Pages

Saturday, March 16

.Panah manusia dengan cinta Allah.



Bismillah..

Busur dilepaskan.


Tersasar. 


A'yun kembali membetulkan posisi darjah yang sebenar. Kedua kaki dihalakan ke hadapan. Badan diarah menghadap ke kanan. Busur yang tergantung kemas dibelakang diambil satu.


Tiga jemarinya bersiap sedia menarik tali pemanah bagi melepaskan busur. Matanya tajam menghala ke titik tengah. Itu sasarannya.


Kepalanya dilentokkan sedikit. Pemanah ditarik dari atas ke bawah. Betul-betul lurus menghala titik sasaran. Matanya sebelah kirinya dipejam. Tali yang ditarik sehingga paras bawah dagu dilepaskan.


Tersasar.


"Orang yang fokus, dia mampu seimbang antara realiti dan fantasi. Dia kenal dan pasti bagaimana cara mengimbanginya. Sedikit darjah kamu terlalai, beribu darjah kamu bakal tersasar.." Coach Na'il bersuara tegas dibelakang.


Sentap dan dalam maksudnya.


Bibir A'yun mengoyak senyuman dibalik hijab yang terhias labuh. Posisinya masih tidak berganjak. Hanya tangannya sahaja yang laju mengambil busur panah dibelakang. Meneruskan panahannya.


Natijahnya sama. Tersasar dan terus tersasar.


"A'yun, jasad kamu di sini. Tapi fikiran kamu ke lain bukan?" Coach Na'il memulakan langkah bijak merangkap keadaan.


A'yun menghela nafas keras. Pemanahnya diturunkan. Purdah yang dipakainya basah pada sebahagian wajahnya. Akibat kerutan yang dicipta bagi menghasilkan tumpuan yang luar biasa, terhasil peluh-peluh kecil di dahi.


Dia melihat barisan pemanah sahabatnya. Mereka juga gigih berlatih sepertinya.


Tangan dicekak pada pinggang. Matanya yang bundar melirik kearah coachnya sambil pemanah tersisip rapi dibahagian kanan. Hujung pemanah diletak atas kaki kirinya menghindar kerosakkan lenturan pemanah.


"Sebenarnya, saya fokus saja. Tapi aura coach yang terlalu hebat sehingga menyebabkan busur saya tersasar-sasar. " A'yun cuba berbasa basi. Mengelak pertanyaan coachnya.


Coach Na'il tetap berdiri tegap tanpa sebarang reaksi. Tangan yang disilang dihadapan jelas menampakkan kredibiliti sebagai seorang jurulatih terhandal.


Siapa yang tidak kenal Coach Na'il disekolah. Pemanah terhebat peringkat negeri Kelantan. Tambahan dengan kekuatan hafazan Coach Na'il yang tiada tandingannya. Ditakdirkan Allah, A'yun terpilih menjadi anak didik Coach Na'il dalam kelab pemanah.


Coach Na'il sekadar menggeleng. "Istighfarlah... Kamu tidak selalunya begini."


A'yun menundukkan wajahnya. "Coach.. bagaimana seseorang itu boleh hebat?" Akhirnya persoalan yang terbuku dihati terluah jua.


Coach Na'il mengerutkan wajah. "Apa maksud kamu?"


"Hebat seperti Rasulullah.. seperti Khalid Al Walid?"


Sebagai seorang yang agak ego pendirian, A'yun tidak sekadar menunggu jawapan tanpa menerbitkan lebih banyak persoalan. Dia sekadar menjungkit bahu. Badannnya kembali menghadap ke hadapan. Pemanahnya diangkat semula.


Bersedia melepaskan busur sekali lagi.


"Manusia itu hebat, bila mana hubungannya dengan Allah itu kuat. Sekalipun dia jahil dan hebat dengan kejahilannya, apabila mengenal Allah pasti kehebatannya terserlah pada jalan kebenaran. Seperti Khalid Al Walid. Beliau seorang panglima yang handal yang tidak pernah kalah pada mana-mana pertempuran..."


A'yun tersenyum kecil. Busur dijari kembali ditarik. Dengan lafaz Astaghfirullah, dia melepaskan. 


Hampir pada titik sasaran.


"Orang yang mendapat cinta Allah dan manusia adalah orang yang jiwanya dibersihkan dengan taqwa, fikirannya disucikan oleh Iman, dan akhlaknya diwarnai dengan kebaikan. Tanpa kamu sedar, makhluk sekeliling akan turut mengikut jejak langkah kamu kerana cinta kamu kepada Allah."


A'yun melepaskan lagi busur. Sedikit lagi menghampiri sasaran.


"Sama juga seperti busur panah yang diperbuat daripada logam. Tidak mudah patah. Begitu juga perumpamaannya bagi orang yang faham.."


Telinga menangkap kemas bicara Coach Na'il. Dia tidak putus asa. Satu lagi busur ditarik kemas. Matanya difokuskan seratus peratus.


"Sebagai seorang pemanah, kamu harus tahu, kehebatan itu terhasil bila kamu berjaya..." A'yun menunggu bicara Coach Na'il. Dengan lafaz bismillah. Busur meluncur laju.


"Panah manusia dengan cinta Allah...." Coach Na'il menamatkan bicaranya.


Tepat pada titik tengah.


A'yun melepas nafas lega. "Terima kasih coach atas nasihatnya..." A'yun senyum mesra. Melalui matanya sahaja, jelas kegembiraan yang terpamer pada wajahnya yang dihijab purdah.


"Em.. teruskan berlatih!" Coach Na'il tetap bersahaja. Kakinya mengatur langkah berlalu pergi. 


A'yun menggelengkan kepala. "Coach...coach.." Dia tergelak kecil melihat gelagat coachnya yang begitu. Jelas seperti datuk-datuk yang memberi nasihat bermakna buat cucu yang ego seperti dirinya.


A'yun menuju papan pemanah. Busur yang jatuh dikutip satu persatu. 'Untuk menjadi hebat pada pandangan Allah, hubungan aku dengan Allah harus kuat! Ya Rabb terima aku sebagai abidMu yang beriman dan berpegang teguh pada jalanMu.' Hati kecilnya bersuara.



"Sebagai seorang pemanah, kamu harus tahu, kehebatan itu terhasil bila kamu berjaya...panah manusia dengan cinta Allah." Terngiang-ngiang ditelinganya mutiara kata Coach Na'il.


"Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham." (Sahih Bukhari)





No comments: