda. Kebiasaannya, anda mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi serta keupayaan komunikasi yang baik untuk mempengaruhi orang lain. Anda sering memberi keutamaan kepada prestij, keuntungan, status diri atau kecemerlangan organisasi. Anda suka untuk memulakan sesuatu projek yang kebiasaannya mempunyai kaitan dengan bidang perniagaan. Anda seorang yang berorientasikan hasil dan suka untuk memimpin orang lain. Anda tidak mudah berputus asa dan akan mencuba sesuatu kerja itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

ARTISTIK : Kreatif, berdikari, tidak suka dikongkong

Anda merupakan seorang individu yang kreatif dan berminat dalam bidang seni dan budaya. Anda seorang yang sukaberdikari dan sangat menghargai kepada ekspresi kendiri serta banyak bergantung kepada kekuatan emosi dan imaginasi. Anda sering berhubung dengan orang lain secara tidak langsung menerusi pelbagai cara dan medium. Kebiasaannya, anda tidak suka dikongkong dalam melakukan sesuatu kerja. Anda suka kepada kerja-kerja yang melibatkan kemahiran atau bakat diri dalam menghasilkan sesuatu produk, idea atau persembahan. Anda melihat diri sendiri sebagai mempunyai keupayaan dari segi muzik atau artistik. Kebiasaannya, anda inginkan kebebasan dalam bekerja untuk menghasilkan sesuatu idea, bentuk atau produk baru. Anda selalunya seorang yang mudah tersentuh dari segi emosi dan sangat menghargai keindahan dan nilai-nilai estetika.

No comments:

Post a Comment