Pages

Sunday, March 19

.Dibawah Langit Korea #8.


170317,
Jumaat.


Bismillah.


Ditakdirkan Allah hari ni aku diberi sakit muntah-muntah dan cirit. 30 minit sebelum pergi kerja aku ke tandas ulang alik. Terus buat keputusan untuk ambil cuti. Mujur boss benarkan.


Awal pagi tadi baik-baik saja. Selepas aku masak untuk ahli rumah secara tiba-tiba tidak sedap perut dan tidak boleh menerima makanan.


Faktornya mungkin akibat semalam, aku biarkan perut kelaparan.


Bukan apa, sejak kelmarin aku niat untuk ganti puasa. Hanya sempat sahur air mineral dua teguk pula. Sepanjang kerja tiada pula rasa terlalu lapar. Mungkin cuaca sejuk dan nyaman, tambahan sibuk kerja sehingga tidak terfikir untuk makan.


Sedar tak sedar, kerja seawal 6 pagi sehingga 10 malam. Waktu makan malam pula jam 6 petang, awal sejam dari waktu berbuka.


Masa berbuka, aku hanya sumbat air kotak dan roti sekeping yang diberi boss semasa rehat tengah hari.


Malam pula balik, terlalu penat dan aku tidak makan apa-apa sampailah pagi tadi.


Mana tidak berasid dan kekembungan. Tak pasal-pasal cuti tanpa sengaja pula hari ni.


Mujur tidak degil untuk pergi kerja. Kerap pula ulang alik ke tandas muntah-muntah. Sudahlah tandas di tempat kerja, biasa tiada air dalamnya. Hanya tisu. Habislah sekiranya keciciran semasa kerja. Allah Maha Tahu.


Semalam aku merasakan emosi sedikit kurang stabil. Mungkin terlalu lelah bekerja. Tambahan ada dua tempat boss bawa untuk kami menyelesaikan kerja sehingga lewat malam.


Aku terfikir, aku tersalah buat keputusankah? Mengapa aku ambil jalan ni? Jiwa aku sangat kosong di sini. Aku tidak memandang harta sebagai satu jalan kebahagiaan.


Andai kerja seperti robot begini setiap hari, mati akal dibuatnya.


Andai kehidupan hari-hari aku seperti binatang, waktu makan, makan. Waktu kerja, kerja. Esok cuti, cuti. Sampaikan aku tidak bisa merancang hariku dalam seminggu kerana oncall setiap hari.


Akhirnya air mata yang ditahan-tahan selama ni tertumpah jua. Merembes dan mengalir tanpa henti. Dari pagi smpi ke malam.


Jujur minatku bukan seperti ini. Aku bukan kuli. Aku nak berbakti. Di sini aku hanya makan gaji. Tapi hidup langsung tak bererti.


Petang waktu rehat, aku luahkan sepenuhnya pada ayah ummi. Aku tidak tahan. Hidup dikelilingi maksiat. Urusan ibadahku turut terabur.


Al-quran? Baru sekali aku membacanya di sini.


Bertambah geram dengan perangai orang korea. Situasi yang terjadi pada sahabat yang sekali datang denganku di syarikat lain dibuang sesuka hati. Dicampak ke tempat-tempat lain tanpa sebab.


Argh! Jiwaku meronta.


Ingin saja tangan yang mengetuk bekas seaweed itu diketuk kepala orang korea ni setiap seorang.


Ingin saja tangan yang mencarik bekas seaweed itu dicarik baju dan kolar mereka.


Marah teramat marah.


Namun ianya hanya terkumpul di sanubari. Yang terluah cuma air mata sebagai penenang jiwa.


Berkali ummi meminta maaf andai keputusan ummi bersungguh menyuruh aku ke sini.


Bukan salah ummi atau ayah. Salahku kerana tidak berani buat keputusan untuk diri sendiri. Tiada matlamat jelas dengan risiko yang diambil.


Sedih mengenangkan kerjaya sebagai guru yang aku lepaskan sebelum pergi ke sini. Pasti untuk kembali semula, sekolah tidak menerimaku.


Jauh sudut hati, semarah-marah hatiku. Siapa yang aku ingin marahkan sebenarnya? Aku ingin menyalahkan takdir Allah untukku inikah? Aku tidak redha apa yang aku lalui?


Pandangan dihadapkan ke langit. Aku memohon ampun Ya Allah atas segala salah silap dosaku. Terlalu rahsia caturan yang Engkau tetapkan untukku. Aku serahkan padaMu setiap urusan kehidupan jika baik untuk agamaMu dan redhaMu.


Nasihat pengurusku, Encik Hafiz juga aku ambil. Katanya supaya aku lebih bersabar. Walaupun kerja kalah oncall para doktor. InsyaAllah berhijrah ini ada kebaikannya. Untuk berhenti tengah jalan, tidak mudah untuk ke tempat lain.


Benarlah aku dah masuk satu dunia realiti di luar yang jauh dari jangkaanku.


Nah peluang dan ladang besar untuk aku beramal. Tidak sedarkah aku?



.Dibawah Langit Korea #7.


150317,
Rabu.


Bismillah.


Selesai kerja hari ni jam 5 petang. Perjalanan balik ke rumah memakan masa dalam 3 jam setengah.


Langit pekat malam, baru kami sampai.


Berbeza situasi hari ni, aku sendiri tak pasti mengapa team-team pekerja semua 'naik hantu'.


Esok masih kerja. Tiada pula boss maklumkan cuti. Namun kebahagiaan mereka jelas terpancar. Awal-awal lagi Supervisor sudah hulurkan kaki khinzir goreng. Kami yang malaysia sekadar cakap, 'aniyo.. aniyo..'


Mereka juga maklum, kami tidak makan daging khinzir.


Tak lama selepas itu, beberapa orang thailand pasang pembesar suara lagu-lagu versi dangdut. Mereka berpesta dibelakang.


Datang pula ahjuma bawa botol arak. Dia dengan bahagianya tuang 'soju' di cawan setiap pekerja kecuali kami. Ramai juga yang menolak.


Sambil-sambil aku merakam detik 'bahagia' mereka di dalam bas.


Ini pertama kali aku melihat situasi 'gila' orang yang berpesta dengan arak dan tarian yang entah apa-apa.


Seorang ahjussi ini terus melayan ahjuma yang aku kira pangkat nenek bagi ku menari dan menyanyi.


Mereka minum dengan banyaknya.


Selang dalam 45 minit begitu, ahjuma dan ahjussi sudah mula mabuk. Perangainya tak tentu hala. Paling menakutkan dia memeluk dan memegang sesiapa saja di dalam bas.


Perilakunya, hilang kewarasan.


Sampai satu ketika, ahjussi minta berhenti untuk ke tandas. Berpusu-pusu mereka turun.


Usai semua kembali naik ke dalam bas, salah seorang ahli rumah ku beritahu, "Ahjuma tu dah tak betul sangat dah tu. Tadi kat tandas dia nak buang air tak tutup pintu. Ahjussi-ahjussi yang kat tepi semua pandang tempat lain. Itu pun mula-mula dia nak buang air kat singki basuh tangan. Teruk betul."


Ya Allah dahsyat sangat penangan 'soju'.


Inilah sebab mengapa Islam mengharamkannya. Amalan yang mampu menjatuhkan maruah bangsa, yang membunuh kehidupan manusia, yang mencanang tamadun dulu kala.


Paling menyakitkan, aku hanya mampu melihat dan membenci dengan seluruh jiwa ku.


Moga suatu masa nanti Allah mengurniakan hidayah dan mereka mengambilnya sebagai pedoman hidup.



.Dibawah Langit Korea #6.


130317,
Isnin.

Bismillah.


Sedar tak sedar, hari ni isnin, sudah 7 hari aku dibumi sonata.


Niatnya nak puasa, tapi belum kuat iman agaknya. Membayangkan hari ni cuti nanti mesti tercari-cari makanan. Lebih lagi bila tak buat kerja. Bila kerja, penat lapar juga.


Alasan bukan?


Harapanya hari khamis minggu ni aku berjaya untuk puasa. Ramadhan pun tingga lagi 2 bulan. Dah tak lama. Kalau tidak dibiasakan dari sekarang, berat.


Apatah lagi aku dibumi asing. Dengan waktunya yang berubah hari ke hari.


Rutin biasa, masak sarapan bubur ala-ala bubur lambuk untuk ahli rumah. Basuh baju, dan merehatkan badan sepuasnya!


Sebelah petang kami ramai-ramai berjalan kaki ke kedai runcit berdekatan. Tidaklah dekat mana. Boleh tahan jauhnya.


Maklumlah, tinggal dipedalaman. Suasana keliling ladang sayuran dan pokok-pokok togel yang tinggal ranting menghiasi.


Cantik. Itulah uniknya musim sejuk. Sedikit masa lagi tumbuhlah bunga-bunga indah.


Sampai dikedai runcit aku hanya membeli barang penting. Buah-buahan dan biskut. Sukar juga untuk buat pilihan. Sebab tidak pasti inti pembuatan makanan di sini.


Semuanya, won 12000. Bersamaan dengan RM 50. Mahal juga barang di sini.


Tidak seperti di Jordan. Kalau 12 JD banyak juga barang dapur boleh dapat. Sayur-sayuran dan buah-buahan murah.


Currency Malaysia dan Korea. Kira bila peroleh gaji di sini, bila dibawa ke Malaysia jadi tinggi. Untuk menetap disini, memang tak cukup.


Ikhlaskan hati. Sambil mencari rezeki, menghargai juga rezeki sekeliling yang Allah beri jika kita benar merasai.



.Dibawah Langit Korea #5.


120317,
Ahad.


Bismillah.


Awal pagi bersiap. Jam 4.30am seperti yang dijanjikan, oppa merangkap PA boss ambil kami di rumah. Perjalanan menuju ke tempat kerja mengambil masa 3jam setengah.


Sepanjang itu kami semua sambung lena. Suasana sejuk masih menyelubungi. Kehangatan pemanas di dalam bas sedikit sebanyak memberi ketenteraman.


Apakah yang bakal dilalui hari ni dibiarkan saja Allah menyusunnya.


Selesai kerja di kilang pertama, boss maklumkan akan ke kilang kedua tidak jauh dari situ.


Oh tidak.


Rasa nak menjerit. Urat badan sudah meronta kepenatan. Moga badan ini tetap terus bertahan sampai ke malam.


Jam dah menunjukkan pukul 1 petang. Usai makan tengahari yang disediakan, aku segera ke tandas. Siap sedia untuk mengambil wudhu untuk menunaikan solat.


Bila sarung tangan dibuka, Ya Allah aku lihat jari jemariku sudah luka luka sedikit tersiat. Kulit yang menggelembung kelmarin juga sudah pecah dek kuat sangat aku ketuk dan tarik bekas seaweed.


Pedihnya, Ya Allah.


Tambah dengan pelekat yang dipakai, semakin sakit bila terlekat dengan kulit gelembung bila ditarik.


'Tahan nabila! Tahan!'


Kata mereka, ahli rumah "Seminggu je Bella rasa sakit ni. Lepas tu biasa dah. Kami pun awal-awal dulu luka macam tu."


Sungguh aku tak pernah bekerja keras begini.


Alhamdulillah hari ini aku ambil cabaran kata-kata ayah.


Aku solat dibahagian yang bersih dan kawasan agak lapang. Dan ada seorang lelaki korea perasan pergerakanku. Tapi dia hanya lihat dari jauh dan tidak menghalang.


Sebagai seorang manusiakan fitrahnya beragama. Biarlah jika ada yang terlihat.


Mudah-mudahan syiar yang aku laksanakan memberi qudwah pada mereka. Jika tidak sekarang, mungkin suatu hari nanti. InsyaAllah.


Alhamdulillah aku lebih tenang.


Jam terus berdetik. Akhirnya langit yang cerah pun sudah bertukar gelap.


Tidak berhenti kami terus mengetuk, mencarik, dan mengait bekas seaweed.


Jemari yang luka memberi kesan gerak kerjaku semakin lambat.


Kaki semakin lenguh. Nak seret pun tak larat. Dari pagi berdiri. Duduk hanya ketika makan dan solat. Pergelangan tangan juga seperti membengkak.


Penat teramat sangat. Tanpa sedar air mata dah mula bergenang.


Memikirkan kontrak 3 bulan itu lama. Mampukah aku bertahan?


Tepat jam 9 malam kami selesai kerja. Subhanllah perasaan ketika itu, bahagia tidak terkata. Akhirnya.


Dah boleh balik!


Hilang terus penat dan terlupa dengan luka luka di jari. Bertambah gembira bila boss maklumkan esok cuti. Dapatlah merehatkan badan ni.


Dalam kedinginan cuaca sejuk malam, aku memeluk tubuh. 'Thank you dear, sebab bertahan. Tak pengsan tengah-tengah buat kerja.' Huhu.


Sampai rumah jam 12.30malam. Hai betapa indahnya hari ni kerja, esok cuti. Begini setiap hari pun seronok juga. Selang sehari cuti. Gaji jalan tak apa.


Alhamdulillah ala kulli ni'mah. Perit juga rupanya kerja oncall begini. Tapi perit lagi para doktor ya?

.Dibawah Langit Korea #4.


110317,
Sabtu.


Bismillah.


Hari ni cuti lagi. Nampak gaya seronokkan sehari kerja sehari cuti. Huh tapi awal-awal boss dah maklumkan esok kerja jam 4.30am. Sampai pukul berapa? Tak pasti.


Sempat lagi hari ni minta oppa bawa ke supermarket. Beli barang-barang dapur. Habis dah. Bila cuti ni, masak aja kerja. Semua ahli rumah pun makan macam pirana dah musim-musim sejuk.


Semalam kerja, mulanya boss maklumkan jam 6.30pm. Terfikir juga alamatnya sampai jam 2-3pagi baru habis.


Tiba-tiba encik hafiz pengurus kami, dapat mesej dari boss suruh siap sedia jam 12.30pm dia akan ambil.


Sudah!


Habis semalam pukul 9malam.


Masa kerja, semangat sangat tanpa sedar tangan dah teruk. Mungkin sebab sejuk tak rasa. Hujung jari sedikit gelembung. Faktor kuat sangat tekan bekas seaweed tu. Sedikit calar-balar bahagian tengah jari.


Ini baru dua hari. Aku belum biasa. InsyaAllah hari-hari lepas ni alah bisa, tegal biasa. Moga.


Buat pertama kalinya juga masa kerja, aku solat dalam tandas.


Sungguh tiada tempat. Tandas pula besar dan bersih. Di bahagian hujung bersebelahan mesin basuh, aku solat. Dalam hati terdetik juga. Berdosakah aku? Sangat berharap Allah terima solatku.


Betapa iman ini masih senipis kulit bawang. Aku belum kuat rupanya sebagai seorang muslim.


Kata ayah, 'Solatlah di ruang terbuka biar boss nampak. Kita perlu solat dan itu syiar kita.'


Bergenang air mata bila ayah mesej macam tu. Itupun berdasarkan pengalaman ayah di US.


Betapa aku selama ni sangat hidup dalam keadaan yang sangat selesa. Dikelilingi orang yang faham tarbiyah, dalam negara islam tapi aku jarang sekali bersyukur. Allah campakkan aku ke bumi sonata ini, barangkali lebih mendekatkan aku dengan Dia.


Aku berharap agar jati diri aku sebagai muslim satu hari nanti aku berbangga sebagai muslim yang sebenar.



.Dibawah Langit Korea #3.





Bismillah.



.Di Bawah Langit Korea #2.

070317,
Rabu


Bismillah



.Dibawah Langit Korea #1.



010317,
Rabu.



Bismillah.


Keputusan drastik perlu dibuat. Sama ada untuk ke Korea ataupun ke Hira'.


Pagi tadi siap-siap aku berkemas barang yang nak ke Hira. Tempat yang pernah menjadi salah satu kenangan belajar di situ tiga bulan sahaja. Sebelum berpindah semula ke Hidayah. Orang setia beginilah. Kata senior, bila seseorang itu masuk Hidayah, selamanya Hidayah. Habis satu keturunan nanti. Sekarang dah sampai generasi anak-anak pula. Namun aku tidak menafikan kehebatan Hira. Ada uniknya tersendiri. Kelebihannya tersendiri.


Tinggal beberapa helai baju yang belum lagi dimasukkan, aku rehat sebentar. Sementara menunggu baju yang dibasuh dalam mesin selesai.


Whatsapp dibuka.


Ada makluman di group seoul korea. Kepada nama-nama berikut sila mesej secara peribadi pada admin. Dijangka bertolak 7hb Mac. Namaku dan mak cik tersenarai.


Allahuakbar. Terkejut bukan kepalang.


Cepatnya!


Terus whatsapp ibu. Panggilan untuk mak sedara ku belah ummi. Bertanya apakah keputusannya. Jika diikutkan, aku memasuki grup itu tanpa sengaja. Membaca maklumat pun hanya sekali-sekala. Yang lebih bersemangat adalah ibu. Ibu juga yang memasukkan nama ku untuk pergi kerja di Korea, walhal aku serah saja dengan Allah, mana yang datang dahulu, aku terima.


Dalam masa yang sama, aku resah. Keputusan hira sudah aku maklumkan akan ke sana. Lapor diri hari jumaat ni.


Bayangkan, aku tak punya banyak masa lagi. Ikutkan, esok gerak ke klang.


Usai solat zohor aku beristikharah. Aku tidak tahu mana yang terbaik buatku. Ikutkan hati memang hendak ke Hira. Aku nak kembalikan semangat diri yang dah lama terperuk menanam anggur di rumah.


Ummi turut mengambil tindakan. Segera menghubungi sekolah. Bertanya samaada, ada penggantikah selain aku di Hira. Ikutkan memang tempat itu sudah dikhaskan buat ku. Namun sekolah tetap memberi peluang, andai hati untuk ke hira datang saja hari jumaat nanti.


Jika diikutkan, kontrak kerja 3 bulan. Sama dengan Hira. Sekiranya untuk terus, terpulang. Dari segi gaji, sememangnya lebih lumayan di Korea. Tapi aku tidak memandangnya sebagai satu alasan utama. Antara dua, aku keliru. Mana yang terbaik?


"Angah tak suka nak buat keputusan Ummi, Ayah." Luahku.


Pejam celik detik minit berlalu, hubungi ibu. Apa keputusannya. Dia kuat untuk teruskan. InsyaAllah.


Akhirnya bila ditelefon pengurus kami, Encik Hafiz, dia pun mengatakan akan terus menempah malam ini tiket penerbangan ke korea 7hb nanti.


Aku terduduk.


Secepat ini aturan Allah? Namun setip satu keputusan semestinya kita punya pilihan. Namun sebuah ketetapan ada pada Dia yang Maha Menentukan.


Sukarnya membuat pilihan. Apatah lagi keputusan yang menongkah arah sebegini. Nasihat Ummi agar aku terus saja ke Korea. Ayah pula menyokong. Aku sebagai anak ikutkan saja. Mudah-mudahan ada guru pengganti yang lebih baik di Hira.


Maaf kerana menyusahkan kalian, warga Hira. Peritnya melepaskan.


Dan pilihanku ke Bumi Korea.


Kali ini sedikit berbeza. Bukan sebagai pelancong. Bukan sebagai pelajar. Tetapi sebagai hamba Allah yang mencari rezeki dibumi asing. Negara orang kafir yang teramat jauh dengan budaya Islam.


Bismillahi tawakkaltu alallah.


"Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padaNya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmuNya benar-benar meliputi segala sesuatu.
(At-Talaaq : 12)




Thursday, March 9

.Bisnes Online.




Bismillah.


Jom kita mulakan berbisnes online!
Bila diri pandai meng'edit' poster, tapi tak ada poster nak buat, maka terhasillah ini.


Tercari-cari nama apa yang sesuai untuk bisnes kami adik beradik.
Girls only. Che Mat dan Kippa tak termasuk.


Akhirnya ini yang terpilih.


Nysreen Collection.
Nysreen yang bermaksud 'White rose' atau Mawar Putih.
Nysreen asal perkataan bahasa arab.


Dalam perkataan nysreen terbentuk dari gabungan nama kami.
N - Nabila
Y - Alya yaya
Ree - Nurin yin
N - Nadia along


Kami menjual apa?
Haa macam-macam sebenarnya.


Tapi setakat ini aku menguruskan dari segi modal dan sebagainya.
Along Yin Yaya sebagai agen tak rasmi.


Setakat bulan lepas,
Alhamdulillah keuntungan hampir RM 1000.
Hmm tak nafikan orang sekarang boleh duduk rumah tapi duit masuk.


Makanya,
Jangan kita duduk saja,
Carilah rezeki,
InsyaAllah Dia akan beri pada hambaNya
yang tetap berusaha.


Mudah-mudahan diberkati Allah.


Di samping itu,
saya juga merupakan agen Mary Jardin.


Produk Muslim,
Organic skincare.


Nak tahu lebih lanjut berkenaan Mary Jardin 
boleh contact WA personal,
+60195220115 :)




p/s : Satu perkara dalam kita berniaga atau apa saja yang kita lakukan. Letaklah Allah yang paling utama. Jangan pernah takut dengan rezeki. Yakin saja dengan pemberiannya. Semestinya kehidupan sekarang menuntut kewangan yang tinggi, namun jangan sampai dilanggar hukum Allah. Biar sedikit, asal diberkati.


Sunday, January 8

.Rehat.



Bismillah.


Tanpa sedar rupanya sudah hampir 4 bulan aku telah pulang ke Malaysia. Seiring itu juga aku masih 'rehat' tidak kerja di mana-mana. Sengaja untuk dekat bersama keluarga. Sudah puas rasanya merantau 4 tahun di Jordan. Bersungguh hendak menjadi suri rumah. Sekalipun hanya suri rumah buat umi ayah sebelum melangkah ke fasa bekerjaya atau sambung belajar?


Berkali juga Mak Cik kawasan, guru-guru panggil untuk bekerja. Selajur itu aku hanya berbasa basi. Belum sedia jawabku. Ringkasnya aku masih mahu rehat. Sampaikan Along sendiri sudah bising melihat adiknya, suruh cari kerja. Tapi ummi membelaku. Along pun dahulu cukup 4 bulan baru mula cari kerja ungkitku sekali sekala.


"Tak apa, ummi tak pernah nak paksa anak ummi. Ummi lebih suka anak ummi ada dekat dengan ummi. Ummi tahu mesti kena cukup 4 bulan rehat ni. Mesti lepastu tahu nak buat apa." Bicara ummi.


Sekali-sekala ada juga timbul rasa penyesalan. Mengapa aku begini? Pemalas nak keluar. Jumpa masyarakat. Mana pergi istilah-istilah sebati di Jordan dahulu. Sungguh berteori selama ini. Tajmik? Muayashah. Usrah, Dakwah, Tarbiyah?


---


REHAT!


Cukup setakat ini. Jasadku sudah bosan tidak bergerak.


Bila ada peluang keluar bersama keluarga atau sendirian, aku mengambil peluang untuk berbual sembang-sembang dengan orang sekeliling. Perlahan-lahan aku tersenyum. Berputik semangat untuk bangkit dari 'rehat' 4 bulan aku selama ini.


Masyarakat perlukan aku.


Mujur sepanjang 4 bulan aku tidak terputus usrah. Adalah kerja sedikit bantu murabbi mana yang perlu untuk kawasan.


Benar betapa di Malaysia ini kita yang perlu tonjolkan diri.


Selamanya menyorok, selamanya duduk bawah tempurung, selamanya zon selesa, selagi itulah kita takkan mampu menghadapi cabaran-cabaran yang sebenar. Dan dengan cara bangkit dari 'rehat' yang panjang dalam keadaan yang benar-benar sedarlah akan memberikan keuntungan kepada kita jika diniatkan setiap amal kerana Allah.


---

Nah, jangan kata budak overseas 'qowiy' segala! Betapa ramai yang nak 'rehat' untuk beberapa tempoh. Nak menyesuaikan diri dengan keadaan di Malaysialah. Cuacanya, masyarakatnya, politiknya lagi. Banyak sangat perubahan. Nampak tak alasan berderetnya tu?


Namun aku tidak menunding kepada semua. Ramai yang MasyaAllah hebat, sejurus balik terus berbakti. Kerana pada diri mereka mungkin lebih adanya keimanan yang tinggi. Keimanan terhadap hari akhirat. Percaya waktu-waktunya berharga.Dia tidak berlengah dengan masa mudanya.


Allahu. Moga Allah ampuni segala khilafku.


Dan kini aku telah buat keputusan setelah 4 bulan 'rehat'. Apakah ianya yang terbaik? Aku tidak tahu. Harapan sebagai hamba kepada Dia, pastinya mengharapkan pertolongan Allah dalam setiap jalan yang aku pilih.


May Allah ease.


10.20 pm,
Bayan Lepas, Pulau Pinang

Friday, August 5

.Allah Ar Raheem.







Bismillah.



"Terlajak perahu, boleh diundur. Ni terlajak dinosour tak tahulah."



Bicara salah seorang ahli rumah saya. Saya mengeluh berat. Tidak membalas bicaranya. Badan direbah. Tilam yang empuk tak mampu menenangkan hati yang resah.



Al-Quran dicapai. Nak baca? Tapi dah tak semangat sebab awal pagi ini lewat bangun subuh.



Masuk hari tersebut, hari kedua lewat. Bukan saya seorang sahaja. Tetapi satu rumah. Tiada seorang pun yang sedar pagi itu. Sungguh terasa seolah gunung yang tinggi lagi berat menimpa diri. Takut. Takut dengan Allah.



Tambahan yang lebih memeritkan, bukan sekadar lewat subuh. Sejak beberapa hari yang berlalu untuk bangun berqiamulail? Apatah lagi. Memang tidak bangun, Tidur mati lagaknya.



"Apa dosa yang telah aku buat?"



Sekali lagi saya berusaha untuk menenangkan diri dengan istighfar. Dalam fikiran masih tertanya-tanya, apakah sebalik kejadian ini ada petanda dan teguran dari Allah buat saya?



---



Pada hari yang sama, seorang ukhti share satu artikel.



'Mengapa saya susah untuk bangun malam?' keluaran web quranicgen.com



Sekali lalu saya membacanya. Amat tersentuh dengan hadis serta nasihat-nasihat yang disertakan. Antaranya peristiwa yang dikisahkan,



Ibrahim Adham pernah ditanya oleh seseorang untuk meminta nasihat agar dia mampu mengerjakan solat malam tahajjud.


Beliau  kemudian berkata kepadanya, "Janganlah engkau bermaksiat kepada Allah Azza Wajalla di siang hari , nescaya Allah akan membangunkanmu untuk bermunajat dihadapanNya malam hari. Sebab munajatmu di hadapanNya di malam hari merupakan kemuliaan yang paling besar. sedangkan orang yang bermaksiat tidak berhak mendapatkan kemuliaan itu."


Allahu.


Dalam kisah lain pula,


Sufyan At-Thauri berkata, "Aku pernah terhalang (tidak dapat bangun) untuk mengerjakan solat malam selama lima bulan disebabkan satu dosa yang telah aku lakukan."


Ditanyakanlah kepada beliau, "Dosa apakah itu?" 



Beliau menjawab, "Aku melihat seorang lelaki yang menangis. Lalu aku katakan di dalam hatiku bahawa itu dilakukannya sebagai bentuk kepura-puraan sahaja."


Nampak kecil, rupanya satu bentuk dosa tanpa kita sedari.


Seharian saya bermuhasabah. Meneliti semula hari-hari yang berlalu apa yang telah saya lakukan. Hatta sekecil perkara. Ya kali ini jangan cuba menipu diri sendiri. Telus dengan Allah. Moga diampuni segala dosa dalam keadaan sedar ataupun tidak.



Boleh jadi juga kerana hubb dunya yang ada dalam diri. Tidur lewat kerana menyiapkan urusan-urusan penting kononnya. Tetapi kebelakangkan Allah dalam banyak hal. Walaupun di khalayak mencanang membawa manusia mengingat kepada Allah. Namun diri sendiri tewas dalam meningkatkan kualiti amal yang mana menghilang tiada arah.


---


Sedang sibuk membaca Al-Quran, terjumpa satu ayat seolah-olah memujuk diri atas peristiwa dan teguran dariNya.


"Katakanlah : 'Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az Zumar ; 53)


Dapat dilihat kasihnya Allah, bila mana awal ayat ini Allah mulakan dengan 'Ya ibadi' Wahai Hambaku. Panggilan istimewa serta dekat dari Allah untuk menasihati hamba-hambanNya seperti kita.


Terima kasih Ya Allah.


Subhanallah walhamdulillah.


Akan diusahakan agar dapat menjadi muslim yang benar-benar sejati dalam melaksanakan haknya sebagai hamba kepada Tuhannya, InsyaAllah. Allah  Ar Raheem.



Thursday, August 4

.Allah Al Wadood.




"Kita ni hidup, kena penuh dengan kasih sayang. The power of niat dari hati pasti akan sampai pada orang keliling." - pesanan ummi petang tadi.

---

Nah berpeluang terus menebar kasih sayang pada 3 beradik comel ini. Umar Ulya Asma.

Usai solat maghrib berjemaah bersama ahli rumah, si abang Umar bersuara.

"Acik, nanti abang nak baca surah an-naba' dengan acik? Sebab kena selalu baca supaya ingat."

Sedikit teruja.

"Wah abang dah hafal ke? Okay, tapi nak tak kita solat sunat dulu. Lepas tu acik tasme' (dengarkan) abang baca surah an-naba'. Dan abang cuba jadi imam solat sunat. Boleh?"

"Solat sunat? Kena baca kuat ke? Alaa malulah."

"Kenapa nak malu. Abang buatlah kerana Allah. Bukan sebab acik."

"Okay. dua rakaat je kan?"

Saya mengangguk sambil tersenyum. Sengaja saya mengajaknya solat sunat dan memintanya supaya cuba menjadi imam. Sedikit sebanyak dapat melatih kepimpinan anak kecil ini. Sekaligus membina keyakinannya untuk melafazkan bacaan yang telah dihafaz.

Jazakillah kheyr Naseeha Sakeena beri cadangan untuk adakan sesi ini.

Alhamdulillah selesai solat sunat maghrib, saya mendengarkan bacaan surah an-naba' oleh Umar. Bacaan yang baik serta makhraj yang boleh lagi diperbaiki.

"Acik, surah an-naba' abang baca satu muka surat je tau. Lepas tu abang tak ingat sangat."

"Okay. Bacalah sampai mana yang abang hafaz. Nanti acik sambung bacakan pula." Dia tersenyum gembira sambil memulakan bacaan.

Dalam hati berulang kali saya mengucap tasbih. Terasa seperti di dunia lain melihat anak kecil ini menuturkan satu persatu ayat Allah.

Syahdu.

Bertambah mengagumkan semasa solat isya' pula, semangat Umar ajak kami untuk solat berjemaah dan menawar diri untuk menjadi imam kali kedua. Ini petanda baik. Baiklah kita raikan semangatnya.

Rakaat pertama, dibacanya surah an-naba'.
Rakaat kedua, dibacanya awal surah israa.

Allahu. 

Tak terungkap dengan kata-kata.
MasyaAllah anak ini..

Acik rasa tercabar untuk menghafaz dan mengulang hafazan lebih giat lepas ni bila melihat kesungguhan Umar dengan Al-Quran.

Banyak ibrah bila bersama mereka.

Benarlah, bila menghubungkan kasih sayang kepada pencipta, insyaAllah akan kekal dibawah pemeliharaan Allah dalam kehidupan dunia akhirat. Secara tak langsung mengesani orang sekeliling tanpa kita sedari. Allah Al Wadood. Moga menjadi anak yang soleh/ah pada umi abi ya, Umar Ulya Asma.

---

Terima kasih umi abi Umar Ulya Asma pinjamkan kami 3 beradik comel ini. Bertambah erat juga sesama ahli rumah bila semua pakat melayan gelagat 'upin ipin' ketiga-tiganya. Terbina juga keakhawatan masing-masing. Hehe.

Hepi anivesari both of you!
Moga barakah keluarganya sehingga ke syurga.

Orang lain boleh contohi umi abi Umar Ulya Asma 

.Allah Al Wakeel.




Bismillah.

Duar Saah,
Medinatun Nabiy.

---

Dalam seharian kita melaksanakan bermacam urusan kehidupan dunia mahupun yang menyumbang ke arah urusan akhirat, apakah kita sudah mewakilkan urusan padaNya? Atau kita masih lagi bersandar kepada makhlukNya?

Allah itu, Al Wakeel.

Sebagai hamba Allah, pasrahkanlah hati dan diri secara total kepadaNYA untuk Dia berbuat sekehendakNya. Kita juga berposisi sebagaimana Allah memposisikan kita untuk lebih mendekat denganNya. Dan redhakanlah serta tenanglah dengan setiap ketetapan dariNya meski apa jua keadaan dalam segenap sisi kehidupan kita.

Nabi SAW bersabda :

'Jika kalian bertawakkal pada Allah dengan sebenar-benar tawakkal maka Allah akan memberi rezeki kalian seperti DIA memberi rezeki burung yang keluar pagi dalam keadaan lapar dan kembali petang dalam keadaan kenyang.' (HR Tarmizi, Ibn Majah dan Imam Ahmad)

Indah bukan?
Hidup bertawakkal..

---

Moga bulan mulia Ramadhan ini menatijahkan saya sebagai seorang hamba Allah yang benar-benar menyerahkan segenap urusan semuanya kembali kepada Allah swt, Al-Wakeel. Hatta dengan sekecil-sekecil urusan dan permintaan. Bukan lagi pada makhlukNya. InsyaAllah.

Hasbunallah wani'mal wakeel.

Cukuplah Allah bagiku,
Dialah sebaik-baik tempat sandaran.


Tuesday, June 14

.Doa.


Bismillah 


Saudaraku,

Detik ini, 
Mari kita awali dengan perubahan,
Jangan pernah kita bersandar kepada siapapun,
kecuali kepada ALLAH.

Juga,
Jangan bersandar kepada kecerdasan kita,
Apa ertinya kecerdasan tanpa pertolongan dari ALLAH.
Jangan bersandar pada harta yang kita kumpulkan,
Mudah bagi ALLAH untuk mengambilnya.

Allah berkali-kali meneguhkan janjinya,
Barangsiapa orang yang benar-benar bertaqwa pada ALLAH,
Maka baginya jalan keluar bagi setiap kesulitan,
Jalan keluar dari setiap persoalannya,
Persoalan itu akan diberi jalan.


Bukan kerna kita pandai, 
Bukan kerna kita kuat, Bukan kerna kita kaya.


Justeru,
Jalan keluar itu datang buah dari ketaqwaan kita.

Mengapa orang yang pandai banyak yang sengsara,
Mengapa orangyang berharta banyak yang sengsara,
kerna persoalan tidak akan bisa dipecahkan hanya mengandalkan kemampuan kita.


Ketaqwaan itulah yang mendatangkan ALLAH,
dan ALLAH akan membuka pintu rezeki dari tempat yang tidak diduga-duga.

Bagi kita,
Banyak persoalan yang diluar kemampuan kita,
tapi mudah bagi ALLAH.

Andai kita ahli taqwa,
jalan luas serta lebar menantinya.


Allah yang mempertemukan dengan siapa yang dikehendaki,
Allah yang membuka pintu-pintu yang tertutup,
Allah akan memudahkan segala sesuatu yang sulit.


Ahli taqwa akan dimudahkan oleh ALLAH,
dan barangsiapa bertawakkal kepada ALLAH,
akan dicukupkan segala kebutuhan lahir,
dan kebutuhan batinnya.

Allah lebih tahu kebutuhan kita,
melebihi tahunya kita kepada diri ini.


Oleh kerana itu saudaraku,
jangan lebih tahu kita dibandingkan dengan ALLAH,
untuk menghadapi hidup ini yang berta sekali tanpa ketaqwaan,
berat sekali tanpa ketawakkalan,


Sayogiyanya kecerdasan kita,
harta kita, kemampuan kita, kekuatan kita,
adalah untuk membuat kita semakin taqwa kepada ALLAH.
semakin teguh mematuhi perintah ALLAH.


Bukan kerna pahala semata, Bukan kerna ingin surga, Bukan takut celaka,
Tapi saya patuh kerna ALLAH semata dan jauhi larangan kerna ALLAH


InsyaALLAH

Itu,
lebih sebetulnya mebuat kita hidup menjadi lebih ringan, 
jauh lebih indah,


Dan setiap persoalan yang kita hadapi, 
akan diselesaikan oleh ALLAH yang Maha Agung.
Tidak ada yang dapat diselesaikan tanpa bimbingan ALLAH subhanahu wataala.


BERDOALAH

اذا سألك فاسأل لله


*suaracerita*

Friday, May 20

Pass it on!




Bismillah.




"Enti doakan ana.."
"Ana rasa tak kuat lah."
"Sem ni paling horror rasa."
"Sama jugaaa." dibalas luahan mereka.

---

Bila beritahu ummi kerisauan hati ini. Balas ummi..

"Angah ada ayah dan ummi. Dan yang paling best angah ada Allah yang sangat hampir. kalau angah rasa takut, angah mesti revise balik sebab Allah keluarkan angah sedari perut ummi bukan untuk rasa takut. Tap dengan tenang. Sebab kehebatan ada dalam diri angah. Bukan hebat exam tapi hebat hamba yang bersyukur dan berterima kasih pada Allah."

"InsyaAllah anak ummi dah happy dah ni. Move on and just pass it on."

"Cewwahh.. chaiyok. Ummi tengok belum. Angah baru belajar untuk bahagia. Belum total. Ececeh.." Aduh, nampak tak belum berjaya 'menipu' ummi lagi. 

Oh ummi.. sering saja dengan katanya penuh inspirasi. Simpan air mata untuk yang lebih pentig sis!

---

Begini ya rupanya simptom2 orang nak khirij (grade). Sekalipun yang khirij soifi ni tumpang sekaki merungut sunggul hati penuh sayu. Tidak dinafikan jauh sudut hati nak juga mengeluh itu ini. Nak juga menangis semahunya. Nak juga lari jauh sejauhnya. Tapi tak tahu nak lari mana. Dan tak suka pun kan nak lari sebenarnya.

Yang nanti akhirnya apa?
Habis masa begitu saja.

Itulah manusia.

Take your time, ingat Allah. Istighfar. Ambil wudhu' solat dua rakaat. Tak tenang lagi? Tambahlah.. dan mohon doa pada Yang Maha Mengatur segala urusan hambaNya. Yang Maha Penyayang terhadap hambaNya. Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Just silent and,
DO with full of HEART.

---

Final exam sem 2, final year.

18/5/16
Masodir Elektronik
Asalib Bahas
Asalib Tadris

19/5/16
Qadhaya Fatawa

23/5/16
Usul Fiqh 3

InsyaAllah maannajah.
*Sempat lagi update status*


‪#‎bfgkhawlah16
#takharujsoifi2016


Wednesday, May 4

.Damaikanlah.


Bismillah.





"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." 

Surah Hujurat ayat 10.


Siapa sangka dia akan diuji dengan ukhuwah. Yang hadir oleh prasangka kecil pada awalnya. Siapa akan sangka dia akan diuji dengan emosi. Bila mana yang berlaku itu adalah sahabat yang terdekat dan amat rapat.



Maka ketika itu sebagai orang yang diuji, apakah kita akan mengambil jalan taqwa dalam memperbaiki sesebuah ukhuwah? Sekalipun engkau menjadi orang yang ketiga dalam menyatukan. Silap pada bicaramu itu, memungkinkan sumbangan utama keretakkan ukhuwah dan memberi kesan besar dalam sebuah gerakan dakwah. Nauzubillah.

Sahabat, 


Allah kurniakan kita sepasang mata dan telinga untuk kita lebih memerhati dan mendengar. Berbanding satu mulut yang fungsinya tajam berbicara mengikut rasa.


Letakkanlah hati dihadapan lisanmu sebelum engkau mengeluarkan apa saja bicara yang menjadi kunci penentu. Kerana dengan hati yang suci, pandangan dan pendengaran yang jernih memberi kesan segala apa yang berlaku.

DAMAIKANLAH..


Buanglah sikap 'rasa-rasa' dalam diri kita. Kerana padanya ada keraguan. Peratusnya kearah kesilapan. Dan pasti ianya datang dari syaitan.


Dengan itu perbaikilah ukhuwah, 

agar kehidupan kembali rahmah. 


---
040516,
Uni Yarmouk, Irbid.


#akhawatjo #fefeelingchenta
#pemangkinnegararahmah #utk



Monday, April 25

.Baby Step.




Bisnillah.

Ok setelah sekian lama.
Mungkin dah lain style. People change right?

Berusaha untuk lebih telus tulus dan mulus dalam menulis InsyaAllah.Sebab tidak dinafikan sebelum ini sedikit sebanyak segala kebenaran yang berlaku pada diri disorok-sorok, disembunyi-sembunyi, disimpan-simpan dari pembaca.

Sebab apa ya?

Ego mungkin. 
Dan sebenarnya nak elak orang lain terlau admire.

Herher. 

Apapun alhamdulillah ala kulli hal.

Cukuplah masa yang berlalu tanpa nasihat dari diri ini.
Terlalu lama menyepi dan menyendiri kerana pentingkan diri.
Mungkin ini kali untuk diri ini tetap terus memberi.

Walau sedikit ibrah yang diperolehi,
Moga tetap mengesani hati para pembaca mithali,
Untuk lebih rasa mendekat dengan Ilahi.

Dengan izinNya..


*hulurkan tanganmu untuk aku pimpin dalam memulakan langkah kecil ini* 
BABY STEP. 



Saturday, August 15

.Bukan angka kosong.

Bismillah.




"Sanah Helwa.."


"Terima kasih.."


"Haha.. orang tu dah tua dah. Dua puluh SATU tahun dah.. Kita baru dua puluh." ligat saya menyakat. Adakalanya mereka juga begitu. Bergurau dengan sahabat yang dicintai itu, terasa indah nikmatnya. Ada ketikanya dapat melihat memek muka mereka yang kurang berpuas hati. Juga ada waktunya melihat wajah yang kadang merengus geram tidak mahu melawan, kadang menggeletek hati. Ah pasti zaman-zaman ini yang akan dirindui nanti.


"Kan? tua dah. Tapi sekurangnya, umur ana (kata ganti diri : bahasa arab) dua puluh SATU tahun! Kita sendiri tahu, dalam agama ini, Islam tidak akan melahirkan individu-individu yang berangka KOSONG itu.. kerana agama yang benar ini, datangnya dari Allah. Pasti Dia menjaga rijal-rijal yang membawa dan menyampaikan agamaNya." Dia memulangkan paku buah keras.


Pecah berderai tawa kami bersama ahli rumah yang lain. Wah, ini bukan calang-calang 'ukhti' untuk kita sakat menjadi bahan. Balas gurauannya si dia, mampu meningkatkan iman. Ungkapan itu benar-benar memberi kesan.


'Dalam agama ini, Islam tidak akan melahirkan individu-individu yang berangka KOSONG itu..'


Saya hanya mampu menggeleng. Bicaranya sedikit, namun kesannya membekas. Sungguh benarlah tutur bicara seorang murobbi terkenal KH Rahmat Abdullah, "Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan menuntut semuanya darimu. Sampai pikiranmu, perhatianmu, berjalan, duduk, dan tidurmu. Bahkan dalam lelapmu isimu pun tentang dakwah. Tentang umat yang kau cintai."


Saya sendiri sering memikirkan, apakah sudah benar cintakah jiwa dan jasad ini pada satu amal yang bernama DAKWAH? Apakah yang telah saya lakukan sepanjang saya mengenali apa itu tarbiyah Islam? Allahu.


Dan akhirnya angka dua puluh SATU itu kunjung jua. Bertalu ucapan 'sanah helwa', 'selamat hari lahir', 'happy birthday' dari sahabat, sanak saudara dan jiran tetangga. Semoga saya benar-benar dapat menjadi hamba Allah yang bukan angka kosong dalam amalnya. Bukan angka kosong pada bicaranya. Bukan angka kosong dalam gerak langkah dakwahnya. Bukan!


Tapi angka-angka yang bernilai dalam Islam, angka-angka yang bernilai disisi Allah. 


MOGA!


Alhamdulillah wa syukurillah atas nikmat usia yang Allah berikan ini. Thabbit qulubana ala deenik ya Allah..