Pages

Thursday, May 16

.Maafkan ana ustazah..





Tangan menongkat dagu. Ini tahap mengantuk yang melampau. Masalahnya, setiap kali mata pelajaran itulah lenanya bukan main.


"Enti tidur pukul berapa semalam.." Ustazah menyentuh bahu. Bicaranya lembut.


Jantung bagai direnggut. Terkejut.


'Bila masa ustazah sudah ada depan mata?' Seperti mahu menjerit kerana malu. Namun, setiap kali itulah saya hanya tersengih seperti kerang busuk. 


Biarpun begitu, guru inilah yang banyak membantu saya dalam mengutip tarbiyah di sekolah. Kesabarannya yang tinggi serta pengorbanannya yang tidak berbelah bagi, sememangnya tidak mampu untuk saya membalasnya. Saya tidak nafikan peranan guru lain dalam mendidik saya, sehingga menjadikan SAYA yang hari ini. Cuma, kali ini izinkan saya untuk berlari tinta mengenai beliau.


Itulah satu-satunya guru add maths yang saya kasihi, sejak tingkatan 4. Ustazah Kartini Buyong.


Kerana saya yang sering mengantuk di dalam kelas beliau, saya jadi serba salah bertemu dengannya. Apatah lagi markah add maths jatuh menjunam yang sangat dahsyat semasa di tingkatan 5. Sedangkan, peperiksaan SPM saat itu sudah semakin hampir.


Setiap kali peroleh keputusan. Pastinya mata bergenang menahan air mata dari tumpah. Berkali jugalah saya peroleh keputusan gagal, gagal, dan gagal.


Ketika itu, wajah ustazah tidak mampu lagi untuk ditatap. Di tambah dengan sakit yang ustazah alami, meniggikan lagi ego saya untuk bertanya mana yang tidak saya fahami.


Bayangkanlah, seorang guru tangannya berbalut usai pembedahan. Ustazah tidak mengambil cuti lama demi kami anak didiknya, sanggup juga hadir ke kelas melaksanakan tugasnya. Seandainya kita bertanya, nanti penuh semangat ustazah akan menunjukkan cara penyelasaian sehingga sampai satu tahap tangan ustazah menggigil menahan sakit barangkali. Sungguh, saya tidak sanggup!


Pernah suatu hari, sebelum saya menghadiri perjumpaan kepimpinan, terserempak dengan ustazah sebelum menuju ke bilik gerakan sekolah.


"Enti.. markah enti jatuh teruk sangat ni. Kalau enti tak faham mana-mana soalan jangan malu nak jumpa ustazah naa.." Lembut saja bicaranya. Tiada sedikit pun nada marah pada tuturnya.


Saya tersenyum hambar. Fail MPP dipegang kemas. "Minta maaf ustazah. InsyaAllah ana akan usaha lebih lagi."


Ustazah mengangguk, tersenyum manis. "Enti sibuk sangat ni.. nanti ada apa-apa nak bincang dengan ustazah  beritahu saja..."


Hati bergetar menahan tangis. "InsyaAllah ustazah.." Saya berlalu pergi. Perit. 


'Tak ustazah, ana tak sibuk mana pun sebenarnya. Ana yang tak belajar bersungguh-sungguh.' 


Sebagai pimpinan atas sekolah saya tidak suka perkara ini terjadi. Namun, saya akur sememangnya saya lemah memegang dua perkara dalam satu masa. 


Tiba hari guru, saya tidak berkesempatan untuk membelikan beliau hadiah sebagai tanda penghargaan. Dan malam itu, bersungguh saya menyiapkan sepucuk surat khas untuknya. Belum sempat pen menitipkan dakwat, air mata sudah dulu menuruni wajah. Sedih mengenangkan saya seorang pelajar yang kerdil dan degil untuk menuntut ilmu dengan guru sepenuh hati.


Keesokannya, saya menghulurkan surat yang saya karang khas dari hati buat seorang murobbi yang teramat saya cintai. 


"Ustazah.. Ini surat dari ana. Maafkan ana, ustazah." Bibir menuturkan. Moga ustazah menerimanya. Sungguh, kata-kata dalam surat itu benar-benar dari hati anak muridnya ini.


Usai tamat peperiksaan percubaan, ustazah datang ke meja saya. "Nah, surat ni untuk enti ya.." Gembira bukan kepalang saya menerimanya. Saat membacanya, air mata tidak henti menuruni.


'Ustazah, ana  masih simpan lagi surat tu. Terima kasih dengan motivasi dan kata semangat yang ustazah titipkan. Mungkin juga berkat doa seorang guru, akhirnya keputusan SPM ana peroleh gred B dalam subjek ustazah. Cuma ana mohon maaf sebab tak jumpa ustazah masa hari terakhir sekolah untuk ucapkan terima kasih yang teramat kepada ustazah.'


Setelah tamat SPM, saya tidak berkesempatan bertemu dengannya. Mungkin Allah belum mengizinkan. Sehinggalah setelah hampir 5 bulan saya pulang dari Scotland, Allah takdirkan kami bersua di satu program.


Dari jauh saya melihatnya. Tubuhnya semakin kurus. Wajahnya semakin tampak tua. Hati semakin hiba. Sungguh saya merinduinya.


"Enti, lamanya tak jumpa enti. Enti sihat?" Ustazah bertanya lembut. Saya mengangguk.


'Sepatutnya ana yang bertanyakan pada ustazah..' 


Sepanjang hari saya berdamping dengan beliau. Walau tidak bicara banyak, cukuplah untuk saya gambarkan saya tetap di sampingnya memberinya kekuatan sedikit sebanyak. Gembira ustazah memperkenalkan saya sebagai anak didiknya sehingga saya jadi malu sendiri. 


"Enti, malam ni enti tidurlah dengan ustazah naa.. Boleh enti teman Ustazah." Saya mengangguk mengiyakan. 


Keesokan paginya, Ustazah mengejut saya bangun menunaikan qiam. Biarlah kali ini, sepuasnya saya menghargai ustazah. Saya tidak tahu ada lagikah masa untuk saya berbakti pada seorang guru tua yang banyak berjasa mendidik anak murid seperti saya.


'Ustazah, ana tidak tahu bila lagi kita bakal bersua. Terima kasih kerana memberikan didikan dakwah dan tarbiyah yang cukup besar pada ana. Semoga Allah mengganjari setiap yang ustazah curahkan kepada kami. Ana mohon maaf atas salah silap ana sepanjang ana bergelar anak didik ustazah.'


 Maafkan ana ustazah..



No comments:

Post a Comment