Pages

Sunday, March 19

.Dibawah Langit Korea #8.


170317,
Jumaat.


Bismillah.


Ditakdirkan Allah hari ni aku diberi sakit muntah-muntah dan cirit. 30 minit sebelum pergi kerja aku ke tandas ulang alik. Terus buat keputusan untuk ambil cuti. Mujur boss benarkan.


Awal pagi tadi baik-baik saja. Selepas aku masak untuk ahli rumah secara tiba-tiba tidak sedap perut dan tidak boleh menerima makanan.


Faktornya mungkin akibat semalam, aku biarkan perut kelaparan.


Bukan apa, sejak kelmarin aku niat untuk ganti puasa. Hanya sempat sahur air mineral dua teguk pula. Sepanjang kerja tiada pula rasa terlalu lapar. Mungkin cuaca sejuk dan nyaman, tambahan sibuk kerja sehingga tidak terfikir untuk makan.


Sedar tak sedar, kerja seawal 6 pagi sehingga 10 malam. Waktu makan malam pula jam 6 petang, awal sejam dari waktu berbuka.


Masa berbuka, aku hanya sumbat air kotak dan roti sekeping yang diberi boss semasa rehat tengah hari.


Malam pula balik, terlalu penat dan aku tidak makan apa-apa sampailah pagi tadi.


Mana tidak berasid dan kekembungan. Tak pasal-pasal cuti tanpa sengaja pula hari ni.


Mujur tidak degil untuk pergi kerja. Kerap pula ulang alik ke tandas muntah-muntah. Sudahlah tandas di tempat kerja, biasa tiada air dalamnya. Hanya tisu. Habislah sekiranya keciciran semasa kerja. Allah Maha Tahu.


Semalam aku merasakan emosi sedikit kurang stabil. Mungkin terlalu lelah bekerja. Tambahan ada dua tempat boss bawa untuk kami menyelesaikan kerja sehingga lewat malam.


Aku terfikir, aku tersalah buat keputusankah? Mengapa aku ambil jalan ni? Jiwa aku sangat kosong di sini. Aku tidak memandang harta sebagai satu jalan kebahagiaan.


Andai kerja seperti robot begini setiap hari, mati akal dibuatnya.


Andai kehidupan hari-hari aku seperti binatang, waktu makan, makan. Waktu kerja, kerja. Esok cuti, cuti. Sampaikan aku tidak bisa merancang hariku dalam seminggu kerana oncall setiap hari.


Akhirnya air mata yang ditahan-tahan selama ni tertumpah jua. Merembes dan mengalir tanpa henti. Dari pagi smpi ke malam.


Jujur minatku bukan seperti ini. Aku bukan kuli. Aku nak berbakti. Di sini aku hanya makan gaji. Tapi hidup langsung tak bererti.


Petang waktu rehat, aku luahkan sepenuhnya pada ayah ummi. Aku tidak tahan. Hidup dikelilingi maksiat. Urusan ibadahku turut terabur.


Al-quran? Baru sekali aku membacanya di sini.


Bertambah geram dengan perangai orang korea. Situasi yang terjadi pada sahabat yang sekali datang denganku di syarikat lain dibuang sesuka hati. Dicampak ke tempat-tempat lain tanpa sebab.


Argh! Jiwaku meronta.


Ingin saja tangan yang mengetuk bekas seaweed itu diketuk kepala orang korea ni setiap seorang.


Ingin saja tangan yang mencarik bekas seaweed itu dicarik baju dan kolar mereka.


Marah teramat marah.


Namun ianya hanya terkumpul di sanubari. Yang terluah cuma air mata sebagai penenang jiwa.


Berkali ummi meminta maaf andai keputusan ummi bersungguh menyuruh aku ke sini.


Bukan salah ummi atau ayah. Salahku kerana tidak berani buat keputusan untuk diri sendiri. Tiada matlamat jelas dengan risiko yang diambil.


Sedih mengenangkan kerjaya sebagai guru yang aku lepaskan sebelum pergi ke sini. Pasti untuk kembali semula, sekolah tidak menerimaku.


Jauh sudut hati, semarah-marah hatiku. Siapa yang aku ingin marahkan sebenarnya? Aku ingin menyalahkan takdir Allah untukku inikah? Aku tidak redha apa yang aku lalui?


Pandangan dihadapkan ke langit. Aku memohon ampun Ya Allah atas segala salah silap dosaku. Terlalu rahsia caturan yang Engkau tetapkan untukku. Aku serahkan padaMu setiap urusan kehidupan jika baik untuk agamaMu dan redhaMu.


Nasihat pengurusku, Encik Hafiz juga aku ambil. Katanya supaya aku lebih bersabar. Walaupun kerja kalah oncall para doktor. InsyaAllah berhijrah ini ada kebaikannya. Untuk berhenti tengah jalan, tidak mudah untuk ke tempat lain.


Benarlah aku dah masuk satu dunia realiti di luar yang jauh dari jangkaanku.


Nah peluang dan ladang besar untuk aku beramal. Tidak sedarkah aku?



.Dibawah Langit Korea #7.


150317,
Rabu.


Bismillah.


Selesai kerja hari ni jam 5 petang. Perjalanan balik ke rumah memakan masa dalam 3 jam setengah.


Langit pekat malam, baru kami sampai.


Berbeza situasi hari ni, aku sendiri tak pasti mengapa team-team pekerja semua 'naik hantu'.


Esok masih kerja. Tiada pula boss maklumkan cuti. Namun kebahagiaan mereka jelas terpancar. Awal-awal lagi Supervisor sudah hulurkan kaki khinzir goreng. Kami yang malaysia sekadar cakap, 'aniyo.. aniyo..'


Mereka juga maklum, kami tidak makan daging khinzir.


Tak lama selepas itu, beberapa orang thailand pasang pembesar suara lagu-lagu versi dangdut. Mereka berpesta dibelakang.


Datang pula ahjuma bawa botol arak. Dia dengan bahagianya tuang 'soju' di cawan setiap pekerja kecuali kami. Ramai juga yang menolak.


Sambil-sambil aku merakam detik 'bahagia' mereka di dalam bas.


Ini pertama kali aku melihat situasi 'gila' orang yang berpesta dengan arak dan tarian yang entah apa-apa.


Seorang ahjussi ini terus melayan ahjuma yang aku kira pangkat nenek bagi ku menari dan menyanyi.


Mereka minum dengan banyaknya.


Selang dalam 45 minit begitu, ahjuma dan ahjussi sudah mula mabuk. Perangainya tak tentu hala. Paling menakutkan dia memeluk dan memegang sesiapa saja di dalam bas.


Perilakunya, hilang kewarasan.


Sampai satu ketika, ahjussi minta berhenti untuk ke tandas. Berpusu-pusu mereka turun.


Usai semua kembali naik ke dalam bas, salah seorang ahli rumah ku beritahu, "Ahjuma tu dah tak betul sangat dah tu. Tadi kat tandas dia nak buang air tak tutup pintu. Ahjussi-ahjussi yang kat tepi semua pandang tempat lain. Itu pun mula-mula dia nak buang air kat singki basuh tangan. Teruk betul."


Ya Allah dahsyat sangat penangan 'soju'.


Inilah sebab mengapa Islam mengharamkannya. Amalan yang mampu menjatuhkan maruah bangsa, yang membunuh kehidupan manusia, yang mencanang tamadun dulu kala.


Paling menyakitkan, aku hanya mampu melihat dan membenci dengan seluruh jiwa ku.


Moga suatu masa nanti Allah mengurniakan hidayah dan mereka mengambilnya sebagai pedoman hidup.



.Dibawah Langit Korea #6.


130317,
Isnin.

Bismillah.


Sedar tak sedar, hari ni isnin, sudah 7 hari aku dibumi sonata.


Niatnya nak puasa, tapi belum kuat iman agaknya. Membayangkan hari ni cuti nanti mesti tercari-cari makanan. Lebih lagi bila tak buat kerja. Bila kerja, penat lapar juga.


Alasan bukan?


Harapanya hari khamis minggu ni aku berjaya untuk puasa. Ramadhan pun tingga lagi 2 bulan. Dah tak lama. Kalau tidak dibiasakan dari sekarang, berat.


Apatah lagi aku dibumi asing. Dengan waktunya yang berubah hari ke hari.


Rutin biasa, masak sarapan bubur ala-ala bubur lambuk untuk ahli rumah. Basuh baju, dan merehatkan badan sepuasnya!


Sebelah petang kami ramai-ramai berjalan kaki ke kedai runcit berdekatan. Tidaklah dekat mana. Boleh tahan jauhnya.


Maklumlah, tinggal dipedalaman. Suasana keliling ladang sayuran dan pokok-pokok togel yang tinggal ranting menghiasi.


Cantik. Itulah uniknya musim sejuk. Sedikit masa lagi tumbuhlah bunga-bunga indah.


Sampai dikedai runcit aku hanya membeli barang penting. Buah-buahan dan biskut. Sukar juga untuk buat pilihan. Sebab tidak pasti inti pembuatan makanan di sini.


Semuanya, won 12000. Bersamaan dengan RM 50. Mahal juga barang di sini.


Tidak seperti di Jordan. Kalau 12 JD banyak juga barang dapur boleh dapat. Sayur-sayuran dan buah-buahan murah.


Currency Malaysia dan Korea. Kira bila peroleh gaji di sini, bila dibawa ke Malaysia jadi tinggi. Untuk menetap disini, memang tak cukup.


Ikhlaskan hati. Sambil mencari rezeki, menghargai juga rezeki sekeliling yang Allah beri jika kita benar merasai.



.Dibawah Langit Korea #5.


120317,
Ahad.


Bismillah.


Awal pagi bersiap. Jam 4.30am seperti yang dijanjikan, oppa merangkap PA boss ambil kami di rumah. Perjalanan menuju ke tempat kerja mengambil masa 3jam setengah.


Sepanjang itu kami semua sambung lena. Suasana sejuk masih menyelubungi. Kehangatan pemanas di dalam bas sedikit sebanyak memberi ketenteraman.


Apakah yang bakal dilalui hari ni dibiarkan saja Allah menyusunnya.


Selesai kerja di kilang pertama, boss maklumkan akan ke kilang kedua tidak jauh dari situ.


Oh tidak.


Rasa nak menjerit. Urat badan sudah meronta kepenatan. Moga badan ini tetap terus bertahan sampai ke malam.


Jam dah menunjukkan pukul 1 petang. Usai makan tengahari yang disediakan, aku segera ke tandas. Siap sedia untuk mengambil wudhu untuk menunaikan solat.


Bila sarung tangan dibuka, Ya Allah aku lihat jari jemariku sudah luka luka sedikit tersiat. Kulit yang menggelembung kelmarin juga sudah pecah dek kuat sangat aku ketuk dan tarik bekas seaweed.


Pedihnya, Ya Allah.


Tambah dengan pelekat yang dipakai, semakin sakit bila terlekat dengan kulit gelembung bila ditarik.


'Tahan nabila! Tahan!'


Kata mereka, ahli rumah "Seminggu je Bella rasa sakit ni. Lepas tu biasa dah. Kami pun awal-awal dulu luka macam tu."


Sungguh aku tak pernah bekerja keras begini.


Alhamdulillah hari ini aku ambil cabaran kata-kata ayah.


Aku solat dibahagian yang bersih dan kawasan agak lapang. Dan ada seorang lelaki korea perasan pergerakanku. Tapi dia hanya lihat dari jauh dan tidak menghalang.


Sebagai seorang manusiakan fitrahnya beragama. Biarlah jika ada yang terlihat.


Mudah-mudahan syiar yang aku laksanakan memberi qudwah pada mereka. Jika tidak sekarang, mungkin suatu hari nanti. InsyaAllah.


Alhamdulillah aku lebih tenang.


Jam terus berdetik. Akhirnya langit yang cerah pun sudah bertukar gelap.


Tidak berhenti kami terus mengetuk, mencarik, dan mengait bekas seaweed.


Jemari yang luka memberi kesan gerak kerjaku semakin lambat.


Kaki semakin lenguh. Nak seret pun tak larat. Dari pagi berdiri. Duduk hanya ketika makan dan solat. Pergelangan tangan juga seperti membengkak.


Penat teramat sangat. Tanpa sedar air mata dah mula bergenang.


Memikirkan kontrak 3 bulan itu lama. Mampukah aku bertahan?


Tepat jam 9 malam kami selesai kerja. Subhanllah perasaan ketika itu, bahagia tidak terkata. Akhirnya.


Dah boleh balik!


Hilang terus penat dan terlupa dengan luka luka di jari. Bertambah gembira bila boss maklumkan esok cuti. Dapatlah merehatkan badan ni.


Dalam kedinginan cuaca sejuk malam, aku memeluk tubuh. 'Thank you dear, sebab bertahan. Tak pengsan tengah-tengah buat kerja.' Huhu.


Sampai rumah jam 12.30malam. Hai betapa indahnya hari ni kerja, esok cuti. Begini setiap hari pun seronok juga. Selang sehari cuti. Gaji jalan tak apa.


Alhamdulillah ala kulli ni'mah. Perit juga rupanya kerja oncall begini. Tapi perit lagi para doktor ya?

.Dibawah Langit Korea #4.


110317,
Sabtu.


Bismillah.


Hari ni cuti lagi. Nampak gaya seronokkan sehari kerja sehari cuti. Huh tapi awal-awal boss dah maklumkan esok kerja jam 4.30am. Sampai pukul berapa? Tak pasti.


Sempat lagi hari ni minta oppa bawa ke supermarket. Beli barang-barang dapur. Habis dah. Bila cuti ni, masak aja kerja. Semua ahli rumah pun makan macam pirana dah musim-musim sejuk.


Semalam kerja, mulanya boss maklumkan jam 6.30pm. Terfikir juga alamatnya sampai jam 2-3pagi baru habis.


Tiba-tiba encik hafiz pengurus kami, dapat mesej dari boss suruh siap sedia jam 12.30pm dia akan ambil.


Sudah!


Habis semalam pukul 9malam.


Masa kerja, semangat sangat tanpa sedar tangan dah teruk. Mungkin sebab sejuk tak rasa. Hujung jari sedikit gelembung. Faktor kuat sangat tekan bekas seaweed tu. Sedikit calar-balar bahagian tengah jari.


Ini baru dua hari. Aku belum biasa. InsyaAllah hari-hari lepas ni alah bisa, tegal biasa. Moga.


Buat pertama kalinya juga masa kerja, aku solat dalam tandas.


Sungguh tiada tempat. Tandas pula besar dan bersih. Di bahagian hujung bersebelahan mesin basuh, aku solat. Dalam hati terdetik juga. Berdosakah aku? Sangat berharap Allah terima solatku.


Betapa iman ini masih senipis kulit bawang. Aku belum kuat rupanya sebagai seorang muslim.


Kata ayah, 'Solatlah di ruang terbuka biar boss nampak. Kita perlu solat dan itu syiar kita.'


Bergenang air mata bila ayah mesej macam tu. Itupun berdasarkan pengalaman ayah di US.


Betapa aku selama ni sangat hidup dalam keadaan yang sangat selesa. Dikelilingi orang yang faham tarbiyah, dalam negara islam tapi aku jarang sekali bersyukur. Allah campakkan aku ke bumi sonata ini, barangkali lebih mendekatkan aku dengan Dia.


Aku berharap agar jati diri aku sebagai muslim satu hari nanti aku berbangga sebagai muslim yang sebenar.



.Dibawah Langit Korea #1.



010317,
Rabu.



Bismillah.


Keputusan drastik perlu dibuat. Sama ada untuk ke Korea ataupun ke Hira'.


Pagi tadi siap-siap aku berkemas barang yang nak ke Hira. Tempat yang pernah menjadi salah satu kenangan belajar di situ tiga bulan sahaja. Sebelum berpindah semula ke Hidayah. Orang setia beginilah. Kata senior, bila seseorang itu masuk Hidayah, selamanya Hidayah. Habis satu keturunan nanti. Sekarang dah sampai generasi anak-anak pula. Namun aku tidak menafikan kehebatan Hira. Ada uniknya tersendiri. Kelebihannya tersendiri.


Tinggal beberapa helai baju yang belum lagi dimasukkan, aku rehat sebentar. Sementara menunggu baju yang dibasuh dalam mesin selesai.


Whatsapp dibuka.


Ada makluman di group seoul korea. Kepada nama-nama berikut sila mesej secara peribadi pada admin. Dijangka bertolak 7hb Mac. Namaku dan mak cik tersenarai.


Allahuakbar. Terkejut bukan kepalang.


Cepatnya!


Terus whatsapp ibu. Panggilan untuk mak sedara ku belah ummi. Bertanya apakah keputusannya. Jika diikutkan, aku memasuki grup itu tanpa sengaja. Membaca maklumat pun hanya sekali-sekala. Yang lebih bersemangat adalah ibu. Ibu juga yang memasukkan nama ku untuk pergi kerja di Korea, walhal aku serah saja dengan Allah, mana yang datang dahulu, aku terima.


Dalam masa yang sama, aku resah. Keputusan hira sudah aku maklumkan akan ke sana. Lapor diri hari jumaat ni.


Bayangkan, aku tak punya banyak masa lagi. Ikutkan, esok gerak ke klang.


Usai solat zohor aku beristikharah. Aku tidak tahu mana yang terbaik buatku. Ikutkan hati memang hendak ke Hira. Aku nak kembalikan semangat diri yang dah lama terperuk menanam anggur di rumah.


Ummi turut mengambil tindakan. Segera menghubungi sekolah. Bertanya samaada, ada penggantikah selain aku di Hira. Ikutkan memang tempat itu sudah dikhaskan buat ku. Namun sekolah tetap memberi peluang, andai hati untuk ke hira datang saja hari jumaat nanti.


Jika diikutkan, kontrak kerja 3 bulan. Sama dengan Hira. Sekiranya untuk terus, terpulang. Dari segi gaji, sememangnya lebih lumayan di Korea. Tapi aku tidak memandangnya sebagai satu alasan utama. Antara dua, aku keliru. Mana yang terbaik?


"Angah tak suka nak buat keputusan Ummi, Ayah." Luahku.


Pejam celik detik minit berlalu, hubungi ibu. Apa keputusannya. Dia kuat untuk teruskan. InsyaAllah.


Akhirnya bila ditelefon pengurus kami, Encik Hafiz, dia pun mengatakan akan terus menempah malam ini tiket penerbangan ke korea 7hb nanti.


Aku terduduk.


Secepat ini aturan Allah? Namun setip satu keputusan semestinya kita punya pilihan. Namun sebuah ketetapan ada pada Dia yang Maha Menentukan.


Sukarnya membuat pilihan. Apatah lagi keputusan yang menongkah arah sebegini. Nasihat Ummi agar aku terus saja ke Korea. Ayah pula menyokong. Aku sebagai anak ikutkan saja. Mudah-mudahan ada guru pengganti yang lebih baik di Hira.


Maaf kerana menyusahkan kalian, warga Hira. Peritnya melepaskan.


Dan pilihanku ke Bumi Korea.


Kali ini sedikit berbeza. Bukan sebagai pelancong. Bukan sebagai pelajar. Tetapi sebagai hamba Allah yang mencari rezeki dibumi asing. Negara orang kafir yang teramat jauh dengan budaya Islam.


Bismillahi tawakkaltu alallah.


"Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padaNya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmuNya benar-benar meliputi segala sesuatu.
(At-Talaaq : 12)




Thursday, March 9

.Bisnes Online.




Bismillah.


Jom kita mulakan berbisnes online!
Bila diri pandai meng'edit' poster, tapi tak ada poster nak buat, maka terhasillah ini.


Tercari-cari nama apa yang sesuai untuk bisnes kami adik beradik.
Girls only. Che Mat dan Kippa tak termasuk.


Akhirnya ini yang terpilih.


Nysreen Collection.
Nysreen yang bermaksud 'White rose' atau Mawar Putih.
Nysreen asal perkataan bahasa arab.


Dalam perkataan nysreen terbentuk dari gabungan nama kami.
N - Nabila
Y - Alya yaya
Ree - Nurin yin
N - Nadia along


Kami menjual apa?
Haa macam-macam sebenarnya.


Tapi setakat ini aku menguruskan dari segi modal dan sebagainya.
Along Yin Yaya sebagai agen tak rasmi.


Setakat bulan lepas,
Alhamdulillah keuntungan hampir RM 1000.
Hmm tak nafikan orang sekarang boleh duduk rumah tapi duit masuk.


Makanya,
Jangan kita duduk saja,
Carilah rezeki,
InsyaAllah Dia akan beri pada hambaNya
yang tetap berusaha.


Mudah-mudahan diberkati Allah.


Di samping itu,
saya juga merupakan agen Mary Jardin.


Produk Muslim,
Organic skincare.


Nak tahu lebih lanjut berkenaan Mary Jardin 
boleh contact WA personal,
+60195220115 :)




p/s : Satu perkara dalam kita berniaga atau apa saja yang kita lakukan. Letaklah Allah yang paling utama. Jangan pernah takut dengan rezeki. Yakin saja dengan pemberiannya. Semestinya kehidupan sekarang menuntut kewangan yang tinggi, namun jangan sampai dilanggar hukum Allah. Biar sedikit, asal diberkati.


Sunday, January 8

.Rehat.



Bismillah.


Tanpa sedar rupanya sudah hampir 4 bulan aku telah pulang ke Malaysia. Seiring itu juga aku masih 'rehat' tidak kerja di mana-mana. Sengaja untuk dekat bersama keluarga. Sudah puas rasanya merantau 4 tahun di Jordan. Bersungguh hendak menjadi suri rumah. Sekalipun hanya suri rumah buat umi ayah sebelum melangkah ke fasa bekerjaya atau sambung belajar?


Berkali juga Mak Cik kawasan, guru-guru panggil untuk bekerja. Selajur itu aku hanya berbasa basi. Belum sedia jawabku. Ringkasnya aku masih mahu rehat. Sampaikan Along sendiri sudah bising melihat adiknya, suruh cari kerja. Tapi ummi membelaku. Along pun dahulu cukup 4 bulan baru mula cari kerja ungkitku sekali sekala.


"Tak apa, ummi tak pernah nak paksa anak ummi. Ummi lebih suka anak ummi ada dekat dengan ummi. Ummi tahu mesti kena cukup 4 bulan rehat ni. Mesti lepastu tahu nak buat apa." Bicara ummi.


Sekali-sekala ada juga timbul rasa penyesalan. Mengapa aku begini? Pemalas nak keluar. Jumpa masyarakat. Mana pergi istilah-istilah sebati di Jordan dahulu. Sungguh berteori selama ini. Tajmik? Muayashah. Usrah, Dakwah, Tarbiyah?


---


REHAT!


Cukup setakat ini. Jasadku sudah bosan tidak bergerak.


Bila ada peluang keluar bersama keluarga atau sendirian, aku mengambil peluang untuk berbual sembang-sembang dengan orang sekeliling. Perlahan-lahan aku tersenyum. Berputik semangat untuk bangkit dari 'rehat' 4 bulan aku selama ini.


Masyarakat perlukan aku.


Mujur sepanjang 4 bulan aku tidak terputus usrah. Adalah kerja sedikit bantu murabbi mana yang perlu untuk kawasan.


Benar betapa di Malaysia ini kita yang perlu tonjolkan diri.


Selamanya menyorok, selamanya duduk bawah tempurung, selamanya zon selesa, selagi itulah kita takkan mampu menghadapi cabaran-cabaran yang sebenar. Dan dengan cara bangkit dari 'rehat' yang panjang dalam keadaan yang benar-benar sedarlah akan memberikan keuntungan kepada kita jika diniatkan setiap amal kerana Allah.


---

Nah, jangan kata budak overseas 'qowiy' segala! Betapa ramai yang nak 'rehat' untuk beberapa tempoh. Nak menyesuaikan diri dengan keadaan di Malaysialah. Cuacanya, masyarakatnya, politiknya lagi. Banyak sangat perubahan. Nampak tak alasan berderetnya tu?


Namun aku tidak menunding kepada semua. Ramai yang MasyaAllah hebat, sejurus balik terus berbakti. Kerana pada diri mereka mungkin lebih adanya keimanan yang tinggi. Keimanan terhadap hari akhirat. Percaya waktu-waktunya berharga.Dia tidak berlengah dengan masa mudanya.


Allahu. Moga Allah ampuni segala khilafku.


Dan kini aku telah buat keputusan setelah 4 bulan 'rehat'. Apakah ianya yang terbaik? Aku tidak tahu. Harapan sebagai hamba kepada Dia, pastinya mengharapkan pertolongan Allah dalam setiap jalan yang aku pilih.


May Allah ease.


10.20 pm,
Bayan Lepas, Pulau Pinang