Pages

March 19, 2017

.Dibawah Langit Korea #5.


120317,
Ahad.


Bismillah.


Awal pagi bersiap. Jam 4.30am seperti yang dijanjikan, oppa merangkap PA boss ambil kami di rumah. Perjalanan menuju ke tempat kerja mengambil masa 3jam setengah.


Sepanjang itu kami semua sambung lena. Suasana sejuk masih menyelubungi. Kehangatan pemanas di dalam bas sedikit sebanyak memberi ketenteraman.


Apakah yang bakal dilalui hari ni dibiarkan saja Allah menyusunnya.


Selesai kerja di kilang pertama, boss maklumkan akan ke kilang kedua tidak jauh dari situ.


Oh tidak.


Rasa nak menjerit. Urat badan sudah meronta kepenatan. Moga badan ini tetap terus bertahan sampai ke malam.


Jam dah menunjukkan pukul 1 petang. Usai makan tengahari yang disediakan, aku segera ke tandas. Siap sedia untuk mengambil wudhu untuk menunaikan solat.


Bila sarung tangan dibuka, Ya Allah aku lihat jari jemariku sudah luka luka sedikit tersiat. Kulit yang menggelembung kelmarin juga sudah pecah dek kuat sangat aku ketuk dan tarik bekas seaweed.


Pedihnya, Ya Allah.


Tambah dengan pelekat yang dipakai, semakin sakit bila terlekat dengan kulit gelembung bila ditarik.


'Tahan nabila! Tahan!'


Kata mereka, ahli rumah "Seminggu je Bella rasa sakit ni. Lepas tu biasa dah. Kami pun awal-awal dulu luka macam tu."


Sungguh aku tak pernah bekerja keras begini.


Alhamdulillah hari ini aku ambil cabaran kata-kata ayah.


Aku solat dibahagian yang bersih dan kawasan agak lapang. Dan ada seorang lelaki korea perasan pergerakanku. Tapi dia hanya lihat dari jauh dan tidak menghalang.


Sebagai seorang manusiakan fitrahnya beragama. Biarlah jika ada yang terlihat.


Mudah-mudahan syiar yang aku laksanakan memberi qudwah pada mereka. Jika tidak sekarang, mungkin suatu hari nanti. InsyaAllah.


Alhamdulillah aku lebih tenang.


Jam terus berdetik. Akhirnya langit yang cerah pun sudah bertukar gelap.


Tidak berhenti kami terus mengetuk, mencarik, dan mengait bekas seaweed.


Jemari yang luka memberi kesan gerak kerjaku semakin lambat.


Kaki semakin lenguh. Nak seret pun tak larat. Dari pagi berdiri. Duduk hanya ketika makan dan solat. Pergelangan tangan juga seperti membengkak.


Penat teramat sangat. Tanpa sedar air mata dah mula bergenang.


Memikirkan kontrak 3 bulan itu lama. Mampukah aku bertahan?


Tepat jam 9 malam kami selesai kerja. Subhanllah perasaan ketika itu, bahagia tidak terkata. Akhirnya.


Dah boleh balik!


Hilang terus penat dan terlupa dengan luka luka di jari. Bertambah gembira bila boss maklumkan esok cuti. Dapatlah merehatkan badan ni.


Dalam kedinginan cuaca sejuk malam, aku memeluk tubuh. 'Thank you dear, sebab bertahan. Tak pengsan tengah-tengah buat kerja.' Huhu.


Sampai rumah jam 12.30malam. Hai betapa indahnya hari ni kerja, esok cuti. Begini setiap hari pun seronok juga. Selang sehari cuti. Gaji jalan tak apa.


Alhamdulillah ala kulli ni'mah. Perit juga rupanya kerja oncall begini. Tapi perit lagi para doktor ya?

No comments: