Pages

Wednesday, June 20

.Najis dosa.


Bismillah...

Dia membetulkan serbannya yang terlilit rapi di kepala. Sedikit gugup. Bukan gugup dengan insan di hadapan, namun apa yang bakal disampaikan.

Sejurus dia mengucapkan tahmid dan tasbih kepada yang Maha Esa, taujihatnya dimulakan. Melihatkan kesemua mata-mata dihadapannya penuh telus dengan keikhlasan, hatinya berdoa moga Allah menaungi mereka dengan sayap para malaikat. InsyaAllah.

"Orang yang beriman, tidak akan melihat dosa itu sebagai satu perkara yang kecil." Suara Panglima Zuhayr Ulwan memukau perhatian para tenteranya.

Suasana tapakan kaum muslimin yang diduduki hening. Sekali-sekala kedengaran rengusan nafas kuda-kuda tenteranya dibahagian tepi para jemaah. Berbaris tersusun. Jika dilihat musuh, pasti sedikit gusar dihati mereka.

Setiap kali selepas maghrib, pasti akan diadakan sedikit taujihat daripada panglima yang menggepalai penghijarahan dakwah dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Semua menumpukan perhatian. Ada yang mendengar sambil menundukkan wajah ke hamparan tanah yang berdebu. Ada juga yang wajahnya didongak ke langit melihat ciptaan Allah yang Maha kuasa. Pelbagai gaya, namun semua berpayung pada satu perkataan - khusyuk.

"Dosa bagi orang yang beriman, ibarat gunung yang menghempap. Hanya hati yang hidup sahaja mampu merasakan sedemikian."

"Panglima." Seorang tenteranya yang bejambang nipis mengangkat tangan. Semua jemaah memandang tentera tersebut.

"Bagaimana kalau kita tidak merasakan apa-apa apabila melakukan dosa?"

"Itu tandanya, hati kita punya masalah. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran bahawa orang yang beriman, apabila mendengar ayat-ayat Allah akan bergementarlah hati mereka. Itu ayat Allah. Apatah lagi apabila kita berbuat sesuatu perkara, mengingkari dan mengkhianati Allah SWT. Tidakkah sewajarnya hati kita lebih berasa tidak senang?"

Panglima Zuhayr Ulwan kemudiannya membacakan ayat suci al-Quran.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sepurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Al-Anfal :2)

"Orang yang hatinya punya masalah, akan menganggap dosa itu ibarat lalat yang hinggap pada makanan. Disangkanya ringan. Dikuis hilang. Tapi dosa bukan begitu." 

Panglima Zuhayr Ulwan terus menerangkan, impak buruk dosa kepada kehidupan insan. Setiap dosa menumbuhkan bintik hitam pada hati manusia. Menyebabkan hati manusia yang dizalimi dosa semakin hari, semakin keras. Akhirnya, hati boleh mati dan tidak lagi mahu mendengar peringatan.

"Kita tidak boleh redha dengan diri kita apabila berbuat dosa. Sepatutnya setiap mukmin perlu mendeklarasikan perang terhadap dosanya." Panglima Zuhayr Ulwan serius. Sedikit urat di dahinya ketampakan.

Benci kepada dosa menyebabkan manusia tidak akan bergerak mendekatinya. Andai dia terjebak kepada dosa, maka dia akan bersegera membersihkannya.

"Kita perlu lihat dosa itu sebagai najis. Kita buang air besar, kita bersihkan punggung kita. Sebab apa? Geli, kotor dan macam-macam lagi keburukan najis. Siapa hendak salam tangan kita, jika tangan kita terlekat tahi?"

Sebahagian jemaah tertawa. Mungkin terbayang dalam kepala mereka, keadaan tangan tangan yang dilekati najis. Menjijikkan. Siapa mahu salam?

"Macam itulah kita dengan dosa. Bayangkan dosa itu najis. Apakah kita geli apabila najis itu melekat pada tubuh kita? Jika kita lihat begitu, pastinya kita bersegera mencucinya. Apakah Allah Yang Maha Suci itu ingin melayani orang yang disaluti najis dosa? Sebab itu, bagi mereka yang tidak bergerak membersihkan dirinya, maka Allah memalingkan wajahNya daripada mereka ini, dan melempar mereka ke dalam neraka."

Semua yang ada terangguk-angguk. Ada yang menutup mata cuba berusaha membayangkan. Cuba berusaha merasa.

Mereka turut muhasabah diri. Diri disoal. Apa yang telah dilakukan selama ini? Terasa betapa redhanya hati dengan maksiat sekeliling sehingga dirasakan biasa dan tiada apa-apa apabila dilihat.

"Kita perlu benci dengan dosa itu begitu sekali. Rasa jijik, rasa kotor!" Ayat Panglima Zuhayr Ulwan seolah menebak dada-dada mereka.

"Tetapi ingatlah, pesanan ini hanya untuk menyedarkan diri kita. Jangan sesekali kita katakan kepada orang yang berdosa daripada kalangan kita bahawa mereka najis, kotor dan tidak dapat diselamatkan lagi. Sekiranya kita berkata demikian, kitalah yang berdosa sebenarnya. Menghukum manusia bukan tugas kita. Itu tugas Allah. Tugas kita adalah mnyampaikan. Berusaha menyampaikan apa yang Allah arahkan."

Panglima Zuhayr Ulwan menutup taujihnya. Sepuluh minit sahaja. Tetapi lengkap. Cukup membuatkan hati-hati terasa. Di akhir taujihatnya, dia mengajak semua jemaah untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Astaghfirullah alAzim...


1 comment:

nafmri said...

ngaa!! terima kasih angah atas cerpen ni! Menarik dan betul2 menjentik jiwa. Takut, andai hati kurang sensitif dengan maksiat sekeliling walau ianya sekecil cuma. jazakillah angah.. :')