Jubah-jubah yang baru beli dilipat. Mulut terkunci bicara.
"Itulah akak. Ada kehilangan satu beg plastik. Dalam tu jubah lelaki yang ada hoody."
Air mata masih boleh ditahan lagi.
"Sekarang ni okay, kejap lagi nangislah tu." Dia masih berbicara di corong telefon.
Nampaknya kali ini air mata tidak mampu ditampung lagi. Sahabat, terimalah sikap aku yang sebegini. Mudah saja air mata ini mengalir. Adakalanya malas mahu melayan kerenah diri. Namun apakan daya.
Mengenang Ummi yang sanggup menggadai sedikit barangan berharga agar memperoleh lebihan wang sebagai modal untuk kami memenuhi tempahan baju jubah-jubah dari Jordan. Kini, lain pula yang terjadi. Terlalu banyak memegang beg plastik sehingga beg plastik yang penting itu keciciran.
Duit... tahu tak duit!
Setelah diberikan kata penguat supaya sabar dengan dugaan Allah, sedikit sebanyak hati mulai reda.
'Abang, jubah abang hilang..'
Terbayang-bayang tiga orang adik saya memakainya. Pasti segak. Sudah lama saya mencari. Jauh dari Amman, saya membeli. Tambahan ketika itu tinggal tiga sahaja. Cukup buat mereka bertiga. Walhal itu cuma anganan, kerana hakikatnya jubah abang hilang..
Aduhai membazir lagi duit Ummi dengan Ayah..
"Sedih sangat. Rasa bersalah juga pada Ummi dengan Ayah. Bayangkan, duit melayang macam tu aja.." Kesedihan yang terkumpul diluahkan pada si dia.
"Kau tak boleh macam ni. Duit tu, rezeki tu, Allah yang beri. Dalam masa yang sama Allah juga berhak menarik kembali."
Tertampar dengan bait bicaranya. Masakan saya boleh lupa kepada Allah yang Maha Pemberi Rezeki? Kepunyaannya di dunia ini segalanya. Sedikit pun kita tidak berhak merasakan itu hak kita. Allah..
"Asal kau senyap? Kau sedih lagi ke?"
"Hurmm..."
"Kau halalkan saja. Mana tahu ada orang miskin yang lebih memerlukan, dia terjumpa jubah tu. Bila dia pakai, kau pun dapat pahala.." Dia cuba menceriakan suasana.
Ya Allah, minda saya sedikit terbuka.Hati sedikit terbina.
Antara duit dan pahala, yang mana membawa ke syurga? Pastinya pahala. Terima kasih ya Allah kerana Engkau menghantarkan aku seorang insan yang mengingatkan kembali hati ini kepadaMu.
Hebat sungguh ukhti ini. Luar biasanya dia, mampu memberi solusi terbaik untuk saya terus redha dengan ujian yang Engkau berikan.
Dalam situasi sebegini dia masih lagi mampu berfikiran positif. Subhanallah..
Adakalanya kita terlalu cintakan dunia sehingga kita kalah dengan emosi. Sedang yang berhak menguasai emosi kita adalah diri sendiri. Tidak mengapalah.. hati mulai redha.
Sedikit menggeletek hati memikirkan rangkap bicaranya yang satu itu, "Nasib baik jubah abang kau yang hilang. Bukan kau yang hilang.."
Tarik nafas. Senyum.
2 comments:
Terjumpa satu ayat, mungkin sesuai dgn situasi ini.
"Apapun (kenikmatan) yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan apa 9kenikmatan) yang ada disisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang2 yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.." [42:36]
Anonymous : Syukran.. sangat terharu T.T
Post a Comment