Pages

Tuesday, March 6

.Sepatu kaki.

Bismillah..

versus

Kisah seorang remaja perempuan di tengah bandar Glasgow...

Usai makan tengahari, dia diajak oleh bapa sedaranya untuk membeli sebahagian kecil barang sebelum pulang ke Malaysia nanti. Tanpa banyak alasan, dia sekadar mengangguk tanda bersetuju.

Baju biasa dikenakan dan jaket hitam disarung pada tubuhnya. Tepat jam 1 petang mereka keluar dari perkarangan rumah ke tempat menunggu bas. Sambil itu, dia hanya mendengar 'motivasi' bapa sedaranya yang merupakan pensyarah di situ.

Senyum, dan terus senyum...sehingga bas nombor 44 pun tiba.

" One eighty please.." Duit syiling dimasukkan. Tiket di ambil. 

" Thank you.." Sambil mata meliar mencari ruangan duduk yang kosong. Penuh. Sejurus itu, dia mengambil tempat di bahagian tingkat atas bas. Ruangan sebelah kiri tingkap menjadi pilihannya.

Tempat yang ingin dituju ialah City Centre. Tempat di mana penduduk Glasgow ini, melempiaskan nafsu membeli-belah baik yang tua mahupun muda. Yang lelaki mahupun wanita. Pelbagai barangan ada. Memang menepati citarasa orang ramai. Dia juga salah seorangnya.

Sampai sahaja di City Centre, dia dan bapa saudaranya menelusuri kedai-kedai di situ. Terpampang nama kedai yang gah di mata dunia. Barangan yang berjenama. Cukup terkenal.

Sport Direct. Menjadi perhatiannya.

Sebenarnya sudah lama, dia ingin mengatakan pada bapa saudaranya yang kasut yang sedang dipakai kini, telah bocor. Entah mengapa, dia takut sekiranya menyusahkan mereka untuk bawanya membeli kasut. Jadi dia memilih untuk berdiam diri.

Sampailah satu masa, bapa saudaranya sedar akan kasutnya yang sudah haus dan bocor itu. Mana tidaknya, asyik jalan memanjang.

Sebelum masuk ke dalam kedai dia berdoa agar kasut yang ingin dibeli adalah yang terbaik. Semoga Allah membantunya dalam membuat pilihan.

Alhamdulillah, terjumpa sepasang kasut yang amat menarik perhatiannya. Dicuba pada kaki. Muat. Harga dilihat. 

'Tiada lagi murah ke?' detik hatinya. Sejujurnya dia amat segan untuk memilik barangan yang agak mahal. Mungkin setengah orang akan berkata "okay". Tetapi tidak bagi dia. Bukan bermakna dia seorang yang amat berkira. Tetapi....

malu.

Ya itulah jawapannya. 

Dengan lafaz bismillah, dia terus mencapai dan keputusannya tetap untuk membeli kasut itu.

Pulang daripada membeli belah, senyumannya tidak lekang dari bibir. Tak sangka dapat beli kasut baru. Mahal itu tidaklah. Kurang daripada £20. Biasanya Umminya yang pilihkan. Anak Ummilah katakan...

Malam itu, seperti biasa lagaknya. Mobilenya dicapai. Laman sesawang 'facebook' ditaip. setelah di log in.
Terpapar satu video di 'you tube' yang di link kan oleh teman facebooknya.

Video itu di 'click'..

Dengan menggunakan ear phone, dia hanya mendengar tanpa melihat pada skrin mobilenya. Sepanjang mendengar bicara seorang Ustaz Harun Din yang cukup terkenal itu mengisahkan mengenai mimpinya berjumpa Rasulullah. Tanpa sedar air matanya berguguran mendengarkan kisah itu.

Salah satu yang dikisahkan. Ustaz tersebut terasa amat dekat wajahnya dengan Rasulullah. Ketika itu di dalam sebuah khemah yang amat besar. Di luar khemah itu, terdapat kasut Rasulullah. Beliau menyarungkan kakinya ke kasut Rasulullah. MasyaAllah. Lusuh sungguh kasut Rasulullah itu katanya. 

Sambungnya lagi, tetapi kasut itulah yang mengalasi tapak kaki Rasulullah yang lembut itu. Kata beliau pada kasut itu di dalam hati. " Sungguh kamu telah berbakti kepada Rasulmu. Tetapi apa yang telah aku buat kepada Rasulku?? Beliau menangis sehinggakan bangunnya dari tidur, masih terasa hangatnya bersama Rasulullah...

Remaja perempuan itu mengesat air matanya. Dia mengalihkan pada kasut yang baru di belinya itu. 
Sungguh, kerana itu dia malu. Rasulullah adalah pemimpin tertinggi. Tetapi Baginda juga biasa saja pemakaiannya. 

" Ya Allah.. izinkan aku untuk memakai kasut itu tanpa sedikit riak dihati ini.. ya Allah. " Doanya di dalam hati.

-tamat-

...Temukan aku bertemu dengan Rasulmu Ya Allah....



No comments:

Post a Comment