170317,
Jumaat.
Bismillah.
Awal pagi tadi baik-baik saja. Selepas aku masak untuk ahli rumah secara tiba-tiba tidak sedap perut dan tidak boleh menerima makanan.
Faktornya mungkin akibat semalam, aku biarkan perut kelaparan.
Bukan apa, sejak kelmarin aku niat untuk ganti puasa. Hanya sempat sahur air mineral dua teguk pula. Sepanjang kerja tiada pula rasa terlalu lapar. Mungkin cuaca sejuk dan nyaman, tambahan sibuk kerja sehingga tidak terfikir untuk makan.
Sedar tak sedar, kerja seawal 6 pagi sehingga 10 malam. Waktu makan malam pula jam 6 petang, awal sejam dari waktu berbuka.
Masa berbuka, aku hanya sumbat air kotak dan roti sekeping yang diberi boss semasa rehat tengah hari.
Malam pula balik, terlalu penat dan aku tidak makan apa-apa sampailah pagi tadi.
Mana tidak berasid dan kekembungan. Tak pasal-pasal cuti tanpa sengaja pula hari ni.
Mujur tidak degil untuk pergi kerja. Kerap pula ulang alik ke tandas muntah-muntah. Sudahlah tandas di tempat kerja, biasa tiada air dalamnya. Hanya tisu. Habislah sekiranya keciciran semasa kerja. Allah Maha Tahu.
Semalam aku merasakan emosi sedikit kurang stabil. Mungkin terlalu lelah bekerja. Tambahan ada dua tempat boss bawa untuk kami menyelesaikan kerja sehingga lewat malam.
Aku terfikir, aku tersalah buat keputusankah? Mengapa aku ambil jalan ni? Jiwa aku sangat kosong di sini. Aku tidak memandang harta sebagai satu jalan kebahagiaan.
Andai kerja seperti robot begini setiap hari, mati akal dibuatnya.
Andai kehidupan hari-hari aku seperti binatang, waktu makan, makan. Waktu kerja, kerja. Esok cuti, cuti. Sampaikan aku tidak bisa merancang hariku dalam seminggu kerana oncall setiap hari.
Akhirnya air mata yang ditahan-tahan selama ni tertumpah jua. Merembes dan mengalir tanpa henti. Dari pagi smpi ke malam.
Jujur minatku bukan seperti ini. Aku bukan kuli. Aku nak berbakti. Di sini aku hanya makan gaji. Tapi hidup langsung tak bererti.
Petang waktu rehat, aku luahkan sepenuhnya pada ayah ummi. Aku tidak tahan. Hidup dikelilingi maksiat. Urusan ibadahku turut terabur.
Al-quran? Baru sekali aku membacanya di sini.
Bertambah geram dengan perangai orang korea. Situasi yang terjadi pada sahabat yang sekali datang denganku di syarikat lain dibuang sesuka hati. Dicampak ke tempat-tempat lain tanpa sebab.
Argh! Jiwaku meronta.
Ingin saja tangan yang mengetuk bekas seaweed itu diketuk kepala orang korea ni setiap seorang.
Ingin saja tangan yang mencarik bekas seaweed itu dicarik baju dan kolar mereka.
Marah teramat marah.
Namun ianya hanya terkumpul di sanubari. Yang terluah cuma air mata sebagai penenang jiwa.
Berkali ummi meminta maaf andai keputusan ummi bersungguh menyuruh aku ke sini.
Bukan salah ummi atau ayah. Salahku kerana tidak berani buat keputusan untuk diri sendiri. Tiada matlamat jelas dengan risiko yang diambil.
Sedih mengenangkan kerjaya sebagai guru yang aku lepaskan sebelum pergi ke sini. Pasti untuk kembali semula, sekolah tidak menerimaku.
Jauh sudut hati, semarah-marah hatiku. Siapa yang aku ingin marahkan sebenarnya? Aku ingin menyalahkan takdir Allah untukku inikah? Aku tidak redha apa yang aku lalui?
Pandangan dihadapkan ke langit. Aku memohon ampun Ya Allah atas segala salah silap dosaku. Terlalu rahsia caturan yang Engkau tetapkan untukku. Aku serahkan padaMu setiap urusan kehidupan jika baik untuk agamaMu dan redhaMu.
Nasihat pengurusku, Encik Hafiz juga aku ambil. Katanya supaya aku lebih bersabar. Walaupun kerja kalah oncall para doktor. InsyaAllah berhijrah ini ada kebaikannya. Untuk berhenti tengah jalan, tidak mudah untuk ke tempat lain.
Benarlah aku dah masuk satu dunia realiti di luar yang jauh dari jangkaanku.
Nah peluang dan ladang besar untuk aku beramal. Tidak sedarkah aku?
Skrg ummi rasa ummi tak salah minta angah pergi sbb angah dapat snugerah kehidupan dari Allah.
ReplyDelete