Pages

March 15, 2013

.Jaga iman, jaga hati.



Bismillah..

Nad menyanyi kecil lagu nasyid 'Demi Cinta Suci'. Dalam suasana yang hening di petang hari, dia mengambil tempat belajar yang berhampiran dengan taman bunga di kawasan perumahannya. Amanda street.


Sambil menghirup udara segar, matanya tetap fokus akan subjek yang cuba difahaminya. Psikologi. Mata pelajaran yang perlu memahami 'manusia'.


Tanpa sedar ada sosok tubuh yang tidak jauh darinya setia mendengar nyayian kecil Nad. Habis rangkap pertama Izzah memotong, "Nad.. awak pernah suka seseorang?"


Nad sedikit kaget. Entah datang dari arah mana suara itu, alih-alih soalan 'cepumas' itu diterimanya. Tubuhnya dikalih kebelakang. Melihat gerangan suara insan yang bertanya. 


Dia tersenyum. "Izzah... " Izzah memandang penuh bermakna sahabatnya. Kerusi kosong di sebelah Nad dibersihkan sedikit, lalu duduk betul-betul menghadap Nad.


Nad tidak terus menjawab. Dia ada pendirian. Tidak semua perkara perlu diceritakan pada orang. Hatta sahabatnya sendiri. Kerana baginya, Allah yang lebih layak untuk dia meluahkan segalanya. "Kenapa Izzah tanya macam tu?"


"Iyelah, tadi Nad nyanyi lagu 'demi cinta suci'. Izzah cuma nak tahu. Izzah tengok, Nad seolah-olah tak pernah sukakan sesiapa. Macam mana Nad bina pendirian macam tu?"


Nad tersengih sumbing, sambil tangannya pantas menumbuk kecil bahu sahabatnya yang tersayang. "Hey, suka hati aja ya buat analisa sendiri. Stalk orang melebih-lebih ni."


"Hmm.. Nad kan cool aja!" 


Nad menghalakan pandangannya ke arah bunga-bunga yang baru mula bercambah naik. Bermacam jenis.


"Mana Izzah tahu Nad tidak suka sesiapa?" Izzah sekadar menggeleng.


"Izzah, tipulah kalau seseorang tu tidak terbit dihatinya perasaan yang dikatakan 'cinta'. Namun sejauh mana kita merasakan prioritinya. Jujur, buat masa sekarang Nad lebih asyik bercinta dengan sahabat..." Matanya merenung dalam sahabat dihadapannya.


Kenangan silam terimbau seketika. Siapa dia yang dahulu, rahsia itu dilipat kemas agar hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Andai aib itu dibuka-buka, pasti sekarang ini dia tidak mampu berdiri teguh berdepan dengan mutarobbinya juga sahabat seperjuangan.


Pasti, bukan bicara syurga yang akan dikongsikan. Berkat tarbiyah yang diterima, Allah melorongkan hatinya mencari cahaya yang sebenar. Keluar dari kegelapan. Keluar dari maksiat yang menipu. Yang disangkakan biasa pada kaca mata seorang manusia yang fasiq.


"Nad tak faham... susah. Perit tahu tak?" Izzah mengeluh.


Nad diam. Membiarkan sahabatnya meluahkan rasa yang terperuk lama di hati. Dulu, dia juga pernah begitu.


"Izzah nak kahwin! Tak kisahlah sesiapa pun. Yang penting nak ayah dengan mak carikan.."


Kini giliran Nad pula menghela nafas. Payah. Seakan ada butir emas tersekat dikerongkongan. Sukar untuk dia mengeluarkan bicara.


Bukan mudah memberi nasihat pada mereka yang sebegini. Jujur, perkara ini paling lemah untuk ditanganinya. Bukan apa. Hanya satu sebab. Dia takut. 


Takut tersasar. Takut tidak mampu pelihara iman. Tidak mampu pelihara hati. Sedangkan itu yang sedaya upaya diperjuangkan di bumi 'omputih' ini agar ilmunya ditanam kemas di lubuk hati.


"Nad.. dengarlah ni."


"Ya... Nad dengar. Baguslah kalau Izzah dah target macam tu. Biar ayah dengan mak yang uruskan." Nad senyum. Tidak berani berkata lebih. 


Kaca mata yang dipakai, dibuka sebentar. 


Sambil melarikan pen diatas buku nota, hatinya berdoa agar Allah memelihara sahabatnya ini. Kasihan. Betapa Allah sedang kuat mengujinya. Malah dalam perjalanan dia melawan, syaitan lebih kuat mencucuk. Allah..

------------

Bunyi mesej masuk. Tertera nama 'Izzah'.


"Nad, Izzah buat keputusan nak jaga iman, jaga hati daripada fikir benda-benda tak patut. Doakan ya!" Mesej itu dibaca dengan senyuman. Alhamdulillah, sahabatnya masih berfikir dengan akal dan hati. Bukan berlandas nafsu semata.


Laju jemari Nad membalas. "Hey bagusnya keputusan... hukhuk. Ingat, akhawat Gaza yang kahwin muda-muda tu pun ada degree tahu. Alhamdulillah. Cukup tau angau-angau ni. Tak laratlah nak layan. Penat."


'Aku sentiasa mendoakanmu sahabatku. Betapa aku kini cuba menyebarkan cintaku padamu. Moga engkau sedar akan huluran cinta yang hanya mampu dirasa oleh ruh dan hati yang tertaut...'


"Kuangsamlah dia ni. Selama ni tak ikhlaslah dengar luahan hati orang! Okkeh luv u dear.." Tergelak kecil Nad membacanya. 


Orang lain sibuk membalas cinta dengan yang bukan halal. Walhal dengan sahabat, tidak ramai yang sedar hakikat manisnya ukhuwwah kerana ianya kekal. Kekal ke syurga jika kerana Allah.


Hati Nad lega. Teringat pesanan ibunya yang jauh di Malaysia. "Jaga iman kita, jaga juga iman mereka. Jaga hati kita, jaga juga hati mereka..." Pesanan yang ringkas tapi bermakna.


Allah saja tempat dia meluahkan segala-galanya. Ya, segalanya. Berani melepaskan, dengan harapan aturan terbaik dariNya!


"Sungguh, syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan. Pengaruhnya hanyalah terhadap orang yang menjadikannya pemimpin dan terhadap orang yang menyekutukannya dengan Allah."
(An-Nahl: 99-100)






1 comment:

D-SIM said...

Trust Allah.
Tie you camel.