:: اللهم اجعل قلبنا بيضاء كبياض ثلج ::
'Ya Allah, jadikanlah hati kami putih seputih salji'
Bismillah..
Misi diri mencari hati yang suci. Moga Allah kurniakannya dan perkenankannya..
Tingkap ditolak agar terbuka sedikit. Angin dingin mengelus lembut wajah. Sesuatu dapat dikesan. Ya, bau kesejukan pada hari itu berbeza daripada hari-hari yang lain.
"Sahabat!! salji turun..." Mereka menjerit riang. Berpusu-pusu akhawat turun dari rumah berlari ke arah jalan. Saya juga tidak ketinggalan turut serta bersama mereka.
Kesemuanya menadah tangan sambil muka dihadapkan ke langit. Merasai dan menghayati nikmat yang Allah hadirkan buat penuntut bumi irbid.
Saat itu, wajah-wajah yang dilihat tersenyum riang. Gembira. Hilang segala kekusutan, keperitan. Sama-sama kami menikmati butir-butir salji yang turut lebat. Malah orang arab juga turut serta bersama meraikan kegembiraan itu.
Nikmat itu bukan selalu. Allah datangkan sekali sekala. Dan Dia mahu kami merasainya pada tahun ini. Terima kasih ya Allah.
Butir-butir lembut berterbangan jatuh satu persatu ke bumi. Malah jika diperhatikan keunikannnya, salji itu ada bentuknya. Tidak hanya sekadar ais yang ringan turun perlahan secara banyaknya.
Pagi itu, bumi irbid yang berdebu ini akhirnya putih suci dipenuhi salji. Subhanallah. Cantiknya tidak terungkap dengan kata-kata. Keterujaan kami terserlah. Lebih lagi sebagai 'sanfurah' (pelajar tahun 1).
Saya menendang lembut taburan salji itu. Lembut. Gembira dan riang masih tidak surut-surut dari lubuk hati. Sungguh kelembutan, keputihan dan kecantikan salji ini mampu membuat makhluk Allah yang bergelar manusia ini dalam kegembiraan yang tidak terhingga.
Jalan di dalam Jamiah Yarmouk, saya telusuri. Salji yang ditepi-tepi koridor dikumpul dan digumpal. Bentuk bulat terhasil. Sedikit salji diambil lagi. Dilekukkan sedikit dibahagian atas bulat salji itu. Saya menepuk lembut bentuk hati yang terhasil agar kelihatan lebih jelas kelihatan.
Senyum. Nah, untuk anda. Saya tahu, anda rindu saya bukan? Heh.
"Eh, awak anak keduakan?" tanya kak W semasa dirumah. Saya mengiyakan pertanyaanya.
"Awak dengar eh. Betulkah? Anak kedua ini, nampak keras tetapi dalam sebenarnya lembut." kak W membaca senarai sifat anak kedua.
"Eh. tapi macam.. lembut sebenarnya keras?" kak AZ mencelah.
Saya tergelak kecil. Kepala digeleng. Sungguh saya sendiri tidak pasti dengan diri sendiri. Terpulang kepada mereka untuk menilai saya bagaimana.
Tiba-tiba teringat tagline satu cerita. "Selama-lamanya, kelembutan tidak akan pernah tewas dengan kekerasan.." Eh.
Ummul Mukminin Aisyah RA mengisahkan bahawa Rasulullah SAW pernah memerintahkan kepadanya "Hendaklah engkau bersikap lembut. Kerana tidaklah kelembutan itu ada pada sesuatu, kecuali pasti memperindahnya. Dan tidaklah kelembutan itu tercabut dari sesuatu, kecuali pasti memperjeleknya." HR Muslim.
Maksudnya,hendaklah engkau bersikap lembut dengan berlemah lembut kepada siapa pun disekitarmu, sederhana dalam segala sesuatu dan menghukum dengan bentuk yang paling ringan dan paling baik. -Faidhul Qadir.
Sama juga seperti salji itu. Pada awalnya kita mampu mengelus lembut taburan salji dengan jemari. Namun, apabila dibentukkan, terhasil hati yang utuh.
Diibaratkan dalam kehidupan kita, dakwah dan tarbiyah itu dimana-mana kita boleh memperolehnya. Malah, ketika hati kita sudah masuk dengan nilai-nilai tarbiyah, secara tidak langsung hati akan utuh dan teguh dalam melaksanakan dakwah bukan?
Tapi, kita sering membiarkan hati kita dikotori jahiliyyah kecil. Walhal, yang kecil itulah Islam tidak akan digelar Islam yang sebenar. Kerana Islam itu suci, putih dan bersih.
Tidak sesekali kita memanggil itu adalah salji, sekiranya kita tambahkan perisa sirap sehingga berubah warnanya. Juga untuk menambah kelainan, kita taburkan almond dan kismis.
Aduhai sahabat, secara automatik kita memanggil Air Batu Campur bukan?
Samalah ia seperti Islam itu tidak seskali dicampur adukkan dengan jahiliyyah. Malah pendekatan Islam yang Rasulullah gunakan adalah kelembutan itu sendiri.
Jadi, sejauh mana hati kita sudah putih seputih salji? Sampai bila kita mahu mengeraskannya dengan keegoan? Yang hakikatnya mungkin itu sifat sebegitu sebahagian jahiliyyah kecil.
Biarlah hati kita dibentuk dengan butiran salji lembut. Agar benar2 terbentuk dengan celupan Allah.
Orang yang beriman itu, penuh kelembutan. Dengan butiran-butiran lembut yang sedikit demi sedikit terbentuknya hati yang teguh dalam memperjuangkan Islam. InsyaAllah..
No comments:
Post a Comment