Pages

Friday, May 31

.Rumah Islam siapakah itu?


Nak tunggu rumah terbakar macam inikah baru mahu gelar Rumah Islam. kuriyes..


Doa ma'thurat di'ameen'kan. Semakin awal subuh sekarang ni. Sedikit sebanyak menguji kecintaan hambaNya dalam menunaikan suruhanNya sehari semalam.


Pagi itu hanya kami bertiga. Menjadi kewajipan, seminggu sekali saya akan bermalam di mana-mana rumah selain rumah saya sendiri untuk mengamati dan menghirup suasana tarbiyah di dalamnya.


Tapi, lain di rumah itu.. Rumah Islam siapakah itu?


"Akak, dah berapa bulan kita tinggal serumah. Tapi saya tak rasa terbina pun duduk dalam rumah ni. Sorry to say.." 


Saya yang tidak jauh dari ruang solat, sayup-sayup kedengaran perbualan mereka. Maaf.


"Sebenarnya akak pun rasa macam tu juga. Ingatkan akak seorang sahaja yang rasa. Tak sangka pula awak pun rasa benda sama.." Luahannya seiring keluhan kecil.


"Minta maaf tau akak, kalau sebelum ni saya selalu saja tak balik rumah. Bukan apa, kadangkala saya tak terdaya menahan segelintir sikap ahli rumah kita.. terlalu nafsi-nafsi."


Saya semakin memasang telinga. Benarlah, sebelum ini kedengaran juga desas-desus rumah ini goyah hubungan antara ahlinya. Masakan tidak, saya yang duduk sebentar turut merasai tempias yang mereka alami.


Pernah juga suatu ketika, saya terdengar seorang ahli rumahnya berbicara sebegini.. "Kak X, akak ambil saya punya kopi eh? Dah sikit dah.."


"Eh, mana ada akak ambil!"


"Habis siapa?" Insan itu merungut dan memuncungkan mulut sedepa. Ahli rumah yang lain menyambut  pertanyaannya dengan tawa.


Mungkin orang yang berada disekeliling merasakan itu suatu yang kelakar. Boleh lagi untuk digelakkan. Namun, tidak bagi saya. Perkara sebegini merupakan aib bagi seorang kader dakwah yang masih lagi tidak mampu untuk berkorban dan berkongsi barang dengan ahli rumahnya. 


Atau bagi anda itu perkara biasa saja? 


Saya menggeleng. Tidak puas hati dengan sikap insan yang sebegitu. Mahu saja saya smash berdepan menegur tindakannya. Walhal siapa saya untuk beraksi sebegitu? Bukanlah ahli tetap rumah itupun. Bahkan seorang junior yang masih lagi hingusan menongkah arus kehidupan berumah tangga. Heh. 


Maaf saya agak beremosi seketika. Kerana, saya menginginkan akhawat-akhawat saya yang tercinta ini akan dapatlah membina baitul muslim yang terbaik. Betul.. kerana di dalam rumah Islamlah sebenarnya membina jiwa-jiwa yang lebih kuat menghadapi dunia luar. Tidaklah bermaksud apa-apa. (Kenyit mata)


Namun saya bersangka baik. Insan sebegini mungkin masih lagi baru dalam tarbiyah. Konsep ukhwah yang dipegang mungkin masih lagi belum mencapai tahap Ansar dan Muhajirin barangkali.


"Nanti, awak duduk Rumah Islam baru (baca : RI), selamatlah membina rumah itu seperti yang awak inginkan." 


"InsyaAllah akak. Tak sabar jugalah sebenarnya nak pindah rumah ni. Terukkan perasaan macam ni...?"


"Akak faham perasaan awak. Hmm.. nanti kalau akak pindah pun, akak tak tahu memori apa yang akan nak kenang dengan rumah kita ni." Suaranya semakin mengendur.


Ya Allah.. sedih sangat. Sehinggakan tidak tahu memori apa yang mahu dikenang dalam rumah itu? Ini sudah parah anda tahu?


"Dulu, akak ingat lagi salah satu matlamat akak untuk duduk dalam RI bagi memperkasakan lagi akak punya qiamullail. Tapi awak pun tahu sendirikan, ahli rumah kita ini bila sudah amalan ruhi pun nafsi-nafsi, tidak hairanlah perkara lain bersikap nafsi-nafsi juga."


"Itulah, kenapa kita tak macam keluarga ya? Kalau dekat rumah tu, mana ada mak kita lekatkan sticky note 'Aiskrim, pizza, ayam peha mak punya' dekat peti ais." Pecah tawa mereka berdua. 


Saya kembali membuka al Quran. Hati ini pedih dan pilu aja mendengar bicara seperti itu. Itu saya. Apatah lagi mereka yang mengalaminya. Saya hanya mampu mendoakan Allah membuka hati ahli rumahnya seluasnya menerima MANUSIA seadanya.


Saya kira tidak semua yang faham erti RUMAH ISLAM yang sebenar. Mungkin selepas ini, kita boleh adakan daurah inter RI? Eheh.


Berbeza pula dengan beberapa RI yang boleh dijadikan contoh. Hebat ahlinya. Sehingga musim-musim panas yang awal subuhnya ini, mereka masih lagi mampu menjaga qiamullail setiap ahlinya. Hebat bukan? Bukan calang-calang waktu. Jam 3.30 pagi mereka mengejutkan kesemua ahlinya. Tidak ada yang terkecuali.


Malah bukan itu saja, hampir setiap hari ada saja ahlinya yang akan membeli 'ole-ole' untuk ahli baitnya. Tiada istilah 'kau-kau, aku-aku'. Segala benda juga mereka saling berkongsi. Winter coat? Hirom? Kipas? Coklat? Almari? Beg? Buku? Laptop? Huh. 


Dari sebesar perkara kepada sekecil-kecil perkara. Barulah Rumah Islam..


Rumah Islam siapakah itu? Adalah...

Apapun, bergantunglah bagaimana keterbukaan ahli rumah sendiri. Mungkin setengah orang boleh menerimanya. Saya hormat cara mereka. Namun, hati saya kurang menggemarinya. Kerana saya mahukan Rumah Islam itu adalah sebahagian dari taman-taman syurga.


Sekali lagi saya memohon maaf terpaksa mencuri dengar perbualan ahli bait tersebut mengenai musykilah yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Semoga ianya menjadi pengajaran bagi kader-kader dakwah yang ada di luar sana. 


Hati-hati saat lebat berbicara dakwah dan tarbiyah, tapi hubungan sesama ahli rumah masih lagi goyah. Nauzubillah.


Kita ingin memasuki syurgaNya secara gerombolan.. tidak mahu ada yang ketinggalan mahupun keciciran. Namun, sekiranya nafsi-nafsi kuat menguasai diri, anda sebenarnya belum menjadi akhawat yang bertarbiyah untuk memperjuangkan dakwah ilallah.


Khas ditujukan kepada orang yang terasa. Memang ingin memberi cili padi pun. Pedas tak?


"Dan orang bertakwa kepada Tuhannya dihantar ke dalam syurga secara berombongan."
(Az Zumar : 73)



No comments: