Pages

Sunday, January 27

.Rasulullah itu, pastinya...


Bismillah..

Masih belum terlambatkan untuk saya turut serta menulis mengenai kekasih yang dirindui yakni Rasulullah s.a.w? Sungguh pun jauh kita dengan baginda, namun betapa sebenarnya kita ini dekat dihati baginda bukan?

Hebatnya figure Rasulullah s.a.w, sehingga kini auranya terasa. Meskipun masa ditelan dek zaman yang berlalu.


Rasulullah itu, pastinya seorang yang banyak berdiam diri. Tidak berbicara tanpa sebab melainkan sesuatu yang meyakinkan para sahabat.


Rasulullah itu, pastinya sentiasa memuji insan sekeliling walau hal itu sekecil cuma. Malah tidak pula baginda mengeji melainkan dengan cara menunjukkan jalan yang betul.


Rasulullah itu, pastinya tidak membalas kejahatan yang diterima olehnya. Sebaliknya memaafkan dan melupakan.


Rasulullah itu, pastinya dirumah baginda sering menyenangkan isterinya dan anak-anaknya. Baginda melayan dengan penuh kasih sayang seperti mana Allah menyayangi baginda.


Rasulullah itu, pastinya melahirkan qudwah yang hebat. Sehinggakan jika ada yang memanggil baginda dari belakang, tidak pula separuh badan ditolehkan. Bahkan keseluruhan tubuh demi menjaga hati insan disekelilingnya.


Rasulullah itu, pastinya memakai apa adanya. Baginda tidak punya dua, tiga atau empat sesuatu nilaian material. Sebaliknya cukup buat diri baginda sendiri dan insan yang memerlukan.


Rasulullah itu, pastinya memandang faqir miskin dengan hati yang penuh cinta. Kerana baginda tidak pernah mencaci sebaliknya memberi dan terus memberi.


Rasulullah itu, pastinya bijak mengawal emosi. Tidaklah baginda mengangkat tangan melainkan ketika berjihad di jalan Allah memerangi musuh-musuh Islam.


Rasulullah itu, pastinya wajahnya sentiasa dengan senyuman. Tidak pula baginda ketawa berdekah melainkan dengan menundukkan pandangan dan tersenyum kecil


Rasulullah itu, memakan seadanya. Makanan disuakan serta diberhentikan sebelum baginda kekenyangan.


Hebatnya tarbiyah Allah kepada baginda, sehingga kini dakwah dan tarbiyah baginda dirasai oleh kita bersama. Cintanya baginda kepada kita berganda kalinya sehingga tidak terjangkau dek langit. Namun, adakah tarbiyah itu sekadar terhenti ditengah jalan, tanpa ada yang meneruskannya?


Malu rasanya menyatakan cinta, Kepada dia kekasih Allah,
Kerana dia insan mulia, Sedangkan diriku insan biasa,

Selagi upaya kuturuti ajarannya, Apa terdaya ku amalkan sunnahnya,
Moga di dunia mendapat berkat, Di akhirat sana beroleh syafaat,

Kerana peribadinya, aku terpesona,
Kerana budinya, aku jatuh cinta,
Rinduku padanya tiada terkata, 
Nantikanlah daku ditaman syurga..


Semoga tarbiyah yang Allah sematkan pada baginda, dapat kita nikmatinya sehingga ditaman syurga kelak bersama baginda Rasulullah yang dicintai. Alangkah indahnya hidup ini andai dapat bertemu dan sentiasa di samping baginda?

Ya Rasulullah, tunggu ummat mu ini di pintu syurga ya... 






No comments: