Pages

Friday, August 5

.Allah Ar Raheem.







Bismillah.



"Terlajak perahu, boleh diundur. Ni terlajak dinosour tak tahulah."



Bicara salah seorang ahli rumah saya. Saya mengeluh berat. Tidak membalas bicaranya. Badan direbah. Tilam yang empuk tak mampu menenangkan hati yang resah.



Al-Quran dicapai. Nak baca? Tapi dah tak semangat sebab awal pagi ini lewat bangun subuh.



Masuk hari tersebut, hari kedua lewat. Bukan saya seorang sahaja. Tetapi satu rumah. Tiada seorang pun yang sedar pagi itu. Sungguh terasa seolah gunung yang tinggi lagi berat menimpa diri. Takut. Takut dengan Allah.



Tambahan yang lebih memeritkan, bukan sekadar lewat subuh. Sejak beberapa hari yang berlalu untuk bangun berqiamulail? Apatah lagi. Memang tidak bangun, Tidur mati lagaknya.



"Apa dosa yang telah aku buat?"



Sekali lagi saya berusaha untuk menenangkan diri dengan istighfar. Dalam fikiran masih tertanya-tanya, apakah sebalik kejadian ini ada petanda dan teguran dari Allah buat saya?



---



Pada hari yang sama, seorang ukhti share satu artikel.



'Mengapa saya susah untuk bangun malam?' keluaran web quranicgen.com



Sekali lalu saya membacanya. Amat tersentuh dengan hadis serta nasihat-nasihat yang disertakan. Antaranya peristiwa yang dikisahkan,



Ibrahim Adham pernah ditanya oleh seseorang untuk meminta nasihat agar dia mampu mengerjakan solat malam tahajjud.


Beliau  kemudian berkata kepadanya, "Janganlah engkau bermaksiat kepada Allah Azza Wajalla di siang hari , nescaya Allah akan membangunkanmu untuk bermunajat dihadapanNya malam hari. Sebab munajatmu di hadapanNya di malam hari merupakan kemuliaan yang paling besar. sedangkan orang yang bermaksiat tidak berhak mendapatkan kemuliaan itu."


Allahu.


Dalam kisah lain pula,


Sufyan At-Thauri berkata, "Aku pernah terhalang (tidak dapat bangun) untuk mengerjakan solat malam selama lima bulan disebabkan satu dosa yang telah aku lakukan."


Ditanyakanlah kepada beliau, "Dosa apakah itu?" 



Beliau menjawab, "Aku melihat seorang lelaki yang menangis. Lalu aku katakan di dalam hatiku bahawa itu dilakukannya sebagai bentuk kepura-puraan sahaja."


Nampak kecil, rupanya satu bentuk dosa tanpa kita sedari.


Seharian saya bermuhasabah. Meneliti semula hari-hari yang berlalu apa yang telah saya lakukan. Hatta sekecil perkara. Ya kali ini jangan cuba menipu diri sendiri. Telus dengan Allah. Moga diampuni segala dosa dalam keadaan sedar ataupun tidak.



Boleh jadi juga kerana hubb dunya yang ada dalam diri. Tidur lewat kerana menyiapkan urusan-urusan penting kononnya. Tetapi kebelakangkan Allah dalam banyak hal. Walaupun di khalayak mencanang membawa manusia mengingat kepada Allah. Namun diri sendiri tewas dalam meningkatkan kualiti amal yang mana menghilang tiada arah.


---


Sedang sibuk membaca Al-Quran, terjumpa satu ayat seolah-olah memujuk diri atas peristiwa dan teguran dariNya.


"Katakanlah : 'Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az Zumar ; 53)


Dapat dilihat kasihnya Allah, bila mana awal ayat ini Allah mulakan dengan 'Ya ibadi' Wahai Hambaku. Panggilan istimewa serta dekat dari Allah untuk menasihati hamba-hambanNya seperti kita.


Terima kasih Ya Allah.


Subhanallah walhamdulillah.


Akan diusahakan agar dapat menjadi muslim yang benar-benar sejati dalam melaksanakan haknya sebagai hamba kepada Tuhannya, InsyaAllah. Allah  Ar Raheem.



No comments: