Pages

June 28, 2012

Perlu ada perbezaan.


Bismillah..

"Assalamu'alaikum." Bahu Firas ditepuk. Terkejut Firas dibuatnya. Apa kena pula dia ni..

"Apa termenung jauh sampai nak tembus awan tu aku tengok?" Sapa Emir, tanpa mengendahkan salamnya yang tidak bersambut. Wajahnya sekadar menguntum senyuman kecil. Sudah diagak reaksi teman sekuliahnya itu.

Rambutnya yang jatuh mencecah anak mata, diselak ke belakang. Firas mengalihkan wajah. Malas mahu melayan. Matanya kembali terarah ke arah tingkap. Selajur itu, tangannya laju menyarung stoking dan kasut. Sebolehnya, tidak mahu bicara sepatah pun dengan Emir.

Kini kuliah mereka telah tamat dan mereka ingin pulang ke rumah masing-masing. Rumahnya yang terletak di Charles Street, hanya selang dua baris dengan rumah Emir.

"Jom balik sekali." Emir mengajak dengan lembut.

"Hmm.." Muka Firas tidak berkalih. Sejurus itu, kakinya terus menapak langkah.

Sepanjang perjalanan, Emir yang tidak berbicara apa-apa membuatkan Firas mencuri pandang lelaki itu. 

Rambut kemas dan rapi. Tidak seperti kebanyakan pelajar lain yang lebih gemar membiarkan rambut mereka panjang sehingga mencecah bahu. Bertambah pula, keadaan cuaca yang sejuk di Scotland ini. Pakaiannya juga, amat menyenangkan. Jauh sekali, memakai seluar jeans yang ketat seperti dirinya. Pendek kata, menyedapkan mata memandang. Apatah lagi, dengan wajahnya yang sering dihiasi dengan senyuman. Seperti ada aura harmoni yang terserlah dari penampilannya.

Jauh di lubuk hati, sedikit perasaan gembira dihatinya apabila Emir mengajaknya pulang bersama. Mungkin kerana Emir itu antara pelajar yang terkenal dengan perwatakannya yang luar biasa. Luar biasa bagaimana? Firas sendiri tidak tahu. Apakah dia mula mengakuinya?

Entahlah.. 

Ketika ini, Emir mengeluarkan sesuatu dari poket. Pemain MP3 jenama Walkman disangkutkan pada kot sejuk labuhnya. Dua earphone disumbat ke dalam telinga.

"Dengar lagu juga?" Firas menjangka. Tanpa sedar dia berbicara.

"Eh?" Emir menarik keluar earphone sebelah telinganya. "Kau kata aku dengar lagu?"

Firas baru tersedar yang kata-katanya sudah terlepas. Akhirnya dia mengangguk. 

Emir tersengih. "Aku tak tahu nak kata apa. Tapi aku minat lagu inggeris."

"Samalah dengan aku. Apa bezanya? Kalau kau nak tahu, aku banyak simpan koleksi lagu-lagu inggeris. Hip-hop ada, R&B ada, akustik ada, jazz ada, rock pon ada. Semua ada. Bukan ke itu semua melalaikan? Kenapa kau dengar juga?" Firas cuba menimbulkan kelemahan Emir.

Emir tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.

"Kenapa kau ketawa?" Firas hairan.

"Nah, dengar!" Emir mencabut earphone kedua lalu menghulurkan kepada Firas. Lambat-lambat Firas mengambilnya. Dua earphone itu beralih telinga.

Wajah Firas jadi kosong apabila mendengar lagu yang dimainkan oleh pemain MP3 Emir. Tiap bait lirik lagu itu dihayati. Firas seakan terpukau dengan lagu yang didengarinya. Lagu itu, digayakan dengan santai tetapi rancak. Bezanya pada isi lagu tersebut dengan lagu simpanan koleksinya selama ini.

"Sikit-sikit sudahlah, ya." Emir mengangkat keningnya sambil tersengih. Sebelum Firas bertanya itu lagu apa, Emir sudah bersuara.

"Zain Bikha."

"Eh?"

"Nama penyanyi lagu yang kau dengar tadi. Macam tak percayalah kau tak pernah dengar."

"Orang kata lagu Islamik. Jadi, aku malaslah nak ambil tahu." Tanpa sedar dia memberitahu Emir. Namun, dia akui lagu yang dimainkan itu sunggh dalam isinya. Seolah-olah jiwa terisi?

"Emm, ada macam-macam lagi selain Zain Bikha. Kalau nak semangat-semangat, aku dengar soldier of Allah. Kalau layan-layan, aku dengar Sami Yusuf. Dan yang selalunya, Maher Zain." Emir tersenyum sambil menampakkan baris giginya yang tersusun.

"Owh.. Kalau Maher Zain aku tahulah." Tingkah Firas, tidak mahu kalah.

"Orang beriman ini, perlu ada perbezaan. Dia tak boleh dengar lagu macam orang lain dengar. Dengar boleh. Maksud aku, dia tak bolehlah asyik dengan lagu-lagu yang tak ikut syarak."

"Semua perbuatan orang beriman perlu ada manfaatnya. Dengar lagu pun, perlu dapat manfaat. Tak boleh lalai macam tu sahaja." Bicara Emir dengan tenang.

Dah mula dah mamat ni..

Firas memandang sahaja. Terpukul dengan kata-kata Emir.

"Jadinya, aku minta izin dulu ya. Rumah aku pun dihadapan itu aja. Kalau banyak aku bebel, takut-takut bernanah pula telinga kau itu nanti."

Lamunannya terhenti mendengar kata Emir. Sekali lagi dia terpukul dengan tujahan bicara Emir yang seolah-olah tahu kata-kata hatinya.

"Hah, iyalah."

"Assalamualaikum!" Emir menghulurkan tangannya. Kali ini salamnya bersambut. Dia tersenyum kecil. Dia tahu, bukan semudah itu seseorang itu menerima kebenaran dan melaksanakan perubahan. Namun, jauh disudut hati, dia lega. Sekurangnya, Firas tidak membantah 'dakwah'nya. Mahu menerima atau tidak, terpulang kepada tuan pemilik hati tersebut.

"Waalaikumussalam.." Firas menjawab perlahan. Semakin lama, tubuh Emir semakin jauh dari dirinya.

Itukah yang mereka katakan Emir ini luar biasa orangnya? Meskipun sukar menerima, kata-kata Emir membuatkan akalnya ligat berfikir.

'Orang beriman ini, perlu ada perbezaan...'





1 comment:

Anonymous said...

Macho style Emir.
Tp bkn sng istiqamah. Lg2 klau tk ddk dlm trbiyah..
Papepon nice entri.