Bismillah..
Kedengaran laungan azan di masjid berdekatan. Ramadhan, kembali buat kesekian kalinya. Saat yang ditunggu berkunjung tiba. Walau berbeza masa dan situasi daripada tahun-tahun sebelumnya.
Senyuman yang terukir, kembali mengendur. Menjelma dibenak, apakah kesudahannya nanti Ramadhan kali ini? Mampukah diri bertahan, hanya kerana mentaati Allah? Segalanya diusahakan bagi mencapai TAQWA yang dijanjikan Allah itu. Allah..
***
Sungguh menghairankan. Khabarnya, dia itu sudah tertambat. Diikat sepanjang Ramadhan ini. Bukan dengar- dengar, malah Rasulullah sendiri yang memberitahu mengenainya.Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat."
Apabila RAmadhan mengikat syaitan daripada bebas berkeliaran, ia hanyalah proses mengurangkan potensi syaitan menghasut manusia berbuat jahat.
Seperti sebutan Nabi s.a.w pada sepotong hadis al-Bukhari dan Muslim, "Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri seluruh anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar."
Salah siapa?
Maka, selepas pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat, sudah cukup lapangkah jalan kebaikan dan sudah cukup susahkan jalan kejahatan?
Segala kemudahan sudah diberi untuk manusia berubah kepada kebaikan, sedangkan dirinya masih tetap melakukan kejahatan, siapa lagi yang dapat dipersalahkan melainkan dirinya sendiri?
Kejahatan Ramadhan adalah kejahatan tulen pilihan manusia. Hampir tiada campur tangan syaitan pada kederhakaan dirinya. Dia yang memilih untuk jahat lagi keparat.
Sebagaimana puasa menjadi ibadah eksklusif antara hamba dan Allah Tuhannya, maka kejahatan pada bulan Ramadhan juga akan dibalas secara eksklusif oleh Dia.
Soalnya, dimanakah syaitan ditambat? Soalnya, di manakah kita bakal menghabiskan masa pada bulan Ramadhan ini? Apakah di tempat jin dan syaitan bertandang? Atau di tempat turunnya Rahmat Allah pada zikir dan munajat?
Hati-hati semasa melangkah. Ingatlah lorong dan liku JALAN TAQWA!
No comments:
Post a Comment