Pages

Wednesday, October 23

.Bil Ehsan.



Bismillah.


"Ehsan.. sini jap."


"Kenapa?"


"Ana nak pinjam enti seminggu dua ni boleh..?"
Terus peluk ketat-ketat.


"Boleh..apa salahnya hihi. Enti ada imtihankan? Faham je.."


"Uhuhuhu. Dapatlah ana studi bil ehsan."
Senyum lebar sampai telinga.


---

"Selamat studi bil ehsan ukhti.."


Antara famous quote,
Masa-masa imtihan begini.


Mungkin mudah untuk mencuri masa
studi dengan Ukht Ehsan.


Namun bukan mudah menghadirkan sifat ehsan
yang sebenar dalam studi kita.


Kan?


Juga lebih menyentapkan,
bagaimana menghadirkan ehsan dalam setiap amal kita?


Allahu.
Moga diberi kekuatan Iman,
Yang mampu menggerakkan Amal.


Syukran Ukht Ehsan..
Atas muntalaq studi yang anda berikan dari jauh :)


---

"Ceritakan kepadaku tentang IHSAN"


Baginda s.a.w menjawab,


"Bahawa kamu beribadat kepada Allah 
seolah-olah kamu melihatNya.


Jika kamu tidak melihatNya,
sesungguhnya Allah melihat kamu."


_Hadis 3_


---

Udrus Bina.
Nu'min Sa'ah.


Belajar bersama.
Beriman sejenak.


Orang yang tidak imtihan.
Belum digelar beriman.


Kenapa eh?


(29:2)


*post terpaksa dipendekkan demi kemuntijan masa*




Friday, October 18

.Labanan Kholiso.





Bismillah.


IKHLAS~


Antara hamba dan Tuhannya.


Tidak mampu dicatat malaikat.
Tidak mampu diganggu syaitan.


Malah terserlah tandanya.
Jika kita benar-benar ikhlas.


Bersungguh.
Istiqamah.
Tidak mengharap balasan.
Tidak mengungkit.


Dalam kesempitan waktu.
Aku temui ikhlas.


Dalam kesibukan kerja.
Aku temui ikhlas.


Namun apakah
sifat yang bergelar


IKHLAS


itu sudah benar bertapak dihatiku?


Aku rasa belum.


"Anda kata, anda sudah lama dalam tarbiyah! 4 hingga 5 tahun mungkin. Tapi dengan sifat anda yang sebegini, tidak layak rasanya untuk bermegah dengan tarbiyah perjuangan yang anda laungkan. Sedangkan sifat terpuji Ikhlas yang ada pada Rasulmu, tidak dihadamkan dalam kehidupanmu."


Bukan mudah.


Ya,
Tiada perkara yang mudah 
bagi mendapatkan syurgaNya.


IKHLAS


"Labanan kholiso"
(16 : 66)


Jika benar ikhlas,
kau akan temui sebuah ketenangan 
yang mengalir dengan penuh suci setiap inci perjalananmu.









Thursday, September 12

.Makin lama.


3 tahun lagi, InsyaAllah.


"Ni balik cuti ke?"


"Haah, Ustazah." Menyambut persoalan mereka.


"Macam mana nanti nak balik? Mesir masih bergolakkan?"


"Insya Allah balik. Ana Jordan ustazah. Bukan Mesir.." Jordan aman. Tiada pergolakan. Ayat itu sekadar dikerongkongan. Tidak termampu rasanya mengatakan aku senang dan tenang. Sedang jiran disebelah. Kacau dan bilau.


---

"Akak, belajar Jordan best tak?"


"Untungnya enti. Belajar sana dapatlah main salji.."


"Angah, nanti pergi sana doakan nenek atuk semua. Doa penuntut ilmu mudah didengar.."


"Angah, ramai kot junior sekolah kita nak pergi Jordan."


"Kamu beruntung! Negara kamu belajar menuntut ilmu dekat dengan Masjidil Aqsa. Keberkatannya melengkapi sekelilingnya. Malah keberkatan padanya sudah Allah sebutkan dalam Al Quran."


Ungkapan-ungkapan ini acap kali saya terima sebelum saya ke Jordan sehinggalah kini. 


Kami hanya tersenyum kecil di sebalik ungkapan yang kami terima dari para penduduk asia yang jauh dari tanah arab bumi brakah.


Jujur!


Makin lama, kami makin lupa.
Betapa tanah itu sebenarnya dekatnya kami degan jejak para anbiya'.


Makin lama, kami makin parah.
Dengan budaya mereka yang sangat jauh dari ketamadunan Islam yang sebenar.


Makin lama, kami makin faham.
Kesucian agama itu tidak sepatutnya dipandang pada penganutnya.


Makin lama, kami makin lalai.
Betapa tanggungjawab menuntut ilmu semakin pudar dek melayani kerenah kalian.


Sakit. Sedih. Hanya Allah yang mengetahui.


---

"Mengapa orang melayu duduk sesama kalian? Pelajar arab, kamu tidak bergaul dengan merekakah?"


Kami hanya membatu. Diam seribu.


"Bagaimana kamu mahu hebat bahasa arab jika kamu tidak bercampur?"


Ah! ayat common seorang pendidik.


"Tapi, satu. Jika orang melayu rapat dengan orang arab kesannya lebih banyak buruk dari baiknya. Pasti jika pelajar melayu tinggal dengan pelajar arab, tidak lama selepas itu akan mula hisap rokok."


Saya tersenyum sinis. Pensyarah juga memahami. 


Namun, saya tidak nafikan. Jika mereka punya iman di hati, Islam akan mudah diikuti. Akan tetapi, mereka seolah hilang dari Islam yang mereka anuti. Mengapa? Sungguh saya tidak ketahui. Allahuakbar..


Sedikit masa lagi, saya juga bakal pulang ke Jordan. Walau begitu kehidupannya, seolah ada satu tarikan yang membuat hati saya membuak-buak untuk pulang ke sana. Malah tanggungjawab saya sebagai hamba Allah semakin berat di pikul setelah berusaha menjadi orang yang faham akan tugas menuntut ilmu dan dakwah itu sendiri. InsyaAllah


Belajar.
Semoga Allah ingatkan kembali matlamat saya ke sana. Allahu.


Mungkin aku perlu lebih kuat menanamkan cinta terhadap ilmu. Bermujahadahlah kita sehabis mungkin. Sehingga Allah itu benar-benar menjadi tujuanmu yang utama. 


Bersyukurlah kita walau dimana kita ditempatkan. Allahu mengetahui yang terbaik buat kita.


 Allahu yusahhil alaina..

"Hanya yang merasai akan mengerti"
 -Ukht R


Saturday, August 24

.Luar biasa.




Hari tu~

"Dia itu nampak lain. Gaya macam best student aja."

"Memang pun. Tapi kita nampak biasa kan? Cuma kagumnya dia ni. Selalu senyum. Al Quran pulak sentiasa ada di sisi. Tak pernah lekang. Ada masa dia murajaah. Kita nak buat dosa pun jadi serba salah. haha" 

---


Hari ni~

"Eee.. bagi tahulah apa yang lainnya dia tu? Cuba listkan kebaikan dia. Mana tahu boleh terap?"

"Huh. Mungkin sebab hubungan dia dengan Allah tu kuat. Lagipun, setiap pagi bila nak solat subuh mesti dia dah ada dulu sambil baca quran. Bukan sehari tapi tiap hari!"

---


Bismillahirrahmanirrahim..

"QAD AFLAHAL MUKMINUUUUUUN"
Sesungguhnya pasti kejayaan buat orang yang beriman

Sudahlah QAD! Ta'kid di situ.
Tambahan bukan falah, tetapi AFLAH. Paling berjaya tahu.

Siapa tak nak itu err =='

---


Saya suka dengan quote
'Keajaiban seorang mukmin'


Sebab tak semua orang mampu menjadi 
mukmin ajaib yang luar biasa!


Dan betapa 
Kita sangatlah teringin untuk menjadi yang luar biasa
Lebih lagi pada pandangan Allah :')


Hakikatnya,

Seseorang itu mampu kelihatan luar biasa
Bila mana buah amalnya sentiasa istiqamah 


Lebih lagi kalau dah dapat tarbiyah Ramadhan selama sebulan
tambah sikit lagi 10 hari cukup 40 hari 


Gerenti kekal dan istiqamah! 
InsyaAllah.



Ya Allah moga Engkau tetap memberi kami kekuatan dalam menjadi hamba yang terbaik pada pandanganMu. Dan terimalah setiap inci amal kebaikan kami ya rabb.. 


#keep.pray.4.ummah.islam#



Tuesday, August 20

.Nuuuuuun.




Adakalanya sesuatu perkara yang sudah lama kita tinggalkan,
Sedikit pelik untuk kita mulakan kembali sebagai catatan kehidupan


Masih tidak cukup lagikah Tafsir al Qalam yang diperolehi
dalam meniti hari?


*Paksa diri. Sila-sila*


Nuuuuuun. Wal Qalami wa maa yasturuun.


Satu peluru hanya mampu menembus satu kepala, tapi satu tulisan mampu menembus ribuan bahkan jutaan kepala – Sayyid Qutb



Monday, July 15

.Ada apa pada BENCI?




Seronok bukan main Wiah hari ini. Mana tidak gembira jika pensyarah beri cuti sehari! Laju saja dia mengemas rumahnya yang tercinta. Tambahan sebahagian ahli rumahnya tidak menetap di rumah. 'Berziarah' kata mereka.


Pinggan dibasuh berkilat. Baju-baju dilipat kemas. Buku-buku disusun cantik pada rak buku. 


"Buku siapa ni eh?" Sambil membelek helaian, cuba mencari si empunya pemilik buku tebal berkulit keras. Cantik.


'BENCI AKU!'


"Diari ke ni?" Pada mulanya dia teragak untuk membaca. Namun, ada sesuatu yang mendorongnya untuk terus meneliti bait tulisan yang tertera kerana tercatat namanya di situ.


'Hari ni aku rasa bad mood gila. Lebih lagi dengan si Wiah ahli rumah aku! Tahulah naqibah hebat dekat luar. Siapa yang hidup serumah dengan dia je tahu macam mana dia. Geramnya aku!!'


Hati Wiah bergetar hebat. Seperti ditusuk-tusuk panahan berduri. Bagaimana sahabatnya boleh berkata sedemikian? Seakan benci pada dirinya membuak amarah yang tertahan lamanya.


Mata mula berkaca. Peritnya hati hanya Allah yang mengetahui. Namun digagahkan jua agar terus bertahan dengan penulisan berbisa di hadapannya.


'Dahlah gedik dengan junior. Bila basuh baju selalu aja rendam lama-lama. Wei, kau ingat kau sorang ke duduk dalam rumah ni? Time studi pulak sesuka hati aja melepak dekat meja aku. Bukan tu je, konon sibuk berdakwah padahal turn masak pun tak reti nak handle..'


Tanpa sedar air mata merembes laju. Buku itu ditutup. Kemesraan yang cuba dia pamerkan dengan temannya terngiang kembali. Selama ini dia menganggap sahabatnya itu seperti keluarga. Rupanya sangkaannya salah.


"Kenapa awak benci sangat saya? Inikah yang dinamakan ukhuwwah?" Monolog hati terluah tanpa dipinta. Air matanya semakin deras mengalir. Namun hatinya kuat menasihati. Inilah tarbiyah dari Allah. Inilah tarbiyah dari Allah. Allahu..

----

"Akak, kita nampak akak macam lain sikitlah.." Mutarobbinya menegur.


"Eh iyakah? Mana ada, sama ajalah.." Wiah tersenyum simpul.


"Lain sangat.. sebabnya kalau hari-hari biasa, akak selalu saja share ayat quran. Tapi sekarang akak selalu diam. Tak seronoklah.."


Wiah terpukul. Bagaimana mutarobbinya boleh perasan? Berubah sangatkah perilakunya? Semakin melebar Wiah tersenyum pada mutarobbinya. Menghilangkan gelisah hati adik manisnya yang seorang ini.


"Akak minta maaf awak. Dah lama ke awak perasan akak macam ni? Ya Allah berdosa pula rasa. Okay awak nak akak share berkenaan apa?" 


Wiah menyilang tangan sambil memandang tepat mutarobbinya. 


"Emm.. saya nak akak share apa yang akak fikirkan sangat sampai akak dah tak macam dulu."


"Eee nakalnya awak.." Wiah menarik muka. Nafas dihela. 


Benar, tulisan kebencian sahabatnya itulah yang menyebabkan dia jadi tidak keruan. Sehingga dia menjadi takut untuk bergerak hebat di luar. Lantas bagi memilih jalan selamat, dia lebih gemar mendiamkan diri daripada berkata apa yang tidak sepatutnya. 


Malah semakin terserlah riak benci sahabatnya itu bilamana Wiah terus-terusan mendiamkan diri. Sifat riangnya yang dulu seakan tertutup serta merta dek melawan pandangan benci itu. Hatta keikhlasan pun sukar untuk hadir bila mana mereka bekerjasama dalam menyeru manusia ilallah. Daiekah dia?


'Ada apa pada BENCI sahabatku?' Dia menangis lagi dalam diam. Dia tidak tahu sampai bila semua ini akan berakhir. Bertambah parah, sahabatnya itu sudah jarang-jarang pulang ke rumah.


----

"Mama.. macam mana nak ikhlas hadapi manusia ye?" Pagi itu dia berkesempatan wassup ibunya. Sungguh hatinya sudah tidak tertahan menangani situasi sebegini.


"Anak mama kenapa ni?"


Dia hanya membalas ikon smiley.


"Semalam, baba baru share dengan mama pasal perkara ni. It's really hard to being ikhlas with someone but nothing is impossible. Lebih lagi anak mama yang sedang membawa hati-hati manusia kepada Allah ni. Peringkat awal mungkin perlu istikhlas. InsyaAllah sedikit demi sedikit datanglah ikhlas tu."


"Mama bagilah ayat quran apa-apa. Anak mama ni dah macam zombie hadapi manusia tau.. T.T" Bukan setakat zombie, mungkin lebih teruk dari tu. 


"Ya Allah anak mama ni, cuba cerita sikit." 


"Tak mahu..."


"Terpulanglah. Cuba buka surah Al Imran. Ayat 133 sampai 135. Allah menyeru kepada kita supaya bersegera mencari keampunannya dan bersungguh mendapatkan syurga yang luas. Yang disediakan buat hambanya yang bertaqwa."


"Macam mana nak jadi orang yang bertaqwa tu ma?" Saja dia ingin bicara mamanya lebih lagi.


"Yaitu, orang yang berinfak pada waktu lapang mahupun sempit. Juga orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain."


Memaafkan kesalahan orang lain? Tapi bagaimana jika dia yang membenci? Hati Wiah bertambah pilu. Namun, sedikit sebanyak ayat quran yang diberi cukup terkesan dan tepat pada dirinya.


Ya Rabb aku mahu menjadi hambaMu yang bertaqwa. Cara apa yang harus aku lakukan?


Dia buntu.


Wahai ego! Tolong jangan halangi hubungan yang aku bina dengan temanku atas dasar Iman ini. Tolong... pergi jauh.


----

Kaki menapak langkah memasuki kedai cenderahati. Hadiah-hadiah yang tersusun dicapai satu persatu. Di satu sudut kelihatan sebuah glob dunia yang amat menarik minatnya.


"Ya Muallim, eddish hay?"


"Taman dananir."


Tanpa berlengah Wiah mengeluarkan duit 10 dinar. Baki 2 dinar. Ah, itu hanya sekadar harga dunia. Mana mungkin dia mampu membeli hati dengan harga yang murah sebegitu. Hati yang ingin dibawa ke syurga itu perlu zuhud pada dunia.


Kali ini dia tekad. Tembok ego akan dipecahkan serta merta. Walau nanti menuntut malu, mahupun geram dengan apa yang dilakukan sebelum ini, dia akan pastikan ujian kecil sebegini mampu untuk diatasi.


'Allah akan menguji pada titik kelemahan kita'. Terngiang bicara Ukht Rayyan.


----

"Afaf, nah ini untuk awak." Sambil menghulurkan sekotak hadiah.


"Eh? kenapa pulak tiba-tiba ni?" Berkerut dahi Afaf.


"Maafkan saya. Nanti awak bacalah surat ni. Lagipun esok awak nak masuk rumah baru dah kan? Tapi sebelum tu.. izinkan saya memeluk awak?"


Wiah terus mendakap erat tubuh Afaf. Afaf sedikit tergamam.


Tanpa dipinta air mata Wiah mengalir deras. "Semoga Allah meredhai persahabatan kita, Afaf."


Wiah meleraikan pelukan dan berlalu pergi.


Hadiah dan surat ditangan, Afaf buka perlahan-lahan.


'Ke hadapan sahabatku yang dicintai kerana Allah. Satu persoalan ingin saya utarakan. Ada apa pada BENCI? Jika tiada jawapannya, sambutlah huluran tanganku untuk terus ke syurgaNya tanpa ada kotoran hati yang tidak mampu untuk kita bersihkan pada jalan ini. Teruslah menegur dan menasihatiku duhai sahabatku yang beriman...'


Mengertilah dia bahawa betapa sia-sianya dia membenci sahabat sendiri. Benar, ada apa pada benci? Sedangkan pemegang panji tidakkan memperoleh kemenangan hakiki selagi ukhwah masih ditelapak kaki.


Bergenang air matanya. 'Maafkan aku juga sahabatku..' Tangannya membelek hadiah dari Wiah. Tertera sticky note kecil.


"Dan Dialah yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman)."
Al Anfaal : 63



Ada apa pada BENCI?
Tiada apa-apa

Noktah.

Ingatlah di syurgaNya, kesemua penghuni saling berkasih sayang. Tiada yang terkecuali.












Monday, June 24

.Cukuplah Allah Bagiku.




Tidak semua perkara kita mampu berlagak mampu. 
Sampai satu waktu kita lelah dengan impian yang ingin dituju.


Benarlah,
Jika kau lakukan kerana manusia,
Hati kau akan mudah jatuh menjunam.


Walhal,
Jika kau lakukan kerana Allah,
Hati kau lebih tenang menghadapinya.


Ah kalian lihat apa pada kehebatan seseorang insan?
Semua itu pasti terkubur!
Hancur lebur!


Sejauh mana seorang insan mampu mengukur?


Melainkan..
Jika masih ada hati yang hidup, Allah sebagai Tuhan.


Adakah?


Sahabat,
Banyak perkara aku tidak mampu lakukan.
Namun aku lawan dan paksa agar kelihatan mampu.


Sehingga dihujung usaha,
Aku diam terduduk kaku kerana aku harus redha bahawa,


KEMAMPUAN ITU BELUM HADIR UNTUKKU.


There is reality in your eyes
Maaf.


CUKUPLAH ALLAH BAGIKU







Sunday, June 9

.Timeline kehidupan.




Waktu kecil dahulu, saya sering bertanya kepada ayah.


"Ayah, cita-cita ayah waktu dulu hendak jadi apa?" 


"Ayah tidak kisah jadi apa-apa pun. Yang penting belajar di luar negeri.." Suara garau ayah memecah suasana seiring senyuman sambil mengusap kepala anaknya yang bertanya ini. 


"Anak-anak ayah pun ayah berdoa supaya dapat belajar di luar negeri.."


"Ayah, memang semua anak ayah belajar luar negeri pun. Along dekat Johor. Angah dekat Selangor. Abang di Kelantan. Adik-adik di Perak.. hehe." Saya menyebut setiap orang daripada kami. Ketika itu keluarga kami di merata-rata semenanjung. Sengaja bergurau dengan ayah hari itu.


"Luar negara maksud ayah.." Saya menahan gelak.


Justeru itu, tangan laju mencapai sehelai kertas. Anak mata pen girang berlari tinta menghasilkan sebuah timeline kehidupan!


Siap. 


Kertas itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Di ambil gam, dilekatkan pada soft board bilik di asrama. Biar setiap hari lihat dan termotivasi ke arah timeline kehidupan yang dicipta penuh wawasan.


Waktu menginjak remaja menuju dewasa, saya kembali bertanya kepada ayah. 


"Ayah, apa cita-cita ayah ya?" 


"Cita-cita ayah.."


"Cita-cita ayah?" Saya mengulang kembali soalan. Tidak sabar menunggu jawapan.


"Hendak memasuki syurga Allah tanpa hisab.." Suara Ayah mengendur perlahan. Seperti biasa seiring senyuman sambil mengusap kepala anaknya yang bertanya ini.


Saya tersengih mengenang jawapan cita-cita ayah semasa kecil. Masakan boleh berbeza dahulu dengan sekarang? Bijak ayah membina minda kami. Senyum.


Hendak memasuki syurga Allah tanpa hisab. Ianya bukan suatu yang mudah. Lebih sukar dan teramat sukar. Namun kita meyakini bahawasanya Syurga Allah itu memang sudah dijanjikan buat hambaNya yang beriman..


Angah doakan cita-cita ayah tecapai.


Sebenarnya tunggu bicara ayah yang seterusnya, "Anak-anak ayah pun ayah berdoa supaya dapat masuk syurga Allah tanpa hisab." 


Senyum.


Setiap antara kita pasti mempunyai timeline kehidupan masing-masing. Mahu capai itu. Mahu capai ini. Namun, sejauh mana timeline ciptaan kita mampu mengembalikan kita kepada Allah?


"Dia Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan."

Al Hajj (22 : 76)







Thursday, June 6

.Intaian Al Quds.


Saya di sini seperti ini.


Mata masih tertancap menerima mesej itu. "Mungkin tahun ini kita hanya akan menghadirkan roh kita. Sama-sama solat hajat pagi esok ya."


Hati retak seribu. Perasaan apakah ini?


Membuak? Sedih? Geram? 


Fikiran masih ligat memikirkan hari esok. Tarikh 7 Jun 2013 akan diadakan Global March to Jerusalem. Solidariti bagi seluruh dunia. Namun kami di sini, hanya mampu intai dari jauh.


Anda tahukan kami di sini terlalu hampir dengan tanah Al Quds itu? Meskipun begitu, kami tiada daya merempuh benteng yang dicipta zionis laknatullah.


Terimbau kembali tiga hari lepas. Saya serta beberapa sahabat mengeksploitasi laman facebook dengan semangat membara mengajak ummat manusia menyertai solidariti yang bakal diadakan pada hari esok. Hampir setiap orang kami singgah wall mereka serta menconteng dengan penuh bahagia.


Sehinggakan ada seorang ukhti ini menconteng kembali wall saya dan berkata, "5 orang conteng wall akak, baru akak tukar dp (default picture)"


Secara tidak langsung sahabat saya yang masih membara semangat mereka, terus singgah wall Ukhti AzA dan memberi kata semangat dan meniup bahang hammasah seorang pemuda.


Akhirnya malam itu, berakhir dengan drama Ukhti AzA menyahut seruan untuk turut serta bersama-sama kami.


Sungguh perasaan ketika itu membuatkan hati basah dengan ruh ukhwah. Terharu. Sedikit sebanyak taaruf, tafahum dan takaful antara kami sedikit terbina. Sayang kamu ukhti..


Ini baru meminta sahabat menyahut seruan menukar dp pamer solidariti. Belum lagi menawarkan tawaran berjihad. Pastinya ketika itu hati akan bergetar hebat apatah lagi jika Rasulullah s.a.w sendiri yang menawarkan.


Mungkin begitulah perasaan para sahabat kaum muhajirin dan ansar. Keyakinan mereka teguh merasai syahid itu manis..


Bagaimana mereka merasakan sebegitu? Dan sampai bila kita hanya perlu mengintai Al Quds dari jauh? Isbiruu.


"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga diri."

Alt Taubah : 122


Al Quds,
Tunggu KAMI datang!
KAMI sedang persiapkan kekuatan..


Saudaraku di seberang sana,
Maafkan kami. 

:'(



Friday, May 31

.Rumah Islam siapakah itu?


Nak tunggu rumah terbakar macam inikah baru mahu gelar Rumah Islam. kuriyes..


Doa ma'thurat di'ameen'kan. Semakin awal subuh sekarang ni. Sedikit sebanyak menguji kecintaan hambaNya dalam menunaikan suruhanNya sehari semalam.


Pagi itu hanya kami bertiga. Menjadi kewajipan, seminggu sekali saya akan bermalam di mana-mana rumah selain rumah saya sendiri untuk mengamati dan menghirup suasana tarbiyah di dalamnya.


Tapi, lain di rumah itu.. Rumah Islam siapakah itu?


"Akak, dah berapa bulan kita tinggal serumah. Tapi saya tak rasa terbina pun duduk dalam rumah ni. Sorry to say.." 


Saya yang tidak jauh dari ruang solat, sayup-sayup kedengaran perbualan mereka. Maaf.


"Sebenarnya akak pun rasa macam tu juga. Ingatkan akak seorang sahaja yang rasa. Tak sangka pula awak pun rasa benda sama.." Luahannya seiring keluhan kecil.


"Minta maaf tau akak, kalau sebelum ni saya selalu saja tak balik rumah. Bukan apa, kadangkala saya tak terdaya menahan segelintir sikap ahli rumah kita.. terlalu nafsi-nafsi."


Saya semakin memasang telinga. Benarlah, sebelum ini kedengaran juga desas-desus rumah ini goyah hubungan antara ahlinya. Masakan tidak, saya yang duduk sebentar turut merasai tempias yang mereka alami.


Pernah juga suatu ketika, saya terdengar seorang ahli rumahnya berbicara sebegini.. "Kak X, akak ambil saya punya kopi eh? Dah sikit dah.."


"Eh, mana ada akak ambil!"


"Habis siapa?" Insan itu merungut dan memuncungkan mulut sedepa. Ahli rumah yang lain menyambut  pertanyaannya dengan tawa.


Mungkin orang yang berada disekeliling merasakan itu suatu yang kelakar. Boleh lagi untuk digelakkan. Namun, tidak bagi saya. Perkara sebegini merupakan aib bagi seorang kader dakwah yang masih lagi tidak mampu untuk berkorban dan berkongsi barang dengan ahli rumahnya. 


Atau bagi anda itu perkara biasa saja? 


Saya menggeleng. Tidak puas hati dengan sikap insan yang sebegitu. Mahu saja saya smash berdepan menegur tindakannya. Walhal siapa saya untuk beraksi sebegitu? Bukanlah ahli tetap rumah itupun. Bahkan seorang junior yang masih lagi hingusan menongkah arus kehidupan berumah tangga. Heh. 


Maaf saya agak beremosi seketika. Kerana, saya menginginkan akhawat-akhawat saya yang tercinta ini akan dapatlah membina baitul muslim yang terbaik. Betul.. kerana di dalam rumah Islamlah sebenarnya membina jiwa-jiwa yang lebih kuat menghadapi dunia luar. Tidaklah bermaksud apa-apa. (Kenyit mata)


Namun saya bersangka baik. Insan sebegini mungkin masih lagi baru dalam tarbiyah. Konsep ukhwah yang dipegang mungkin masih lagi belum mencapai tahap Ansar dan Muhajirin barangkali.


"Nanti, awak duduk Rumah Islam baru (baca : RI), selamatlah membina rumah itu seperti yang awak inginkan." 


"InsyaAllah akak. Tak sabar jugalah sebenarnya nak pindah rumah ni. Terukkan perasaan macam ni...?"


"Akak faham perasaan awak. Hmm.. nanti kalau akak pindah pun, akak tak tahu memori apa yang akan nak kenang dengan rumah kita ni." Suaranya semakin mengendur.


Ya Allah.. sedih sangat. Sehinggakan tidak tahu memori apa yang mahu dikenang dalam rumah itu? Ini sudah parah anda tahu?


"Dulu, akak ingat lagi salah satu matlamat akak untuk duduk dalam RI bagi memperkasakan lagi akak punya qiamullail. Tapi awak pun tahu sendirikan, ahli rumah kita ini bila sudah amalan ruhi pun nafsi-nafsi, tidak hairanlah perkara lain bersikap nafsi-nafsi juga."


"Itulah, kenapa kita tak macam keluarga ya? Kalau dekat rumah tu, mana ada mak kita lekatkan sticky note 'Aiskrim, pizza, ayam peha mak punya' dekat peti ais." Pecah tawa mereka berdua. 


Saya kembali membuka al Quran. Hati ini pedih dan pilu aja mendengar bicara seperti itu. Itu saya. Apatah lagi mereka yang mengalaminya. Saya hanya mampu mendoakan Allah membuka hati ahli rumahnya seluasnya menerima MANUSIA seadanya.


Saya kira tidak semua yang faham erti RUMAH ISLAM yang sebenar. Mungkin selepas ini, kita boleh adakan daurah inter RI? Eheh.


Berbeza pula dengan beberapa RI yang boleh dijadikan contoh. Hebat ahlinya. Sehingga musim-musim panas yang awal subuhnya ini, mereka masih lagi mampu menjaga qiamullail setiap ahlinya. Hebat bukan? Bukan calang-calang waktu. Jam 3.30 pagi mereka mengejutkan kesemua ahlinya. Tidak ada yang terkecuali.


Malah bukan itu saja, hampir setiap hari ada saja ahlinya yang akan membeli 'ole-ole' untuk ahli baitnya. Tiada istilah 'kau-kau, aku-aku'. Segala benda juga mereka saling berkongsi. Winter coat? Hirom? Kipas? Coklat? Almari? Beg? Buku? Laptop? Huh. 


Dari sebesar perkara kepada sekecil-kecil perkara. Barulah Rumah Islam..


Rumah Islam siapakah itu? Adalah...

Apapun, bergantunglah bagaimana keterbukaan ahli rumah sendiri. Mungkin setengah orang boleh menerimanya. Saya hormat cara mereka. Namun, hati saya kurang menggemarinya. Kerana saya mahukan Rumah Islam itu adalah sebahagian dari taman-taman syurga.


Sekali lagi saya memohon maaf terpaksa mencuri dengar perbualan ahli bait tersebut mengenai musykilah yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Semoga ianya menjadi pengajaran bagi kader-kader dakwah yang ada di luar sana. 


Hati-hati saat lebat berbicara dakwah dan tarbiyah, tapi hubungan sesama ahli rumah masih lagi goyah. Nauzubillah.


Kita ingin memasuki syurgaNya secara gerombolan.. tidak mahu ada yang ketinggalan mahupun keciciran. Namun, sekiranya nafsi-nafsi kuat menguasai diri, anda sebenarnya belum menjadi akhawat yang bertarbiyah untuk memperjuangkan dakwah ilallah.


Khas ditujukan kepada orang yang terasa. Memang ingin memberi cili padi pun. Pedas tak?


"Dan orang bertakwa kepada Tuhannya dihantar ke dalam syurga secara berombongan."
(Az Zumar : 73)



Tuesday, May 28

.Jubah abang hilang..





Jubah-jubah yang baru beli dilipat. Mulut terkunci bicara.


"Itulah akak. Ada kehilangan satu beg plastik. Dalam tu jubah lelaki yang ada hoody." 


Air mata masih boleh ditahan lagi.


"Sekarang ni okay, kejap lagi nangislah tu." Dia masih berbicara di corong telefon.


Nampaknya kali ini air mata tidak mampu ditampung lagi. Sahabat, terimalah sikap aku yang sebegini. Mudah saja air mata ini mengalir. Adakalanya malas mahu melayan kerenah diri. Namun apakan daya. 


Mengenang Ummi yang sanggup menggadai sedikit barangan berharga agar memperoleh lebihan wang sebagai modal untuk kami memenuhi tempahan baju jubah-jubah dari Jordan. Kini, lain pula yang terjadi. Terlalu banyak memegang beg plastik sehingga beg plastik yang penting itu keciciran.


Duit... tahu tak duit!


Setelah diberikan kata penguat supaya sabar dengan dugaan Allah, sedikit sebanyak hati mulai reda.


'Abang, jubah abang hilang..'


Terbayang-bayang tiga orang adik saya memakainya. Pasti segak. Sudah lama saya mencari. Jauh dari Amman, saya membeli. Tambahan ketika itu tinggal tiga sahaja. Cukup buat mereka bertiga. Walhal itu cuma anganan, kerana hakikatnya jubah abang hilang..


Aduhai membazir lagi duit Ummi dengan Ayah..


"Sedih sangat. Rasa bersalah juga pada Ummi dengan Ayah. Bayangkan, duit melayang macam tu aja.." Kesedihan yang terkumpul diluahkan pada si dia.


"Kau tak boleh macam ni. Duit tu, rezeki tu, Allah yang beri. Dalam masa yang sama Allah juga berhak menarik kembali."


Tertampar dengan bait bicaranya. Masakan saya boleh lupa kepada Allah yang Maha Pemberi Rezeki? Kepunyaannya di dunia ini segalanya. Sedikit pun kita tidak berhak merasakan itu hak kita. Allah..


"Asal kau senyap? Kau sedih lagi ke?"


"Hurmm..."


"Kau halalkan saja. Mana tahu ada orang miskin yang lebih memerlukan, dia terjumpa jubah tu. Bila dia pakai, kau pun dapat pahala.." Dia cuba menceriakan suasana.


Ya Allah, minda saya sedikit terbuka.Hati sedikit terbina.


Antara duit dan pahala, yang mana membawa ke syurga? Pastinya pahala. Terima kasih ya Allah kerana Engkau menghantarkan aku seorang insan yang mengingatkan kembali hati ini kepadaMu.


Hebat sungguh ukhti ini. Luar biasanya dia, mampu memberi solusi terbaik untuk saya terus redha dengan ujian yang Engkau berikan.


Dalam situasi sebegini dia masih lagi mampu berfikiran positif. Subhanallah.. 


Adakalanya kita terlalu cintakan dunia sehingga kita kalah dengan emosi. Sedang yang berhak menguasai emosi kita adalah diri sendiri. Tidak mengapalah.. hati mulai redha. 


Sedikit menggeletek hati memikirkan rangkap bicaranya yang satu itu, "Nasib baik jubah abang kau yang hilang. Bukan kau yang hilang.."


Tarik nafas. Senyum. 



Wednesday, May 22

.Dunia mana anda hidup?





Sebelum-sebelum ini, perasan saja post-post mengenai Palestin, Syria, dan banyak lagi negara Islam yang lain. Tapi pandang sebelah mata aja. Sebab kebanyakan post panjaaaang sangat. 


Walhal, semangat overdose bila pakai button badge, lilit muflar, ke hulur ke hilir bawa tabung palestin. Tapi, tak rasa pun ke hati. Ramai yang begini kan?



Huh, lebih lagi negara saya dengan mereka, alahai sebelah-sebelah saja. Memang tak tahu mahu kata apa sekiranya masih lagi  pandang sebelah mata aja.


Sampai satu tahap di atas kesemangatan 'fizikal' yang terserlah, seseorang telah offer saya untuk menjadi aktivis palestin bagi misi ke Gaza.


Ya Allah, waktu itulah baru terkial-kial nak faham dengan sebenar-benarnya. Namun, setiap satu perkara yang Allah tetapkan ada tapisannya.


Dan saya TAK TERPILIH!


Bicara seorang ustaz, "Nak pilih aktivis ke Gaza pun muaddal (pointer) kene mumtaz!"


Tercampak sedikit di situ.


Sambil menyelam minum air. Tingkatkan muaddal, belajar kerana Allah. Sambil tu mencedok juga bahan-bahan berkaitan Palestin.


Sudah sampai masanya untuk kita matang!


Jika dunia sudah cakna! Anda belum.. 'Dunia mana anda hidup?'







Sunday, May 19

.Membina Cinta.



Dengan nama Allah yang memegang hati ini..


Di kesempitan fatrah imtihan ini, sempat juga saya mahu menyelit mengenai 'CINTA'. Huh, berdebar tetiba.


"Buat apa tu?" Kak F menegur di laman skype.


"Tengah listkan nama orang.."


"Nama siapa.. takungan mad'u ya? MashaAllah enti." 


"Tak adalah. Beberapa nama yang dikenal pasti dan dapat di scan bahawa ana belum mencintai mereka-mereka ini kerana Allah." Pen diputar sambil melirikkan senyuman pada Kak F.


"Nama akak tersenarai ke?" Ujanya. 


"Secret!"


"Pandai sekarang ya. Secret bukan main." Mendengar bicaranya, terubat jiwa yang kusut dengan keserabutan studi yang menyebabkan jiwa-jiwa jadi berkelana berhari-hari rasanya. Oh hiperbola di situ.


"Akak, pernah tak akak jumpa seseorang yang sekali akak lihat dia, akak rasa macam dah jatuh cinta dengan perilaku dia. Setiap butir perkataan yang terluah dari dia akak jadi terngiang-ngiang dan cepat saja lekat dekat hati. Dan bukan akak seorang yang senang dengan dia. Ramai lagi yang sentiasa aja nak berdamping dengan dia.." 


Dia tersenyum. "Aih, lain macam aja bunyinya. Mestilah pernah..."


Terbayangkan beberapa orang yang saya kenali, sungguh bila di samping mereka, mengingatkan kembali  diri ini kepada Allah. Melihat wajah mereka, bicara mereka, tingkah mereka, ada satu cahaya keimanan yang terpancar-pancar.


Saya tegelak melihat Kak F yang malu-malu mahu menjawab soalan yang saya utarakan. Pastinya dia memikirkan lain dari apa yang saya ingin sampaikan.


"Akak rasa kenapa agaknya ya kita rasa cinta pada orang seperti ini?"


"Tak tahulah.."


"Sebabnya, mungkin kerana Allah mencintai insan sebegini. Hatta orang lain pun Allah titipkan rasa cinta juga pada orang itu. Sebab itu kita pun ada rasa cinta pada dia. Indahkan caturan Allah buat hambanya?  Jadi, hubungan dengan Allah kita perlu jaga... supaya manusia lain mudahlah mencintai kita."


"Ya Allah, betullah. Terima kasih enti. Sweet sangat malam-malam ni. hehe. Agaknya apalah perasaan orang lain terhadap kita."


Saya mengangguk setuju. Saya juga merasai kekurangan memiliki cinta orang lain terhadap diri. Mungkin kerana hubungan saya dengan Allah belum cukup capai tahap orang yang benar, benar, benar mencintai Allah.


Teringat pesanan murobbi tecinta semasa sesi lutut bertemu lutut yang lepas. Sambil menerangkan sedikit sebanyak tanda seseorang itu dicintai Allah..


"Kita ini, mudah saja untuk jatuh cinta. Berkali-kali pula tu. Tapi, kita terlupa bila sudah jatuh, perlunya bangkit dan membina cinta itu."


Menarik bukan? 


Membina cinta? Menuju apa? Menuju redha Allah..


Hati mula sebak memikirkan kita sering melaungkan dan memperkenalkan diri sebagai seorang daie. Di mana benih di campakkan, insyaAllah di situlah bakal terbitnya sebuah pulau.


Namun kita terlupa. Kita sering berbicara tentang Allah. Walhal kita lupa untuk berbicara dengan Allah.


Saya tujukan perkara ini khas untuk diri sendiri. 


"Itulah sebabnya ana senaraikan nama yang mungkin ana belum cinta kerana Allah. Sebab dalam syurga nanti semua orang saling berkasih sayang kerana Allah. Jadi, tak mahulah ada yang tercicir." Ujar saya. 


"Kalau macam tu nanti akak nak buat jugalah..."


Zaman Rasulullah dulu, semua sahabat merasakan merekalah yang paling dicintai Rasulullah. Subhanallah.. Hebat bukan Rasulullah mempamerkan cintanya? Sehinggakan jatuhnya cinta mereka kepada Rasulullah membinakan lagi cinta mereka kepada Allah.


Searching Allah's loveeee~

Janganlah hanya tahu JATUH CINTA!
Tetapi cubalah untuk MEMBINA CINTA!


Yallah..