Pages

Monday, October 22

.Sayang Along :')

Oh ya, ini kes tiada gambar bersama sejak sampai sini. ^^v

Bismillah..

Hampir dua bulan saya meninggalkan keluarga di tanah air. Namun, sejauh mana diri tercampak, Allah tetap menganugerahi keluarga tersayang di sisi. Walaupun hanya seketul, sebatang atau lebih moleknya seorang insan bernama 'Along'. Cukup mewarnai kehidupan saya di bumi Urdun serba petak ini. Itulah nikmat yang sangat bermakna.

Teringat seawal pertemuan kami di Sakan Houston (tak pasti ejaannya) tapi lebih masyhurnya dipanggil Sakan Kuning. Saat itu, hanya Allah yang tahu betapa hati ini berdebar seiring perasaan teruja untuk bertemu dengannya.

Nampak sahaja kelibatnya, wajah yang tadi kusam terus berubah riang. Namun, disebalik keriangan itu terselit satu aliran perasaan yang sungguh sayu. Tubuh bertemu tubuh. Dia memeluk saya erat. Jelas kerinduannya yang terpendam.

 Kami tergelak kecil. Tanpa sebarang bicara, air mata yang mengungkap rasa. Ya Allah indahnya perasaan ini.

***
Handphone berdering menyanyikan ringtone yang mengasyikkan. Tertera pemanggil di sana.

"Along :)" 

Saya tersenyum simpul. Terus kaki langkah melaju memasuki salah sebuah bilik di rumah dan menutup rapat pintu bilik.  Seperti biasa, memang begitulah keadaannya. Mungkin sifat saya sendiri yang tidak suka perbicaraan kami didengari orang.

 Hakikatnya, boleh saja untuk dia datang ke rumah saya yang tidak jauh mana ini. Tapi, agak jauh juga sebenarnya. Memerlukan bayaran sebanyak 1 JD sekiranya menaiki teksi. Hurmm..

Jika dahulu, saya dan along akan pakat untuk menelefon Ummi setiap hujung minggu semasa di asrama. Dan tempat extravaganza kami di bilik gerakan MPP. Mentang-mentanglah pimpinan di sekolah, sesuka hati rianya kami menggunanya. Maaf ya Ustaz andai tidak meminta izin dahulu...

 Namun, itulah satu-satunya tempat yang orang lain tidak nampak. Sememangnya esklusif!

"Rasa macam dah lama tak cakap dengan Angah..heheh" Bicaranya. Saya tergelak kecil. Sweet sangat Along ni.

Berbual punya berbual, jam di lihat. Sudah satu jam rupanya kami berhubung. (Lamanya!) Tapi tidak mengapa, kata Along "Puas dapat cakap dengan Angah.." Terharu. Saya juga begitu. Nikmat tidak terkata. 

 Rasa seperti jauh beribu batu. Seingat saya, akhir kami berhubung lama, menerusi skype semasa saya di UK. Itu yang berlama-lama bagai nak rak. 

Sebelum mentup bicara, dia berkata "Angah, hari tu Along call Ummi. Ummi nasihatkan, sebolehnya buat tiga perkara ini.. bila bangun dari tidur. Solat taubat, Solat hajat, dan Solat istikharah." Terima kasih Ummi, atas nasihat yang bermakna itu. (InsyaAllah mohon doa darimu..)

Sememangnya kami cukup berbeza. Sekilas kalian memandang, tiada apa yang sama. Hatta berkali-kali pandang. Memang tiada yang sama. Kerana saya, adalah 'saya'. Dan dia adalah 'dia'. Bezanya kami, itulah yang mengeratkan. 

***
Dalam perhubungan, perlu adanya kepercayaan. Seiring juga kasih sayang yang setulusnya. Selagi kita punya ego dalam diri, selama itulah Allah tidakkan membuka jalan untuk kita menikmati perhubungan sedarah daging satu rahim ini. 

Mungkin sebelum ini, kita sibuk mementingkan 'Ukhwah'. Tetapi sejauh mana kita sudah ber'ukhwah' dengan ahli keluarga kita seperti kita berukhwah dengan sahabat kita?

Mungkin juga, kita sibuk memperkatakan tentang 'Cinta'. Namun, sejauh mana kita sudah ber'cinta' penuh kesungguhan dengan ahli keluarga kita?

Mungkin juga kita sibuk mementingkan urusan dakwah dan tarbiyah. Namun, sudahkan mereka yakni ahli keluarga kita menjadi yang pertama untuk kita menyeru mereka kembali kepada Allah? Allahuakbar..

At Tahrim :6
"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.."

Renungan buat kita bersama. Bila difikirkan di akhirat kelak, syurga yang kita ingin duduki itu biarlah jelas kelihatan wajah-wajah bersinar ahli keluarga kita. Malah kita menikmati seisinya bersama!

"Mood rindu. But not homesick!"

 

Thursday, October 18

.Sampaikanlah...

Seven 'pemudi' di kahfi :)

Bismillah..

Tulisan ditaip. Habis masa setengah jam. Sebelum dipost, entry dibaca kembali. Dan akhirnya... DRAFT. 

Bukan mudahkan sekiranya untuk terus istiqamah dalam sesuatu perkara yang kita lakukan? Apatah lagi sesuatu yang berbentuk 'dakwah'. Kata lainnya seruan. 

Ramai saja yang pandai berkata-kata tetapi tidak semestinya katanya itu mampu menyentuh hati. Ramai saja yang pandai berdebat tetapi mungkin juga debatnya itu tiada matlamat yang punya isi. Malah, adakalanya kita lebih selesa untuk berdiam diri dari menyampaikan sesuatu yang ukhrawi. Betulkan? Mengapa ya?

 "Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan " (AsSaff:3)

Sungguh, ayat ini sangat menyentap tangkai hati. Tidak semena hati bergetar hebat yang mampu menurunkan manik-manik kecil dari takungan tubir mata.

Allah tidak menyatakan 'tidak suka' tetapi dengan perkataan yang lebih tajam yakni 'sangatlah dibenci'. Kaki yang tadinya berdiri kukuh seakan goyah. Wajah yang tadinya bersinar ceria terus saja keruh.

Dahulu, setiap kali diri ingin menyampaikan sesuatu, pastinya ayat ini akan terlintas difikiran. Masakan untuk disampaikan sesuatu! Sedangkan diri tidak memenuhi apa yang perlu disampaikan.

Tetapi ketika itu, saya harus bagaimana kerana keadaan yang mendesak untuk kita yang menyampaikan. Allahuakbar.. beberapa kali juga situasi bagaimana saya berbicara di hadapan diiringi air mata ketakutan untuk menyampaikan. 

Bukan takut dengan insan di hadapan. Tetapi takut membayangkan saat saya berhadapan dengan Allah kelak. Di mana ketika itu pasti tubuh menggeletar ketakutan menjawab persoalan Allah satu persatu sambil buku catatan terbentang di hadapan mata.

Mungkin insan lain tidak tahu mengapa kita harus menangis. Malah mungkin saja mereka memperlekehkan tindakan kita. 

 Diri duduk sejenak beriman sebentar. "Bagaimana mereka yang dahulunya mampu kuat dan tabah menghadapi ayat yang Allah sampaikan ini? Tidak gentarkah mereka?" bertubi-tubi soalan bermain dibenak.

Saya teringat semasa dalam bidang kepimpinan dahulu, bersungguh saya merayu kepada seorang sahabat agar dia memikul tugas yang banyak untuk menyampaikan di khalayak ramai. Maka saya hanya berdiam diri dan menunjukkan qudwah. Sehingga begitu sekali ketakutan hati saya untuk menghayati ayat Allah ini.

Masa berlalu... Kini baru saya sedar. Ternyata langkahan saya silap. Mujur Allah menyelamatkan saya dengan ke'basahan' tarbiyah yang dilalui. Allah telah menyambung ayat seterusnya yang membincangkan mengenai kekuatan tampungan!

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan yang teratur, mereka seakan akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
 (AsSaff:4)

Subhanallah.. sekali lagi mampu membasahkan hati ini. 
Sememangnya kita punya kelemahan. Mana mungkin kita sempurna lengkap pakej. Kerana itu firmanNya, "Dan aku menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan." Highlight perkataan 'sebaik-baik' bukannya 'sesempurna' ciptaan. See..?

Lemahnya kita, akan ada yang menampungnya. Lemahnya mereka, kitalah yang menampungnya. Dengan itu kita lebih kuat di jalan dakwah ini. InsyaAllah.

Andai kelemahan diri masih menyelubungi diri, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak.
Andai kenangan masa lalu masih menghantui, sampai bila-bila Islam tidak akan tertegak. 

Sedangkan Rasulullah sendiri punya kelemahan yakni buta huruf. Tetapi terus-terusan menyampaikan. Walau hakikatnya lontaran kesakitan terhadap baginda jauh lebih dahsyat berbanding apa yang kita alami kini. 

Buat yang menyampaikan, penyampaian itulah yang menjadi tarbiyah buat diri kita agar melakukan apa yang telah diperkataan.

Luruskan kembali niat kita. Mengapa perlu untuk menyampaikan. Kerana kita ingin kembali kepada fitrah seorang hamba yang sentiasa mendambakan Tuhan Penciptanya.  Dan kita yakin janjiNya Jannah buat hamba yang beriman.




Monday, September 24

.Ma fii Mouih!


Bismillah..

"Assalamualaikum ya Haris! keif halik?" Soal Ukht Rein kepada pak cik 'Haris' (penjaga rumah). Pada awalnya, ingin berbahasa basi.Nampaklah pelajar Malizi beradab dengan 'Haris' itu.

"Ma fii mouih?" Terus dapat meneka tujuan kami menelefonnya. 

Ketawa kami pecah. "Na'am. ma fii mouih.. ma fii mouih ya haris! (Ya, tiada air)." Ulang Ukht Rein. Memandangkan kami berdua masih lambat memahami bait-bait perkataan bahasa Arab Ammiah (pasar) terpaksa telefon itu di loud speaker.

Beberapa hari kemudian, Haris tengok juga permasalahan paip rumah kami. Alhamdulillah, setelah pembaikian tiada lagi permasalahan. Cuma adegan yang mencuit hati setiap kali Haris menerangkan harus buat apa, bagaimana, dan mengapa dengan penuh semangat. Kami sekadar mengangguk. Hakikatnya, hanya beberapa butir perkataan sahaja yang difahami.

Sehingga satu tahap, Haris berkata, "Kamu ini faham ke tidak apa yang saya cakap?" Seakan memerli kami. Mulanya kami mengangguk. Akhirnya, kami mengaku juga "Aasif ya ammu, ihna mush fahim! mush fahim!(kami tidak faham)". Terkoyak senyuman Haris dengan pengakuan kami. Dia hanya menggeleng sambil berkata, "LAILAHA ILLALLAH...".

Tidak mengapa, dalam belajar ini perlu jujur. Jika tidak tahu, jangan buat-buat tahu. Nanti sesat jalan. Redha dengan ilmu anda yang masih terbatas ini.

Memandangkan bumi syam ini tiada sumber air yang mencukupi, terpaksalah penggunaannya dihadkan malah dicatu setiap satu rumah. Menjadi kebiasaan di sini adalah fatrah (musim) tiada air. Tika itulah mana-mana bayt akhawat lain menjadi tempat persinggahan percuma saya dan ahli rumah. 

Bila difikirrkan kembali, sehebat mana pun seseorang itu berpakaian gah, segak lagi bergaya, ingin satu sahaja soalan yang ingin diutarakan. "Mandi tak pagi tadi?" Pasti kebanyakan jawapan mereka "Tidak". Walhal, itu perkara biasa di sini. 

Lagi pula, sememangnya air di sini mengalir seiring dengan klorin yang mampu merosakkan rambut sedikit demi sedikit. Moleknya, bersederhanalah kita. Setiap kali hari sabtu, air akan dipam masuk ke dalam tangki bahagian atas bangunan. Andai kita menggunakan berlebihan, air tong perlu diisi dengan menggunakan kupon. Allahuakbar..

Sangat bersyukur penduduk Malaysia diberi kemudahan air. Malah bermacam kemudahan yang kadangkalanya kita terlepas pandang. Walaubagaimanapun, biah di sini cukup hebat, malah tarbiyah juga mudah tersemat. Benarlah, bumi Anbiya' bumi barakah. Subhanallah~





 

Sunday, September 23

.Celupan Allah.

 

Bismillah..

Saat saya melintasi ruang kamar di rumah, langkah saya terhenti. Secara sembunyi saya mencuri dengar isi perbualan mereka. Sungguh persoalan itu menarik hati saya untuk memahaminya. Tubuh tetap membatu ditepi pintu. Segan pula untuk terus mencelah.

"Apa beza celup dan salut?" Soal seorang ukht kepada temannya. 

Apa bezanya ya? Terus saya membayangkan dua gambaran. Jika celup, boleh digambarkan seperti oreo dicelup susu. Manakala salut, umpama roti disalut nutella. 

 Walaupun hati tetap mencintai susu dan roti, saya akan memilih oreo dicelup susu. Mengapa? kerana faktornya adalah mudah dan murah. Yang paling penting murah. Lebih lagi dalam bab berbelanja di Irbid ini. Jauh pula menyimpang. Sempat lagi anganan dipasang. Huih..

Deria pendengaran kembali memicing anak telinga. "Kalau celup menyeluruh. Kalau salut pula sikit aja." temannya yang lain menjawab persoalan tadi.

"Betullah tu. Itu yang Allah umpamakan di dalam alQuran iaitu صبغة الله (celupan Allah), 2:138" 

Selama ini, saya sekadar menghafaznya. Walhal makna sebenar masih lagi kabur pada pandangan kaca mata kehidupan. 

"Sambungan dari ayat tu, Allah berfirman 'Sebaik-baik celupan adalah celupan Allah'. Bagaimana untuk kita dapatkan celupan Allah itu?" Soalnya. Tiada jawapan.

Sambungnya, "Melalui Tarbiyahlah..." Saya ternyum. Benarlah apa yang dikatakannya itu. 

Sedangkan para sahabat mendapat tarbiyah terus dari Allah melalui sumber yang utama yakni Al-Quran. Hanya dengan beberapa potong ayat, mereka mampu menyahut seruan Rasulullah. MAlah celupan itu bukan di'paksa' malah dengan sendirinya melembutkan si pemilik hati. Sama jugalah seperti oreo dicelup susu bayangan saya.

Islam itu menyeluruh. Tiada pula istilah celupan susu itu hanya menyerap biskut sahaja. Bahkan diserap keseluruhannya termasuk cream yang di dalam itu. Kiranya, Islam itu tidak memilih manusia, pangkat mahupun warna kulit. Setiap orang berhak merasainya. Namun, celupan terbaik adalah? Celupan Allah..

*Tiba-tiba rasa seperti ingin beli oreo dan susu. Barulah feel.. *




Thursday, September 20

.Proses itu lama.



Bismillah..

Orang yang mendapat TARBIYYAH,
Perlu mencari HIKMAH,
Kerana tanpa keduanya takkan terseraknya DAKWAH,
Di mana tujuan akhirnya adalah JANNAH!

***  

Logikkah seorang manusia tidak memahami maksud 'proses'? Logikkah seseorang itu hidup tanpa sebuah 'proses'? Dan mampukah sesuatu itu terhasil tanpa sebuah 'proses'? Lihat, persoalan saya juga sudah pening bunyinya. 

Tidak salah jika anda 'hammasah'. Namun, semangat itu perlu diselangi dengan ketenangan. Usah gopoh bertindak dengan mendadak. Kerana, hasilnya membuatkan fikiran dan hati anda lebih sesak.
*quote untuk terasa*

Saya umpamakan seperti seorang senior mengharapkan yang terbaik daripada seorang junior. Namun, 'proses'nya itu tidak menyenangkan hati para junior. Senior itu mengambil jalan menegur kesalahan dengan membuka aib dikhalayak ramai. Ataupun mengungkit kesalahan junior itu berkali-kali tanpa menunjukkan jalan untuk menjadi baik itu harus bagaimana. 

Di akhir 'proses' itu, jadilah junior tersebut seorang yang biadab dan tidak berakhlak kerana kerap kali memberontak. Amat menyedihkan. Hilang sudah harapan si senior atas sebab perilakunya sendiri.

'Proses' yang saya maksudkan di sini adalah TARBIYYAH. Sememangnya proses ini cukup lama. Tidak boleh didapati sehari dua. Tidak mungkin.. Sedangkan, untuk menghasilkan sebuah burger yang sedap lagi lazat perlu mencorakkan masakan itu dengan kreatif. Sama juga seperti Tarbiyah. Ianya bukan mudah. Betapa seungguhnya saya ingin meyakinkan anda bahawa 'proses itu lama'. Full stop!

 Moga-moga kita ini tergolong dalam golongan orang yang tenang akhlak dan peribadi. InsyaAllah.

"ٱلْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْۚ لَا ظُلْمَ ٱلْيَوْمَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ |
 Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya." (AL MU'MINUN:17 )


Monday, September 17

.Mengapa aku di sini?


Bismillah..

Sedang suasana ceria berkenalan, akak manis bertanya berkenaan target sepanjang tempoh di Jordan ini. Dengan penuh hormatnya kepada kakak manis, saya menjawab juga pertanyaannya. Sekiranya boleh, hendak aja saya rahsiakan. Namun, bila difikirkan kembali ada baiknya untuk saya kongsikan agar yang lain juga turut sama membantu misi saya di sini.

"Malu sebenarnya, akak. Saya ada tiga target. Pertama, saya akan pastikan Bahasa Arab dapat saya garap sehinggakan apabila membaca Al Quran saya memahaminya."

"Kedua, saya akan cuba sedaya upaya untuk seimbangkan antara dakwah dan belajar. Sebabnya, masa sekolah dahulu saya senget sebelah, akak..." Saya senyum mengenang zaman sekolah.

"Yang ketiga.... emm.. lupalah akak!" Sahabat disekeliling turut tergelak melihat reaksi saya ketika itu. Sehingga sekarang, misi saya yang ketiga itu tidak dapat diingati. Allahuakbar.. sekejap aja Allah menarik nikmat ingatan yang kecil ini.

"Kahwin di sini agaknya.." Teka akak manis. Sepantas kilat saya menggeleng laju.

"Ouh.. bukan akak!" 

Bagi saya perkara itu belum masanya. Hatta individu muslim masih lagi pincang, saya tidak berhajat untuk ke tingkat seterusnya. Walaupun begitu, bukan bermakna saya menolak mentah-mentah perkara ini. 

Namun, prinsip saya jelas. Cinta saya ketika ini terarah kepada tuntutan ilmu itu sendiri. Tetapi, saya menghormati keputusan mereka yang berbeza pendapat dengan saya. Saya percaya, kalian punya agenda sendiri. Asal Allah meredhai, cukuplah untuk kita bercita-cita menduduki JannahNya bersama bukan?

Bila sesuatu itu dilaksanakan dengan penuh cinta, maka cinta khayalan di sekeliling mampu untuk kita tongkah apabila dilihat dengan mata hati. 

***
"Wahai 'ilmu', izinkan aku untuk memulakan langkah mencintaimu..."

Kaki mengelus lembut debu di tanah bumi anbiya'. Hati ini yakin setiap langkah perjalanan menuntut ilmu, makhluk Allah di sekeliling turut serta mendoakan.InsyaAllah.

Masih belum lambat untuk tajdid niat kembali. Mengapa aku di sini?

 *Anda punya jawapan tersendiri*

.Mutiara.


Bismillah..

Terlalu banyak mutiara yang perlu dikutip. Hakikatnya ianya tak semudah mencabut setangkai bunga tulip.
 Malah mutiara itu harus digilap. Agar tidak terus terkubur malap.

DnT 
mylife.mystyle


Friday, September 14

.Perantau tegar.

Terngiang-ngiang bunyi dentingan hunusan pedang mereka

Bismillah..

Buku 'Rindu Bau Pohon Tin' di tutup perlahan. Karya penulisan Ustaz Hasrizal itu benar-benar menusuk jiwa. Setiap ruangan tajuk menjadi buah fikiran saya saban hari. Setiap apa yang dikaitkan, satu persatu saya alami.

***
Kelihatan hamparan tanah luas terbentang di depan mata. Sedikit sebanyak cahaya matahari mencucuk tubuh dengan sinarnya. Tanahnya pula tandus. Sedikit saja tumbuhan kelihatan.

Ya, inilah medan pertempuran Peperangan Yarmouk suatu masa dahulu. Tentera Muslimin seramai 40 000  bertempur sengit dengan Tentera Byzantine yang memonopoli medan itu seramai 125 000. Tetapi kemenangan itu akhirnya dijulang oleh Umat Islam yang ketuai oleh Khalid Al- Walid. Bermula saat itu, bermulalah beberapasiri selanjutnya perluasan empayar Islam di seluruh tanah jajahan Rom. 

Di celah kabus yang tebal pula, kelihatan Tanah Palestine yang bertopengkan dengan nama Israel. Allahuakbar. Cukup dekat dengan mereka. Niat dipasak. Suatu hari nanti Al Quds itu bakal dijejaki. InsyaAllah.

Perjalanan diteruskan. Kenderaan kami melalui laluan ash shunah ash shimali. Jalan di situ mula berliku. Kelihatan anak kecil berlarian sambil bermain bersama keldai dan kuda tunggangan mereka. 

Sampai di sebuah masjid, buat pertama kalinya saya menunaikan solat Jumaat. Tiba-tiba hati jadi sebak... Mengapa ya?

"Sahabat, di sinilah makam Muaz b. Jabal juga anaknya Abd Rahman..". Hati seperti rasa ditekan-tekan. Air mata bertakung di empangan tubir mata. Al Fatihah disedekahkan. Bau wangi menyerbu semerbak.

Mereka ini pemuda hebat. Sanggup menyahut seruan Islam dengan meninggalkan Tanah air bagi memperluaskan empayar Islam sehingga ke akhir hayatnya. Jika ingin dibandingkan dengan diri, bagai langitdan bumi lagaknya.

Tetapi kami punya satu persamaan iaitu 'perantau'. "Ummi.. Ayah.. angah sudah berpijak di medan perjuangan yang akan menuntut pengorbanan di tanah ini..."

***
"Ayah.. nanti kalau anak-anak ayah semua di merata-rata benua macam mana?" tanya saya suatu hari.

"Maksud angah?"

"Seandainya, kita meninggal, macam susah aja nak dibawa ke tempat asal.." tanya saya takut-takut.

Ayah senyum. "Kalau ikut ayah, tanam aja di mana tempat kita tinggal." Saya mengangguk faham. Maksudnya, segala apa yang bakal terjadi akan datang saya serahkan segalanya pada Allah. Sekiranya hubungan itu diikat dengan keimanan kepadaNya, janji Allah pasti kita bakal bertemu di syurgaNya. Senyum..

Begitulah impian ayah melihat anaknya meletakkan Islam yang utama. Sebagai seorang anak, cabaran itu disahut dengan semangat tegar walau saya hanya bergelar 'akhawat' di bumi urdun ini.

 Redha permusafiran angah ini ya Ummi.. Ayah..

Friday, September 7

.Musafiran kedua.


Bismillah..

Syukur kepada Allah, akhirnya diri ini telah menjejaki bumi Urdun yang selama ini hanya dalam impian yang belum menjadi kenyataan. Tetapi kini, Allah mudakan sebuah perjalanan, pengembaraan buat insan kerdil ini.

Pertamanya, beribu-ribu kemaafan tulus dari hati ini buat semua sahabat, junior, guru-guru dan yang paling utama adalah kakak chenta serta ahli 'circle bahagia' kami kerana tak dapat jumpa buat yang terakhir kali. Mungkin?

Keduanya, terima kasih kepada mereka yang mentipkan doa dari jauh buat insan yang kerdil ini. Terutamanya,Ummi dan Ayah yang tidak putus meletakkan sebuah tanggungjawab yang tinggi agar anaknya ini bersungguh dalam setiap perkara. Lebih lagi BELAJAR. InsyaAllah, I'll do my best and be the BEST!

Ya, kali ini adalah musafir saya yang kedua. Setelah menjejaki Bumi Eropah tujuh bulan yang lalu, Allah mengganjari nikmat menatap Bumi Urdun pula.

Saat kaki menjejak, debu pasir menghiasi pandangan. Walau siang terik dipancar silau matahari, namun disusuli nikmat angin dariNya.

Banyak ibrah yang diperoleh sepanjang sehari memerhati. Sememangnya berbeza. Cukup berbeza. Namun, itulah yang Allah ingin ajarkan dari perkataan 'Hijrah' itu sendiri yang maksud 'perpindahan'.

Bak kata Ummi, "Kita perlu jadi transformer yang terbaik!"

Biiznillah, AKU MULAKAN LANGKAH!



Monday, September 3

.Sketsa adik tercinta.


Bismillah..

"Ummi, bila angah balik?" tanya adik 'smart' setiap kali saya keluar dari rumah.

"Angah balik Ahad ni..." 

"Alah, lambatnya!"

Ummi menelefon, "Angah banyak kali Faheem tanya bila angah balik. Rindulah tu." Ya Allah, baru pagi tadi aku keluar. Petang sudah dapat panggilan.

***
"Ummi, sedihlah kalau angah pergi Jordan. Nanti sunyi je. Angahkan bising..." luah adik 'macho' pada Ummi.

Uhuk2. Terbatuk pula. Suka hati rianya cakap saya bising. Tidak mengapa, bising pun bisinglah.


***
"Angah, nanti kat sana peluk cium Along tau. Rindu sangat.." bicara adik 'lawa' penuh esperesi.

"Yelah, Along je!" Saya menarik muka.

"Angah pun sama jugak. Share cerita 'secret' sama-sama. Jangan bagi tahu sesiapa tau. Ni rahsia kita berdua je" Saya tergelak kecil.

"Ohho.. ok. Elele sukalah tu." saya mengusiknya. Begitulah setiap kali dia pulang dari asrama. Ada saja perkara yang ingin dikongsi. Tadah telingalah jawabnya.

***
"Yaya, pergi tolong Ummilah."

"Angah tu!" saya menggeleng.

"Ish, dah makan pergi aja basuh. Tak payah risau, pinggan tu tak lari. Heh" Saya senyum kambing.

"Kejap lagi nak buat kerja sekolah.." Adik 'gebu' mencari alasan. Amboi, sebolehnya nak lari!

"Tak kira... okay, Angah nak baca buku" Dia mula menarik muncung satu depa.

"Eeeyyy suka aja macam tu tao!" 

"Elele merajuklah tu.Suka sangat merajuk. Orang saja aja nak gurau. Kita basuh sama-sama okay."
Dengan siapa lagi saya mahu gaduh-gaduh sayang? Dengan adik 'gebu' sajalah. Gelak jahat dalam hati.

ayat 6 dari Surah at-Tahrim.
 'Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu, dan ahli keluarga kamu daripada azab neraka.'

-Maafkan atas segala kesilapan, cuit mencuit, gurau terlebih, segalanyalah. Adik-adik angah sentiasa di hati. I'm going to miss u dear. Ya Allah, pelihara mereka di bawah naunganMu sentiasa. Mudahkanlah mereka dalam pelajaran. Dan Rahmatilah atas setiap perbuatan mereka yang mendatangkan manfaat. Moga kalian antara hamba Allah yang terpilih!-

 Sungguh saya bakal merindui adik-adik tercinta ini walaupun banyak songeh setiap kali bersama.


Saturday, September 1

.Agama / Negara?


Bismillah..

*Mengimbau kenangan BTN yang mem'patriotik'kan diri*

"Dah siap belum?" Kata Tok Wan.

"Belum.."

"Susah betul nak pilih ni Tok Wan. Bagi idea sikit Tok Wan." Bibir Tok Wan terkoyak senyuman. Ada sahaja modal kami untuk dijadikan bahan usikan membuatkan Tok Wan tersenyum simpul lantas menggeleng kecil.

Sehelai kertas A4 dibahagikan kepada empat. Setiap helaian kecil itu ditulis empat perkara. Yakni Diri, Bangsa, Agama dan Negara. Jadi sebagai pelajar bijak pintar yang bakal melanjutkan ke luar negara, kami perlu menetapkan nilai mata wang mana yang lebih tinggi mengikut keadaan. 50 sen? 20 sen? 5 sen? dan 1 sen? 

"Bak kata Tok Wan, fikirkan maksud tersurat dan tersiratnya. Apa dia eh? Hmm.. letak sajalah."

"Siap?" soalnya.

"Siap Tok Wan...!" Semangat kami menyahut.

Pen marker diambil.  Satu persatu nama kami tercatat pada papan putih.

"Hanis? Yang mana lebih penting?"

"Ah.. 50 sen untuk Agama, 20 sen untuk negara, 5 sen untuk bangsa, 1 sen untuk diri."

"Pelajar lelaki?" Tahu-tahu saja Tok Wan. Setiap keputusan mereka akan sepakat.

"Kami sepakat Tok Wan. Kami memilih 50 sen untuk bangsa, 20 sen untuk agama, 5 sen untuk negara, 1 sen untuk diri." Mereka tersenyum kambing. 

Setelah itu, kami diberi masa untuk 'berdebat' apakah diri yang penting? negara? bangsa? atau agama? Semua jawapan ada pada tangan Tok Wan. 

Setiap kali diri membicarakan hujah ada yang membangkang. Biasalah, adat perdebatan. Dan moleknya setiap kali itulah Tok Wan tergelak kecil melihat kami 'bergaduh' mempertahankan hujah dan mematahkan hujah lawan.

"Mari kita lihat sejarah perkembangan Islam. Bagaimana Rasulullah dan para sahabat mengembangkan Islam? Ketika itu Rasulullah berhijrah ke Madinah atas perintah Allah s.w.t bagi menyelamatkan Iman dan Islam. Serta aqidah umat Islam ketika itu cuba digoyahkan oleh para musyrikin."

"Penghijrahan baginda ke Madinah merupakan sebuah negara yang bersistem. Maka, melalui kepercayaan penduduk Madinah, Rasulullah diangkat menjadi pemimpin Madinah. Lantas dengan kuasa yang yang ada, Rasulullah dan para sahabat mengembangkan Islam setelah mendapat tempat di Madinah."

Masih tak faham.. Mana satu yang lebih penting? Agama/ Negara?

Mengikut jawapan Tok Wan, "Tanpa negara, kita tidak mampu untuk mengembangkan agama. Tanpa negara, kita tidak mampu untuk menaikkan bangsa. Tanpa negara, diri kita tidak akan bebas."

Allahua'lam... kami mengangguk saja.

Walhal, bagaimana pula rakyat palestin? Mereka punya negara. Hakikatnya dijajah tentera zionis. Hal ini kerana tiada kuasa politik dalam pemerintahan. Namun pemerintahnya,Subhanallah cukup hebat!

Bagaimana pula Malaysia?

Sungguh pada dasar kita 'MERDEKA'. Namun, 'MERDEKA' kah kita pada dalaman? Lebih lagi anak muda kini. Ramai antara kita akan berkata "Eleh.. Malaysia konon. Merdekalah sangat!"

Berdesing telinga. Panassss.

Tidak cukup lagikah keamanan yang Allah beri? Adakah kita mengharapkan negara kita berperang lantas kita mampu menggelar syahid? Fikirkanlah. Islam itu selamat lagi menyelamatkan. Tidak sewajarnya kita menggunakan jalan ke arah zon yang tidak selamat untuk mencapai kemenangan untuk sebuah negara Islam yang maju. 

Right?

Itu pendapat saya ^^,
Dah sujud syukur atas keamanan yang Allah beri? JOM! *kenyit mata




Monday, August 13

.Ber 'PKPK' (BTN).

Bersama Tok Wan dan ahli kump 06. Terbaikkkk..

Bismillah..

Menjadi kewajiban buat para pelajar yang bakal 'terbang' ke negeri orang untuk di'basuh' dan di'cuci' oleh orang-orang kuat BTN. Memang terbaik tazkirah depa. Baik dari segi pemikirannya, mahupun perilakunya. Termasuklah saya yang langsung tidak mengambil endah berkenaan negara. Apatah lagi POLITIK. Simpang malaikat 44.

Bagi saya, apa yang diperolehi disana tidak pernah saya perolehnya di luar. Bermula dari jasad ini mendaftar sehinggalah jasad ini keluar dari dewan peperiksaan. Mungkin berkat Ramadhan menyebabkan saya lebih mudah menyerap dan diserap.

Selama 5 hari 4 malam kami berkampung di sana, terlalu banyak kenangan yang kerap kali menjengah minda saya tanpa disuruh-suruh. Sungguh saya rindu BTN!!

Sekiranya ingin cerita satu persatu, sehingga esok pun belum tentu habisnya. Jadinya, slot yang paling saya sering kenang-kenangkan ialah slot ber 'PKPK' bersama Tok Wan tersayang. 

Panggilan 'Tok Wan' itu, saya yang punya kerja. Tak sengaja sebenarnya. Bertambah comel, apabila ahli lain turut serta memanggil panggilan keramat itu. Hehe *Senyum kambing*

Perwatakan Tok Wan yang tenang, menambahkan lagi sayang kami kepadanya. Bicaranya yang halus lagi tinggi ilmunya mampu membuatkan hati-hati tersentuh. Ungkapannya, jauh sekali memburukkan mahupun menjatuhkan yang lain. Apa yang penting baginya ialah Tanah air tercinta. Berkenaan politik?? jarang sekali disentuh. Lebih kepada tazkirah lagaknya.

Ingat lagi perkata pertama yang Tok Wan selitkan, "Pernahkah kita sedekahkan alFatihah kepada diri kita? Kita ini, semua orang alFatihah disedekahkan. Diri kita? Siapa lagi yang mahu sayang diri sendiri, jika bukan kita?" Dengan senyuman, Tok Wan memandang kami satu persatu.

Begitulah setiap kali slot PKPK. Sehabis mungkin kami akan ber'PKPK' maksud tersirat dan tersurat apa yang terkandung dalam bicara Tok Wan yang penuh madah pujangga itu. Dan setiap kali itu jugalah, kami akan terdiam dengan soalan-soalan Tok Wan yang berikan.

"Tok Wan ada soalan bodoh untuk kamu.." Senyuman terukir. Mata pen ditulis dipapan putih. "Soalan Tok Wan, pertama, 'Kenapa aku hidup?'. Kedua, 'Mengapa aku dihidupkan?'. Ketiga, 'Untuk siapa aku hidup?'"
dengan nada yang tidak terlalu tinggi Tok Wan mengharapkan jawapan daripada kami.

"Erk....." 

"Macam sama aja soalannya Tok Wan". Seorang ahli kami mencelah.

"Kita hidup untuk Allah. Dan beribadah kepadaNya." Jawab seorang lagi ahli berserta dalil dengan yakinnya.

Tok Wan menggeleng. "Kita hidup bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita." balas Tok Wan. Satu perkataan ditulis pada papan putih.

AMANAH.

"Kita hidup kerana amanah yang kita pikul. Kita akan dihidupkan kerana amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Serta kita diamanahkan terhadap manusia sekalian alam ini." Nah, itulah jawapan Tok Wan yang begitu tinggi bahasanya. Seperti biasa, kami mengangguk tanda setuju dan puas hati dengan jawapan yang diberikan.

Waktu lain pula, kami ditujah lagi dengan soalan yang super power dari Tok Wan. "Mengapa 'solat' dikatakan sebagai tiang agama? Mengapa tidak syahadah? Mengapa tidak puasa? Mengapa tidak zakat? Mengapa tidak haji?" Seperti tusukan pedang ke dada kami yang bakal bergelar ustaz dan ustazah ini.

Kami berpandangan sesama sendiri. Akal ligat mencari jawapan. Susah bebeno soalan Tok Wan ni. Nampaknya, seperti biasa telinga ditadahkan menerima tazkirah ilmu dari Tok Wan.

Tangan ditekupkan. "Sebenarnya, kelima-lima rukun Islam merangkumi dengan solat sebagai tiang agama." 

"Eh?"

"Maksudnya Tok Wan?" 

Keterujaan kami terserlah. "Mari sama-sama kita berPKPK. Di dalam solat, ada syahadah?"

"Ada..." kami menjawab.

"Di dalam solat, ada puasa?" soal Tok Wan lagi.

"Ada kot.." 

"Habis, kamu solat boleh makan? Terselit makanan dicelah gigi pun boleh batal solat jika kamu menelannya. Puasalah tu." Kami tersengih-sengih seperti kerang busuk. "Di dalam solat, ada zakat?"

Kami bingung. Bila masa kami keluarkan wang?

"Hmm, kamu zakat dari segi hamba kepada TuhanNya.." Jawab Tok Wan memintas persoalan hati kami.

"Di dalam solat ada haji?" Erkkkkk.. tak faham betullah Tok Wan ni.

"Habis, kamu solat itu menghadap mana jika bukan ke Baitullah...Allahuakbar."

Sungguh saya seakan terpana dengan jawapan Tok Wan itu. Semua jawapan itu saya salin semula. "Sebab itulah, hadis Rasulullah s.a.w mengatakan 'Solat itu tiang agama'.." Tok Wan senyum melihat kami.

"Begitulah cara Tok Wan mengaji. Kita perlu juga mengkaji. Nasihat Tok Wan, pergi ke sana timbalah sesungguh hati mencari ilmu keTuhanan. Kenallah Dia, bermula dengan Makrifatullah." Tersentuh hati saya mendengar patah bicara Tok Wan.

Betapa saya bersyukur dikurniakan Tok Wan sebagai Fasilitator kumpulan kami. Lebih ruhi dari jasadi. Sehingga nota saya lebih banyak tazkirah Tok Wan daripada perbincangan Gagasan 1 Malaysia serta yang seangkatan dengannya.

Selain itu, soal Tok Wan lagi, "Mengapa manusia ini diberi nama Adam dan tujuan dihidupkan menyembah Allah?"

Anda rasa mengapa Adam? Any answer? 

Jangkaan Tok Wan benar. Sememangnya kami tiada jawapan. "Cara kita menyembah Allah dengan bersolat kepadaNya. Maka ketika kita solat itu, bentuk apa yang terukir daripada pergerakan solat itu?"

"Aliff. Dhal. Aliff. Mim." Jawab kami penuh semangat.

Tok Wan mengangguk. "PKPK lah. Sama dengan awal penciptaan manusia, diberi nama ADAM." Subhanallah. Tidak boleh hendak kata tidak logik dengan jawapan yang Tok Wan berikan.

Sebenarnya banyak lagi ilmu yang Tok Wan turunkan. Namun, ini saja yang dapat saya kongsikan. Selebihnya agak rumit untuk diterangkan. Mudah-mudahan Allah memberikan kefahaman dengan apa yang disampaikan.

Anda rasa seronok tak dengan BTN yang saya lalui? Seronokkan? Terasa roh diberi makanan.. Mungkin atas faktor kami tidak bergaul bebas. Hanya had berbincang dalam kumpulan, tidak lebih dari itu. Syukur pada Allah. Maka seharusnya barakah itu disusuli seiring dengan keberkatan perjalanan program.

Mutiara kata Tok Wan yang terakhir kepada kami, "Biarlah apa sekalipun sikap dan ujian dalam politik yang kita hadapi, sayangilah bangsa, agama, dan negara kita. Ini tanah air kita. Orang cina, dia boleh lari balik ke negara asalnya. Orang India, dia juga boleh lari ke negara asalnya. Kita? PKPK lah..." 

Benar apa yang dikatakan Tok Wan. Baru saya tersedar, selama ini acap kali kita mendoakan kesejahteraan negara Islam yang lain. Jauh sekali melupakan. Namun, negara sendiri terlupa untuk kita doakan. Kesejahteraan yang dialami kini, apakah kita yakin kan selamanya seperti ini? 

Ya Rabb, peliharalah kesejahteraan dan keamanan negara ku ini. Semoga bangkitnya Islam melalui pemimpin yang benar dan selayaknya meninggikan Islam di mata dunia ini. Ameen








Monday, August 6

.TAQWA Awards!


Bismillah..

Hanya tinggal separuh masa kedua....

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini? Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena! Andai kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun, kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan.

Mereka tidak henti-henti menyerang. Sedangkan pertahanan kita semakin keletihan.

Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kita di zon selamat.

Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, kamu diambang KEKALAHAN. Piala Taqwa, bakal jatuh ke tangan pihak lawan, yakni Pasukan Nafsu yang tidak pernah mengenal erti ketaqwaan itu sendiri. Malah untuk mengenangnya, jauh sekali.

Ia hanya mahu merampas Piala Taqwa dari genggaman kita bertahun-tahun. Ia juga mahu melihat, Piala Taqwa itu tidak berada ditangan kita

Apakah musim depan kita berpeluang untuk masuk ke gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. 

Masa lalu telah berlalu, masa hadapan kitalah penentu!

Apakah masih ada ruang untuk berlengah? Anda punya jawapan sendiri..

"Taranformasi Ramadhan"





Saturday, August 4

.Masa Ramadhan kita bazirkan?



Bismillah..

Peringatan yang menyentap lagi tersentap!
Terasa pedih hingga ke ulu hati..

Allahuakbar..

Wednesday, August 1

.Si Bear 9 bulan.


Bismillah..

Apa yang mampu anda gambarkan berkenaan gambar di atas? Ahha, itulah situasi yang saya alami kini. Setelah hampir 9 bulan saya menjalani satu 'therapy' yang mungkin saja berbeza daripada sahabat saya yang lain. Jika dibandingan kondisi mereka dan saya cukup berbeza.

Setelah tamatnya SPM, keluarga saya berpindah buat kesekian kalinya di Penang, setelah merata tempat di semenanjung ini kami bertapa mempelajari kehidupan. Dari nun selatan, saya bertapak di utara. Dari utara, saya terbang ke bumi 'kutub utara'. Sebelum ke bumi 'kutub utara', saya menjejak sebentar di bumi anbiya'. Dari bumi 'kutub utara', saya menjelajah negeri seberangnya. Akhirnya, kembali semula ke penempatan asal. Malah sentiasa berlegar-legar di kawasan semenanjung ini.

Sehinggakan, apabila dicongak waktu, hari dan tarikh, sudah hampir 9 bulan saya tidak mendapat panggilan bagi menyambung pelajaran ke Institut Pengajian tinggi. Wanita yang mengandung juga, pastinya sedang sarat kandungannya lagak Si Bear di atas.

Hati yang kecewa, didiamkan. Hati yang resah, ditenangkan. Hati yang sakit diubatkan dengan zikrullah. Terus-terusan bersangka baik dengan Allah.

UPU dimohon, permohonan tidak diterima. Matriks dimohon, jawapannya juga mengecewakan. Semakin lama, hati mula goyah. "Sampai bila aku harus begini?".

Melihatkan mereka sudah berada di IPT, masakan saya tidak cemburu. Hakikatnya, sangat mencemburui dengan ilmu yang sedang mereka perolehi. Tidak kira apa jua bidang mahupun di mana jua mereka di tempatkan. Tujuannya satu, mempelajari ilmu Allah. Malah, seluruh alam semesta ini, mendoakan mereka yang berjihad dalam menuntut ilmu!

Saya? *Geleng kepala. Senyum. Saya, memenuhkan dada ini dengan sepenuhnya kecintaan kepada keluarga saya. Ya, inilah masanya. Home sweet home! Lain waktunya, membina pewaris kepimpinan di Itqan menjadi amanah saya. Begitulah kehidupan.

Pada awalnya juga, saya menerima tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke Turki. Namun, saya tolak atas beberapa faktor. Tinggallah dua pilihan, sama ada mengisi borang permohonan ke Morocco ataupun ke Jordan. Keduanya, dalam bidang syariah. Maka ke Morocco juga, saya menolak ke tepi atas beberapa faktor. Tinggallah satu-satunya penantian sebuah keputusan. Pendek kata, 'kalah mati'.

Berbulan menunggu, akhirnya!

"Angah, ada surat untuk angah." Tangan terus mencapai surat dari Ummi. Teruja. Hati berbunga ceria saat membukanya. Bait-bait perkataan dibaca dengan penuh teliti.

KURSUS KENEGARAAN MAHASISWA PELAJAR-PELAJAR KE LUAR NEGARA

Sebak.

Seksanya sebuah penantian.

Senarai pelajar yang bakal ke Jordan dibawah pengelolaan JAIPP seramai 32 orang. Tertera nama di situ. Tidak syak lagi. Itulah nama saya.

Hati memanjatkan kesyukuran kepadanya. Subhanallah wa alhamdulillah.

Di bulan barakah ini, Allah menghadiahkan saya keputusan yang ditetapkan olehNya. Betapa besarnya hikmah Allah s.w.t. Ditutup semua pintu dan ruang di sini, agar saya tidak ragu untuk ke sana. InsyaAllah. Terima kasih juga, kepada kalian yang tidak jemu mendoakan saya dan memberi kata semangat buat hamba yang kerdil ini.

Duhai Bumi Anbiya', terimalah aku sebagai tetamu bagi menuntut ilmu Penciptaku juga Penciptamu..

Allahuakbar.

Monday, July 30

.Jalan TAQWA.


Bismillah..

"Awak tahu tak, semalam kita nampak dia. Wah, handsome gila!" erk. Sudah handsome, gila pula? 

Istighfar.

"Hey budak sopsuci! tak payah nak tunjuk alim sangatlah. Harapkan pakai jubah meleret-leret tanah kaup najis buat apa!" Huh, menyirap tahap giga nih. Bagi 'sebijik' baru tahu.

Istighfar.

Mata menjamah semua hidangan di bazaar Ramadhan. Nak yang mana ye? Tanpa sedar orang di sebelah, mencapai kuih di situ, di sini, dan di sana. BANYAKNYA!!

Istighfar.

Semua perkara ini 'ditahan' bagi mengawal diri. Serta melatih diri kita, untuk bulan-bulan yang kan datang. Jika bukan Ramadhan, bila lagi? Semuanya dipasakkan kerana Allah, InsyaAllah.

***

Umar al Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Ka'ab r.a tentang TAQWA. Lalu Ubay menjawab (dengan bertanya soalan): "Pernahkah enkau lalu di jalan yang banyak duri?"

Umar menjawab, "Sudah tentu!"

Ubay bertanya lagi, "Justeru apa yang engkau lakukan?"

Umar menjawab, "Aku akan mengangkat sedikit kainku dan aku akan melangkah dengan berhati-hati."

Ubay berkata "Itulah yang dimaksudkan dengan TAQWA." Mudahkan analoginya? Namun, bukan mudah untuk mencapainya. Sama-samalah kita mengejarnya!

Motto Ramadhan: "Kurangkan percakapan, Tingkatkan amalan."

Friday, July 20

.Di mana Ramadhan kita?


Bismillah..

Kedengaran laungan azan di masjid berdekatan. Ramadhan, kembali buat kesekian kalinya. Saat yang ditunggu berkunjung tiba. Walau berbeza masa dan situasi daripada tahun-tahun sebelumnya.

Senyuman yang terukir, kembali mengendur. Menjelma dibenak, apakah kesudahannya nanti Ramadhan kali ini? Mampukah diri bertahan, hanya kerana mentaati Allah? Segalanya diusahakan bagi mencapai TAQWA yang dijanjikan Allah itu. Allah..

***
Sungguh menghairankan. Khabarnya, dia itu sudah tertambat. Diikat sepanjang Ramadhan ini. Bukan dengar- dengar, malah Rasulullah sendiri yang memberitahu mengenainya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat."

Apabila RAmadhan mengikat syaitan daripada bebas berkeliaran, ia hanyalah proses mengurangkan potensi syaitan menghasut manusia berbuat jahat.

Seperti sebutan Nabi s.a.w pada sepotong hadis al-Bukhari dan Muslim, "Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri seluruh anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar."

Salah siapa?

Maka, selepas pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat, sudah cukup lapangkah jalan kebaikan dan sudah cukup susahkan jalan kejahatan?

Segala kemudahan sudah diberi untuk manusia berubah kepada kebaikan, sedangkan dirinya masih tetap melakukan kejahatan, siapa lagi yang dapat dipersalahkan melainkan dirinya sendiri?

Kejahatan Ramadhan adalah kejahatan tulen pilihan manusia. Hampir tiada campur tangan syaitan pada kederhakaan dirinya. Dia yang memilih untuk jahat lagi keparat.

Sebagaimana puasa menjadi ibadah eksklusif antara hamba dan Allah Tuhannya, maka kejahatan pada bulan Ramadhan juga akan dibalas secara eksklusif oleh Dia.

Soalnya, dimanakah syaitan ditambat? Soalnya, di manakah kita bakal menghabiskan masa pada bulan Ramadhan ini? Apakah di tempat jin dan syaitan bertandang? Atau di tempat turunnya Rahmat Allah pada zikir dan munajat?

Hati-hati semasa melangkah. Ingatlah lorong dan liku JALAN TAQWA!





Saturday, July 14

.Kalian sayap kanan, Kami sayap kiri.

Islam itu tinggi. Tiada yang lebih tinggi dari ISLAM.


Rabu, 14 Julai 2010 -Bermulanya era perubahan. Perlaksanaan tranformasi telah dilaksanakan. Dibarisi para kepimpinan yang tersusun kukuh satu barisan. Dalam meneruskan serapan dakwah dan pentarbiyahan.


Pagi itu, seorang insan terjaga awal dari biasa. Lantas air wudhu' menyimbahi wajah justeru menunaikan solat sunat sepertiga malam. Dalam kedinginan, dia berdoa "Ya Allah, seandainya aku layak dalam pemerintahan tampuk kepimpinan sekolah ini, Engkau tempatlah aku ditempat yang terbaik bagiMu. Andai aku terpilih, satukanlah hati kami dalam meninggikan Islam di sekolah ini."


Perhimpunan pagi itu, luar dari jangkaan mereka. "Baiklah, diumumkan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar 10/11 ialah, ........." Kesembilan ahli itu diminta berdiri. Seisi dewan menjadi senyap tanpa suara. Hakikatnya, itulah mereka. 'Barisan kepimpinan yang tidak dijangkakan bakal memegang tampuk sekolah'.


Usai pengumuman, mereka terus ke Musolla. Dengan penuh kerendahan hati mereka menunaikan solat sunat dhuha, taubat, dan hajat agar segenap urusan dipermudahkanNya.


Mereka akui, mereka punya banyak kelemahan. Mereka akui, mereka tidak punya banyak pengalaman. Mereka juga akui, sememangnya amat sukar untuk memperoleh kepercayaan. Sekalipun pengumuman itu mengejutkan, namun, itu semua tidak menjadi batu penghalang untuk mereka menghasilkan satu pembuktian.


Melalui tarbiyah,mereka mampu berubah dan mengubah. Malah, menjadi satu batu loncatan agar mereka mencetuskan sesuatu yang luar biasa. Hanya kerana Allah mereka BERGERAK!


Dalam pada itu, teringat mereka dengan pesanan seorang senior. "Ana lihat, mereka ini seperti Uwais Al Qarni. Mungkin saja tidak terkenal di dunia, tetapi disebut-sebut penduduk langit mengenai mereka."


Pada awalnya, mereka bergerak dengan penuh pincang. Dengan tidak petah berkata dihadapan, malah kesatuan antara mereka dalam sebuah organisasi juga goyah. 


Namun, ditampung dengan rukun bai'ah yang menjadi garisan. Serta elemen penting, yakni keizinan, syura, dan taat sebagai titik permulaan.


Sehinggalah suatu ketika, mereka telah mencetuskan fenomena 'SINERGI'. 1+1=3. Jika pimpinan tahun sebelum mereka, mampu menerapkan unsur 'Dakwah trough Sport' masakan mereka tidak mampu menjadikan Islam itu lebih Syumul?


Setelah istilah SINERGI itu dikaji dengan mendalam, mereka melahirkan sesuatu yang fantasi ke arah sebuah realiti. Keimanan kepada Allah pula menjadi tunggak dalam neraca kepimpinan mereka di dalam gerabak tranformasi sekolah. Justeru, kalimah 'Lailaha ilallah Muhammad Rasulullah' menjadi tujuan utama mereka dalam membawa pelajar. 


Sejak itu, mereka saling melengkapi. Saling menguatkan. Sama-sama mereka membanting tulang membantu guru-guru dalam agen penyebaran dakwah dan tarbiyah. Bukan setakat di sekolah, malah ukhwah itu di gemilangkan dengan penyatuan antara ibu bapa, guru, alumni dan pelajar itu sendiri.


Seorang guru pernah berkata, "Ustazah umpama seekor burung yang terbang untuk menegakkan Islam. Tanpa antum dan antunna, sebagai sayap Ustazah tidakkan mampu untuk terbang."


Tahulah mereka 'Kalian sayap kanan, Kami sayap kiri'.


Sejak itu, kekuatan ukhwah yang dipamerkan cukup luar biasa. Dan teramat LUAR BIASA. Sehingga suatu perkara yang dirasakan mustahil, tidak mustahil akan berlaku. Walhal, sekolah mereka tetap diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, dengan jayanya mereka tempuh, apabila diselubungi dengan nilai Ukhwah atas dasar keimanan.


Fenomena itu, tidak hanya terserak dalam kalangan pimpinan sahaja. Malah dikongsikan dengan pelajar agar turut merasai nikmatnya Iman dan Islam.


Saat itu, bermula titik perubahan yang dinamakan TRANFORMASI KEPIMPINAN HIDAYAH. Pelbagai fasa diterapkan dalam mencapai objektif. Strategi demi strategi telah dirangka menjangkau 20 tahun akan datang. Perkara ini bukan saja-saja. Walhal, bagi penerusan kader-kader dua't lahiran sekolah yang mampu untuk meninggikan panji Islam kelak.


Jika bukan mereka, siapa lagi?


Pewaris juga dilatih seawal tingkatan satu. Program juga berteraskan Al Quran dan As Sunnah. Justeru, solat juga akan diutamakan. Walapun ketika itu sedang diadakan meeting, pastinya akan diberhentikan sebentar agar mendahulukan solat. 


Pemikiran diluaskan lagi dengan program Remembrance Of alQuds yang telah berjaya mencapai kutipan RM 12 +++ dan membantu misi bantuan Aqsa Syarif dalam masa beberapa bulan. Seiring sokongan pelajar, guru serta ibubapa terutamanya.


Terasa aura IZZAH dalam diri...


Mungkin ramai yang berbicara tentang kehebatan mereka. Mungkin juga ramai yang tertanya-tanya, apakah rahsianya sehingga mereka kelihatan cukup hebat.


Keyakinan kepada Allah yang utama. Perilaku Rasulullah dicontohi walau cuma sedikit. Mungkin itulah rahsia mereka. 


Di sebalik kekuatan mereka, ada kekuatan yang tidak putus membimbing mereka seawal kenaikan pimpinan. Kata-kata yang sering diucapkan sehingga kini bukan mudah untuk mereka lupakan. "Ustaz percayakan kalian.. Yakinlah, barangsiapa yang membantu agama Allah, Allah akan membantunya." 


Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan insan. Apatah lagi meyakinkan. Hanya Allah yang mengetahui setiap sesuatu.


Sekadar mengimbau kenangan dalam barisan kepimpinan 'mereka'. Semoga Allah memberkati dan meredhainya. Allahuakbar.


'Terima kasih. Kalian sayap kanan, Kami sayap kiri. Dengan itu Islam mampu terbang tinggi.'




.Genggam mad'u.

Cover wall phone

Mutarobbiku,
Walau aku hanya seketika denganmu saban minggu,
Misiku mengenalkanmu dengan pencipta menjengah saban waktu,
Walhal aku tahu masa pantas saja berlalu,
Dan aku tidak terus akan berada disisimu.

للَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih"

'pemimpin yang terbaik mencetuskan ummah yang terbaik'
.Genggamlah mereka dengan doa.