Pages

Monday, August 13

.Ber 'PKPK' (BTN).

Bersama Tok Wan dan ahli kump 06. Terbaikkkk..

Bismillah..

Menjadi kewajiban buat para pelajar yang bakal 'terbang' ke negeri orang untuk di'basuh' dan di'cuci' oleh orang-orang kuat BTN. Memang terbaik tazkirah depa. Baik dari segi pemikirannya, mahupun perilakunya. Termasuklah saya yang langsung tidak mengambil endah berkenaan negara. Apatah lagi POLITIK. Simpang malaikat 44.

Bagi saya, apa yang diperolehi disana tidak pernah saya perolehnya di luar. Bermula dari jasad ini mendaftar sehinggalah jasad ini keluar dari dewan peperiksaan. Mungkin berkat Ramadhan menyebabkan saya lebih mudah menyerap dan diserap.

Selama 5 hari 4 malam kami berkampung di sana, terlalu banyak kenangan yang kerap kali menjengah minda saya tanpa disuruh-suruh. Sungguh saya rindu BTN!!

Sekiranya ingin cerita satu persatu, sehingga esok pun belum tentu habisnya. Jadinya, slot yang paling saya sering kenang-kenangkan ialah slot ber 'PKPK' bersama Tok Wan tersayang. 

Panggilan 'Tok Wan' itu, saya yang punya kerja. Tak sengaja sebenarnya. Bertambah comel, apabila ahli lain turut serta memanggil panggilan keramat itu. Hehe *Senyum kambing*

Perwatakan Tok Wan yang tenang, menambahkan lagi sayang kami kepadanya. Bicaranya yang halus lagi tinggi ilmunya mampu membuatkan hati-hati tersentuh. Ungkapannya, jauh sekali memburukkan mahupun menjatuhkan yang lain. Apa yang penting baginya ialah Tanah air tercinta. Berkenaan politik?? jarang sekali disentuh. Lebih kepada tazkirah lagaknya.

Ingat lagi perkata pertama yang Tok Wan selitkan, "Pernahkah kita sedekahkan alFatihah kepada diri kita? Kita ini, semua orang alFatihah disedekahkan. Diri kita? Siapa lagi yang mahu sayang diri sendiri, jika bukan kita?" Dengan senyuman, Tok Wan memandang kami satu persatu.

Begitulah setiap kali slot PKPK. Sehabis mungkin kami akan ber'PKPK' maksud tersirat dan tersurat apa yang terkandung dalam bicara Tok Wan yang penuh madah pujangga itu. Dan setiap kali itu jugalah, kami akan terdiam dengan soalan-soalan Tok Wan yang berikan.

"Tok Wan ada soalan bodoh untuk kamu.." Senyuman terukir. Mata pen ditulis dipapan putih. "Soalan Tok Wan, pertama, 'Kenapa aku hidup?'. Kedua, 'Mengapa aku dihidupkan?'. Ketiga, 'Untuk siapa aku hidup?'"
dengan nada yang tidak terlalu tinggi Tok Wan mengharapkan jawapan daripada kami.

"Erk....." 

"Macam sama aja soalannya Tok Wan". Seorang ahli kami mencelah.

"Kita hidup untuk Allah. Dan beribadah kepadaNya." Jawab seorang lagi ahli berserta dalil dengan yakinnya.

Tok Wan menggeleng. "Kita hidup bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita." balas Tok Wan. Satu perkataan ditulis pada papan putih.

AMANAH.

"Kita hidup kerana amanah yang kita pikul. Kita akan dihidupkan kerana amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Serta kita diamanahkan terhadap manusia sekalian alam ini." Nah, itulah jawapan Tok Wan yang begitu tinggi bahasanya. Seperti biasa, kami mengangguk tanda setuju dan puas hati dengan jawapan yang diberikan.

Waktu lain pula, kami ditujah lagi dengan soalan yang super power dari Tok Wan. "Mengapa 'solat' dikatakan sebagai tiang agama? Mengapa tidak syahadah? Mengapa tidak puasa? Mengapa tidak zakat? Mengapa tidak haji?" Seperti tusukan pedang ke dada kami yang bakal bergelar ustaz dan ustazah ini.

Kami berpandangan sesama sendiri. Akal ligat mencari jawapan. Susah bebeno soalan Tok Wan ni. Nampaknya, seperti biasa telinga ditadahkan menerima tazkirah ilmu dari Tok Wan.

Tangan ditekupkan. "Sebenarnya, kelima-lima rukun Islam merangkumi dengan solat sebagai tiang agama." 

"Eh?"

"Maksudnya Tok Wan?" 

Keterujaan kami terserlah. "Mari sama-sama kita berPKPK. Di dalam solat, ada syahadah?"

"Ada..." kami menjawab.

"Di dalam solat, ada puasa?" soal Tok Wan lagi.

"Ada kot.." 

"Habis, kamu solat boleh makan? Terselit makanan dicelah gigi pun boleh batal solat jika kamu menelannya. Puasalah tu." Kami tersengih-sengih seperti kerang busuk. "Di dalam solat, ada zakat?"

Kami bingung. Bila masa kami keluarkan wang?

"Hmm, kamu zakat dari segi hamba kepada TuhanNya.." Jawab Tok Wan memintas persoalan hati kami.

"Di dalam solat ada haji?" Erkkkkk.. tak faham betullah Tok Wan ni.

"Habis, kamu solat itu menghadap mana jika bukan ke Baitullah...Allahuakbar."

Sungguh saya seakan terpana dengan jawapan Tok Wan itu. Semua jawapan itu saya salin semula. "Sebab itulah, hadis Rasulullah s.a.w mengatakan 'Solat itu tiang agama'.." Tok Wan senyum melihat kami.

"Begitulah cara Tok Wan mengaji. Kita perlu juga mengkaji. Nasihat Tok Wan, pergi ke sana timbalah sesungguh hati mencari ilmu keTuhanan. Kenallah Dia, bermula dengan Makrifatullah." Tersentuh hati saya mendengar patah bicara Tok Wan.

Betapa saya bersyukur dikurniakan Tok Wan sebagai Fasilitator kumpulan kami. Lebih ruhi dari jasadi. Sehingga nota saya lebih banyak tazkirah Tok Wan daripada perbincangan Gagasan 1 Malaysia serta yang seangkatan dengannya.

Selain itu, soal Tok Wan lagi, "Mengapa manusia ini diberi nama Adam dan tujuan dihidupkan menyembah Allah?"

Anda rasa mengapa Adam? Any answer? 

Jangkaan Tok Wan benar. Sememangnya kami tiada jawapan. "Cara kita menyembah Allah dengan bersolat kepadaNya. Maka ketika kita solat itu, bentuk apa yang terukir daripada pergerakan solat itu?"

"Aliff. Dhal. Aliff. Mim." Jawab kami penuh semangat.

Tok Wan mengangguk. "PKPK lah. Sama dengan awal penciptaan manusia, diberi nama ADAM." Subhanallah. Tidak boleh hendak kata tidak logik dengan jawapan yang Tok Wan berikan.

Sebenarnya banyak lagi ilmu yang Tok Wan turunkan. Namun, ini saja yang dapat saya kongsikan. Selebihnya agak rumit untuk diterangkan. Mudah-mudahan Allah memberikan kefahaman dengan apa yang disampaikan.

Anda rasa seronok tak dengan BTN yang saya lalui? Seronokkan? Terasa roh diberi makanan.. Mungkin atas faktor kami tidak bergaul bebas. Hanya had berbincang dalam kumpulan, tidak lebih dari itu. Syukur pada Allah. Maka seharusnya barakah itu disusuli seiring dengan keberkatan perjalanan program.

Mutiara kata Tok Wan yang terakhir kepada kami, "Biarlah apa sekalipun sikap dan ujian dalam politik yang kita hadapi, sayangilah bangsa, agama, dan negara kita. Ini tanah air kita. Orang cina, dia boleh lari balik ke negara asalnya. Orang India, dia juga boleh lari ke negara asalnya. Kita? PKPK lah..." 

Benar apa yang dikatakan Tok Wan. Baru saya tersedar, selama ini acap kali kita mendoakan kesejahteraan negara Islam yang lain. Jauh sekali melupakan. Namun, negara sendiri terlupa untuk kita doakan. Kesejahteraan yang dialami kini, apakah kita yakin kan selamanya seperti ini? 

Ya Rabb, peliharalah kesejahteraan dan keamanan negara ku ini. Semoga bangkitnya Islam melalui pemimpin yang benar dan selayaknya meninggikan Islam di mata dunia ini. Ameen








Monday, August 6

.TAQWA Awards!


Bismillah..

Hanya tinggal separuh masa kedua....

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini? Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena! Andai kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun, kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan.

Mereka tidak henti-henti menyerang. Sedangkan pertahanan kita semakin keletihan.

Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kita di zon selamat.

Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, kamu diambang KEKALAHAN. Piala Taqwa, bakal jatuh ke tangan pihak lawan, yakni Pasukan Nafsu yang tidak pernah mengenal erti ketaqwaan itu sendiri. Malah untuk mengenangnya, jauh sekali.

Ia hanya mahu merampas Piala Taqwa dari genggaman kita bertahun-tahun. Ia juga mahu melihat, Piala Taqwa itu tidak berada ditangan kita

Apakah musim depan kita berpeluang untuk masuk ke gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. 

Masa lalu telah berlalu, masa hadapan kitalah penentu!

Apakah masih ada ruang untuk berlengah? Anda punya jawapan sendiri..

"Taranformasi Ramadhan"





Saturday, August 4

.Masa Ramadhan kita bazirkan?



Bismillah..

Peringatan yang menyentap lagi tersentap!
Terasa pedih hingga ke ulu hati..

Allahuakbar..

Wednesday, August 1

.Si Bear 9 bulan.


Bismillah..

Apa yang mampu anda gambarkan berkenaan gambar di atas? Ahha, itulah situasi yang saya alami kini. Setelah hampir 9 bulan saya menjalani satu 'therapy' yang mungkin saja berbeza daripada sahabat saya yang lain. Jika dibandingan kondisi mereka dan saya cukup berbeza.

Setelah tamatnya SPM, keluarga saya berpindah buat kesekian kalinya di Penang, setelah merata tempat di semenanjung ini kami bertapa mempelajari kehidupan. Dari nun selatan, saya bertapak di utara. Dari utara, saya terbang ke bumi 'kutub utara'. Sebelum ke bumi 'kutub utara', saya menjejak sebentar di bumi anbiya'. Dari bumi 'kutub utara', saya menjelajah negeri seberangnya. Akhirnya, kembali semula ke penempatan asal. Malah sentiasa berlegar-legar di kawasan semenanjung ini.

Sehinggakan, apabila dicongak waktu, hari dan tarikh, sudah hampir 9 bulan saya tidak mendapat panggilan bagi menyambung pelajaran ke Institut Pengajian tinggi. Wanita yang mengandung juga, pastinya sedang sarat kandungannya lagak Si Bear di atas.

Hati yang kecewa, didiamkan. Hati yang resah, ditenangkan. Hati yang sakit diubatkan dengan zikrullah. Terus-terusan bersangka baik dengan Allah.

UPU dimohon, permohonan tidak diterima. Matriks dimohon, jawapannya juga mengecewakan. Semakin lama, hati mula goyah. "Sampai bila aku harus begini?".

Melihatkan mereka sudah berada di IPT, masakan saya tidak cemburu. Hakikatnya, sangat mencemburui dengan ilmu yang sedang mereka perolehi. Tidak kira apa jua bidang mahupun di mana jua mereka di tempatkan. Tujuannya satu, mempelajari ilmu Allah. Malah, seluruh alam semesta ini, mendoakan mereka yang berjihad dalam menuntut ilmu!

Saya? *Geleng kepala. Senyum. Saya, memenuhkan dada ini dengan sepenuhnya kecintaan kepada keluarga saya. Ya, inilah masanya. Home sweet home! Lain waktunya, membina pewaris kepimpinan di Itqan menjadi amanah saya. Begitulah kehidupan.

Pada awalnya juga, saya menerima tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke Turki. Namun, saya tolak atas beberapa faktor. Tinggallah dua pilihan, sama ada mengisi borang permohonan ke Morocco ataupun ke Jordan. Keduanya, dalam bidang syariah. Maka ke Morocco juga, saya menolak ke tepi atas beberapa faktor. Tinggallah satu-satunya penantian sebuah keputusan. Pendek kata, 'kalah mati'.

Berbulan menunggu, akhirnya!

"Angah, ada surat untuk angah." Tangan terus mencapai surat dari Ummi. Teruja. Hati berbunga ceria saat membukanya. Bait-bait perkataan dibaca dengan penuh teliti.

KURSUS KENEGARAAN MAHASISWA PELAJAR-PELAJAR KE LUAR NEGARA

Sebak.

Seksanya sebuah penantian.

Senarai pelajar yang bakal ke Jordan dibawah pengelolaan JAIPP seramai 32 orang. Tertera nama di situ. Tidak syak lagi. Itulah nama saya.

Hati memanjatkan kesyukuran kepadanya. Subhanallah wa alhamdulillah.

Di bulan barakah ini, Allah menghadiahkan saya keputusan yang ditetapkan olehNya. Betapa besarnya hikmah Allah s.w.t. Ditutup semua pintu dan ruang di sini, agar saya tidak ragu untuk ke sana. InsyaAllah. Terima kasih juga, kepada kalian yang tidak jemu mendoakan saya dan memberi kata semangat buat hamba yang kerdil ini.

Duhai Bumi Anbiya', terimalah aku sebagai tetamu bagi menuntut ilmu Penciptaku juga Penciptamu..

Allahuakbar.