Pages

Tuesday, June 12

.Ajaib.

Melangkah ke arah keajaiban dengan pergi kepadaNya!


Dia berlari pantas. Jantungnya berdegup kencang. Pandangannya kabur, dek air mata yang masih deras melimpah. Dia cuba untuk memecut lebih laju, tetapi sudah berada di batas kudratnya. Bersungguh, untuk menyampaikan satu berita.
Dia perasan manusia di sekeliling sedang memerhatikannya. Tidak dia pedulikan. Yang dia tahu, dia mahu sampai ke tempat tujuan. Dia merasakan dirinya sudah semakin hampir. Walaupun hakikatnya tempat ini adalah asing buat dirinya. Ibu Kota Langit Tinggi, bandar utama di bawah pemerintahan Kerajaan Islam Leo Niveus, pertama kali dijejakinya.
Berhenti. Termengah-mengah. Kiri kanan ditoleh.
Tidak nampak apa yang dicari. Yang dijangkanya patut dapat dilihat jika sampai ke ibu kota. Dia menundukkan kepala. Cuba melegakan dada yang sendat.
“Tuan, maafkan kami. Ada apa-apa yang kami boleh bantu?” Suara tegas tetapi bernada mesra kedengaran menggetarkan gegendang telinga. Terus dia mengangkat wajah. Dua lelaki berpakaian tentera, sedang berada di hadapannya.
Terus dia mencengkam kedua-dua belah bahu salah seorang daripada mereka.
“Tolong! Tolong! Tunjukkan aku di manakah Istana Leo Niveus!”
Mata tentera yang dicengkamnya membesar.
“Em, Leo Niveus tidak mempunyai istana.” Tentera itu berbicara lembut. Memegang semula kedua-dua tangannya lembut, menjauhkan dari bahu.
Matanya membesar. “Leo Niveus tidak mempunyai istana? Aku dengar di sinilah Kerajaan Islam yang mengetuai semua penganut agama kita. Mustahil dia tidak mempunyai istana.” Dia meninggikan suara.
“Leo Niveus hanya tinggal pada rumah kecil di hujung bandar ini. Apakah hajat tuan sebenarnya? Tuan nampak seperti diburu garuda.”
“Ya. Seluruh kampungku di perbatasan sudah menjadi padang jarak padang tekukur.”
“Benarkah?” Kedua-dua tentera seperti tidak percaya.
Dia mengangguk beberapa kali pantas. “Jeneral yang menyerang perkampunganku berkata, mereka hendak membersihkan sampah dari muka bumi ini.”
“Mari, kita bertemu Tuanku Leo sekarang!”
Terus tangannya dipimpin tentera itu, bergerak menghadap raja tanpa istana.

******

Di perkarangan masjid mereka berkumpul. Suasana kelihatan tegang. Kerana yang berkumpul itu adalah yang berpakaian perang. Kalau dipandang dari hadapan tempat keluar para jemaah, hampir sahaja tidak terlihat penghujungnya. 50,000 orang. Itulah bilangan mereka. Panji-panji berkibar megah tanda bersedia.
Bertentangan dengan semua itu, seorang lelaki berpakaian sederhana, baju tanpa kolar berbentu ‘V’, lengan panjang, dan berseluar labuh dengan sebilah pedang tersandang pada pinggang, berselipar jerami, duduk di atas sebuah bangku kecil.
“Kerajaan Lorem Cornicem ya?” Lelaki berambut kemas dengan beberapa helai terjuntai pada dahi itu menghela nafas lemah. Seakan kecewa.
Dia yang melapor mengangguk.
“Siapa namamu wahai lelaki?”
“Aurum.”
“Kerajaan Lorem Cornicem pimpinan Raja Aliquam itu adalah satu kerajaan yang besar dan kuat. Selama ini, kita mempunyai perjanjian damai dengan mereka bagi menjaga keamanan. Nampaknya dengan menyerang perkampungan kamu, mereka hendak menyatakan bahawa mereka telah menjadi kuat dan tidak lagi memerlukan perdamaian dengan kita.” Lelaki itu memegang dagunya yang berjanggut nipis, gaya berfikir.
Kemudian dia terus bangun. Menghadap semua tentera.
“Wahai Aurum. Perhatikanlah ini semua. Semuanya untuk menebus maruah agamamu yang terpijak. Sampah yang sebenar adalah yang tidak tunduk kepadaNya. Aku Leo Niveus, akan menunjukkan kepada mereka bagaimanakah sebenarnya manusia yang beriman kepadaNya.”
Leo Niveus menghunuskan senjata. Mengacungnya ke udara.
“Maju. Kita akan ‘mendidik’ mereka.” Leo Niveus melaung dengan suara yang tinggi.
“Takbir!” Seorang tentera melaung.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Bergegar suasana dengan gema takbir seluruh tentera.
Bulu roma Aurum menegak melihat apa yang ada di hadapan matanya. Terasa jiwanya kembang. Kesedihannya seakan sedang disapu pergi. Kini matanya menangkap Leo Niveus yang sedang menyarung zirah perangnya.
“Tuanku, tuanku turun sekali?” Sangkanya raja hanya duduk di istana.
“Bukankah itu tenteraku, sedang bersabung nyawa? Mustahil aku sekadar duduk di sini menunggu berita, sekiranya aku punya masa.” Leo Niveus memegang topi perangnya, dan menyarung pada kepalanya.
“Tambahan, mereka menggelar yang beriman kepadaNya adalah sampah, dan ingin pula membersihkannya. Maka mustahil sebagai ketua mereka yang beriman kepadaNya, aku tidak turun untuk memberikan pengajaran kepada mereka.” Bahu Aurum ditepuk, sebelum Leo Niveus bergerak ke arah seekor kuda hitam yang besar, dan menaikinya.
Aurum membeliakkan mata.
Manusia apakah ini?
Dia tidak punya istana, tetapi jiwanya seperti tidak akan mampu dibeli walau yang digadaikan adalah dunia.

*******

Dia bergerak melangkah ke singgahsana dengan gagah. Sedikit pun dia tidak menoleh kiri dan kanan. Hanya memijak pada permaidani merah. Keyakinan mengiringi, kerana dia tahu dia punya Ilahi. Datang kosong tanpa senjata, kerana itu adalah syaratnya untuk menghadap Sang Raja.
Aliquam. Itu nama Raja yang kini sedang berada di atas singgahsana, menerima kehadirannya.
“Amat berani kalian mengetuk pintu kota istana aku. Apakah kalian gila hendak menjemput kematian dengan segera?” Suara Aliquam yang tinggi menyambutnya.
Dia tenang. Menggeleng.
“Raja Aliquam. Kami datang adalah untuk menebus maruah yang telah dicalarkan oleh engkau.” Kedua-dua tangannya bersatu di belakang tubuh. Teguh. Biar itulah yang dilihat oleh sesiapa yang melihatnya sekarang. Kerana dia bukan membawa imejnya sekarang. Dia sedang membawa imej ummah.
“Hahaha. Menebus maruah? Dengan kekuatan kalian yang rendah?” Berdekah-dekah tawa Aliquam. Hingga memegang perut tanda senak terlalu kuat ketawa. Menghina.
Dia kekal tenang. Sedikit pun dahinya tidak berkerut, atau wajahnya menunjukkan rasa terhina.
“Apa yang kalian mahukan sebenarnya? Kalau mahu emas, aku ada untuk memberikannya. Kalau mahu wanita, aku ada ramai untuk kamu semua melempiaskan nafsu ke atas mereka. Buat apa bergadai nyawa menentang aku, yang kalian tahu mempunyai kekuatan yang tidak terkira.”
“Raja Aliquam, kami ini adalah satu kaum, yang datang ke mari untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan terhadap Pencipta Manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, daripada korupsi agama-agama kepada keadilan Islam. Maka hari ini, kami adalah untuk memenuhi perkara itu.” Dia melafaz bicara penuh yakin. Di dalam jiwa tiada ragu.
Dia dapat melihat mata Raja Aliquam membesar. Mungkin jiwa raja itu tersentak dengan bicaranya.
“Engkau, siapakah nama engkau, dan apakah engkau salah seorang dari panglima Leo Niveus?”
Dia menggeleng.
“Namaku adalah Maxima, dan aku hanyalah seorang prebet.” Dia menjawab gagah. Sedikit pun tidak merasa rendah.
Aliquam menepuk pemegang kerusinya. Mata terbelalak. “Tentera biasa? Gila. Bicaramu ibarat seorang panglima.”
“Kerana kami semua adalah ajaib, luar biasa. Pilihan di tangan engkau sekarang, Raja Aliquam. Menyerah, atau bersedia untuk bermandi darah.” Maxima sampai kepada tujuan kehadirannya. Memberikan pilihan kepada Raja Aliquam.
“Jangan fikir aku akan menyerah.”
“Maka bersedialah untuk memerhatikan kami membersihkan kamu.”
“Jangan fikir hamba kerdil seperti kalian mampu memperapa-apakan kami!” Raja Aliquam menjerit emosi.
“Kami memang hamba yang kerdil. Tetapi kerdil hanya kepadaNya. Kepada kalian, kami sentiasa adalah yang luar biasa.” Maxima berpaling, melangkah keluar dari balai singgahsana.
Perang.

******

Dia memerhatikan benteng kukuh Bandar Lorem Cornicem. Tinggi. Tebal. Hanya ada satu pintu masuk. Gerbang utama yang besar. Belum dikira pula tentera-tentera pihak lawan yang ramai melebihi bilangan mereka. Tiga kali ganda, 150,000 orang.
“Bagaimana Panglima Angelus?” Seorang tenteranya bertanya kerisauan. “Pertahan mereka sangat kukuh, dan bilangan mereka pula teramat ramai.”
Angelus menggaris senyuman. Menggeleng. “Sedikitnya mereka, apabila ditewaskan.”
Kemudian dia menoleh ke belakang, kelihatan rajanya Leo Niveus sedang berbicara dengan beberapa tentera di barisan hadapan. Dia bergerak mendapatkan rajanya yang berada di atas kuda itu.
“Tuanku, kita sudah boleh mulakan sekarang.” Dia mendongak.
Leo Niveus mengangguk. Terus rajanya itu memacu kudanya, bergerak.
“Oh yang beriman kepadaNya. Hari apakah ini?”
“Rabu!”
Dia melihat Leo Niveus menggeleng. Dia pun sebenarnya agak kehairanan dengan soalan itu. Mengapa bertanya akan hari? Dan apabila para tentera menjawab dengan tepat, mengapa rajanya menyatakan itu adalah salah pula?
“Hari ini, adalah Hari Agama Allah akan terangkat mulia di hadapan mereka!” Leo Niveus menghunus pedang dan mengacunya ke arah Bandar Lorem Cornicem.
Angelus seperti terpukul dengan laungan itu. Dan Angelus yakin seratus peratus, apa yang jiwanya rasa, dirasai juga oleh seluruh tentera. Itu dapat dibuktikan dengan jeritan semangat dan hentakan kaki para tentera. Bumi serta merta bergegar, dan langit seakan-akan hendak runtuh dengan suasana yang ada.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.”
“Maka sekarang, persembahkan keajaiban yang beriman kepadaNya ini, kepada mereka!”
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!”
“Dengan nama Allah, bergeraklah!” Leo Niveus melaung sambil kudanya mengangkat kedua-dua belah kaki hadapan. Pedang rajanya itu mengacu ke arah Bandar.
Sekali lagi bumi bergegar, dengan gerakan tentera. Seakan-akan ada raksasa yang bergerak, untuk menghapuskan sebuah kota.
Angelus tersenyum. Memang mereka sedikit. Tetapi mereka tidak gentar. Kerana mereka adalah ajaib. Maka tiada apa yang mampu menggegar.
“Angelus, kawal tenteramu.” Bahunya ditepuk. Rakannya, Aquilae mengenyitkan mata. Seorang panglima sepertinya juga.
“Kamu juga sama,”
Terus Angelus bergerak mendapatkan kudanya.
Bergerak untuk menumbangkan musuhnya.

******

Medan bergegar dengan pelbagai bunyi. Dentingan senjata bertemu adalah musik normal yang mengiringi. Letupan daripada manjanik-manjanik menambah gempita suasana. Belum dikira dengan bunyi luncuran panah yang mengilukan telinga.
Tenteranya semakin berkurangan. Tentera musuh masih ampuh seperti tidak akan mampu ditumbangkan. Benteng kuat Lorem Cornicem nyata tidak mampu ditembusi.
“Aquilae!” Satu suara menyeru namanya. Dia menoleh di tengah gempita peperangan. Terkejut dengan apa yang dilihatnya.
“Tuanku!”
Rajanya itu sedang berusaha bergerak ke arahnya. Tiba-tiba ada dua tentera musuh bersenjatakan tombak menghalang. Tetapi Leo Niveus lincah mengelak tujahan musuh. Pedang dan sarung menjadi senjata kembarnya. Kedua-dua tombak kini mencium tanah dengan batang ditekan kedua-dua senjata pada tangan rajanya. Terus rajanya menggerakkan kedua-dua senjata itu pada arah berlawanan, menjamu wajah kedua-dua penyerangnya.
Satu tercantas dijamu bilah mata pedang, seorang lagi terundur beberapa tapak kerana dipukul sarung. Tetapi nyawanya juga tidak panjang, rajanya terus menuruti pukulan itu dengan tusukan kematian daripada pedangnya. Tumbang kedua-dua musuh yang menghalang.
Aquilae tersengih sendiri. Menggeleng. Rajanya bukan raja biasa yang sekadar duduk berehat di istana dan pandai mengarah. Rajanya adalah antara tempat berlindung terampuh, tatkala peperangan berada pada kemuncaknya.
“Bagaimana situasi sekarang Aquilae?” Rajanya bertanya apabila mereka merapat. Mengambil perlindungan pada satu kubu yang dibina dari perisai tentera yang lain.
“Kita tidak dapat menembusi benteng mereka tuanku. Tentera kita yang cuba memasuki menaiki tangga juga tidak berjaya. Semuanya dengan mudah dijatuhkan mereka. Manjanik kita juga tidak mampu merobohkan pintu mereka. Tebal.”
“Maka kita perlukan sesuatu yang lebih drastik dan mengejutkan.” Leo Niveus seperti berfikir.
“Ah, aku juga tidak dapat memikirkannya. Ya Allah!” Leo Niveus mengetuk dahinya. Seperti memaksa untuk keluarnya idea. Gagal.
Tiba-tiba Aquilae terfikirkan sesuatu. Ada satu strategi, menjengah mindanya. Berani mati.
“Tuanku. Lemparkanlah saya ke balik Bandar. Saya buka dari dalam.”
Dia dapat melihat dahi rajanya berkerut.
“Engkau akan menemui ajal.”
“Bukankah itu cita-cita yang membuatkan kita ini luar biasa tuanku?” Hatinya yakin tanpa ragu dengan keputusan itu.
Dia melihat rajanya memalingkan wajah dan berdiam seketika. Bunyi suasana perang mengisi renggang. Kemudian rajanya memandangnya semula.
“Semoga Allah bersama kamu.” Bahunya ditepuk. Dia tersenyum.
Terus Aquilae berlari pantas ke salah satu manjanik. Mendapatkan tentera yang mengawal senjata itu.
“Lontarkan aku.”
“Hah?”
“Lontarkan aku ke balik pintu.”
“Apakah tuan panglima telah gila?”
Aquilae menggeleng. “Ini hanyalah tindakan biasa, bagi orang yang luar biasa. Aku mengimpikan hari ini untuk tiba, dan Allah telah menyediakannya di hadapan mata.”
Bahu askar itu ditepuk. “Cepat. Jika tidak, kita akan tewas.” Terus dia masuk ke tempat untuk melontarkan batu.
“Bukankah tuan panglima hanya akan jatuh mencium bumi dan mati nanti?” Askar itu kembali mendapatkannya.
“Tidak. Tentera mereka ibarat rumput yang menghampar bumi. Aku akan jatuh ke atas mereka.”
“Tetap tuan panglima akan mati kerana ramainya mereka.”
Aquilae tersenyum. “Kalau aku mati, aku mati dengan membuka pintu itu untuk melorongkan kemenangan buat kamu.” Mengenyitkan mata.
“Semoga Allah bersama Tuan panglima.”
“Semoga Allah bersama kita semua.”
Askar itu terus ke tempat pelancar.
“Tuan telah bersedia?” Melaung tanya.
“Ya.” Aquilae menyilang kedua belah tangan pada dada. Hatinya kini memohojn agar Allah mempermudahkan urusannya. Merealisasikan strateginya.
“Lancar!” Dan suara Askar itu hanya mampu didengarinya sementara, sebelum seluruh pandangannya sekadar dihidangkan dengan putih biru warna langit yang bersulamkan awanan. Sejuk, angin menderu, tetapi dia yang seperti melawan semuanya.
Perlahan-lahan, dia merasakan tubuhnya menjunam. Dia mula memandang ke bawah. Dia kini telah melepasi pintu utama kota. Dia mula turun ke bawah. Benar seperti jangkaannya, bumi di balik pintu penuh hanya dengan tentera-tentera Aliquam. Jadi dia akan jatuh di atas mereka.
“Mesti memberikan mereka persembahan yang terbaik. Inilah dia manusia yang beriman kepadaNya!” Pedang dihunus. Sarung pedang dipegang kemas pada tangan kiri. Dia menjunam seperti meteor.
Terus turun dengan menusuk senjatanya pada salah seorang tentera, menjadikan tubuh askar itu seperti tilam dan dia berguling bagi mengurangkan daya kejatuhannya. Dia tidak cedera!
Tetapi kini dia dikelilingi tentera musuh yang tidak terkira bilangannya, dan dia seorang sahaja.
Senyum.
“Menarik.”
Terus dia berlari menuju ke arah pembuka pintu. Tentera-tentera musuh gempar dengan kehadirannya yang tidak disangka-sangka. Semua tertumpu kepadanya kini. Aquilae menebas kiri dan kanan seperti lalang. Namun dia sendiri tidak dapat mengelak libasan dan tusukan senjata musuh yang tidak terkira. Tubuhnya mula luka di sini dan sana. Darah bersemberusan, bercampur darahnya dan musuh yang ditumbangkan.
Dia semakin hampir dengan alat pembuka pintu gerbang.
“Allahuakbar!” Aquilae melaung garang. Beberapa tentera yang berbaki menghalang laluannya dicantas tanpa berfikir panjang. Tumbang. Kini tiada yang menghalangnya dari pembuka pintu. Terus dicantasnya tali yang mengikat alat pembuka pintu. Alat itu berputar pantas.
Senyuman menghiasi wajah.
“Hentikan alat itu. Hentikan!”
Terus Aquilae berpaling, menghadap sekalian musuh yang kalau dari pandangannya, ibarat lautan itu. Menggeleng. “Kamu tidak akan sesekali menghentikan putaran alat ini.” Kedua-dua belah tangannya didepangkan paras pinggang, dengan kedua-duanya erat memegang sarung dan pedang.
“Dengan nama Allah, tiada seorang pun tidak akan melepasi aku.”
“Matilah!” Tentera-tentera musuh menggempur.
“Allahuakbar!” Aquilae bergerak membalas gempuran. Ibarat seekor semut melawan hentaman seekor gajah. Beberapa orang di hadapan Aquilae tumbang, digantikan pula dengan yang lain. Pemegang-pemegang tombak menusuk. Dada Aquilae mula menjadi mangsa. Darahnya tersembur. Tetapi dia tidak pula berhenti. Memotong batang tombak itu dengan pedangnya, dan meneruskan lagi perlawanan. Kepalanya pula dihentak sarung pedang musuh. Sakit. Tetapi tidak dihiraukan. Penentangan diteruskan. Bahkan yang menghentaknya tadi telah tumbang apabila menerima tusukan. Musuh tumbang dan tumbang. Mula membukit dan dia berdiri di atas mereka.
“Allahuakbar!” Melaung lagi. Itulah kekuatannya. Darah mula mencucur dari kepalanya, dari dadanya. Dan zirah panglimanya sudah mula koyak, dan calar balar. Tubuhnya sendiri mula bergetar kerana kehilangan darah yang banyak. Bibirnya menggeletar. Mula terasa sejuk. Dia sudah terasa seperti hendak tumbang. Tetapi pantas dicapainya sebatang tombak, memacakkannya dan bersandar pada belakang tombak itu. Tidak sekali mahu tumbang, di hadapan musuh-musuhnya.
Namun tiada musuh yang berani mendekatinya kini.
Pada pandangannya yang semakin kabur itu, semua musuhnya mula berundur setapak demi setapak.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Gempita suara daripada tenteranya kedengaran. Bibir mengukir senyuman.
“Allahuakbar. Siapakah lagi yang hendak merendah-rendahkan Engkau wahai Ilahi, selepas melihat hambaMu ini?” Perlahan dia bersuara sendiri.
“Aquilae, Aquilae!” Suara Angelus menusuk telinga. Terasa tubuhnya dipeluk.
“Bagaimanakah kita?”
“Dengan terbukanya pintu itu, kemenangan telah menjadi milik kita.”
Sengih. “Alhamdulillah.” Dia mula memejamkan mata.
“Hei Angelus.”
“Ya sahabatku.” Dia masih dapat merasakan tangannya dipegang erat.
“Aku menang. Aku dapat bertemu Allah dahulu sebagai syuhada’.”
“Haha.” Kedengaran serak sebak suara Angelus. “Jangan bermimpi. Telah ramai sahabat kita yang lain tumbang terlebih dahulu mendahuluimu.”
“Sekurang-kurangnya, aku menang dengan kamu Angelus.”
Dan perlahan-lahan dia merasa tubuhnya ringan.
Gelap. Tidak lagi merasai kehadiran Angelus di sisi.
Hidupnya telah berhenti.

******

Dia memandang musuh utamanya itu.
“Engkau hendak membunuh aku Leo Niveus?”
Dia hanya tersenyum melihat Aliquam.
“Aliquam, masuklah engkau ke dalam agama ini.”
“Engkau berkata sedemikian sedang aku dalam tawananmu? Sampai mati pun tidak akan aku mengucup kepercayaanmu.”
Dia tetap mengekalkan senyuman. Tenang.
“Tuanku, apakah patut jika aku memeggal sahaja kepalanya?” Panglimanya, Angelus bersuara.
Menggeleng. “Sabar Angelus. Maka apakah bezanya kita dengan dia yang memusnahkan perkampungan Aurum itu?”
“Jadi tuanku, apakah arahan tuanku sekarang?”
Leo Niveus tersenyum lebar. Memandang Aliquam dengan pandangan yang bersinar.
“Ikat dia di tiang masjid yang baru kita bina di bandar ini.”
“Engkau hendak menyeksa aku Leo Niveus?” Aliquam menjerit.
“Tidak  Aliquam. Kami adalah manusia luar biasa, yang tindakan kami bukan semudah itu untuk engkau jangka.” Dia mengenyitkan mata. Tenang. Tanda jiwanya merdeka.

*******

Lima hari lima malam dia diikat pada sebatang tiang berhampiran dengan masjid yang baru dibina oleh musuh-musuhnya. Tetapi jangkaannya meleset, dia langsung tidak diseksa bahkan dilayan dengan baik. Makanan yang diberikan kepadanya adalah makanan yang terbaik, sedap. Memandangkan dia diikat, maka dia disuap.
Dia melihat musuh-musuhnya yang lima kali sehari akan berkumpul di masjid ini untuk beribadh. Bahkan ada pula darikalangan mereka yang kadangkala berlama-lama di masjid ini menambah ruku’ dan sujud kepada tuhan mereka.
Dia melihat wajah-wajah manusia ini punya ketenangan. Dan seakan dia mampu memerhatikan hati mereka, dia yakin jiwa-jiwa musuhnya juga adalah bahagia. Dia melihat mereka adalah yang hormat menghormati sesama sendiri, beradab, tetapi tidak pula rendah untuk dihina. Mereka adalah yang sederhana, tetapi tetap kemas dan bersih sentiasa. Ada ketinggian, dalam peribadi mereka.
Pada masa yang sama dia melihat bagaimana rakyat tinggalannya diadili. Semua tidak diperapa-apakan. Tentera-tenteranya yang ditawan turut diberikan peluang. Bagi yang memasuki Islam, dibebaskan. Bagi yang tidak mahu memasuki Islam, tetapi mahu tunduk dan taat di bawah pemerintahan mereka, juga dibebaskan. Hanya yang berdegil dengan kedua-dua keputusan sahaja, dibunuh. Selain itu, tiada pembunuhan dilakukan kepada sesiapa atas sebab apa sekalipun. Yang ada hanyalah keindahan.
Lebih mengharukan, Leo Niveus saban hari akan datang menziarahinya, duduk berjam-jam di hadapannya menemaninya.
Seperti sekarang.
“Bagaimana Aliquam? Masuklah ke dalam Islam.” Leo Niveus di hadapannya tersenyum seperti biasa. Lembut.
“Engkau hendak aku memasuki agamamu, dalam keadaan aku adalah tawanan?”
Leo Niveus kekal bersahaja. Tetapi nampaknya, hari ini sedikit berlainan. Tertawa kecil. Menggeleng. Apakah Leo Niveus akan menamatkan nyawanya?
“Pengawal..” Leo Niveus bersuara.
Apakah ini pengakhirannya?
“…Bebaskan Raja Aliquam.”
Dan pengawal-pengawal Leo Niveus taat. Tali yang mengikatkanya pada tiang dileraikan. Dia kini berdiri semula, bahkan Leo Niveus membantunya.
“Sekarang kamu bebas. Keluarlah dari kota ini jika engkau masih mahu meneruskan penentangan. InsyaAllah, kami bersedia bila-bila masa untuk menyambutnya.”
Dia memerhatikan Leo Niveus sedalam-dalamnya. Tidak berganjak. Lelaki ini, hampir sahaja dia tidak mampu membezakan lelaki itu dengan pengawal-pengawalnya kalau bukan kerana dia kenal akan wajah seorang Leo Niveus. Tetapi itu tidak pula merendahkan kredibiliti musuhnya itu.
“Leo Niveus, ceritakan kepada aku, mengapa kalian adalah sebegini?”
“Apa maksud engkau wahai Aliquam dengan ‘begini’?”
“Ajaib, begini. Seakan-akan tiada apa yang mampu menumbangkan kalian, merendah-rendahkan kalian, menggusarakan kalian.”
Dan kini dia melihat bibir Leo Niveus merekah dengan senyuman.
“Utusan Langit Terakhir, Rasulullah SAW yang kami imani bahawa dia adalah utusan daripada Allah SWT pernah bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya”
“’Begini’ itu, adalah ajaran dalam agama yang kami anuti. Tidak lebih, dan tidak kurang. Kerana kami beriman kepadaNya. Bila Dia memberi, kami mensyukuri. Bila Dia menguji, kami bersabar memperkuatkan diri.” Leo Niveus menyempurnakan.
Dia terjeda dengan jawapan yang diberikan.
Menyusup ke dalam jiwa.
Lebih-lebih lagi selepas apa yang dia perhatikan selama lima hari ini.
“Kalian, nyata satu kaum yang ajaib. Sekarang saksikanlah…” Yakin. Jiwanya yakin.
“Sesungguhnya aku naik saksi bahawa Allah itu adalah Rabb dan Ilah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu adalah Utusan Langit Terakhir yang membawa kebenaranNya.”
Dia melihat Leo Niveus terkejut, bersama dua pengawalnya.
Tetapi tidak lama. Kemudian air mata mengalir daripada lelaki itu, dan dia terus berada dalam dakapannya.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!”
Dia tersenyum. Dia masuk ke dalam agama mereka, disambut dengan tangis penuh gembira? Sedangkan Leo Niveus adalah seorang raja.
Ajaib manusia yang berada di dalam agama ini.
Dan dia ingin menjadi sebahagian dari kalangan mereka.
<credit by Hilal Asyraf>

2 comments:

k long said...

Tengok tajuk pun dah tahu hasil tulisan siapa.
:) Tak silap along buku dia dah keluar.
Simfoni Cinta.... =)

nahmri. said...

haha.. ofcourse lah dia.
Angah, belum cukup hebat untuk menjadi seperti dia.
Simfoni cinta ni kan yang along bagi e-book tu.
Angah simpan dalam phone. Tapi tak pasti kalau beza penulisannya, e-book dengan hasil keluaran buku tu. Cuma terkesan dengan cite ni je.