Waktu kecil dahulu, saya sering bertanya kepada ayah.
"Ayah, cita-cita ayah waktu dulu hendak jadi apa?"
"Ayah tidak kisah jadi apa-apa pun. Yang penting belajar di luar negeri.." Suara garau ayah memecah suasana seiring senyuman sambil mengusap kepala anaknya yang bertanya ini.
"Anak-anak ayah pun ayah berdoa supaya dapat belajar di luar negeri.."
"Ayah, memang semua anak ayah belajar luar negeri pun. Along dekat Johor. Angah dekat Selangor. Abang di Kelantan. Adik-adik di Perak.. hehe." Saya menyebut setiap orang daripada kami. Ketika itu keluarga kami di merata-rata semenanjung. Sengaja bergurau dengan ayah hari itu.
"Luar negara maksud ayah.." Saya menahan gelak.
Justeru itu, tangan laju mencapai sehelai kertas. Anak mata pen girang berlari tinta menghasilkan sebuah timeline kehidupan!
Siap.
Kertas itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Di ambil gam, dilekatkan pada soft board bilik di asrama. Biar setiap hari lihat dan termotivasi ke arah timeline kehidupan yang dicipta penuh wawasan.
Waktu menginjak remaja menuju dewasa, saya kembali bertanya kepada ayah.
"Ayah, apa cita-cita ayah ya?"
"Cita-cita ayah.."
"Cita-cita ayah?" Saya mengulang kembali soalan. Tidak sabar menunggu jawapan.
"Hendak memasuki syurga Allah tanpa hisab.." Suara Ayah mengendur perlahan. Seperti biasa seiring senyuman sambil mengusap kepala anaknya yang bertanya ini.
Saya tersengih mengenang jawapan cita-cita ayah semasa kecil. Masakan boleh berbeza dahulu dengan sekarang? Bijak ayah membina minda kami. Senyum.
Hendak memasuki syurga Allah tanpa hisab. Ianya bukan suatu yang mudah. Lebih sukar dan teramat sukar. Namun kita meyakini bahawasanya Syurga Allah itu memang sudah dijanjikan buat hambaNya yang beriman..
Angah doakan cita-cita ayah tecapai.
Sebenarnya tunggu bicara ayah yang seterusnya, "Anak-anak ayah pun ayah berdoa supaya dapat masuk syurga Allah tanpa hisab."
Senyum.
Setiap antara kita pasti mempunyai timeline kehidupan masing-masing. Mahu capai itu. Mahu capai ini. Namun, sejauh mana timeline ciptaan kita mampu mengembalikan kita kepada Allah?
"Dia Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan."
Al Hajj (22 : 76)
No comments:
Post a Comment