Sambil menghabiskan mathurat,
Mata aku kabur. Penuhnya bertakung.
Hati aku berbisik, inikah cinta yang aku sedang rasa?
Anehnya bila cinta tidak lagi disandarkan pada apa yang boleh berubah di mata. Namun dipasakkan pada yang tidak zahir di dunia.
Minggu lalu, ada yang bergurau minta aku tuliskan novel cinta. Aku tergelak. Mana lah nak tahu tulis ayat-ayat cinta. Cinta pun tak tahu di mana. Ada di jiwa kah? Atau ada di syurga?
Bila diamati, cintaku sendiri banyaknya tersimpan, entah di mana. Barangkali jauh di hati yang paling dalam, barangkali juga jauh di atas sana dibiar menjadi rahsia si awan.
Tidak disuarakan, tidak dilepaskan.. namun semoga ialah yang paling kuat didengari Tuhan.
Aku kira, dapat bersama dengan orang yang kita cintai adalah rezeki.
Tidak bersama kerana ketetapan juga adalah pintu kepada kebahagiaan dalam menjadi hamba yang sejati.
Kerana bukankah manusia itu tidak memiliki?
Sedangkan dirinya tidak memiliki diri sendiri,
Untuk apa diambil cinta dan dijulang diangkat tinggi.
Cinta itu amat luas dan amat sulit difahami kerdilnya seorang manusia tanpa cahaya dari Rabbnya.
Ia bukan untuk dikotorkan remuk dan hitamnya jiwa kita.
Bukan untuk disempitkan hingga ia kehilangan makna.
Ia bukan untuk diambil manusia-manusia yang tamak haloba.
Cinta itu mulia,
Ia harus berdiri atas kebenaran dan menjadikan Allah sebagai matlamat utama selama-lamanya.
Lebih dari kita dan apa yang kita cintai di dunia.
Jangan katakan kau cinta, jika kau masih memikirkan dirimu dan tidak mendahulukan Dia.
Jangan katakan kau cinta, jika kau hanya mahu miliki apa yang kau cintai, membatasi apa yang Allah redhai.
Jangan katakan kau cinta, jika kau lebih cintai cintamu melebihi Allah yang maha mencintai!.
Bukankah meninggalkan cinta untuk cinta yang lebih besar di sana itu lebih benar cintanya dari bersama namun kehilangan cinta yang besar untuk selama-lamanya?
Kerana itu aku katakan, cinta itu sulit.
Sulit difahami oleh mereka yang tidak fahaminya.
Dan jika kau tanyakan aku lagi, di manakah aku menyembunyikan cinta,
Ketahuilah cintaku tersimpan jauh.
Allah dan rasul adalah maharnya.
Syurga adalah binaan mahligainya.
Syahid bertemu Allah adalah impian akhirnya.
Perjalanannya sukar namun aku tahu, itulah jalan bahagia.
Kerana itu seribu tahun pun aku akan menunggu, hingga cinta yang hakiki membawa aku pergi.
Menemui Dia yang abadi.
Sunset di perkarangan rumah,
Antara makhluk yang aku cintai, kerana ia membawa aku mencintai yang maha memiliki.
#cnp
#alifnunwaunymous