Pages

Monday, August 13

.Ber 'PKPK' (BTN).

Bersama Tok Wan dan ahli kump 06. Terbaikkkk..

Bismillah..

Menjadi kewajiban buat para pelajar yang bakal 'terbang' ke negeri orang untuk di'basuh' dan di'cuci' oleh orang-orang kuat BTN. Memang terbaik tazkirah depa. Baik dari segi pemikirannya, mahupun perilakunya. Termasuklah saya yang langsung tidak mengambil endah berkenaan negara. Apatah lagi POLITIK. Simpang malaikat 44.

Bagi saya, apa yang diperolehi disana tidak pernah saya perolehnya di luar. Bermula dari jasad ini mendaftar sehinggalah jasad ini keluar dari dewan peperiksaan. Mungkin berkat Ramadhan menyebabkan saya lebih mudah menyerap dan diserap.

Selama 5 hari 4 malam kami berkampung di sana, terlalu banyak kenangan yang kerap kali menjengah minda saya tanpa disuruh-suruh. Sungguh saya rindu BTN!!

Sekiranya ingin cerita satu persatu, sehingga esok pun belum tentu habisnya. Jadinya, slot yang paling saya sering kenang-kenangkan ialah slot ber 'PKPK' bersama Tok Wan tersayang. 

Panggilan 'Tok Wan' itu, saya yang punya kerja. Tak sengaja sebenarnya. Bertambah comel, apabila ahli lain turut serta memanggil panggilan keramat itu. Hehe *Senyum kambing*

Perwatakan Tok Wan yang tenang, menambahkan lagi sayang kami kepadanya. Bicaranya yang halus lagi tinggi ilmunya mampu membuatkan hati-hati tersentuh. Ungkapannya, jauh sekali memburukkan mahupun menjatuhkan yang lain. Apa yang penting baginya ialah Tanah air tercinta. Berkenaan politik?? jarang sekali disentuh. Lebih kepada tazkirah lagaknya.

Ingat lagi perkata pertama yang Tok Wan selitkan, "Pernahkah kita sedekahkan alFatihah kepada diri kita? Kita ini, semua orang alFatihah disedekahkan. Diri kita? Siapa lagi yang mahu sayang diri sendiri, jika bukan kita?" Dengan senyuman, Tok Wan memandang kami satu persatu.

Begitulah setiap kali slot PKPK. Sehabis mungkin kami akan ber'PKPK' maksud tersirat dan tersurat apa yang terkandung dalam bicara Tok Wan yang penuh madah pujangga itu. Dan setiap kali itu jugalah, kami akan terdiam dengan soalan-soalan Tok Wan yang berikan.

"Tok Wan ada soalan bodoh untuk kamu.." Senyuman terukir. Mata pen ditulis dipapan putih. "Soalan Tok Wan, pertama, 'Kenapa aku hidup?'. Kedua, 'Mengapa aku dihidupkan?'. Ketiga, 'Untuk siapa aku hidup?'"
dengan nada yang tidak terlalu tinggi Tok Wan mengharapkan jawapan daripada kami.

"Erk....." 

"Macam sama aja soalannya Tok Wan". Seorang ahli kami mencelah.

"Kita hidup untuk Allah. Dan beribadah kepadaNya." Jawab seorang lagi ahli berserta dalil dengan yakinnya.

Tok Wan menggeleng. "Kita hidup bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita." balas Tok Wan. Satu perkataan ditulis pada papan putih.

AMANAH.

"Kita hidup kerana amanah yang kita pikul. Kita akan dihidupkan kerana amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Serta kita diamanahkan terhadap manusia sekalian alam ini." Nah, itulah jawapan Tok Wan yang begitu tinggi bahasanya. Seperti biasa, kami mengangguk tanda setuju dan puas hati dengan jawapan yang diberikan.

Waktu lain pula, kami ditujah lagi dengan soalan yang super power dari Tok Wan. "Mengapa 'solat' dikatakan sebagai tiang agama? Mengapa tidak syahadah? Mengapa tidak puasa? Mengapa tidak zakat? Mengapa tidak haji?" Seperti tusukan pedang ke dada kami yang bakal bergelar ustaz dan ustazah ini.

Kami berpandangan sesama sendiri. Akal ligat mencari jawapan. Susah bebeno soalan Tok Wan ni. Nampaknya, seperti biasa telinga ditadahkan menerima tazkirah ilmu dari Tok Wan.

Tangan ditekupkan. "Sebenarnya, kelima-lima rukun Islam merangkumi dengan solat sebagai tiang agama." 

"Eh?"

"Maksudnya Tok Wan?" 

Keterujaan kami terserlah. "Mari sama-sama kita berPKPK. Di dalam solat, ada syahadah?"

"Ada..." kami menjawab.

"Di dalam solat, ada puasa?" soal Tok Wan lagi.

"Ada kot.." 

"Habis, kamu solat boleh makan? Terselit makanan dicelah gigi pun boleh batal solat jika kamu menelannya. Puasalah tu." Kami tersengih-sengih seperti kerang busuk. "Di dalam solat, ada zakat?"

Kami bingung. Bila masa kami keluarkan wang?

"Hmm, kamu zakat dari segi hamba kepada TuhanNya.." Jawab Tok Wan memintas persoalan hati kami.

"Di dalam solat ada haji?" Erkkkkk.. tak faham betullah Tok Wan ni.

"Habis, kamu solat itu menghadap mana jika bukan ke Baitullah...Allahuakbar."

Sungguh saya seakan terpana dengan jawapan Tok Wan itu. Semua jawapan itu saya salin semula. "Sebab itulah, hadis Rasulullah s.a.w mengatakan 'Solat itu tiang agama'.." Tok Wan senyum melihat kami.

"Begitulah cara Tok Wan mengaji. Kita perlu juga mengkaji. Nasihat Tok Wan, pergi ke sana timbalah sesungguh hati mencari ilmu keTuhanan. Kenallah Dia, bermula dengan Makrifatullah." Tersentuh hati saya mendengar patah bicara Tok Wan.

Betapa saya bersyukur dikurniakan Tok Wan sebagai Fasilitator kumpulan kami. Lebih ruhi dari jasadi. Sehingga nota saya lebih banyak tazkirah Tok Wan daripada perbincangan Gagasan 1 Malaysia serta yang seangkatan dengannya.

Selain itu, soal Tok Wan lagi, "Mengapa manusia ini diberi nama Adam dan tujuan dihidupkan menyembah Allah?"

Anda rasa mengapa Adam? Any answer? 

Jangkaan Tok Wan benar. Sememangnya kami tiada jawapan. "Cara kita menyembah Allah dengan bersolat kepadaNya. Maka ketika kita solat itu, bentuk apa yang terukir daripada pergerakan solat itu?"

"Aliff. Dhal. Aliff. Mim." Jawab kami penuh semangat.

Tok Wan mengangguk. "PKPK lah. Sama dengan awal penciptaan manusia, diberi nama ADAM." Subhanallah. Tidak boleh hendak kata tidak logik dengan jawapan yang Tok Wan berikan.

Sebenarnya banyak lagi ilmu yang Tok Wan turunkan. Namun, ini saja yang dapat saya kongsikan. Selebihnya agak rumit untuk diterangkan. Mudah-mudahan Allah memberikan kefahaman dengan apa yang disampaikan.

Anda rasa seronok tak dengan BTN yang saya lalui? Seronokkan? Terasa roh diberi makanan.. Mungkin atas faktor kami tidak bergaul bebas. Hanya had berbincang dalam kumpulan, tidak lebih dari itu. Syukur pada Allah. Maka seharusnya barakah itu disusuli seiring dengan keberkatan perjalanan program.

Mutiara kata Tok Wan yang terakhir kepada kami, "Biarlah apa sekalipun sikap dan ujian dalam politik yang kita hadapi, sayangilah bangsa, agama, dan negara kita. Ini tanah air kita. Orang cina, dia boleh lari balik ke negara asalnya. Orang India, dia juga boleh lari ke negara asalnya. Kita? PKPK lah..." 

Benar apa yang dikatakan Tok Wan. Baru saya tersedar, selama ini acap kali kita mendoakan kesejahteraan negara Islam yang lain. Jauh sekali melupakan. Namun, negara sendiri terlupa untuk kita doakan. Kesejahteraan yang dialami kini, apakah kita yakin kan selamanya seperti ini? 

Ya Rabb, peliharalah kesejahteraan dan keamanan negara ku ini. Semoga bangkitnya Islam melalui pemimpin yang benar dan selayaknya meninggikan Islam di mata dunia ini. Ameen








2 comments:

Anonymous said...

Subhanallah, beruntungnya..post yang sgt mmbuka mata..

nahmri. said...

>Anonymous, Alhamdulillah. Bukan saja anda tetapi saya juga.