Pages

Thursday, June 28

MANIFESTASI #1





"Mana pula selipar ni. Allah.. mesti Umair ni main baling-baling selipar." 


Matanya dihalakan ke kiri ke kanan. Mencari satu-satunya selipar kepunyaannya. Selipar itulah, yang banyak berjasa kepada dirinya. Walau hanya selipar tandas, namun kakinya mampu dialasi daripada terkena kesakitan dijalanan.


Di belakang rumah, terlihat warna yang berbeza dari tanah. Berhampiran tali paip yang terletak ditepi pokok getah.


"Hah! ini pun dia." Mujur saja warna seliparnya terang. Jika tidak, pasti usahanya tidak mebuahkan hasil.


Tangannya mencapai kedua-dua belah seliparnya. Disapu sedikit, debu yang mengotori. Selajur itu, dia menyarungkan ke kaki.


Buruknya selipar aku. Ada duit lebih, nanti aku beli yang elok sedikit.


Teringat pesan Kiai Fathi Alim merangkap murobbinya kepadanya suatu masa dahulu.


"Kita ini, umat Islam seharusnya punya ciri-ciri yang indah. Seindah namanya. Baik dari keperibadian, pertuturan mahupun penampilan. Biarlah, diri kita ini dipandang indah setiap masa. Agar mudah untuk mereka yang memandang, ingin mendalami Islam. Firman Allah, "Kita ini Ummat yang terbaik". Maka, selayaknya kita menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik."


InsyaAllah Kiai, saya akan menjadi yang terbaik.


"Mak, Abang pergi dulu ya! Assalamu'alaikum." Suaranya dilaungkan. Kedengaran sahutan salam dari emaknya dari arah dapur.


Umair, yang sedang makan terus berlari mendapatkan Uwais Solehin. "Abang pergi dulu ya sayang.." Lagak seorang bapa kepada anaknya. Umair sekadar mengangguk. 


Sambil tangannya memegang bahu adik lelaki kecilnya. Dahi Umair dikucup buat kesekian kalinya. Seperti biasa, Umair memeluk kedua belah kaki Uwais Solehin. Mungkin, itulah cara si kecil menzahirkan sayangnya dan manifestasi cinta kepada abangnya.


Usai meleraikan pelukan Umair, pantas dia memacu kakinya. Dia tidak mahu sehingga kelewatan ke tempat pengajiannya. Apatah lagi, dia tidak punya kenderaan. Malah, rumahnya juga agak jauh di pedalaman.


Sejurus itu, pandangannya berkalih sebentar ke halaman rumah. 


Mak, Abang berjanji akan membawa keluar keluarga kita dari kepompong kemiskinan ini. Abang janji..


Tekadnya.


Walau umurnya masih remaja, fikirannya sudah matang. Tubuhnya juga, tidak seperti rakan yang lain. Lebih sasa dan tegap. Mungkin atas faktor kerasnya tubuh dia membanting tulang empat kerat menyara keluarganya yang miskin. Semakin kuat Allah mengujinya sejak peninggalan Abahnya 2 tahun lalu. Ketika itu, Umair baru saja mencecah beberapa bulan. Abahnya telah menyahut panggilan Allah ke alam barzakh.


Begitulah, aturan Allah buat anak yatim sepertinya. Dia redha.


Denai jalanan, disusuri. Bertemankan kicauan burung di sana-sini. Berhamparkan tanah berbatu. Berpayungkan langit yang cerah tidak bertiang. Subhanallah. Tidak putus-putus dia memuji kebesaran penciptaan alam ciptaan Allah yang Maha Berkuasa ini.


Sungguh, dirinya dan alam sudah sebati menongkah arus kehidupan. Apa saja yang bakal berlaku, tidak pernah dihiraukan. Kerana dia amat meyakini Allah itu, sentiasa bersamanya. Tawakkalnya kepada Allah dibulatkan, mengharapkan kemudahan perjalanannya bagi menuntut ilmu.


Dalam pada itu, cadangan Kiai Fathi masih lagi berlegar dalam ruang mindanya. Apa keputusannya?


Ah. Keliru.


to be continue..



Perlu ada perbezaan.


Bismillah..

"Assalamu'alaikum." Bahu Firas ditepuk. Terkejut Firas dibuatnya. Apa kena pula dia ni..

"Apa termenung jauh sampai nak tembus awan tu aku tengok?" Sapa Emir, tanpa mengendahkan salamnya yang tidak bersambut. Wajahnya sekadar menguntum senyuman kecil. Sudah diagak reaksi teman sekuliahnya itu.

Rambutnya yang jatuh mencecah anak mata, diselak ke belakang. Firas mengalihkan wajah. Malas mahu melayan. Matanya kembali terarah ke arah tingkap. Selajur itu, tangannya laju menyarung stoking dan kasut. Sebolehnya, tidak mahu bicara sepatah pun dengan Emir.

Kini kuliah mereka telah tamat dan mereka ingin pulang ke rumah masing-masing. Rumahnya yang terletak di Charles Street, hanya selang dua baris dengan rumah Emir.

"Jom balik sekali." Emir mengajak dengan lembut.

"Hmm.." Muka Firas tidak berkalih. Sejurus itu, kakinya terus menapak langkah.

Sepanjang perjalanan, Emir yang tidak berbicara apa-apa membuatkan Firas mencuri pandang lelaki itu. 

Rambut kemas dan rapi. Tidak seperti kebanyakan pelajar lain yang lebih gemar membiarkan rambut mereka panjang sehingga mencecah bahu. Bertambah pula, keadaan cuaca yang sejuk di Scotland ini. Pakaiannya juga, amat menyenangkan. Jauh sekali, memakai seluar jeans yang ketat seperti dirinya. Pendek kata, menyedapkan mata memandang. Apatah lagi, dengan wajahnya yang sering dihiasi dengan senyuman. Seperti ada aura harmoni yang terserlah dari penampilannya.

Jauh di lubuk hati, sedikit perasaan gembira dihatinya apabila Emir mengajaknya pulang bersama. Mungkin kerana Emir itu antara pelajar yang terkenal dengan perwatakannya yang luar biasa. Luar biasa bagaimana? Firas sendiri tidak tahu. Apakah dia mula mengakuinya?

Entahlah.. 

Ketika ini, Emir mengeluarkan sesuatu dari poket. Pemain MP3 jenama Walkman disangkutkan pada kot sejuk labuhnya. Dua earphone disumbat ke dalam telinga.

"Dengar lagu juga?" Firas menjangka. Tanpa sedar dia berbicara.

"Eh?" Emir menarik keluar earphone sebelah telinganya. "Kau kata aku dengar lagu?"

Firas baru tersedar yang kata-katanya sudah terlepas. Akhirnya dia mengangguk. 

Emir tersengih. "Aku tak tahu nak kata apa. Tapi aku minat lagu inggeris."

"Samalah dengan aku. Apa bezanya? Kalau kau nak tahu, aku banyak simpan koleksi lagu-lagu inggeris. Hip-hop ada, R&B ada, akustik ada, jazz ada, rock pon ada. Semua ada. Bukan ke itu semua melalaikan? Kenapa kau dengar juga?" Firas cuba menimbulkan kelemahan Emir.

Emir tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.

"Kenapa kau ketawa?" Firas hairan.

"Nah, dengar!" Emir mencabut earphone kedua lalu menghulurkan kepada Firas. Lambat-lambat Firas mengambilnya. Dua earphone itu beralih telinga.

Wajah Firas jadi kosong apabila mendengar lagu yang dimainkan oleh pemain MP3 Emir. Tiap bait lirik lagu itu dihayati. Firas seakan terpukau dengan lagu yang didengarinya. Lagu itu, digayakan dengan santai tetapi rancak. Bezanya pada isi lagu tersebut dengan lagu simpanan koleksinya selama ini.

"Sikit-sikit sudahlah, ya." Emir mengangkat keningnya sambil tersengih. Sebelum Firas bertanya itu lagu apa, Emir sudah bersuara.

"Zain Bikha."

"Eh?"

"Nama penyanyi lagu yang kau dengar tadi. Macam tak percayalah kau tak pernah dengar."

"Orang kata lagu Islamik. Jadi, aku malaslah nak ambil tahu." Tanpa sedar dia memberitahu Emir. Namun, dia akui lagu yang dimainkan itu sunggh dalam isinya. Seolah-olah jiwa terisi?

"Emm, ada macam-macam lagi selain Zain Bikha. Kalau nak semangat-semangat, aku dengar soldier of Allah. Kalau layan-layan, aku dengar Sami Yusuf. Dan yang selalunya, Maher Zain." Emir tersenyum sambil menampakkan baris giginya yang tersusun.

"Owh.. Kalau Maher Zain aku tahulah." Tingkah Firas, tidak mahu kalah.

"Orang beriman ini, perlu ada perbezaan. Dia tak boleh dengar lagu macam orang lain dengar. Dengar boleh. Maksud aku, dia tak bolehlah asyik dengan lagu-lagu yang tak ikut syarak."

"Semua perbuatan orang beriman perlu ada manfaatnya. Dengar lagu pun, perlu dapat manfaat. Tak boleh lalai macam tu sahaja." Bicara Emir dengan tenang.

Dah mula dah mamat ni..

Firas memandang sahaja. Terpukul dengan kata-kata Emir.

"Jadinya, aku minta izin dulu ya. Rumah aku pun dihadapan itu aja. Kalau banyak aku bebel, takut-takut bernanah pula telinga kau itu nanti."

Lamunannya terhenti mendengar kata Emir. Sekali lagi dia terpukul dengan tujahan bicara Emir yang seolah-olah tahu kata-kata hatinya.

"Hah, iyalah."

"Assalamualaikum!" Emir menghulurkan tangannya. Kali ini salamnya bersambut. Dia tersenyum kecil. Dia tahu, bukan semudah itu seseorang itu menerima kebenaran dan melaksanakan perubahan. Namun, jauh disudut hati, dia lega. Sekurangnya, Firas tidak membantah 'dakwah'nya. Mahu menerima atau tidak, terpulang kepada tuan pemilik hati tersebut.

"Waalaikumussalam.." Firas menjawab perlahan. Semakin lama, tubuh Emir semakin jauh dari dirinya.

Itukah yang mereka katakan Emir ini luar biasa orangnya? Meskipun sukar menerima, kata-kata Emir membuatkan akalnya ligat berfikir.

'Orang beriman ini, perlu ada perbezaan...'





.Ucapkanlah..


Bismillah..

Sebagai manusia biasa, sememangnya kita punya hati yang menginginkan kasih sayang berpanjangan. Semestinya juga, kasih sayang itulah yang akan dibawa ke Syurga.

Apa nak buat jika rasa rindu?

Semestinya, sebagai hamba Allah yang beriman, kita digalakkan mendoakan orang yang kita sayang itu. Sepenuh hati. Seandainya, Allah memberikan rezeki yang lebih untuk kita bertemu dengannya, dakaplah seerat mungkin dan ucapkanlah,

'Aku mencintaimu kerana Allah'

Bukan mudah untuk mengungkapkan dengan hati yang ikhlas, berserta amal. Iyakan? Apatah lagi, jika diri dipenuhi sikap keegoan yang tinggi. Apapun, nasihat saya, ucapkanlah kalian kepada mereka. Mereka yang bergelar makhluk Allah. Selagi engkau memberi, selagi itulah engkau akan menerima. Tanpa engkau sedari mahupun tidak.

Semoga Allah meredhai kerinduan dan kecintaan ini.








Thursday, June 21

.Five.


Bismillah..

Matahari mula membiaskan cahaya. Sangat indah. Kelihatan cahayanya menyinar disebalik dua buah bangunan sekolah yang tersergam indah dihadapan mereka. Sesekali, kelihatan burung-burung berterbangan bebas. Berbentuk sebuah pasukan 'V' yang diketuai seekor lagi burung dihadapan. 

Suasana sekolah masih sunyi dari keriuhan para pelajar. Hanya kedengaran, butiran tazkirah Ustaz Abdul Rahman yang disampaikan sebagai kuliah subuh melalui corong pembesar suara surau.

Satu perbezaan dan satu persamaan. Mereka adalah alumni, adik-adik itu masih pelajar. Namun ditarbiyah dibawah naungan Allah, melalui asas tapakan 'Hidayah'. Yang dahulunya, merupakan teratak kecil. Kini keadaan sekolah sudah jauh berubah maju, selari dek zaman yang berlalu.

Sengaja padang yang dipilih. Sengaja waktu pagi dipilih. Sengaja masa dan tarikh itu dipilih. Kerana, disitulah bermula sebuah irama persahabatan antara mereka berlima.

Mereka berlima diam seribu bahasa. Membiarkan alam menterjemah perasaan. Segala kenangan dahulu menggamit memori. 

Flash!! 

"Adui! sakit mata. Ish, kacau daunlah Ghuraba' ni. Orang tengah feelinglah." Bicara Islahuddin sambil tangannya mencuit lembut belakang tubuh Ghuraba'.

"Eleh, kalau ana tak snap! Sampai bila-bila pun tiada gambar kita berlima, tahu. Mana taknya, semua orang bisu aja." 

"Eeiii, tak ubah lagi perangai dua orang ni. Asyik nak menang aja."

"Wah, orang tu still haybatlah dalam bidang fotogrrafi.." Puji Alfateh. Kembang semangkuk cik Ghuraba' sambil keningnya terangkat-angkat berlagak.

"Well, you know me.." Ghuraba' tertawa kecil. Bukan selalu begini. Usik-mengusik itulah yang mewarnai indahnya persahabatan mereka.

"Sudah berapa tahun agaknya kita bersahabat? Bersahabat heh, bukan berkawan.." Suara Ratu Syahadah memecah suasana. Dia memandang mereka yang lain.

Serikandi Umar menjungkit bahu. "Lapan? Sembilan? Sepuluh?" Dia pun sudah lupa. Ah, masa! Sungguh pantas berlalu.

"Ingat tak masa SPM? Yang kita berlima buat projek gempak tu..!Huhu, lawaklah.." Sambil tersenyum-senyum mengingati 'hari itu'.

Alfateh tersengih menampakkan barisan giginya yang dihiasi braces. "Mana boleh lupa. Ini semua enti punya kerja. Korek-korek rahsia orang. Habis kita semua yang terjebak sama. Bahunya ditolak sedikit ke bahu Ratu Syahadah.

"Yang mana satu? Ewah, ewah, sesedap mulut aja cakap orang. Kalau mengenai surat itu, bukan ana ya. Ni Serikandi Umar yang punya angkara. Dia yang hasut ana supaya baca sekali rahsia tu." Dia menidakkan. Sekaligus menunding ke arah Serikandi Umar.

"Iyalah. Tapi enti pencetusnya."

"Kalau projek tu, ana mengaku. Tapi kalau surat itu, bukan hamba ya yang melakukannya." Ratu Syahadah menggeleng-geleng dan menepuk-nepuk dadanya tanda protes.

Mereka semua tertawa. "Serikandi Umar memang. Apa? apa? berlagak detektif eh..." Ghuraba bertambah galak mengungkit kisah dahulu.

"Huh, biarlah. Kalau tidak kerana terjumpakan surat rahsia tu, kita takkan menjadi seperti ni." Spontan Serikandi Umar membela diri. Nama pun bakal peguam. Mana boleh kalah.

Mereka kembali melentokkan kepala ke bahu masing-masing. Mata diarahkan ke hamparan langit. Sesekali, sayup-sayup kedengaran alunan nasyid Irfan Makki, berjudul 'I Believe'. Pastinya ketika ini semua pelajar asrama sudah mula bertungkus lumus menjalani gotong royong. Begitulah rutinnya, setiap hari Ahad. 

"Eh, lagu ni. Macam tahu-tahu aja kita punya lagu tema. Rindunya... jadi budak SPM." Islahuddin meluahkan.

Haah, tahu-tahu aja ni lagu tema kita. 

"Masa itu, matahari terbias macam ni. Korang ucapkan terima kasih pada ana sebab ana jadi sahabat buat korang." Ucap Serikandi Umar, mengimbau hari dahulu yang dilalui bersama.

Ratu Syahadah mengangguk.

"Korang, terima kasih sebab jadi sahabat ana." Ratu Syahadah berbicara tulus. Wajahnya dihadapkan kearah sahabat-sahabatnya.

Kening Serikandi Umar terangkat. "Apa kes curi ayat orang?"

"Tak ada kes apa-apa.."

Ratu Syahadah tertawa. Menolak bahu Serikandi Umar yang berada di sebelahnya, menyebabkan yang lain juga turut sama terjatuh ke lantai tanah. Dikatakan tanah, walaupun padang sekolah. Padang sekolah yang botak sedari dulu, kini dan selamanya. Tidak pernah berubah.

"Main kasar ya!" Ghuraba' yang dibahagian hujung tepi belah kiri. Menolak kembali Alfateh yang disebelahnya. Sehingga semuanya terjatuh ke arah Ratu Syahadah. 

"Dah..dah. Cukuplah tu. Orang tak sengaja." Tubuhnya ditahan dari terus mencium tanah.

Tangannya menekup mulut menahan tawa melihatkan gelagat sahabatnya yang tidak ubah seperti budak tadika. Malu, jika dilihat adik-adik asrama.

Serikandi Umar menarik Ratu Syahadah merapatinya. Kini mereka duduk saling berhadapan. Membentuk satu bulatan. Mata bertentang mata. Islahuddin masih mengekek ketawa menahan gelak. Memang begitu lagaknya. Sukar sekali ingin berhenti. Lebih lagi, situasi Ghuraba' yang tidak habis-habis menyakat orang.

"Sampai bila agaknya ukhuwwah kita akan berkekalan?" Alfateh bertanya. Soalan itu membuatkan yang lainnya turut serius.

"Sampai salah seorang daripada kita tercabut keimanannya." Kata Islahuddin sambil tangannya menguis-nguis butiran tanah.

"Ana tak akan benarkan itu berlaku." Ratu Syahadah berjanji. Matanya melirik ke arah semua. Tepat ke hati.

"Kalau itu tidak terjadi, maka akan kekal hingga ke syurga, dan terus kekal abadi selamanya..." Ghuraba' meneliti kesemua sahabat-sahabatnya. Dia juga turut berjanji.

"Itu yang kita harapkan. Korang semua termasuk dalam arahan Allah terhadap ana." Ratu Syahadah membacakan ayat 6 dari Surah at-Tahrim.

 'Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu, dan ahli keluarga kamu daripada azab neraka.'

"Ana juga sama. Dan ana harap, kita tidak berbalah di akhirat nanti." Serikandi Umar menyaksikan mentari yang semakin memancar terik. Walau sedikit biasnya, cukup terasa bahangnya. Moga terhidar dari bakaran api neraka.

Suasana senyap.

"InsyaAllah. Sebab kita bina ukhuwah kita atas landasan iman. Ketakwaan kita kepada Allah, akan membuatkan kita tidak akan berpecah-belah." Suara Alfateh yang lembut, menyerap secara halus ke dalam hati mereka.

"Pada hari itu sahabat-sahabt karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatnnya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." 
(Az-Zukhruf : 67)

Alfateh membacakan ayat itu. Mereka terangguk-angguk. "Nauzubillah.." Islahuddin menyahut.

"Korang..." Wajah Serikandi Umar dihadapan sedikit. Tangan ditelengkupkan. Semua mata-mata memandang.

"Ana minta maaf ya, mengenai surat tu. Kalau tak kerana ana, kita mesti tak tanggung malu hari tu." Suasana pagi itu ceria dengan sengihan sahabatnya yang lain.

"Heh, ingatkan apa tadi. Tiada apalah.. semua tu dah berlalu. Lagipun, ana dan Ratu Syahadah dah minta maaf pada Ustaz disebabkan kenakalan enti tu. Alhamdulillah diorang baik-baik aja." Beritahu Ghuraba'.

Serikandi Umar tersengih. "Hihi. Terima kasih.. sebab jadi sahabat ana."

Kata-kata Serikandi Umar yang agak skema itu mengundang tawa mereka.

"Apa kes curi ayat orang?" Ratu Syahadah membalas. Memulang paku buah keras. Serikandi Umar sekadar mencebik. Sejurus itu, senyum kembali dan menarik tubuh sahabatnya ke sisi.

"Dah la tu. Hari dah mula panas ni. Jom kita pergi makan!!! Tapi dekat bilik kaunseling. Boleh??" Sambil matanya terkebil-kebil meminta jawapan yang lain.

"Ana dah tempah Pizza Hut lepas subuh tadi.. hihi." Islahuddin, kalau bab makan dialah yang paling semangat. 

BILIK KAUNSELING. Ya, disitulah projek gempak yang dihasilkan atas titipan surat rahsia yang dijumpai Serikandi Umar. Dan tanpa keizinan oleh si pemilik surat itu, mereka terus sahaja membacanya. Rahsia itu yang tersimpan rapi dibalik gambar 'orang kuat' sekolah berkenaan ukhwah mereka yang luar biasa. Sebelum insiden, mereka kantoi 'curi' surat itu oleh Ustaz. Subhanallah, nakal sungguh mereka. Dari situ jugalah, tandatangan dan gelaran nama mereka menjadi penghias pintu masuk bilik kaunseling sehinggalah tamatnya SPM. Bilik Kaunseling, tempat dimana segalanya tercetus!

Sejak itu, icon itulah yang menjadi inspirasi buat mereka. Bagi membina akhawat batch mereka juga turut serta menjadi yang LUAR BIASA hubungannya kerana Allah. 

Mereka segera bangun. Bersama-sama bergerak menjauhi padang sekolah. Menuju ke pondok dihadapan bilik kaunseling. Kelihatan Pak Cik penghantar Pizza Hut, sudah berada dihadapan pagar sekolah sedang berurusan dengan pak guard

Itulah luar biasanya hubungan ini, kerana mereka meyakini akan janji Allah memperolehi naungan dariNya, "Barangsiapa yang saling mencintai kerana Allah" di Padang Mahsyar kelak. Bertambah luar biasa kerana hubungan ini mampu menembusi pintu syurga. Tidak seorang, tetapi bersama.


Ukhwah atas dasar iman dan taqwa.

Ukhwah yang mantap.

Ukhwah yang sukar digegar.





Wednesday, June 20

.Najis dosa.


Bismillah...

Dia membetulkan serbannya yang terlilit rapi di kepala. Sedikit gugup. Bukan gugup dengan insan di hadapan, namun apa yang bakal disampaikan.

Sejurus dia mengucapkan tahmid dan tasbih kepada yang Maha Esa, taujihatnya dimulakan. Melihatkan kesemua mata-mata dihadapannya penuh telus dengan keikhlasan, hatinya berdoa moga Allah menaungi mereka dengan sayap para malaikat. InsyaAllah.

"Orang yang beriman, tidak akan melihat dosa itu sebagai satu perkara yang kecil." Suara Panglima Zuhayr Ulwan memukau perhatian para tenteranya.

Suasana tapakan kaum muslimin yang diduduki hening. Sekali-sekala kedengaran rengusan nafas kuda-kuda tenteranya dibahagian tepi para jemaah. Berbaris tersusun. Jika dilihat musuh, pasti sedikit gusar dihati mereka.

Setiap kali selepas maghrib, pasti akan diadakan sedikit taujihat daripada panglima yang menggepalai penghijarahan dakwah dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Semua menumpukan perhatian. Ada yang mendengar sambil menundukkan wajah ke hamparan tanah yang berdebu. Ada juga yang wajahnya didongak ke langit melihat ciptaan Allah yang Maha kuasa. Pelbagai gaya, namun semua berpayung pada satu perkataan - khusyuk.

"Dosa bagi orang yang beriman, ibarat gunung yang menghempap. Hanya hati yang hidup sahaja mampu merasakan sedemikian."

"Panglima." Seorang tenteranya yang bejambang nipis mengangkat tangan. Semua jemaah memandang tentera tersebut.

"Bagaimana kalau kita tidak merasakan apa-apa apabila melakukan dosa?"

"Itu tandanya, hati kita punya masalah. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran bahawa orang yang beriman, apabila mendengar ayat-ayat Allah akan bergementarlah hati mereka. Itu ayat Allah. Apatah lagi apabila kita berbuat sesuatu perkara, mengingkari dan mengkhianati Allah SWT. Tidakkah sewajarnya hati kita lebih berasa tidak senang?"

Panglima Zuhayr Ulwan kemudiannya membacakan ayat suci al-Quran.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sepurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Al-Anfal :2)

"Orang yang hatinya punya masalah, akan menganggap dosa itu ibarat lalat yang hinggap pada makanan. Disangkanya ringan. Dikuis hilang. Tapi dosa bukan begitu." 

Panglima Zuhayr Ulwan terus menerangkan, impak buruk dosa kepada kehidupan insan. Setiap dosa menumbuhkan bintik hitam pada hati manusia. Menyebabkan hati manusia yang dizalimi dosa semakin hari, semakin keras. Akhirnya, hati boleh mati dan tidak lagi mahu mendengar peringatan.

"Kita tidak boleh redha dengan diri kita apabila berbuat dosa. Sepatutnya setiap mukmin perlu mendeklarasikan perang terhadap dosanya." Panglima Zuhayr Ulwan serius. Sedikit urat di dahinya ketampakan.

Benci kepada dosa menyebabkan manusia tidak akan bergerak mendekatinya. Andai dia terjebak kepada dosa, maka dia akan bersegera membersihkannya.

"Kita perlu lihat dosa itu sebagai najis. Kita buang air besar, kita bersihkan punggung kita. Sebab apa? Geli, kotor dan macam-macam lagi keburukan najis. Siapa hendak salam tangan kita, jika tangan kita terlekat tahi?"

Sebahagian jemaah tertawa. Mungkin terbayang dalam kepala mereka, keadaan tangan tangan yang dilekati najis. Menjijikkan. Siapa mahu salam?

"Macam itulah kita dengan dosa. Bayangkan dosa itu najis. Apakah kita geli apabila najis itu melekat pada tubuh kita? Jika kita lihat begitu, pastinya kita bersegera mencucinya. Apakah Allah Yang Maha Suci itu ingin melayani orang yang disaluti najis dosa? Sebab itu, bagi mereka yang tidak bergerak membersihkan dirinya, maka Allah memalingkan wajahNya daripada mereka ini, dan melempar mereka ke dalam neraka."

Semua yang ada terangguk-angguk. Ada yang menutup mata cuba berusaha membayangkan. Cuba berusaha merasa.

Mereka turut muhasabah diri. Diri disoal. Apa yang telah dilakukan selama ini? Terasa betapa redhanya hati dengan maksiat sekeliling sehingga dirasakan biasa dan tiada apa-apa apabila dilihat.

"Kita perlu benci dengan dosa itu begitu sekali. Rasa jijik, rasa kotor!" Ayat Panglima Zuhayr Ulwan seolah menebak dada-dada mereka.

"Tetapi ingatlah, pesanan ini hanya untuk menyedarkan diri kita. Jangan sesekali kita katakan kepada orang yang berdosa daripada kalangan kita bahawa mereka najis, kotor dan tidak dapat diselamatkan lagi. Sekiranya kita berkata demikian, kitalah yang berdosa sebenarnya. Menghukum manusia bukan tugas kita. Itu tugas Allah. Tugas kita adalah mnyampaikan. Berusaha menyampaikan apa yang Allah arahkan."

Panglima Zuhayr Ulwan menutup taujihnya. Sepuluh minit sahaja. Tetapi lengkap. Cukup membuatkan hati-hati terasa. Di akhir taujihatnya, dia mengajak semua jemaah untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Astaghfirullah alAzim...


Tuesday, June 19

.Number One for me.


Bismillah..


Pintu bilik dikuak. Sambil tangan memegang perut. Senak. Cukup memulas. Terasa mencucuk-cucuk ke ulu hati. Sakit apa pula ini yang datang secara tiba-tiba tanpa diundang. Sengaja Allah menguji hambanya. Saya yakin itu.

Kaki berjalan pantas menuju ke bilik Ummi. Badan Ummi digerakkan. Diri yang sedang lena, perlahan-lahan mata di buka.

"Ummi, tak boleh tidur. Perut sakit sangat..." Adu kepada Ummi. Mengharapkan simpatinya terbalas.

"Salah makan ke?" Soalnya. Risau merauti wajah tenangnya.

"Haah, agaknya. Tak tahu rasa macam memulas. Ummi urutkan boleh?"

"Hah, iyalah.."

Terus tubuh direbahkan ke sofa empuk. Tangan Ummi perlahan-lahan mengusap belakang tubuh. Memicit dengan penuh kasih sayang.

"Sorry, Ummi. Susahkan.." serba salah dibuatnya.

Ummi tidak membalas. Matanya lekap ke arah pembacaan buku hasil karya penulis Ustaz Hasrizal Jamil. Berjudul 'Di Hamparan Shamrock'.

Ummi..Ummi.. khusyuk sungguh. 

Sesekali mengerling ke arah anaknya dan bertanya sudah kembali redakah sakit itu.

Begitulah pengorbanan seorang ibu. Tidak pernah mengenal erti masa. Erti lelah. Erti putus asa. Sanggup apa saja demi kesenangan, kebahgiaan, dan kecintaanya kepada anakandanya.

Betapa tabahnya mereka, mengandungkan kita selama sembilan bulan. Ke mana sahaja kita dibawanya. Seringkali juga mereka mendoakan tanpa pengetahuan kita. Allahuakbar..

Namun, sebagai seorang anak, apakah yang telah kita lakukan kepada mereka? Bagaimana pengorbanan kita kepada mereka?

Wajah tua itulah, yang sedaya upaya mengembirakan hati kita. Wajah tua itulah, yang sanggup bersengkang mata berjaga malam memujuk tangisnya kita. Wajah tua itulah, yang sentiasa menadahkan telinga mereka buat curahan bicara anak mereka.

Tetapi anaknya ini, bila kesibukan urusan harian membuatkan mereka mudah lupa kepada pengorbanan orang tuanya. Bicaranya juga, tanpa sedar mengguris-guris hati keduanya. Parut yang ditinggalkan pula, tidak pernah sedaya upaya untuk disembuhkan oleh seseorang yang bergelar 'anak'. Astaghfirullah, moga terhindar dari golongan ini.

Jadinya, kepada insan yang bergelar 'Muslim'..

Sama-samalah kita menggembirakan hati mereka. Lakukanlah walau sedikit cuma. Hiasilah bicara anda yang menyenangkan mereka. Teluslah dengan sepenuh hati. Usah engkau sembunyikan sesuatu tanpa pengetahuan mereka. Berkatalah benar temanku, walau ianya pahit sepahit hempedu.

Sayangilah mereka, seperti mana mereka menyayangimu.

"Redha Allah itu, terletak kepada redha kedua ibubapamu"

"Berbuat baiklah kepada kedua orang tuamu"

Ganjarannya cukup besar, wahai seorang anak. Saya juga ingin berusaha yang lebih baik ke arah yang diredhai Allah. InsyaAllah..

Ummi, Ayah.. Kak Ngah sayang sangat pada Ummi dan Ayah. Doakan Kak Ngah ya!



Monday, June 18

.Lembut bukan lemah!


Bismillah..

"Siapa rasa yang diri dia lembut?" Soal saya pada mereka. Adik-adik Sekolah Menengah Itqan yang masih hijau-hijau muda belaka.

Tiada siapa yang mengangkat tangan. Pastinya di dalam hati mereka akan berkata.

"Erk..." ==,

"Apakah?" ==,

"Malulah..." ^^,

Pelbagai bentuk emosi yang diekspresi melalui wajah. Mungkin dibenak mereka tersimpan berjuta perspektif terhadap perkataan 'LEMBUT'.

Bukanlah, fokus saya lembut bererti 'sotong', bagi lelaki. Lembut bererti 'lemah' bagi seorang perempuan.

Lihatlah equation ini,

Kita ini fitrahnya LEMBUT. 

Lihat saja pada asal penciptaanNYA.



TANAH = fizikal, yang lembut
ROH = spiritual, yang suci

equation, 
TANAH (lembut) + ROH (suci) = MANUSIA (baik)
TANAH (lembut) + ROH (suci) + API (panas) = MANUSIA (keras)
------------------------------------------------
Analoginya, misal manusia diibaratkan seperti pokok.
Namun pokok yang hidup, lembut diluntur.
Pokok yang mati, keras apabila disentuh.
Sama juga seperti hati manusia.

ISLAM mampu melembutkan. Bahkan Umar AlKhattab, setelah diketuk dengan nilai Islam, akhirnya dia menjadi pemimpin yang lembut dalam tegas.

Sebab itu, dalam menyeru kepada Islam biarlah memandang sekeliling dengan penuh KASIH SAYANG. Serta berHIKMAH. (An Nahl : 125)

Nah, usah bersangka sebelum memahaminya. Lembut di sini bererti lembutnya hati-hati. Mudah-mudahan, Allah mengurniakan hati yang mampu menerima, lapang serta tenang. Amin Ya Rabb..

Orang yang tidak mempunyai sifat lembut ini, dia sudah terlepas dari satu Rahmat Allah yang cukup tinggi nilainya. MasyaAllah. Hanya yang mengerti kan turut merasai.


.Kini aku bukan peng'arah'.


Bismillah..

Beberapa hari lepas, saya diamanahkan bagi mengendalikan program yang 'simple-mimple' aja. Namun, biarlah walau ianya sedikit tapi membekas pada jiwa pelajar yang sudah lama hatinya tidak mendapat sedikit penghadaman ilmu dari para 'abang juga kakak'.Persis sebuah gelas yang kosong. Menjadi manfaat buat minuman sekiranya gelas itu diisi dengan air walau cuma sedikit.

Berbaki masa 2 hari sahaja, saya cukup terasa diuji olehNya bagi menyelesaikan semua. Dari A-Z.

Bagi seseorang yang kelebihannya sudah lama tidak diasah sejak beberapa bulan lepas, sangat sukar untuk melicinkan kembali besi yang sudah karat. Apatah lagi, diamanahkan secara mendadak. Seperti saya kala ini.

Jika dahulu, saya sering dipilih menjadi 'timbalan' pengarah. Bukan pengarah!
Semestinya, tugas saya membantu pengarah tersebut. Mungkin seorang pengarah, mampu menggoyangkan kaki lebih lama jika hendak dibandingkan dengan saya. Bahkan, mungkin juga tugasnya mampu disambut dengan sebelah tangan sahaja.

Saya? Boleh juga goyang kaki. Tetapi goyang kaki saya semestinya berbeza dengan 'goyang kaki' pengarah. Benarkah?Namun, saya akui cara goyang kaki saya sebagai 'timbalan pengarah' sekadar memastikan ahli yang lain  sudah menyiapkan tugasan mereka ataupun tidak.

Hakikat sebenar, tugas-tugas mereka itu sememangnya sedikit sahaja pada pengetahuan saya. Bahkan, boleh saja dikatakan zero.

Arahan saya kepada mereka 

"Nanti tolong buatkan poster ya."

"Hah, boleh tak awak siapkan kertas kerja program ni. Submit by this Friday"

"Perhatian kepada semua ahli! pastikan semua gerak kerja siap setengah jam sebelum merencanakan program ini.."

Setelah itu, saya 'kutip', 'kutip', dan 'kutip' tugasan mereka.

Sampailah satu saat..

Arahan pengarah kepada saya


"Semuanya sudah settle?" kepala mengangguk dengan penuh senang hatinya atas dasar penyudahan setiap tugasan yang dilaksanakan dengan jayanya oleh 'ahli-ahli' saya yang cukup hebat.

Huh.. lap peluh.

Dahulunya, di dalam sebuah organisasi terdiri daripada pelbagai unit yang saling mengukuhkan. Saling melengkapi. Serta saling menguatkan.Turut serta yang menjadi tulang belakang kepada pertubuhan tersebut bagi mengelakkan adanya yang longlai mahupun lemah. Subhanallah.

Umpama seeokor burung. Tidakkan mampu untuk dia terbang, tanpa keseimbangan sayap kanan dan kiri yang membantunya untuk bergerak dan bergerak.

Namun, berbeza pada kali ini.

Tiadanya setiausaha bagi melunaskan kertas kerja. Tiadanya ajk disiplin bagi memastikan kelancaran program dari awal sehingga akhir. Tiadanya, ajk photographer bagi merakamkan detik-detik yang bermakna. Tiadanya, ajk penerbitan yang membantu menyiapkan tentatif, juga poster. Tiada juga, ajk program yang menjadi tugasannya mencari siapa yang akan memberi penyampaian. Semuanya serba serbi simple.

Akhirnya, membuatkan kudrat kedua-dua belah lutut ini terduduk. Dan kini..

Cukuplah Allah bagiku..


Ketika itulah manusia yang hina lagi kerdil ini akan bertanya kepada Tuhannya.

"Ya Tuhanku, kapankah hadirnya pertolonganMu?"

Jawab Tuhannya dengan penuh kasih sayang, "Sesungguhnya pertolongan Allah itu telah datang.."

Saya cuma meminta daripadaNya dua orang bagi membantu saya yang 'seorang', namun dihadiahkan olehNya seramai enam orang bagi bersama-sama meledakkan dakwah dan tarbiyah di sekolah Islam yang cukup membutuhkan perkhidmatan seorang 'abang dan kakak' buat 'adik-adik'nya ini.

Sedangkan, Nabi Musa juga meminta kepada Allah, " Ya Allah, hadirkanlah seorang teman agar aku kuat melaksanakan amanahmu.."

Lalu, Allah mengurniakan Harun sebagai temannya bagi menggalas beban dakwah yang bukan setakat mengangkut seguni daun yang ringan. Malah, lebih berat dari itu.

Kini, saya tersedar.

Aku dulu rupanya hanya tahu meng'arah'. Tanpa mendalami tugas sahabat-sahabatku. Aku masih terkial-kial mememikirkan penyusunan program. Aku masih terhitung-hitung bajet program. Aku masih menongkat dagu menyiapkan tentatif. Aku masih menggelengkan kepala bagi memberi penyampaian. Astaghfirullah..

Dari situ aku belajar! Seorang peng'arah' seharusnya tahu dan faham akan 'arahannya'.

Allah..

Sesungguhnya aku terdiri daripada hamba yang zalim.

Kita sering menginginkan diri dihargai. Namun, adakalanya kita lupa untuk menghargai.
Kita sering membutuhkan pertolongan insan. Namun, adakalanya kita lupa untuk menghulurkan pertolongan.
Kita sering menantikan kesenangan. namun, adakalanya kita lupa untuk memberikan kesengan kepaa insan lain.

Baik sahabat, adik beradik, ibubapa, mahupun guru. Atau sesiapa sahaja disekeliling kita.

monolog : Wahai sahabat, maafkan diri ini. Kerana kudratmu, engkau membantuku. Kerana usaha titik peluhmu, engkau menyenangkanku. Kerana doamu juga, engkau memudahkan urusanku. Semoga Allah mengira tiap satu persatu darimu. InsyaAllah~





Thursday, June 14

.So soon.


Bismillah..

Tangan laju menaip aksara satu persatu pada papan kekunci. Mata dilirik ke arah dinding.

"Huh, cepatnya masa berlalu. Kene cepat ni!" Hati berdetak laju. Sempatkah?

Jarum jam yang berputar tanpa mengenal erti henti, terus menerus berdetik dan berdetik tanpa mengasihani si 'penghuni bumi'. Sekiranya masa boleh dibekukan, ingin saja digunakan apa jenis kuasa menghentikannya walau seminit. Ah! namun, itu tidakkan terjadi. Kau juga tahu, masa itu sudah disumpah oleh Yang Maha Berkuasa pemilik kehidupan ini.

Ya Allah, bantu aku..

Selang beberapa minit, handphone bergetar tanda pesanan ringkas masuk tanpa had. Tangan kanan dicapai. Sementara mata masih tidak lekang dari arah pandangan skrin komputer di hadapan.

"Macam mana program tu jumaat ni? Bagi pihak enti boleh jadikah?" Owh, Muallimah.. 


"InsyaAllah.. ana dah siapkan poster dengan cenderahati. Nanti ana send via fb ya..." Itu sahaja yang mampu ditaip. Selebihnya diserahkan pada Allah setelah usaha, doa dan tawakkal.

"Kak Ngah betul ke nak buat program ni. Tak rasa terlalu drastic sangat?" Soal Ummi turut merasai kegundahan hati anaknya ini.

"Betul Ummi. Kalau tak sekarang bila? Sekiranya asyik tangguh saja, sampai bila pun tak gerak. InsyaAllah Ummi." Keyakinan itu datang, sememangnya dari Allah. DIA yang menggerakkan hati ini untuk tidak berhenti di tengah jalan walau hanya menapak 'seorang'.

Hah....
Allahuakbar!

Kepala ditekup ke bantal. Fikiran ligat memikirkan apa yang bakal terjadi? Terungkap pula kerinduan pada sahabat organisasi di sekolah dahulu. Alangkah indahnya, jika kalian ada disisi. Bersama-sama meledakkan dakwah dan menyerap tarbiyah.

Aku tahu engkau juga sedang berjuang. Aku? Moga dikira sama-sama turut berjuang. Cuma medan yang berbeza.. Duhai hati, tabahlah. Allah bersamamu.


"Engkau sahaja (Ya Allah) Yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus" Al-Fatihah : 5-6


Handphone kembali bergetar.

Alhamdulillah.. Kini, tidak 'seorang'. Dia menghantarkan pejuang-pejuang yang lain dari segenap pelosok negeri. Yakinlah, saf kebenaran pasti menerima bantuan dari Allah.

Terima kasih Ya Allah. Segala puji-pujian ku panjatkan hanya kepadaMu.

Tuesday, June 12

.Ajaib.

Melangkah ke arah keajaiban dengan pergi kepadaNya!


Dia berlari pantas. Jantungnya berdegup kencang. Pandangannya kabur, dek air mata yang masih deras melimpah. Dia cuba untuk memecut lebih laju, tetapi sudah berada di batas kudratnya. Bersungguh, untuk menyampaikan satu berita.
Dia perasan manusia di sekeliling sedang memerhatikannya. Tidak dia pedulikan. Yang dia tahu, dia mahu sampai ke tempat tujuan. Dia merasakan dirinya sudah semakin hampir. Walaupun hakikatnya tempat ini adalah asing buat dirinya. Ibu Kota Langit Tinggi, bandar utama di bawah pemerintahan Kerajaan Islam Leo Niveus, pertama kali dijejakinya.
Berhenti. Termengah-mengah. Kiri kanan ditoleh.
Tidak nampak apa yang dicari. Yang dijangkanya patut dapat dilihat jika sampai ke ibu kota. Dia menundukkan kepala. Cuba melegakan dada yang sendat.
“Tuan, maafkan kami. Ada apa-apa yang kami boleh bantu?” Suara tegas tetapi bernada mesra kedengaran menggetarkan gegendang telinga. Terus dia mengangkat wajah. Dua lelaki berpakaian tentera, sedang berada di hadapannya.
Terus dia mencengkam kedua-dua belah bahu salah seorang daripada mereka.
“Tolong! Tolong! Tunjukkan aku di manakah Istana Leo Niveus!”
Mata tentera yang dicengkamnya membesar.
“Em, Leo Niveus tidak mempunyai istana.” Tentera itu berbicara lembut. Memegang semula kedua-dua tangannya lembut, menjauhkan dari bahu.
Matanya membesar. “Leo Niveus tidak mempunyai istana? Aku dengar di sinilah Kerajaan Islam yang mengetuai semua penganut agama kita. Mustahil dia tidak mempunyai istana.” Dia meninggikan suara.
“Leo Niveus hanya tinggal pada rumah kecil di hujung bandar ini. Apakah hajat tuan sebenarnya? Tuan nampak seperti diburu garuda.”
“Ya. Seluruh kampungku di perbatasan sudah menjadi padang jarak padang tekukur.”
“Benarkah?” Kedua-dua tentera seperti tidak percaya.
Dia mengangguk beberapa kali pantas. “Jeneral yang menyerang perkampunganku berkata, mereka hendak membersihkan sampah dari muka bumi ini.”
“Mari, kita bertemu Tuanku Leo sekarang!”
Terus tangannya dipimpin tentera itu, bergerak menghadap raja tanpa istana.

******

Di perkarangan masjid mereka berkumpul. Suasana kelihatan tegang. Kerana yang berkumpul itu adalah yang berpakaian perang. Kalau dipandang dari hadapan tempat keluar para jemaah, hampir sahaja tidak terlihat penghujungnya. 50,000 orang. Itulah bilangan mereka. Panji-panji berkibar megah tanda bersedia.
Bertentangan dengan semua itu, seorang lelaki berpakaian sederhana, baju tanpa kolar berbentu ‘V’, lengan panjang, dan berseluar labuh dengan sebilah pedang tersandang pada pinggang, berselipar jerami, duduk di atas sebuah bangku kecil.
“Kerajaan Lorem Cornicem ya?” Lelaki berambut kemas dengan beberapa helai terjuntai pada dahi itu menghela nafas lemah. Seakan kecewa.
Dia yang melapor mengangguk.
“Siapa namamu wahai lelaki?”
“Aurum.”
“Kerajaan Lorem Cornicem pimpinan Raja Aliquam itu adalah satu kerajaan yang besar dan kuat. Selama ini, kita mempunyai perjanjian damai dengan mereka bagi menjaga keamanan. Nampaknya dengan menyerang perkampungan kamu, mereka hendak menyatakan bahawa mereka telah menjadi kuat dan tidak lagi memerlukan perdamaian dengan kita.” Lelaki itu memegang dagunya yang berjanggut nipis, gaya berfikir.
Kemudian dia terus bangun. Menghadap semua tentera.
“Wahai Aurum. Perhatikanlah ini semua. Semuanya untuk menebus maruah agamamu yang terpijak. Sampah yang sebenar adalah yang tidak tunduk kepadaNya. Aku Leo Niveus, akan menunjukkan kepada mereka bagaimanakah sebenarnya manusia yang beriman kepadaNya.”
Leo Niveus menghunuskan senjata. Mengacungnya ke udara.
“Maju. Kita akan ‘mendidik’ mereka.” Leo Niveus melaung dengan suara yang tinggi.
“Takbir!” Seorang tentera melaung.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Bergegar suasana dengan gema takbir seluruh tentera.
Bulu roma Aurum menegak melihat apa yang ada di hadapan matanya. Terasa jiwanya kembang. Kesedihannya seakan sedang disapu pergi. Kini matanya menangkap Leo Niveus yang sedang menyarung zirah perangnya.
“Tuanku, tuanku turun sekali?” Sangkanya raja hanya duduk di istana.
“Bukankah itu tenteraku, sedang bersabung nyawa? Mustahil aku sekadar duduk di sini menunggu berita, sekiranya aku punya masa.” Leo Niveus memegang topi perangnya, dan menyarung pada kepalanya.
“Tambahan, mereka menggelar yang beriman kepadaNya adalah sampah, dan ingin pula membersihkannya. Maka mustahil sebagai ketua mereka yang beriman kepadaNya, aku tidak turun untuk memberikan pengajaran kepada mereka.” Bahu Aurum ditepuk, sebelum Leo Niveus bergerak ke arah seekor kuda hitam yang besar, dan menaikinya.
Aurum membeliakkan mata.
Manusia apakah ini?
Dia tidak punya istana, tetapi jiwanya seperti tidak akan mampu dibeli walau yang digadaikan adalah dunia.

*******

Dia bergerak melangkah ke singgahsana dengan gagah. Sedikit pun dia tidak menoleh kiri dan kanan. Hanya memijak pada permaidani merah. Keyakinan mengiringi, kerana dia tahu dia punya Ilahi. Datang kosong tanpa senjata, kerana itu adalah syaratnya untuk menghadap Sang Raja.
Aliquam. Itu nama Raja yang kini sedang berada di atas singgahsana, menerima kehadirannya.
“Amat berani kalian mengetuk pintu kota istana aku. Apakah kalian gila hendak menjemput kematian dengan segera?” Suara Aliquam yang tinggi menyambutnya.
Dia tenang. Menggeleng.
“Raja Aliquam. Kami datang adalah untuk menebus maruah yang telah dicalarkan oleh engkau.” Kedua-dua tangannya bersatu di belakang tubuh. Teguh. Biar itulah yang dilihat oleh sesiapa yang melihatnya sekarang. Kerana dia bukan membawa imejnya sekarang. Dia sedang membawa imej ummah.
“Hahaha. Menebus maruah? Dengan kekuatan kalian yang rendah?” Berdekah-dekah tawa Aliquam. Hingga memegang perut tanda senak terlalu kuat ketawa. Menghina.
Dia kekal tenang. Sedikit pun dahinya tidak berkerut, atau wajahnya menunjukkan rasa terhina.
“Apa yang kalian mahukan sebenarnya? Kalau mahu emas, aku ada untuk memberikannya. Kalau mahu wanita, aku ada ramai untuk kamu semua melempiaskan nafsu ke atas mereka. Buat apa bergadai nyawa menentang aku, yang kalian tahu mempunyai kekuatan yang tidak terkira.”
“Raja Aliquam, kami ini adalah satu kaum, yang datang ke mari untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan terhadap Pencipta Manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, daripada korupsi agama-agama kepada keadilan Islam. Maka hari ini, kami adalah untuk memenuhi perkara itu.” Dia melafaz bicara penuh yakin. Di dalam jiwa tiada ragu.
Dia dapat melihat mata Raja Aliquam membesar. Mungkin jiwa raja itu tersentak dengan bicaranya.
“Engkau, siapakah nama engkau, dan apakah engkau salah seorang dari panglima Leo Niveus?”
Dia menggeleng.
“Namaku adalah Maxima, dan aku hanyalah seorang prebet.” Dia menjawab gagah. Sedikit pun tidak merasa rendah.
Aliquam menepuk pemegang kerusinya. Mata terbelalak. “Tentera biasa? Gila. Bicaramu ibarat seorang panglima.”
“Kerana kami semua adalah ajaib, luar biasa. Pilihan di tangan engkau sekarang, Raja Aliquam. Menyerah, atau bersedia untuk bermandi darah.” Maxima sampai kepada tujuan kehadirannya. Memberikan pilihan kepada Raja Aliquam.
“Jangan fikir aku akan menyerah.”
“Maka bersedialah untuk memerhatikan kami membersihkan kamu.”
“Jangan fikir hamba kerdil seperti kalian mampu memperapa-apakan kami!” Raja Aliquam menjerit emosi.
“Kami memang hamba yang kerdil. Tetapi kerdil hanya kepadaNya. Kepada kalian, kami sentiasa adalah yang luar biasa.” Maxima berpaling, melangkah keluar dari balai singgahsana.
Perang.

******

Dia memerhatikan benteng kukuh Bandar Lorem Cornicem. Tinggi. Tebal. Hanya ada satu pintu masuk. Gerbang utama yang besar. Belum dikira pula tentera-tentera pihak lawan yang ramai melebihi bilangan mereka. Tiga kali ganda, 150,000 orang.
“Bagaimana Panglima Angelus?” Seorang tenteranya bertanya kerisauan. “Pertahan mereka sangat kukuh, dan bilangan mereka pula teramat ramai.”
Angelus menggaris senyuman. Menggeleng. “Sedikitnya mereka, apabila ditewaskan.”
Kemudian dia menoleh ke belakang, kelihatan rajanya Leo Niveus sedang berbicara dengan beberapa tentera di barisan hadapan. Dia bergerak mendapatkan rajanya yang berada di atas kuda itu.
“Tuanku, kita sudah boleh mulakan sekarang.” Dia mendongak.
Leo Niveus mengangguk. Terus rajanya itu memacu kudanya, bergerak.
“Oh yang beriman kepadaNya. Hari apakah ini?”
“Rabu!”
Dia melihat Leo Niveus menggeleng. Dia pun sebenarnya agak kehairanan dengan soalan itu. Mengapa bertanya akan hari? Dan apabila para tentera menjawab dengan tepat, mengapa rajanya menyatakan itu adalah salah pula?
“Hari ini, adalah Hari Agama Allah akan terangkat mulia di hadapan mereka!” Leo Niveus menghunus pedang dan mengacunya ke arah Bandar Lorem Cornicem.
Angelus seperti terpukul dengan laungan itu. Dan Angelus yakin seratus peratus, apa yang jiwanya rasa, dirasai juga oleh seluruh tentera. Itu dapat dibuktikan dengan jeritan semangat dan hentakan kaki para tentera. Bumi serta merta bergegar, dan langit seakan-akan hendak runtuh dengan suasana yang ada.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.”
“Maka sekarang, persembahkan keajaiban yang beriman kepadaNya ini, kepada mereka!”
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!”
“Dengan nama Allah, bergeraklah!” Leo Niveus melaung sambil kudanya mengangkat kedua-dua belah kaki hadapan. Pedang rajanya itu mengacu ke arah Bandar.
Sekali lagi bumi bergegar, dengan gerakan tentera. Seakan-akan ada raksasa yang bergerak, untuk menghapuskan sebuah kota.
Angelus tersenyum. Memang mereka sedikit. Tetapi mereka tidak gentar. Kerana mereka adalah ajaib. Maka tiada apa yang mampu menggegar.
“Angelus, kawal tenteramu.” Bahunya ditepuk. Rakannya, Aquilae mengenyitkan mata. Seorang panglima sepertinya juga.
“Kamu juga sama,”
Terus Angelus bergerak mendapatkan kudanya.
Bergerak untuk menumbangkan musuhnya.

******

Medan bergegar dengan pelbagai bunyi. Dentingan senjata bertemu adalah musik normal yang mengiringi. Letupan daripada manjanik-manjanik menambah gempita suasana. Belum dikira dengan bunyi luncuran panah yang mengilukan telinga.
Tenteranya semakin berkurangan. Tentera musuh masih ampuh seperti tidak akan mampu ditumbangkan. Benteng kuat Lorem Cornicem nyata tidak mampu ditembusi.
“Aquilae!” Satu suara menyeru namanya. Dia menoleh di tengah gempita peperangan. Terkejut dengan apa yang dilihatnya.
“Tuanku!”
Rajanya itu sedang berusaha bergerak ke arahnya. Tiba-tiba ada dua tentera musuh bersenjatakan tombak menghalang. Tetapi Leo Niveus lincah mengelak tujahan musuh. Pedang dan sarung menjadi senjata kembarnya. Kedua-dua tombak kini mencium tanah dengan batang ditekan kedua-dua senjata pada tangan rajanya. Terus rajanya menggerakkan kedua-dua senjata itu pada arah berlawanan, menjamu wajah kedua-dua penyerangnya.
Satu tercantas dijamu bilah mata pedang, seorang lagi terundur beberapa tapak kerana dipukul sarung. Tetapi nyawanya juga tidak panjang, rajanya terus menuruti pukulan itu dengan tusukan kematian daripada pedangnya. Tumbang kedua-dua musuh yang menghalang.
Aquilae tersengih sendiri. Menggeleng. Rajanya bukan raja biasa yang sekadar duduk berehat di istana dan pandai mengarah. Rajanya adalah antara tempat berlindung terampuh, tatkala peperangan berada pada kemuncaknya.
“Bagaimana situasi sekarang Aquilae?” Rajanya bertanya apabila mereka merapat. Mengambil perlindungan pada satu kubu yang dibina dari perisai tentera yang lain.
“Kita tidak dapat menembusi benteng mereka tuanku. Tentera kita yang cuba memasuki menaiki tangga juga tidak berjaya. Semuanya dengan mudah dijatuhkan mereka. Manjanik kita juga tidak mampu merobohkan pintu mereka. Tebal.”
“Maka kita perlukan sesuatu yang lebih drastik dan mengejutkan.” Leo Niveus seperti berfikir.
“Ah, aku juga tidak dapat memikirkannya. Ya Allah!” Leo Niveus mengetuk dahinya. Seperti memaksa untuk keluarnya idea. Gagal.
Tiba-tiba Aquilae terfikirkan sesuatu. Ada satu strategi, menjengah mindanya. Berani mati.
“Tuanku. Lemparkanlah saya ke balik Bandar. Saya buka dari dalam.”
Dia dapat melihat dahi rajanya berkerut.
“Engkau akan menemui ajal.”
“Bukankah itu cita-cita yang membuatkan kita ini luar biasa tuanku?” Hatinya yakin tanpa ragu dengan keputusan itu.
Dia melihat rajanya memalingkan wajah dan berdiam seketika. Bunyi suasana perang mengisi renggang. Kemudian rajanya memandangnya semula.
“Semoga Allah bersama kamu.” Bahunya ditepuk. Dia tersenyum.
Terus Aquilae berlari pantas ke salah satu manjanik. Mendapatkan tentera yang mengawal senjata itu.
“Lontarkan aku.”
“Hah?”
“Lontarkan aku ke balik pintu.”
“Apakah tuan panglima telah gila?”
Aquilae menggeleng. “Ini hanyalah tindakan biasa, bagi orang yang luar biasa. Aku mengimpikan hari ini untuk tiba, dan Allah telah menyediakannya di hadapan mata.”
Bahu askar itu ditepuk. “Cepat. Jika tidak, kita akan tewas.” Terus dia masuk ke tempat untuk melontarkan batu.
“Bukankah tuan panglima hanya akan jatuh mencium bumi dan mati nanti?” Askar itu kembali mendapatkannya.
“Tidak. Tentera mereka ibarat rumput yang menghampar bumi. Aku akan jatuh ke atas mereka.”
“Tetap tuan panglima akan mati kerana ramainya mereka.”
Aquilae tersenyum. “Kalau aku mati, aku mati dengan membuka pintu itu untuk melorongkan kemenangan buat kamu.” Mengenyitkan mata.
“Semoga Allah bersama Tuan panglima.”
“Semoga Allah bersama kita semua.”
Askar itu terus ke tempat pelancar.
“Tuan telah bersedia?” Melaung tanya.
“Ya.” Aquilae menyilang kedua belah tangan pada dada. Hatinya kini memohojn agar Allah mempermudahkan urusannya. Merealisasikan strateginya.
“Lancar!” Dan suara Askar itu hanya mampu didengarinya sementara, sebelum seluruh pandangannya sekadar dihidangkan dengan putih biru warna langit yang bersulamkan awanan. Sejuk, angin menderu, tetapi dia yang seperti melawan semuanya.
Perlahan-lahan, dia merasakan tubuhnya menjunam. Dia mula memandang ke bawah. Dia kini telah melepasi pintu utama kota. Dia mula turun ke bawah. Benar seperti jangkaannya, bumi di balik pintu penuh hanya dengan tentera-tentera Aliquam. Jadi dia akan jatuh di atas mereka.
“Mesti memberikan mereka persembahan yang terbaik. Inilah dia manusia yang beriman kepadaNya!” Pedang dihunus. Sarung pedang dipegang kemas pada tangan kiri. Dia menjunam seperti meteor.
Terus turun dengan menusuk senjatanya pada salah seorang tentera, menjadikan tubuh askar itu seperti tilam dan dia berguling bagi mengurangkan daya kejatuhannya. Dia tidak cedera!
Tetapi kini dia dikelilingi tentera musuh yang tidak terkira bilangannya, dan dia seorang sahaja.
Senyum.
“Menarik.”
Terus dia berlari menuju ke arah pembuka pintu. Tentera-tentera musuh gempar dengan kehadirannya yang tidak disangka-sangka. Semua tertumpu kepadanya kini. Aquilae menebas kiri dan kanan seperti lalang. Namun dia sendiri tidak dapat mengelak libasan dan tusukan senjata musuh yang tidak terkira. Tubuhnya mula luka di sini dan sana. Darah bersemberusan, bercampur darahnya dan musuh yang ditumbangkan.
Dia semakin hampir dengan alat pembuka pintu gerbang.
“Allahuakbar!” Aquilae melaung garang. Beberapa tentera yang berbaki menghalang laluannya dicantas tanpa berfikir panjang. Tumbang. Kini tiada yang menghalangnya dari pembuka pintu. Terus dicantasnya tali yang mengikat alat pembuka pintu. Alat itu berputar pantas.
Senyuman menghiasi wajah.
“Hentikan alat itu. Hentikan!”
Terus Aquilae berpaling, menghadap sekalian musuh yang kalau dari pandangannya, ibarat lautan itu. Menggeleng. “Kamu tidak akan sesekali menghentikan putaran alat ini.” Kedua-dua belah tangannya didepangkan paras pinggang, dengan kedua-duanya erat memegang sarung dan pedang.
“Dengan nama Allah, tiada seorang pun tidak akan melepasi aku.”
“Matilah!” Tentera-tentera musuh menggempur.
“Allahuakbar!” Aquilae bergerak membalas gempuran. Ibarat seekor semut melawan hentaman seekor gajah. Beberapa orang di hadapan Aquilae tumbang, digantikan pula dengan yang lain. Pemegang-pemegang tombak menusuk. Dada Aquilae mula menjadi mangsa. Darahnya tersembur. Tetapi dia tidak pula berhenti. Memotong batang tombak itu dengan pedangnya, dan meneruskan lagi perlawanan. Kepalanya pula dihentak sarung pedang musuh. Sakit. Tetapi tidak dihiraukan. Penentangan diteruskan. Bahkan yang menghentaknya tadi telah tumbang apabila menerima tusukan. Musuh tumbang dan tumbang. Mula membukit dan dia berdiri di atas mereka.
“Allahuakbar!” Melaung lagi. Itulah kekuatannya. Darah mula mencucur dari kepalanya, dari dadanya. Dan zirah panglimanya sudah mula koyak, dan calar balar. Tubuhnya sendiri mula bergetar kerana kehilangan darah yang banyak. Bibirnya menggeletar. Mula terasa sejuk. Dia sudah terasa seperti hendak tumbang. Tetapi pantas dicapainya sebatang tombak, memacakkannya dan bersandar pada belakang tombak itu. Tidak sekali mahu tumbang, di hadapan musuh-musuhnya.
Namun tiada musuh yang berani mendekatinya kini.
Pada pandangannya yang semakin kabur itu, semua musuhnya mula berundur setapak demi setapak.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Gempita suara daripada tenteranya kedengaran. Bibir mengukir senyuman.
“Allahuakbar. Siapakah lagi yang hendak merendah-rendahkan Engkau wahai Ilahi, selepas melihat hambaMu ini?” Perlahan dia bersuara sendiri.
“Aquilae, Aquilae!” Suara Angelus menusuk telinga. Terasa tubuhnya dipeluk.
“Bagaimanakah kita?”
“Dengan terbukanya pintu itu, kemenangan telah menjadi milik kita.”
Sengih. “Alhamdulillah.” Dia mula memejamkan mata.
“Hei Angelus.”
“Ya sahabatku.” Dia masih dapat merasakan tangannya dipegang erat.
“Aku menang. Aku dapat bertemu Allah dahulu sebagai syuhada’.”
“Haha.” Kedengaran serak sebak suara Angelus. “Jangan bermimpi. Telah ramai sahabat kita yang lain tumbang terlebih dahulu mendahuluimu.”
“Sekurang-kurangnya, aku menang dengan kamu Angelus.”
Dan perlahan-lahan dia merasa tubuhnya ringan.
Gelap. Tidak lagi merasai kehadiran Angelus di sisi.
Hidupnya telah berhenti.

******

Dia memandang musuh utamanya itu.
“Engkau hendak membunuh aku Leo Niveus?”
Dia hanya tersenyum melihat Aliquam.
“Aliquam, masuklah engkau ke dalam agama ini.”
“Engkau berkata sedemikian sedang aku dalam tawananmu? Sampai mati pun tidak akan aku mengucup kepercayaanmu.”
Dia tetap mengekalkan senyuman. Tenang.
“Tuanku, apakah patut jika aku memeggal sahaja kepalanya?” Panglimanya, Angelus bersuara.
Menggeleng. “Sabar Angelus. Maka apakah bezanya kita dengan dia yang memusnahkan perkampungan Aurum itu?”
“Jadi tuanku, apakah arahan tuanku sekarang?”
Leo Niveus tersenyum lebar. Memandang Aliquam dengan pandangan yang bersinar.
“Ikat dia di tiang masjid yang baru kita bina di bandar ini.”
“Engkau hendak menyeksa aku Leo Niveus?” Aliquam menjerit.
“Tidak  Aliquam. Kami adalah manusia luar biasa, yang tindakan kami bukan semudah itu untuk engkau jangka.” Dia mengenyitkan mata. Tenang. Tanda jiwanya merdeka.

*******

Lima hari lima malam dia diikat pada sebatang tiang berhampiran dengan masjid yang baru dibina oleh musuh-musuhnya. Tetapi jangkaannya meleset, dia langsung tidak diseksa bahkan dilayan dengan baik. Makanan yang diberikan kepadanya adalah makanan yang terbaik, sedap. Memandangkan dia diikat, maka dia disuap.
Dia melihat musuh-musuhnya yang lima kali sehari akan berkumpul di masjid ini untuk beribadh. Bahkan ada pula darikalangan mereka yang kadangkala berlama-lama di masjid ini menambah ruku’ dan sujud kepada tuhan mereka.
Dia melihat wajah-wajah manusia ini punya ketenangan. Dan seakan dia mampu memerhatikan hati mereka, dia yakin jiwa-jiwa musuhnya juga adalah bahagia. Dia melihat mereka adalah yang hormat menghormati sesama sendiri, beradab, tetapi tidak pula rendah untuk dihina. Mereka adalah yang sederhana, tetapi tetap kemas dan bersih sentiasa. Ada ketinggian, dalam peribadi mereka.
Pada masa yang sama dia melihat bagaimana rakyat tinggalannya diadili. Semua tidak diperapa-apakan. Tentera-tenteranya yang ditawan turut diberikan peluang. Bagi yang memasuki Islam, dibebaskan. Bagi yang tidak mahu memasuki Islam, tetapi mahu tunduk dan taat di bawah pemerintahan mereka, juga dibebaskan. Hanya yang berdegil dengan kedua-dua keputusan sahaja, dibunuh. Selain itu, tiada pembunuhan dilakukan kepada sesiapa atas sebab apa sekalipun. Yang ada hanyalah keindahan.
Lebih mengharukan, Leo Niveus saban hari akan datang menziarahinya, duduk berjam-jam di hadapannya menemaninya.
Seperti sekarang.
“Bagaimana Aliquam? Masuklah ke dalam Islam.” Leo Niveus di hadapannya tersenyum seperti biasa. Lembut.
“Engkau hendak aku memasuki agamamu, dalam keadaan aku adalah tawanan?”
Leo Niveus kekal bersahaja. Tetapi nampaknya, hari ini sedikit berlainan. Tertawa kecil. Menggeleng. Apakah Leo Niveus akan menamatkan nyawanya?
“Pengawal..” Leo Niveus bersuara.
Apakah ini pengakhirannya?
“…Bebaskan Raja Aliquam.”
Dan pengawal-pengawal Leo Niveus taat. Tali yang mengikatkanya pada tiang dileraikan. Dia kini berdiri semula, bahkan Leo Niveus membantunya.
“Sekarang kamu bebas. Keluarlah dari kota ini jika engkau masih mahu meneruskan penentangan. InsyaAllah, kami bersedia bila-bila masa untuk menyambutnya.”
Dia memerhatikan Leo Niveus sedalam-dalamnya. Tidak berganjak. Lelaki ini, hampir sahaja dia tidak mampu membezakan lelaki itu dengan pengawal-pengawalnya kalau bukan kerana dia kenal akan wajah seorang Leo Niveus. Tetapi itu tidak pula merendahkan kredibiliti musuhnya itu.
“Leo Niveus, ceritakan kepada aku, mengapa kalian adalah sebegini?”
“Apa maksud engkau wahai Aliquam dengan ‘begini’?”
“Ajaib, begini. Seakan-akan tiada apa yang mampu menumbangkan kalian, merendah-rendahkan kalian, menggusarakan kalian.”
Dan kini dia melihat bibir Leo Niveus merekah dengan senyuman.
“Utusan Langit Terakhir, Rasulullah SAW yang kami imani bahawa dia adalah utusan daripada Allah SWT pernah bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya”
“’Begini’ itu, adalah ajaran dalam agama yang kami anuti. Tidak lebih, dan tidak kurang. Kerana kami beriman kepadaNya. Bila Dia memberi, kami mensyukuri. Bila Dia menguji, kami bersabar memperkuatkan diri.” Leo Niveus menyempurnakan.
Dia terjeda dengan jawapan yang diberikan.
Menyusup ke dalam jiwa.
Lebih-lebih lagi selepas apa yang dia perhatikan selama lima hari ini.
“Kalian, nyata satu kaum yang ajaib. Sekarang saksikanlah…” Yakin. Jiwanya yakin.
“Sesungguhnya aku naik saksi bahawa Allah itu adalah Rabb dan Ilah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu adalah Utusan Langit Terakhir yang membawa kebenaranNya.”
Dia melihat Leo Niveus terkejut, bersama dua pengawalnya.
Tetapi tidak lama. Kemudian air mata mengalir daripada lelaki itu, dan dia terus berada dalam dakapannya.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!”
Dia tersenyum. Dia masuk ke dalam agama mereka, disambut dengan tangis penuh gembira? Sedangkan Leo Niveus adalah seorang raja.
Ajaib manusia yang berada di dalam agama ini.
Dan dia ingin menjadi sebahagian dari kalangan mereka.
<credit by Hilal Asyraf>